Khamis, 31 Disember 2009

COURT: ALLAH NOT EXCLUSIVE TO ISLAM




Keputusan tentang kalimah Allah petang tadi memang amat mengecewakan penulis. Bagi pihak 'yang menang' sudah tentu Tahun Baru 2010 akan disambut dengan lebih meriah kerana di samping meraikan tahun baru, mereka juga berjaya mendapat apa yang dikatakan sebagai hak mereka untuk merujuk 'Allah' sebagai Tuhan Bapa kepada Jesus Christ...

Bagi umat Islam, penulis ingin ingatkan janganlah jadikan hari Tahun Baru 2010 ini sebagai hari kegembiraan. Tiada apa yang ingin digembirakan. Ia bukan perayaan bagi penganut Islam malah ia berasal dari perayaan umat Kristian menyambut kelahiran tuhan mereka Jesus Christ yang disebut sebagai Anni Comini Nostri Jesu Christi. Lagipun tiada nas atau hadith yang menyebut tentang apa-apa kelebihan bulan solar (syamsiyyah) yang dulunya digunapakai oleh Rom bagi perkiraan tahun mereka. 2009 juga tidak melakarkan apa-apa kebanggaan @ kejayaan untuk umat Islam, malah Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa masih dibelenggu oleh Zionis Yahudi. Untuk apa kamu bergembira pada awal tahun masihi wahai umat Islam???

Lihatlah kebijaksanaan Saidina Umar memilih tema hijrah bagi permulaan tahun Islam. Ia bukan bertujuan untuk bergembira @ berhari raya setiap kali tiba 1 Muharram, tetapi ia permulaan bagi satu perjuangan yang tidak kan sudah...jihadun wa niyyah bak sabda Rasululullah SAW. Ia sesuatu konsep yang serius terkandung di dalamnya nilai keazaman dan muhasabah! Wallahulmusta'an...
Read more >>

Selasa, 29 Disember 2009

BILA USTAZ SAMAN USTAZ



Alangkah sedihnya melihat dua orang ustaz yang bertelagah kerana pandangan peribadi dan tuduh menuduh sesama sendiri. A mengatakan B Wahabi. B pula kata A Syiah. Kedua-duanya membawa pandangan peribadi, oleh itu metodologi dalam menangani masalah mereka pun adalah cara peribadi. Saman. Kedua-duanya penjawat awam kerana bekerja di sektor awam tetapi pandangan, sikap dan metodologi mereka tidak mencerminkan identiti mereka sebagai penjawat awam. Mungkin title 'pendakwah bebas' lebih sesuai untuk mereka berdua.

Bagi penulis, agama Islam di negara ini ada penjaganya. Majlis Raja-raja, institusi agama pusat seperti JAKIM, institusi agama negeri seperti JAIN kesemuanya bertanggungjawab menjaga dan memelihara agama Islam di negara ini. Masing-masing mempunyai kepakaran dalam menyelesaikan apa jua masalah, mereka memiliki panel-panel dan jawatankuasa-jawatankuasa tertentu dalam memutuskan apa jua masalah sama ada berupa aqidah mahupun syariah. Tak perlu untuk mana-mana individu di negara ini berlagak sebagai 'hero' atau 'jaguh' kononnya sebagai pejuang itu dan ini. Biarkan mereka yang ahli dan berautoriti memutuskan. 

Sesuatu pandangan, jika ia bersifat peribadi tidak akan ke mana jua. Ia hanya akan menjadi polemik yang tak berkesudahan. Jika sesuatu isu itu, sifatnya 'akademik'. Biarkan ia dibincangkan di gelanggang-gelanggang ahli sarjana di universiti. Kita punya ramai profesor-profesor dalam pengajian Islam dengan pelbagai kepakaran. Biarkan mereka berdebat dan berhujjah dalam membahaskan apa jua isu agama yang bersifat akademik. Bukankah hujjah dibalas hujjah.

Tetapi hari ini sebaliknya berlaku. Dua orang ustaz bergaduh. Saman menjadi pertaruhan. Pengikut pula saling bersorak. Mohon kepada Allah SWT, agar jangan sampai agama tergadai...
Read more >>

Ahad, 27 Disember 2009

PEMIKIRAN ARTIS YANG BISA MEROSAKKAN AQIDAH & SYARIAH




Bila terbaca laporan di atas, penulis amat bimbang sekali memikirkan kesannya terhadap generasi baru umat Islam terutamanya kalangan remaja yang semakin ramai tergila-gilakan golongan artis dengan menjadikan mereka sebagai IDOLA dan PEDOMAN mereka dalam kehidupan harian.

Bayangkan dengan sepatah kata dan perbuatan artis tersebut, yang tersebar meluas di media massa arus perdana dan tabloid...wajahnya pula sering terpapar di kaca televisyen kerajaan dan swasta, jutaan remaja yang rapuh pegangan agama hanya akan mengangguk dan mengiyakan sahaja. Ye lah, apa salahnya, dia sekadar mahu mencari makan. Agama jangan sekali-kali dicampuradukkan dengan soal kerjaya. Nanti segala-galanya akan tergendala. Tuhan lebih mengetahui IMAN DI DADA ARTIS tersebut!!!

Ini lah gejala pemikiran sekular dan liberal Barat yang semakin parah menjadi ikutan golongan artis di negara kita. Hanya kerana mahu mencari makan, syariat dipergadaikan. Teori 'MATLAMAT MENGHALALKAN CARA' telah menjadi tradisi sebahagian besar mereka. NIAT IKHLAS dan BERSIKAP PROFESIONAL sering menjadi jawapan dan senjata utama bagi mempertahankan diri apabila mereka terjebak melakukan perkara-perkara yang menyalahi hukum agama dalam lakonan atau aktiviti seni mereka.

Ketahuilah wahai golongan artis, Allah SWT itu menetapkan sesuatu amalan itu diterima dengan dua prasyarat penting. Pertama, IKHLAS dan kedua MENURUT SYARIAT. Kalaulah hanya niat yang menjadi penilaian, tak perlu Allah SWT menurunkan syariat...biarkan segala-gala dengan niat...Kepada masyarakat di luar sana, pelihara diri kamu dan ahli keluargamu daripada api neraka...Jangan biarkan mereka terkeliru dengan kenyataan-kenyataan golongan JAHIL yang bertaburan dalam media bertebaran di sana sini...

Wallahu a'lam.  
Read more >>

Khamis, 24 Disember 2009

SYEIKH AL-QARADAWI KEMBALI, SYEIKH WAHBAH MENYUSUL...




Sebagaimana dirancang, Syeikh al-Qaradawi telah selamat pulang pada masa dan hari yang dirancang. Penulis sempat menyediakan cek RM40k atas nama IIUM Endowment Fund untuk diserah kepada Rektor UIAM Dato' Sri Prof. Dr. Syed Arabi Idid. Nasib baik Prof. pun sudi mengutamakan program penyerahan cek  tersebut, majlis yang serba ringkas di Bilik VIP KLIA  ini sudah pasti akan menjadi kenangan bagi pihak UIAM dan JAKIM sampai bila-bila. Fadhilat al-Syaikh al-Qaradawi telah berbesar hati mendermakan 40% daripada hadiah wang tunai Ma'al Hijrah beliau kepada tabung pelajar UIAM yang memerlukan. Jazakumullah Ya Maulana al-Syaikh..


Sebenarnya pemergian Syeikhuna al-Qaradawi disusul pula dengan ketibaan Syeikhuna Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili. Alhamdulillah, pagi tadi ketika Syeikh Wahbah dijemput oleh Persatuan Ulama Malaysia dan Jabatan Agama Islam Selangor untuk menyampaikan ucaptama bagi Simposium Fiqh Masyarakat Bukan Islam, penulis sempat bertemu beliau di bilik tamu Dewan Annex Dun, SUK Shah Alam. Penulis tak dapat gambarkan bagaimana gembiranya Syeikh Wahbah ketika dapat bertemu semula 'khadam' beliau ini ketika beliau dijemput sebagai penerima Tokoh Ma'al Hijrah 1430 pada tahun lalu. Setahun sudah berlalu, tetapi penulis bersyukur kerana ingatan beliau terhadap penulis masih kukuh sebagaimana 'kertas usang' yang tertulis nombor telefon bimbit penulis masih tersimpan rapi dalam jubah beliau. Tasyarrafna Ya Syaikhana....


Pada malamnya pula, Syeikh Wahbah telah dijemput oleh pihak penganjur untuk menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Negeri Shah Alam. Walaupun dalam keadaan yang agak kepenatan, penulis menggagahkan diri untuk memandu dari Putrajaya ke Shah Alam bagi mendengar ceramah Syeikh Wahbah. Ilmunya yang menggunung itu pastinya ditagih oleh sesiapa sahaja yang tahu menilainya. Dalam kuliah ringkas antara Maghrib dan Isyak itu, Syeikh Wahbah menghuraikan tentang tiga ciri istimewa agama ini, al-alamiyyah (universal), al-khatamiyyah (penutup segala syariat) dan al-khulud (kekal hingga ke akhir zaman). Beliau turut tidak lupa menjelaskan perbezaan antara alamiyyat al-Islam dengan al-'aulamah (globalisasi) yang sudah pastinya berbeza dengan intipati dan dasar kesejagatan Islam.


Di sini, penulis juga ingin mengingatkan teman-teman yang ingin memohon fatwa kepada mana-mana ulama luar negara. Setiap persoalan perlu didahului dengan latar belakang yang jelas. Kita tidak boleh meminta fatwa dengan hanya bertanya 'soalan sepatah'. Ini terjadi ketika selepas Syeikh Wahbah menyampaikan ucaptama dalam Simposium Fiqh Masyarakat Bukan Islam. Salah seorang peserta bertanya soalan hukum orang bukan Islam menggunakan kalimah 'Allah' bagi penganut bukan Islam, tanpa menyatakan latar belakang perkara itu berlaku dan apa isu sebenarnya di Malaysia.

Pembaca blog boleh mendengar bagaimana penulis mengajukan persoalan ini kepada Syeikh Abdul Fattah 'Allam, Naib Syeikh al-Azhar melalui audio di site sebelah kiri web ini. Kali pertama soalan ini dibangkitkan oleh salah seorang peserta kursus ketika kami bersama Syeikh al-Azhar, tetapi 'soalan sepatah' itu menyebabkan Syeikh al-Azhar naik berang dan penulis telah berusaha sedaya upaya menjelaskan kepada Syeikh al-Azhar tentang kedudukan isu sebenarnya di Malaysia, bagaimanapun Syeikh al-Azhar tetap dengan pendiriannya untuk mengatakan 'boleh' bagi penganut bukan Islam menggunakan kalimah Allah. Bercanggah dengan fatwa naibnya, Syeikh Fattah yang juga Ketua Lajnah Dialog Antara Agama al-Azhar. (Sila dengar audio di site sebelah kiri) 

Apa pun Syeikh Wahbah dijangka pulang pada Jumaat jam dua pagi ini. Bagi penulis dapat bertemu dan berbual seketika sudah mencukupi. Melepaskan kerinduan kepada seorang ulama besar berumur 77 tahun ini setelah satu tahun tidak ketemu..Semoga Allah SWT memanjangkan umur beliau untuk terus berbakti kepada ummah ini sehingga ke hembusan nafas yang terakhir..Amin...
Read more >>

Isnin, 21 Disember 2009

SAAT-SAAT AKHIR SYEIKH AL-QARADAWI DI MALAYSIA

Malam 21 Disember 2009 adalah malam terakhir buat Syeikhuna al-‘Allamah Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi. Tepat jam 3.00 petang hari ini, Syeikh dijangka akan bertolak meninggalkan Malaysia. Alhamdulillah, dengan kebijaksanaan Y.Bhg. Dato’ Wan selaku Ketua Pengarah JAKIM, beliau telah mengusulkan supaya satu pertemuan ‘Dinner Talk’ diadakan di hotel penginapan Syeikh dengan ahli-ahli panel penasihat syariah bank, Panel Kajian Syariah JAKIM dan Panel Kajian Aqidah JAKIM.

Sebelum daripada pertemuan tersebut, penulis dan guru penulis, Dr. Zulkifli al-Bakri (juga ahli Panel Kajian Aqidah JAKIM) sempat mengadakan kunjungan hormat terhadap Syeikh di bilik beliau. Dr. Zul ingin bertemu bagi meminta keizinan untuk menerbitkan kitab al-Halal wa al-Haram fil Islam yang telah siap diterjemahkan oleh beliau. Penulis pula mengambil kesempatan untuk menyatakan rasa kagum penulis terhadap fatwa-fatwa beliau yang bersifat tarjih bayn al-mazahib sebagaimana yang termaktub dalam kitab Fatawa Mu’asirah sambil memohon secoret kata daripada Syeikh sebagai tanda ingatan (autograph). Alhamdulillah selepas itu penulis dihadiahkan senaskhah jilid terbaru kitab ‘Fatawa Muasirah’ ini iaitu jilid yang keempat. Jazakumullah Ya Habibanassyaikh…

Dalam pertemuan ‘Dinner Talk’ malam tadi..banyak perkara dibangkitkan oleh para peserta yang terlibat. Antaranya isu muamalat Islam yang hanya bersifat syakliyyat yang semakin bertambah dalam urusan perbankan Islam, emas adakah ianya sebagai wang atau komoditi, hukum meminta pertolongan dengan bukan Islam, isu al-Ahbasy, isu Wahhabiyyah/Salafiyyah dan lain-lain. Jawapan Syeikh sangat mantap dan bernas serta bersifat objektif tanpa berpihak. Muqaddimah sebelum soal jawab juga sangat menarik perhatian penulis kerana FadhilatusSyaikh juga turut membincangkan tentang amalan bermazhab dan sedikit sebanyak menyentuh kerigidan golongan Syafi’iyyah dalam bab taharah dan implikasinya dalam masyarakat Islam. Ucapan ini banyak persamaannya dengan muqaddimah dalam kitab ‘Fatwa Mu’asirah’ milik beliau..sila rujuk kitab tersebut untuk mengetahui pemikiran beliau tentang mazhab. Yang jelas beliau bukan menolak mazhab tetapi menolak keta’assuban terhadap mazhab!!

Hari ini 21/12/09 Syeikh akan meninggalkan negara kita menuju ke Riyadh, penulis difahamkan untuk menghadiri satu seminar di sana. Subhanallah, begitu lah hebat orang berilmu, ilmunya sentiasa ditagih oleh keseluruhan umat Islam di dunia. Seluruh dirinya diinfaq kepada jalan Allah SWT. Wang ringgit tidak menjadi apa-apa nilai baginya. Dengan kemurahan hatinya, ketika berbincang soal urusan untuk pembayaran baki daripada 100k (Hadiah Ma’al Hijrah) yang diterima oleh Syeikh, beliau dengan rela hati menyatakan hasrat untuk menginfaqkan sahaja wang sebanyak 40k kepada Tabung Siswa Miskin, UIAM. Subhanallah..inilah akhlaq luhur seorang Syeikh yang mengajar ilmu melalui ucapan dan tauladan..Selamat tinggal Syaikhuna wa habibana wa ustazana wa mu’allimana..la la taquuluu wida’an bal quuluu ilalliqa’…
Read more >>

Ahad, 20 Disember 2009

CERAMAH PERDANA SYEIKH AL-QARADAWI DI MASJID NEGERI SHAH ALAM






Penulis sebenarnya agak terkejut, kerana sepanjang menguruskan kedatangan Syeikh al-Qaradawi (SQ) ke Malaysia, penulis tidak pernah diberitahu oleh setiausaha akademik beliau, Syeikh Waleed bahawa SQ akan menghadiri majlis lain selain daripada majlis yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia. Syeikh Waleed hanya memaklumkan supaya dilanjutkan tempoh penginapan SQ kepada 1 hari lagi supaya SQ mempunyai 1 hari penuh untuk bertemu rakan-rakannya yang ramai di Malaysia. Perkara yang sama juga dinyatakan oleh SQ sendiri dalam surat balasan penerimaannya sebagai tokoh.


Mungkin yang dimaksudkan dengan bertemu rakan itu juga adalah termasuk menghadiri ceramah undangan Kerajaan Negeri Selangor malam tadi. Sebagai orang yang mengagumi keilmuan dan kesarjanaan SQ, penulis berkejar ke Shah Alam untuk mendengar apakah amanat ilmu yang bakal disampaikan oleh SQ. Walaupun sebenarnya penulis baru sahaja sihat daripada demam, kepala masih terasa berat, tetapi kerana merasakan inilah peluang menimba ilmu walapun hanya berbentuk talaqqi sepintas lalu. Yelah, SQ hanya berada sebentar di negara ini.



Pada malam ini (19/12/09), SQ memulakan ucapan tentang hubungan beliau dengan Malaysia yang telah terbina sejak tahun 1974 melalui Dato' Seri Anwar Ibrahim. Kemudian, beliau mula mengupas ibrah atau pengajaran yang dapat diambil daripada kisah Hijrah Rasulullah SAW. Pertama, nasrun minAllah (pertolongan daripada Allah yang menjelaskan Allah membantu Rasul-Nya menerusi tentera yang tidak dilihat), kedua, afdhal al-takhthith al-basyari (sebaik-baik perancangan manusia) adalah ketika Rasulullah SAW mengatur perancangan untuk melakukan hijrah, keempat, ta'sis al-mujtama' al-muslim (pembinaan masyarakat Islam di Madinah) dan kelima, kefasadan masyarakat Islam yang berpunca daripada golongan munafiqin yang membenci dan memusuhi Islam dari dalam termasuk mereka-reka fitnah dan sebagainya. Ucapan beliau disudahi dengan hadith al-ifki yang berlaku ke atas Sayyidatina A'isyah r.a.h. Kupasan beliau sangat-sangat menarik perhatian penulis dan bersifat 'hidup' dan menghayati zaman semasa, bukan sekadar mengucapkan hujjah dan dalil..


Dalam suasana di dalam masjid yang penuh keberkatan, dimulai dengan solat Maghrib yang dipimpin oleh SQ dan ditutup dengan doa penuh semangat oleh Syeikh al-'Allamah dan solat Isyak...ditambah dengan kehadiran ribuan jama'ah tanpa jemu dan setia mendengar (sehingga penulis sukar dpt parking!), tidak dinafikan majlis pada malam tadi sangat berjaya walaupun ianya tidaklah kelihatan 'exclusive' dan 'grand' pada pandangan sesetengah orang!!

Bagi penulis, ketepikan unsur-unsur politik yang cuba dimasukkan atau dicucukkan oleh orang tertentu kepada SQ..tetapi ambil lah ilmunya yang masak ranum itu..ingatlah 'mujalasatul ulama' itu satu rahmat daripada Allah SWT..semoga dengan ketokohanam Maulana al-Syeikh, dua fahaman politik yang berbeza pun akan dapat disatukan jua...Wallahu a'lam...(Sila lihat site sebelah kiri 'ucapan al-Qaradawi' untuk download doa syeikh dan sedutan ucapan syeikh)
Read more >>

MUHADHARAH PERDANA..MEDAN SYEIKH AL-QARADAWI MEMPROMOSI PEMIKIRANNYA TENTANG FIQH AL-JIHAD




Sebagaimana yang dijanjikan, hari ini 19/12/09 Syeikh al-Qaradawi (SQ) telah diberi ruang seluas-luasnya untuk menyampaikan buah fikiranya. Tiada syarat, tiada apa-apa sekatan, tiada keperluan memohon tauliah!!! Dengan pangkat 'al-allamah', beliau telah menyampaikan syarahannya dengan begitu bernas sekali. Benar seperti kata peminat-peminat beliau, Allah SWT telah mengurniakan kepada beliau kelebihan dalam penulisan dan ucapan.



Ketika penulis ditanya oleh Syeikh Waleed tentang tajuk muhadharah SQ nanti, penulis katakan, tiada sebarang tajuk 'dikenakan' tetapi bebas menyentuh isu-isu umat Islam meliputi seluruh dunia kerana semua sedia maklum SQ adalah ulama yang bertaraf dunia sesuai dengan title beliau Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia. Tetapi, ucapan SQ pada hari ini adalah berkisar tentang buku terbaru karangan beliau iaitu Fiqh al-Jihad yang baru sahaja beberapa bulan diterbitkan.


Bila mendengar syarahan SQ, seakan-akan kita sedang membaca kitab karangan beliau itu. Isi-isinya disusun dengan begitu rapi dan sarat dengan hujjah dan dalil daripada al-Qur'an dan al-Hadith. Seolah-olah kitab yang setebal 1400 halaman (kalau yang dicetak oleh Maktabah Wahbah Kaherah) ini dihafal sehelai demi sehelai oleh SQ. Subhanallah, itulah kehebatan Syeikh al-'Allamah. Kitab ini dikarang oleh SQ selepas 36 tahun beliau mengarang kitab Fiqh al-Zakat sehingga membolehkan beliau menerima ijazah kedoktoran al-Azhar pd tahun 1973. Insya Allah penulis akan cuba dapatkan kitab ini secepat mungkin. Antara perkara penting yang ditekankan oleh SQ adalah keperluan 'jihad' di tengah-tengah masyarakat muslim sendiri. Menentang kemungkaran dan kezaliman yang berlaku di hadapan mata hatta yang dilakukan oleh pemerintah sekalipun. Sebagaimana sabda Rasulullah, "Sebaik-baik jihad, adalah kalimah yang haq dihadapan pemerintah yang zalim!". 

Begitulah keberanian dan ketegasan Syeikh al-Qaradawi dalam menyampaikan pandangannya berdasarkan dalil dan hujjah. Sifat-sifat 'la yakhafuna fillahi laumata la'im' jelas terpancar dalam setiap tutur kata dan tindakannya. Mungkin pengaruh beliau terhadap beberapa tokoh seperti al-Syahid Imam Hasan al-Banna dan Ibn Taimiyyah yang telah membentuk jati diri beliau yang tidak gentar kepada sesiapa kecuali ALLAH!. Semoga Allah SWT mengurniakan lebih ramai al-Qaradawi di muka bumi ini..amin..(Untuk mendengar sedutan ucapan al-Qaradawi di PICC sila lihat site sebelah kanan di bawah tajuk ucapan al-Qaradawi)
Read more >>

Sabtu, 19 Disember 2009

Al-ALLAMAH PROF. DR. YUSUF AL-QARADAWI, TOKOH MA'AL HIJRAH 1431




Alhamdulillah..segala urusan bagi menjemput Syeikh al-Qaradawi (SQ) ke Malaysia berjalan lancar. Tahun ini, seperti tahun lepas, penulis sekali lagi diberi kepercayaan oleh pengurusan tertinggi jabatan untuk menguruskan kedatangan SQ dan sekaligus menjadi Liason Officer (LO) kepada beliau. Bagi penulis ini adalah satu penghormatan besar kerana hanya dengan cara menjadi 'khadam' seperti ini kita dapat mendampingi seorang tokoh besar seperti SQ.

Bagaimanapun tahun ini, tidak seperti tahun lepas ketika penulis menguruskan kedatangan Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili dan menjadi LO beliau. Penulis berjaya menguruskan dari mula hingga akhir iaitu sehingga hari kepulangan beliau dan dapat berdampingan dengan beliau sepenuh masa selama enam hari ketika beliau berada di Malaysia. Banyak perkara dan persoalan yang dapat penulis ajukan dengan Syeikh Wahbah, ketika menjamu selera, di dalam kereta, membawa beliau bersiar-siar dan alhamdulillah sebahagiannya sempat direkod dan dijadikan simpanan peribadi penulis.

Tahun ini, penulis agak kurang bernasib baik. Semua ini adalah taqdir Allah SWT jua. Dari awal, penulis uruskan kedatangan SQ melalui komunikasi dengan setiausaha akademik beliau di Pusat Kajian Sunnah dan Sirah, Universiti Qatar iaitu Syeikh Waleed Abu al-Naja. Komunikasi ini melalui dua cara sama ada telefon terus atau emel. Perkara-perkara yang 'urgent' penulis selesaikan melalui telefon terus.

Alhamdulillah, sampai masanya SQ tiba di KLIA pada hari yang ditetapkan iaitu 16/12/09 jam 1.50 petang. Beliau tiba dengan 3 pengiring, anaknya, Muhammad, pengganti setiausaha, Mokhtar Lehmar (kerana Syeikh Waleed patah kaki di saat akhir) dan penasihat akhbar, Muhammad Sabra. Penulis sempat menyambut ketibaan beliau di Terminal C4, KLIA, Sepang pada lebih kurang pukul 1.50 petang bersama Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan dan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Bagi penulis, dapat mengucup tangan dan wajah beliau sudah mencukupi bagi mendapat keberkatan ulama besar ini.

Setelah selesai menguruskan penginapan beliau, penulis merasakan tubuh ini sudah benar-benar keletihan. Sebenarnya keletihan menahan demam yang telah masuk hari kedua. Akhirnya, keesokan hari penulis mengalah..terpaksa pergi ke klinik dan doktor mengesahkan demam penulis agak tinggi 40 darjah celsius. Nasib baik penulis memiliki sahabat-sahabat yang dapat menggantikan tempat penulis untuk mengiringi SQ ke mana sahaja beliau pergi. Nampaknya pada tahun ini penulis tidak dapat sepenuhnya menghambakan diri untuk tokoh ulama ini. Insya Allah mungkin pada masa akan datang pula. Insya Allah...
Read more >>

Ahad, 13 Disember 2009

JANGAN SAMPAI '1MALAYSIA' JADI ALASAN KESAMARATAAN RUMAH IBADAT PELBAGAI AGAMA



Gereja Koptik di Mesir. Antara fatwa kontroversi Syeikh al-Azhar (Tantawi) adalah mengharuskan seorang muslim untuk memberi sumbangan bagi membina gereja. Penduduk Kristian di Mesir tidak sampai 10 peratus tetapi jika dilihat dari segi pembangunan gereja yang besar dan mudah dilihat di tepi-tepi jalan seolah-olah mereka mewakili 50 peratus daripada penduduk Mesir. Adakah Malaysia juga ingin jadi begini?

Suasana politik yang ada sekarang kadang-kadang amat membimbangkan. Masing-masing parti politik (khususnya yang didominasi Melayu) ingin menunjukkan keprihatinan mereka terhadap bangsa dan agama lain. Di dalam Islam, soal bangsa tidak pernah menjadi perbahasan kerana Islam itu melangkaui sempadan bangsa. Tetapi bila bercakap soal agama, Islam sudahpun memiliki aturan dan hukum-hakam berkaitan yang perlu dirujuk oleh seluruh umat Islam tanpa mengira apa jua pangkat, status politik atau kedudukan mereka.

Apabila Ngar Ko Meng membangkitkan isu perbandingan rumah ibadat bukan Islam dengan masjid-masjid, yang membimbangkan penulis bukanlah ahli parlimen DAP ini dan isu yang dibangkitkan, tetapi reaksi balas segelintir umat Islam yang amat berlebih-lebihan dalam menyokong ahli DAP ini sehingga lupa status mereka sebagai penganut Islam sendiri.

Kalau bercakap dari segi undang-undang memang tiada hujah lagi kecuali menyebut kedudukan Islam yang diberi kedudukan tertinggi dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Begitu juga Perkara 12 (2) yang memberi hak kepada kerajaan untuk menggunakan wang dari Federal Consolidated Fund (Dana Persekutuan Yang Disatukan) untuk tujuan-tujuan pembangunan Islam termasuk pembinaan masjid. Penulis fikir, sesiapa pun tahu termasuk ahli parlimen DAP ini. Bagaimanapun, apabila ahli DAP ini membangkitkan isu tersebut, penulis menjangkakan ada 'undang di sebalik mi', mungkinkah isu ini sengaja dihebah untuk memancing ahli-ahli politik Islam sama ada pemerintah mahupun pembangkang untuk memberi reaksi?

Malah konsep '1Malaysia' sekali lagi dikambinghitamkan untuk memenuhi tuntutan bukan Islam di negara ini. Sedia maklum, dalam amalan ahli politik, ahli politik yang pintar adalah mereka yang paling pandai mengambil peluang atau dipanggil 'opportunist'. Sebagai seorang Islam, penulis amat bimbang sekiranya sikap 'opportunist' ahli politik bukan Islam ini sama ada di pihak pemerintah atau pembangkang dieksploitasi untuk mengambil kesempatan ke atas gagasan 1Malaysia yang dibawa oleh YAB PM sekarang.

Bagi penulis, golongan bukan Islam di negara ini sepatutnya berterima kasih kerana selama ini tuntutan mereka untuk membina rumah ibadat di negara ini hampir sahaja tidak ditolak. Malah rumah-rumah ibadat mereka yang dibina secara 'haram' cuba ditangani oleh kerajaan dengan kaedah yang sangat 'berlemah-lembut' atas dasar menjaga sensitiviti agama. Malah, terdapat ahli parlimen bukan Islam yang mengakui bahawa sememangnya kerajaan ada memberi peruntukan untuk membina rumah-rumah ibadat mereka melalui saluran terus kepada ahli-ahli parlimen tersebut.

Bagi umat Islam, penulis berharap agar mereka berhati-hati, janganlah terlampau menyokong ahli DAP tersebut atas dasar keadilan dan kesaksamaan.Penulis ingin bertanya, adakah di negara-negara bukan Islam termasuk di Singapura, Amerika dan Eropah, mereka pernah menyediakan bajet khusus untuk pembinaan masjid bagi umat Islam??? Setahu penulis masjid-masjid di negara bukan Islam dibina melalui sumbangan peribadi, korporat Islam, NGO Islam atau dana bantuan dari negara Islam. Bukan daripada bajet pemerintah!!! Penganut bukan Islam di negara ini juga perlu tahu akan hal ini.

Selain itu, para ulama Islam sejak dulu lagi telah membahaskan tentang hukum kerajaan Islam membina rumah-rumah ibadat bukan Islam. Malah, antara keputusan Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (Majma' al-Fiqh al-Islami al-Duwali) dalam persidangan kali ke-3 di Amman pada tahun 1986 telah memutuskan bahawa haram bagi seorang Islam membina dan membangunkan tempat-tempat ibadat orang kafir atau terlibat bagi tujuan tersebut dari segi kewangan atau perbuatan

Hakikatnya, dalam fiqh Islam, membina rumah-rumah ibadat bukan Islam dalam sebuah kerajaan Islam adalah perkara yang amat sensitif dan perlu diberi perhatian oleh kerajaan Islam. Baik dan buruk serta kesan terhadap umat Islam perlu dikaji dengan seteliti mungkin. Hanya pandangan mazhab Hanafi yang membenarkan pembinaan rumah ibadat di dalam negara Islam sebaliknya majoriti fuqaha' termasuk Malikiyyah, Hanabilah, jumhur Syafi'iyyah, Abu Yusuf dan Muhammad al-Syaibani mengharamkannya. Dr. Yusuf al-Qaradawi adalah antara ulama yang membenarkannya namun beliau sempat memberi nasihat kepada pemerintah Qatar supaya berhati-hatilah menggunakan prinsip 'siyasah syar'yyah' tersebut dan walau apa pun berpegang kepada pandangan ulama yang majoriti itu lebih selamat...Wallahu a'lam.
Read more >>

Rabu, 9 Disember 2009

TARIAN CUTI-CUTI 1MALAYSIA : BERHATI-HATILAH WAHAI MUSLIM


Penulis agak resah apabila menonton di kaca televisyen beberapa sedutan Tarian Cuti-cuti 1Malaysia baru-baru ini. Rupa-rupanya ia adalah pelancaran tarian tersebut oleh isteri YAB Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansur di Dataran Merdeka. Tarian ini anjuran Kementerian Pelancongan di bawah Datuk Seri Ng Yen Yen. Pada dasarnya penulis amat bersetuju usaha untuk memelihara kebudayaan bangsa-bangsa yang wujud di negara ini di samping untuk menyemai benih-benih perpaduan sebagai rakyat yang tinggal dalam sebuah negara yang sama. Bagaimanapun, penulis kurang bersetuju jika ia dijadikan alasan untuk mengujudkan sinkretisme (syncretism) dalam budaya atau asimilasi budaya. Lebih-lebih lagi budaya Melayu yang penulis rasakan ia lahir dari sulbi agama Islam dan punya pantang larang sendiri yang tak boleh dicampuraduk mahupun diubahsuai ataupun diganggu gugat. Jika tidak Melayu itu akan hilang identitinya dengan terhakisnya aqidah dan syariah yang menjadi tunjang ke'bangsa'an Melayu itu.

Salah satu tarian yang dicampuradukkan dalam Tarian Cuti-cuti 1Malaysia adalah tarian klasik India bernama Paattu Paada Vaa. Antara gerakan yang dilakukan dalam tarian ini jelas menunjukkan terdapat unsur-unsur peribadatan agama Hindu sebagaimana gambar di bawah.


Jika kita mengkaji sejarah tarian-tarian klasik India, kita akan dapati ia adalah 'one way to God-experience' menurut masyarakat India Hindu. Seperti kata-kata Swami Omkarananda tentang tarian klasik India:

It was not a dance as such, it was an Adoration of God. Through the movements of her body she worshipped God. It has cosmic dimension. It affects the nature. The society profited, the nature profited, the whole cosmos profited. God is the aim of this dance.


“‘Rock and Roll’ does not give you happiness. It does not make you a Saint.

“This dance is an education in itself. It makes you happy. The rhythms of the Infinite are expressing themselves in this dance. If you want to see the real Bharatanatyam, go to Madras. There you will see, what this dance really is. But the soul of it lies in the hands of the Divine. Be a great devotee of the Divine and you will know all the secrets of this dance, all its metaphysics."

Oleh itu, berhati-hatilah wahai muslim...semoga Allah SWT menghindari kita daripada perbuatan syirik sama ada yang kita sedari mahupun yang tidak disedari. Wallahu a'lam.
Read more >>

Selasa, 8 Disember 2009

PROJEK SENTUH (SEKSUALITI DAN TUBUH) TAJAAN SISTERS IN ISLAM


Nampaknya SIS terus menerus mencabar kedudukan mereka DALAM agama Islam. Mereka sebenarnya bukan mencabar institusi agama atau pihak berkuasa agama tetapi mencabar aqidah yang ada dalam diri mereka sendiri. Mereka menamakan diri sendiri sebagai Sisters In Islam maknanya Wanita Dalam Islam tetapi nampaknya perjuangan mereka langsung tak selari dengan seruan Islam. Adakah SIS mau tukar jadi Sister Out of Islam. Itu SIS kena jawab sendiri.


Terbaru, SIS dan pertubuhan-pertubuhan wanita liberal yang lain telah menganjurkan satu kempen dinamakan Projek Sentuh (Seksuliti dan Tubuh) sebagai respon kepada apa yang dikatakan sebagai pelanggaran hak asasi manusia kepada pihak-pihak tertentu ke atas tubuh badan mereka sendiri. Lelaki nak jadi wanita, wanita nak jadi lelaki, perempuan keras ke, lelaki lembut ke, lelaki nak kawin lelaki ke, perempuan nak kawin perempuan ke..itu semua hak asasi!! Kalau berdosa pun, mereka kata 'that is their personal sin'...kubur lain-lain, dosa masing-masing tanggung..Subhanallah..beginilah jadinya bila perjuangan Hak Asasi Manusia dah jadi kalimah wahyu yang tak boleh dipertikai dan ditegur..

Apapun, penulis ingin sekali mendengar komen SIS berkenaan hadith-hadith Rasulullah SAW yang menegah daripada perbuatan serupa menyerupa lelaki perempuan ni. Antaranya hadith riwayat al-Bukhari:

 عن إبن عباس رضي الله عنهما قال : لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم المخنثين من الرجال والمترجلات من النساء

Maksudnya: “Daripada Ibn Abbas r.a berkata: Rasulullah SAW melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita”.  

Begitu juga hadith riwayat Abu Daud berbunyi:

عن أبي هريرة رضى الله عنه قال: لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم الرجل يلبس لبسة المرأة والمرأة تلبس لبسة الرجل

Maksudnya: “Daripada Abi Hurairah r.a. dia berkata: Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki”.

Adakah SIS juga ingin mengatakan Rasulullah SAW juga adalah pengacau hak asasi tubuh badan seseorang? Harap SIS dan rakan-rakan yang sewaktu dengannya dapat menjawab.



Read more >>

Sabtu, 5 Disember 2009

HIZBUT TAHRIR HARAM BTN???


Penulis langsung tidak terkejut apabila keluar fatwa Hizbut Tahrir Malaysia yang mengharamkan BTN. Hakikatnya isu BTN bukan isu besar kerana ia hanya sekadar satu alat. Lihatlah siapa yang menggunakannya. Jika kandungannya baik dan digunakan untuk tujuan yang baik maka ia akan jadi baik tetapi jika sebaliknya, inilah yang terjadi. Tapi itu bukan perbincangannya di sini.


Apa yang ingin disentuh penulis ialah soal doktrin Hizbut Tahrir itu sendiri. Kumpulan ini memang terkenal dengan perjuangan mereka menegakkan khilafah Islam di dunia. Setiap muslim yang memahami Islam dengan baik, sudah tentu tidak akan membantah sesiapa jua yang ingin menegakkan khilafah Islam di dunia ini. Malah kewujudan gerakan-gerakan Islam yang banyak menunjukkan betapa wujudnya segolongan umat yang masih komited bagi meneruskan perjuangan mengembalikan Islam sebagai 'kuasa dunia'.


Bagaimanapun, perjuangan menegakkan khilafah tidak boleh dijadikan alasan untuk mengkafirkan pemimpin Islam dan seluruh umat Islam termasuk ulama, mufti dan sesiapa sahaja yang dituduh sebagai terlibat dengan sistem kuffar. Malah parti-parti politik Islam yang terlibat dengan sistem demokrasi seperti menyertai pilihanraya dan menjadi ahli parlimen juga dianggap kafir kerana telah meredhai sistem kuffar. Sesiapa yang mengkaji sejarah Hizbut Tahrir sudah tentu mengetahui bahawa antara punca pengasasnya keluar daripada Ikhwan Muslimin dan menubuhkan Hizbut Tahrir adalah disebabkan beliau tidak bersetuju dengan pendekatan Ikhwan yg menerima sistem politik demokrasi selagi mana matlamat menegakkan syariat Islam boleh dicapai.


Lihat sahaja antara-kenyataan-kenyataan di dalam buku 'Islam, dakwah dan politik, Pustaka Thariqatul Izzah,2002' yang menjadi panduan usrah anggota Hizbut Tahrir:-


“Mari kita perhatikan penguasa-penguasa negeri Islam di antaranya adalah Jordan. Apakah mereka meninggalkan hukum-hukum syara’ yang qat’iy kemudian mereka membuat hukum-hukum lain dari Barat atau Timur? Ya. Apakah mereka mengakui bahawa mereka meninggalkan hukum-hukum syara’ kemudian membuat yang lain berdasarkan keinginan mereka dan disertai sikap qana’ah (rasa menerima)? Ya. Maka mereka adalah kafir, dan tidak perlu ada kenyataan lain lagi. Hanya saja mungkin segelintir dari mereka bisa terhindar dari kekufuran, tetapi tidak dapat terhindar dari kefasikan dan kemaksiatan”. (hal. 91)


Sekarang cuba perhatikan anggota-anggota parlimen yang mereka sebut dengan dewan legislatif. Mereka telah mengadopsi perundangan-perundangan dan hukum-hukum yang jelas bertentangan dengan nas-nas Islam yang qat’iy, baik sumber mahupun penunjukkan maknanya. Mereka nyata-nyata mengadopsi kekufuran yang riil. Maka, setiap anggota parlimen yang mengeksposenya dengan bangga dan rida, serta mendorong pengambilan hukum dan perundangan-perundangan kufur, bererti jelas dia telah kafir”. (hal. 91)


Dan lagi...


"Apabila orang alim yang paling taqarrub ini mendorong secara langsung lahirnya perundangan-perundangan yang bertentangan dengan nas syara’ yang qat’iy baik sumber mahupun penunjukkan maknanya dan turut menghiasinya agar bisa diberlakukan. Maka orang alim (yang sebenarnya bodoh) adalah kafir, tanpa ragu-ragu sedikitpun. Sekalipun dia menjalankan puasa, salat, haji dan zakat, serta disangka (sebagai) seorang muslim. Dia adalah kafir-munafiq”.(hal.99)


Dan lagi...


Dari sini jelas bahawa majoriti penguasa kaum muslimin saat ini bukan lagi berbuat maksiat ataupun fasik sahaja. Mereka adalah kafir yang jelas-jelas kekufurannya. Yang telah mengeluarkan mereka dari agama Islam. Jelas pula bahawa tinta dan lidah yang berusaha membersihkan para penguasa berserta sistem kufur yang mereka jalankan adalah tinta dan lidah yang dimiliki orang-orang munafiq dan kufur. Kekufuran mereka sangat nyata. Yang mengeluarkan mereka dari agama Islam. Jelas pula bahawa orang yang menerima para penguasa dan rela dengan sistem kufur yang mereka pratikkan adalah kafir. Kekufurannya jelas, telah mengeluarkan dirinya dari agama Islam” . (hal.99)


Bahkan mesti perangi pemerintah itu...


“Jadi dalam keadaan apapun berhukum dengan selain yang diturunkan Allah merupakan kekufuran yang amat jelas. Mafhum hadis tersebut (ala tuqatilhum ya rasulallah qala la ma sallu-ahmad) (qila ya rasulullah afala nunabizuhum bissaif faqala la ma aqamu fikum al-salat-malik) adalah agar mengambil alih kekuasaan dan memerangi dengan pedang terhadap orang yang melakukannya. Dalil-dalil ini menunjukkan bahawa Islam memerintah untuk memerangi orang yang menerapkan (sistem) hukum selain Islam. Iaitu perintah memerangi penguasa tatkala jelas-jelas nampak kekufurannya. Termasuk dalam hal ini perintah memerangi para pemimpin yang tidak menegakkan salat, iaitu mereka yang tidak menerapkan (sistem) hukum berdasarkan apa yang diturunkan Allah. (hal. 117)
Angkat senjata dan bunuh pemimpin!!!


"Tidak hanya itu, syara’ bahkan melarang berhukum kepada selain yang diturunkan Allah, dengan larangan yang bersifat pasti. Itupun belum cukup, syara’ juga memerintah kaum muslimin untuk memerangi para penguasa, apabila mereka berhukum dengan selain syara’. Iaitu dengan mengangkat senjata di hadapan mereka ingat mereka kembali kepada hukum syara’". (hal. 117)


Pandangan Hizbut Tahrir yang mengkafirkan pemerintah Islam serta mereka yang dituduh terlibat dengan sistem kufur dengan alasan meninggalkan sistem/perundangan Islam adalah menyalahi ijma’ para ulama. Dalam hal ini Imam Nawawi menyebut dalam Syarah Sahih Muslim:

وَأَجْمَعَ أَهْل السُّنَّة أَنَّهُ لَا يَنْعَزِل السُّلْطَان بِالْفِسْقِ ، وَأَمَّا الْوَجْه الْمَذْكُور فِي كُتُب الْفِقْه لِبَعْضِ أَصْحَابنَا أَنَّهُ يَنْعَزِل ، وَحُكِيَ عَنْ الْمُعْتَزِلَة أَيْضًا ، فَغَلَط مِنْ قَائِله ، مُخَالِف لِلْإِجْمَاعِ .قَالَ الْعُلَمَاء : وَسَبَب عَدَم اِنْعِزَاله وَتَحْرِيم الْخُرُوج عَلَيْهِ مَا يَتَرَتَّب عَلَى ذَلِكَ مِنْ الْفِتَن ، وَإِرَاقَة الدِّمَاء ، وَفَسَاد ذَات الْبَيْن ، فَتَكُون الْمَفْسَدَة فِي عَزْله أَكْثَر مِنْهَا فِي بَقَائِهِ


Maksudnya: "Dan Ahli Sunnah telah sepakat (ijma') bahawa pemerintah tidak boleh dilucutkan dengan kefasiqan/kemaksiatan, adapun pendapat yang termaktub di dalam kitab-kitab fiqh daripada sesetengah sahabat kita bahawa ia dilucutkan, dan diriwayatkan juga daripada Mu'tazilah, ia adalah kesilapan daripada orang tersebut, malah menyanggahi kesepakatan ulama' (ijma'). Para ulama' berkata: Sebab tidak dibolehkan pelucutan dan haram menentang mereka adalah kerana menyebabkan timbulnya fitnah-fitnah, terjadinya pertumpahan darah, rosaknya hubungan persaudaraan, oleh itu, keburukan menggulingkannya lebih banyak daripada membiarkannya".



Lebih merugikan lagi..Hizbut Tahrir juga mengajak supaya ahli-ahli tidak terlibat dalam sebarang aktivit ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan dan sosial di sebuah negara yang berhukum dengan sistem kufur atas alasan itu boleh membantu kerajaan tersebut untuk terus kekal memerintah dengan penambahbaikan yang dilakukan. Sebaliknya, apa yang perlu dilakukan adalah menjatuhkan pemimpin kerajaan tersebut supaya mereka dapat digantikan dengan golongan yang dapat menukarkan sistem kufur kepada sistem Islam. Ini berdasarkan kenyataan yang diajar oleh pengasasnya dalam bukunya 'Manhaj Hizbut Tahrir fi al-Taghyir'.

Penulis ingin mengingatkan kepada pengikut-pengikut Hizbut Tahrir di Malaysia supaya menguasai Bahasa Arab dan membaca buku-buku karangan pengasasnya dalam bahasa asal. Bukan sekadar ikut-ikut dan semangat membabi buta tanpa memahami konsep perjuangan mereka. Mereka juga perlu membaca sejarah mengapa al-Nabhani keluar daripada Ikhwan dan bagaimana tokoh-tokoh di dalam Ikhwan pernah menasihatkan mereka supaya kembali kepada jamaah Ikhwan antaranya, al-Marhum al-Syahid Sayyid Qutb dll. Fikir-fikirkan juga apa sebenarnya kaedah yang ingin digunakan oleh Hizbut Tahrir untuk menegakkan 'khilafah' jika sistem politik berasaskan demokrasi yang ada sekarang dianggap kufur dan menggunakannya dianggap kafir? Perang? Revolusi? Inqilab? Guling? Jika sekadar tatsqif dan tarbiah..bukankah dalam jemaah-jemaah Islam lain juga wujud? Silakan dijawab oleh ahli-ahli Hizbut Tahrir... 

Sekadar itu dulu...wassalam...





Read more >>

Jumaat, 4 Disember 2009

HUKUM DOA LAKNAT KE ATAS ORANG MUSLIM YANG FASIQ @ AHLI MAKSIAT

Penulis bukan bermaksud untuk respon kepada isu yang berlaku di Kelantan baru-baru ini, tetapi apabila isu tersebut berlaku, ramai yang bertanya tentang hukum melaknat orang Islam yang fasiq, zalim, ahli maksiat dan yang sewaktu dengannya.




Pertama sekali kita perlu memahami makna laknat, menurut Imam al-Qurtubi, laknat bermaksud jauh daripada rahmat Allah SWT dan ganjarannya malah membawanya ke neraka. (Lihat: al-Mufhim lima Asykala min Talkhis Sahih Muslim, j.6, hal. 579) Menurut Ibn ‘Abidin yang menukilkan daripada al-Quhustani, dari segi syara’ jika laknat itu ditujukan kepada orang kafir ia bermakna jauh daripada rahmat Allah SWT tetapi jika ditujukan kepada orang Islam ia bermaksud menggugurkannya daripada darjat orang-orang yang baik. (Hasyiyah Ibn ‘Abidin, j.3, hal. 416)



Berbalik kepada persoalan laknat terhadap orang Islam yang fasiq dan ahli maksiat, jika ia bersifat umum tiada sebarang perbezaan pendapat di kalangan para ulama berdasarkan hadith-hadith yang banyak bagaimana Rasulullah SAW melaknat pemberi dan penerima rasuah, pencuri, peminum arak, pemakan riba, penyambung rambut dengan rambut palsu dll. Hadith-hadith ini tentulah tidak ditujukan kepada orang kafir kerana mereka bukanlah mukallaf yang dipertanggungjawabkan dengan hukum-hukum taklif yang lima (wajib, haram, sunat dll)



Apa yang menjadi perselisihan pendapat di kalangan ulama ialah, adakah harus mendoakan laknat secara khusus kepada orang Islam fasiq @ ahli maksiat tertentu? Di sini penulis lebih cenderung kepada apa yang disebut oleh pengarang Hasyiyah kepada Nihayatul Muhtaj, katanya, “Adapun melaknat orang kafir atau orang Islam yang fasiq secara khusus, jika dilihat kepada zahir hadith ianya harus, namun al-Ghazali merujuknya sebagai haram, kecuali seseorang yang diketahui bahawa dia akan mati dalam kekufuran…). Kesimpulannya tiada sesiapa dapat menentukan seseorang yang ahli maksiat itu akan meninggal dunia dalam keadaan kemaksiatannya atau nanti akan diberi hidayah dan meninggal dalam keadaan bertaubat kepada Allah SWT.



Oleh itu, penulis lebih cenderung kepada pandangan yang tidak membenarkan doa laknat secara khusus kepada mana-mana orang Islam yang fasiq @ ahli maksiat. Apatah lagi sekiranya kefasiqannya itu tersembunyai dan tidak dapat disahkan dengan bukti yang benar dan nyata. Rasulullah SAW sendiri menyebut dalam hadithnya, diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a, ia berkata, "Rasulullah SAW pernah bersabda, 'Bukanlah seorang mukmin, yang suka mencela, suka melaknat, keji, lagi suka berkata kotor'," (Sahih, riwayat at-Tirmizi). Wallahu a’lam.


Read more >>

Khamis, 3 Disember 2009

PERIHAL TUN MAHATHIR MOHAMAD

Penulis bukanlah peminat no. 1 Tun tetapi sekadar berminat mengetahui tentang perkembangan semasa pemikiran Tun. Cara berfikirnya 'smart' dan suka menggunakan kaedah 'literal thinking' berbanding 'critical thinking' yg kadang-kadang menyebabkan cerita mudah jadi susah. Apa pun penulis tidak nafikan, 'sound bites' terbaru Tun amat menyentuh benak penulis. Tun memang still konsisten dalam memperjuangkan isu al-Aqsa dan Palestin. Arab kata 'sound bites' tu maknanya 'ta'liqat qasirah' tp walaupun komennya ringkas tapi amat sinis terhadap laporan media Malaysia yg bagaikan hanya pandai menceduk dari media Barat sehinggakan apa yg sebenarnya berlaku di Palestin tidak sampai ke pengetahuan umat Islam di Malaysia.

Tapi, bila Tun mula bercakap isu agama, itu yang menyebabkan penulis berasa kurang selesa. Terbaru, bila Tun menjadi antara penyokong terhadap perjuangan Dr. Asri. Lebih-lebih lagi bila Tun menulis pula tentang isu 'hukum Allah'. Kata Tun, betul ke semuanya itu hukum Allah? Mungkin soalan Tun ada persamaannya dengan perjuangan Dr. Asri yang mengajak kepada tajdid supaya umat Islam merujuk kepada nas bukan kepada mazhab yg kadang-kadang boleh memandulkan pemikiran. Sekilas pandang memang ada persamaannya pemikiran Tun dgn Dr. Asri.

Penulis teringat, dua tahun lepas ketika di Indonesia, penulis ada membeli buku bertajuk 'Islam Madzhab Tengah' diedit oleh Hery Sucipto. Buku ini ibarat sebuah jurnal yang mengumpulkan artikel-artikel pemikir Islam yang dikatakan berfahaman moderat dan sederhana. Antaranya termasuklah Tun. Tajuk tulisan Tun ialah 'Menjadi Muslim Fundamentalis'.


Apabila membaca artikel Tun, penulis dapat memahami bahawa memang Tun adalah pejuang al-Qur'an dan al-Sunnah tulin. Kata Tun, Islam menjadi pecah belah dari dulu hingga sekarang kerana berpunca daripada pelbagai tafsiran sehingga melahirkan banyak mazhab seperti Sunni, Syiah, Wahabi dll. Itu sebab Tun menyeru supaya kita kembali kepada 'AJARAN ASAL ISLAM TERUTAMANYA KEPADA AL-QUR'AN' kerana al-Qur'an itu tidak seperti hadith, al-Qur'an itu satu dan tidak berbeza-beza.


Begitulah pemikiran Tun apabila beliau bercakap soal agama. Malah slogan Tun untuk mengajak kembali kepada al-Qur'an & al-Sunnah itu juga sama dengan slogan yg dibawa oleh Dr. Asri. Persoalannya, samakah pemikiran kedua-dua tokoh ini? Wallahu a'lam...
Read more >>

Selasa, 1 Disember 2009

ANTARA REFORMASI ISLAM LIBERAL DAN TAJDID BEKAS MUFTI PERLIS


Artikel pernah diterbitkan oleh penulis di dalam laman blog Pemikir Islam, bagaimanapun kerana isu ini kembali menjadi panas semula, penulis siarkan di sini, kritikan penulis terhadap Dr. Mohd Asri Zainul Abidin ketika beliau menjadi Mufti Perlis...terserah kepada pembaca untuk menilai kritikan ini...

Salah satu buku bacaan penting pengikut Islam Liberal ialah buku Charles Kurzman berjudul Wacana Islam Liberal: Pemikiran Islam Kontemporari Tentang Isu-isu Global. Dalam buku tersebut Kurzman ada menyenaraikan nama-nama tokoh Islam Liberal termasuk tokoh reformis Islam seperti Muhammad Abduh, Yusof al-Qaradawi, Muhammad Natsir dan lain-lain. Walaupun pada hakikatnya mereka bukanlah pejuang Islam Liberal tetapi apa yang menjadi concern kepada Kurzman adalah, pemikiran-pemikiran mereka itu dianggap dapat mendokong gagasan Islam Liberal.


Hal ini seakan-akan mahu terjadi juga kepada Bekas Mufti Perlis (BMP). Barangkali sekiranya Kurzman mengedit karyanya untuk edisi akan datang, nama BMP pasti tercatat sebagai salah seorang daripada tokoh Islam Liberal itu. Walaupun BMP sebenarnya tidaklah sehebat al-Qaradawi atau Muhammad Natsir dalam membawa wajah Islam yang baru dan global, sebaliknya BMP pada pandangan penulis hanyalah seorang pejuang reformasi tradisional tempatan sahaja.

Tanggapan penulis bukanlah kerana penulis mahu mengkategorikan BMP ke dalam kelompok liberal tetapi cara pembawaan seseorang itu kadang-kadang dilihat sama, sekalipun tujuannya berbeza. Itu sebab diawal kemunculan BMP sebagai mufti, kumpulan terawal membuat sokongan terbuka terhadap beliau adalah Sisters In Islam. Antaranya, apa yang disebut Zainah dalam artikelnya bertajuk A refreshing chorus of voices’ di akhbar New Straits Times bertarikh 12 Januari 2007. Zainah menganggap kemunculan BMP sebagai kebangkitan semula suara-suara keadilan, kebebasan, rasional dan hak. Ia dilihat sebagai satu yang amat menguntungkan menjelang 50 tahun kemerdekaan Malaysia.

Zainah mengimbas semula hujjah BMP yang mengatakan keperluan mengkaji semula pegangan-pegangan agama yang dibawa oleh golongan konservatif sebelum ini. Seseorang ulama itu walaupun seorang yang popular, ini tidak bermakna mereka itu maksum. Mereka boleh dikritik dan pandangan mereka boleh disemak semula. Perlakuan ulama yang masih bergantung kepada teks berusia ratusan dulu, sebenarnya tidak mampu menjawab segala persoalan semasa yang wujud pada hari ini.

Menurut Zainah lagi, ketika ini BMP diharap bakal menjawab pelbagai isu yang timbul pada tahun lalu, iaitu meliputi isu polisi moral, murtad, kongsi raya, diskriminasi wanita dan injil Melayu. BMP dinilai sebagai seseorang yang berpegang kepada keadilan, kebebasan, pejuang hak asasi dan kepelbagaian kepercayaan serta agama berdasarkan kefahamannya tentang Islam.

Zainah mengatakan sudah sekian lama kumpulan hak asasi dan wanita di Negara ini cuba mengetengahkan pendirian yang sama tetapi dituduh dengan anti-Islam, anti-Tuhan dan anti-Syariah. Tetapi untuk menuduh seorang mufti dengan sifat-sifat sedemikian adalah agak sukar.

Zainah juga mengatakan ramai di kalangan masyarakat sivil di Negara ini merasa cemburu dengan suasana yang terdapat di Indonesia, apabila ramai di kalangan para pemikir Islam mereka seperti Gus Dur, Nurcholis Majid, Prof. Azyumardi Azra, Rektor Universiti Islam Jakarta dan Prof. Amin Abdullah, Rektor Universiti Islam di Jogjakarta, bukan sahaja memimpin bahkan disediakan ruang dan perlindungan untuk perkembangan Islam yang progresif dan inklusif.

Zainah juga memaklumkan bagaimana sepupu rakan beliau, selepas membaca satu wawancara dengan BMP, telah mengambil keputusan bahawa sememangnya tidak ada hukuman bunuh untuk murtad sebagaimana yang dipercayainya sebelum ini. Oleh itu sekiranya seseorang itu berpegang kepada adanya hukuman bunuh untuk yang murtad, hudud, Negara Islam dan undang-undang Syariah, maka seorang yang lain pula hendaklah diberi kebebasan untuk berpandangan sebaliknya walaupun dia bukan merupakan golongan berpendidikan agama. Ini kerana seorang yang bergelar Syeikh Azhar sekalipun, beliau sebenarnya tidak boleh kebal daripada diserang atau dikritik oleh mana-mana individu lain.

Demikianlah kuatnya sokongan Zainah terhadap BMP di atas usaha tajdid yang cuba dilakukan oleh BMP. Persoalannya apakah agaknya parameter yang digunakan oleh Zainah sehingga BMP dinobatkan sebagai idola pemuda masakini!!!

Jika kita berbalik kepada teori ciptaan Kurzman, beliau memahami liberalisme Islam melalui ruang yang amat luas. Baginya adalah common sense bahawa setiap orang memiliki tekanan liberaliti yang berbeza dalam menyuarakan gagasan-gagasan pemikirannya. Yang terpenting adalah pemikiran-pemikiran mereka dapat memenuhi standard liberalisme Islam yang boleh diukur berdasarkan enam state of mind, iaitu sikap terhadap teokrasi, demokrasi, hak wanita, hak non-muslim, kebebasan berfikir dan berfikiran progresif.

Berdasarkan kriteria itu, sesiapa saja boleh dimasukkan ke dalam barisan Islam Liberal seandainya mereka memiliki state of mind yang jelas terhadap enam kriteria di atas. Nampaknya kelantangan dan kemunculan BMP secara mendadak dalam memperjuangkan isu-isu di atas telah memberi ’point’ yang banyak untuk dimahkotakan sebagai salah seorang pejuang liberalisme Islam. Lebih-lebih lagi bila BMP juga turut mempersoalkan slogan ’negara Islam-hudud PAS’. Ini seolah-olah menggambarkan BMP menolak konsep Islam politik. Sekaligus memberikannya markah liberalisme yang lebih tinggi kerana Islam Liberal teramat memusuhi konsep ’negara agama’ (teokrasi pada anggapan mereka).

Itu punca utama mengapa BMP dikatakan selari dan sekata dengan perjuangan Islam Liberal. Kedua, BMP secara terang-terangan mengisytiharkan peperangannya dengan golongan konservatif yang ada di negara ini. Jabatan-jabatan agama dengan seluruh ahli dan pengisiannya dianggap konservatif. BMP mengecam mereka dengan bahasa-bahasa yang berbau perlecehan, perlekehan, sindiran dan kadang-kadang sesuai digunakan untuk orang-orang bodoh seperti berakal lemah dan sebagainya. Gelaran yang biasa digunakan oleh BMP untuk golongan ini adalah konservatif. Seakan-akan inilah musuh utama BMP dalam perjuangan tajdid beliau.

Jika begitu, maka musuh BMP adalah benar-benar sama dengan musuh puak Islam Liberal. Kata Lutfi Assyaukani, dia melihat dua “musuh” utama Islam Liberal. Pertama, konservatisme yang merupakan musuh dalam sejarah yang telah ada sejak gerakan liberalisme Islam pertama kali muncul. Kedua, fundamentalisme yang muncul akibat pergeseran Islam dan politik setelah negara-negara muslim meraih kemerdekaannya.

Bagi puak liberal, konservatisme telah lama dianggap sebagai “ideologi” yang bertanggungjawab terhadap kemunduran dan keterbelakangan kaum muslim. Pandangan-pandangan konservatif selalu dianggap berbahaya kerana ia bertentangan dengan semangat pembaharuan dan kemajuan. Sejak gerakan kebangkitan Islam muncul di Mesir pada awal abad ke-19, konservatisme menjadi target utama para pembaharu muslim. Tokoh-tokoh seperti Rifa’at Rafi’ al-Thahtawi dan Ali Abd al-Raziq, baik secara radikal mahupun perlahan-lahan telah berusaha mengikis ajaran-ajaran konservatif. Begitu juga, tokoh-tokoh dari generasi selanjutnya, termasuk generasi pasca-67, seperti Hassan Hanafi di Mesir, Tayyib Tizzini di Syria, dan Mohammad Abid al-Jabiri di Maroko, mengisytiharkan perang yang sama terhadap konservatisme.

Pada hari ini pula, institusi yang mempertahankan Islam di Indonesia seperti Majelis Ulama Indonesia (MUI) telah dianggap sebagai pendokong kuat konservatisme oleh puak liberalisme Islam. Lihat sahaja, ketika fatwa MUI pada 2005 berkenaan pengharaman aliran pluralisme, liberalisme dan sekularisme dikeluarkan, puak-puak liberal tanpa segan silu telah mempertikai dan menolak fatwa tersebut secara mentah-mentah. Malah fatwa tersebut telah dipermain-mainkan sehingga ia menjadi bahan seminar dan buah mulut masyarakat awam yang akhirnya meragui kredibiliti institusi agama seperti MUI. Itulah bahana dan bahayanya tuduhan konservatisme apabila dilontarkan kepada ahli dan institusi agama.

Sekali lagi penulis tegaskan, penulis tidak bermaksud ingin memasukkan BMP sebagai pendokong Islam Liberal, tetapi dengan gaya dan cara yang ditampilkan oleh BMP penulis berkeyakinan tinggi aliran humanisme sekular yang memberi penekanan kepada kerasionalan, penolakan terhadap agama, dan kebebasan individu akan semakin kuat bertapak di negara ini. Bahkan perjuangan mereka untuk menolak autoriti agama dalam kehidupan individu akan semakin subur. Penolakan autoriti agama ini amat signifikan bagi mereka agar menjamin kebebasan berpendapat atau ijtihad yang dapat disesuai dengan matlmat liberalisasi Islam.

Tren seperti ini sebenarnya telah wujud di Malaysia seperti penulisan-penulisan berbau penghinaan terhadap golongan agama serta institusi agama. Kewujudan kumpulan-kumpulan hak asasi manusia dan sebagainya.

Apa yang menyedihkan penulis, tajdid yang dibawa oleh BMP langsung tidak membezakan antara liberal dan Islam. Adakah apabila menjadi seorang Salafi, maka peperangan hanya ditujukan kepada puak konservatif semata-mata. Adakah BMP sengaja mewajibkan dirinya untuk menjadi seperi Za’ba, Hamka, Hassan Bandung, Abu Bakar Asya’ari untuk berdakwah pada zaman ini. Tidak bolehkah BMP bercakap dengan gaya zamannya sekarang?

Sedarkah BMP, di era manakah kita berada sekarang. BMP bukan bercakap dalam era sebelum merdeka atau pascamerdeka tetapi era globalisasi. Era kitab-kitab kuning sudah kurang ditelaah, tetapi kitab-kitab baru telah diberi ruang. Era ulama sudah berpadu dengan saintis dalam memutuskan keputusan. Era para huffaz telah menjadi professional. Era ulama sudah beramah-mesra dengan para wartawan, artis, karyawan dan pelbagai lagi. Adakah BMP sedar atau tidak sedar perkara ini. Jangan hanya tahu mengkritik tetapi faktanya tiada.

BMP sering menempatkan dirinya seolah-olah berada pada zaman sebelum merdeka. Ulama pada ketika itu amat konservatif dan ta’assub dengan pegangan mazhabnya. Tetapi benarkah ia masih berlaku pada hari ini? Atau pemikiran BMP yang ketinggalan zaman. Lihat sahaja betapa keputusan-keputusan fatwa pada hari ini yang tidak terikat hanya kepada satu mazhab, dalam soal mu’amalat, perbankan Syariah, perundangan dan kehakiman, isu-isu kontemporari dan sebagainya, kita menerima untuk merujuk kepada sesiapa sahaja termasuk pandangan daripada ulama Su’udi sekalipun. Apa yang penting hujjah dan fakta serta kesesuaiannya dengan prinsip Siyasah Syar’iyyah.

Akhirnya, penulis ingin menyimpulkan sekali lagi, tajdid yang ingin dibawa oleh BMP ini, hakikatnya adalah setakat reformasi tradisional tempatan semata-mata. Tiada sedikitpun agenda besar buat masa depan umat Islam.

Read more >>

SALAM ‘ONE MALAYSIA’ PENGGANTI SALAM?




Penulis agak tersentak apabila diajukan satu persoalan oleh Haji Mail tentang hal ini. Haji Mail bukanlah seorang ustaz atau lulusan pengajian Islam. Beliau hanyalah seorang bekas Pengurus Felda, namun kini menghambakan dirinya sepenuh masa mengimarahkan masjid di kampung penulis. Beliau melahirkan rasa kebimbangannya terhadap fenomena pihak media yang semakin gemar menyampaikan ‘salam satu Malaysia’ berbanding menyampaikan salam sebenar menurut Islam. Katanya, beliau tak akan teragak-agak untuk mengadu hal ini kepada Ketua Pengarah JAKIM. Penulis hanya menjawab, “Silakan tuan haji…”.



Sebenarnya, penulis sendiri tidak pasti adakah benar dakwaan Haji Mail bahawa pihak media termasuk pembaca berita RTM tidak lagi memberi salam Islam, sebaliknya hanya mengungkapkan ‘salam satu Malaysia’ setiap kali memulakan berita dan mengakhirinya. Penulis masih belum berkesempatan untuk meneliti hal tersebut, mungkin pembaca di luar sana boleh memberi maklum balas. Tetapi jika benar dakwaan itu, ini sudah tentu bertentangan dengan syiar yang ingin dibawa oleh al-Qur’an dan al-Sunnah supaya menyebarkan salam iaitu sekurang-kurangnya, “al-Salamu ‘alaikum”. Jika ungkapan ini dibaca bersama seperti, “al-Salamu ‘alaikum” dan “salam satu Malaysia”..penulis fikir ia tiada masalah, namun jika hanya menyebut “salam satu Malaysia” tanpa memberi salam yang sebenar, ini bakal membunuh syiar Islam itu sendiri!


Dalam Islam, ucapan salam adalah satu syiar khusus untuk menunjukkan persaudaraan yang jitu sesama umat Islam. Ia bagi menggantikan ucapan-ucapan yang pernah digunakan oleh masyarakat Arab sebelum itu. Selain itu ucapan salam juga menjadi isyarat untuk meminta izin memasuki rumah orang lain, pendahuluan ucapan dan sebagai rukun bagi mengakhiri solat. Malah, salam adalah ucapan sesama ahli syurga di akhirat nanti. Oleh itu, ia adalah satu syiar yang memiliki signifikan tertentu dalam agama Islam dan bukan sesuatu yang boleh diremeh-remehkan.


Dalam hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW telah memerintahkan kita untuk melakukan tujuh perkara, antaranya ialah menyebarkan salam. Ini menunjukkan ‘salam’ bukanlah sesuatu yang boleh diringan-ringankan tetapi ia termasuk suatu perintah. Bagaimanapun hukum memulakan salam menurut jumhur adalah sunat, berbeza dengan mazhab Hanafi yang mengatakan ia wajib. Adapun menjawab salam hukumnya adalah wajib kecuali sekiranya salam itu diberikan kepada ramai orang, maka menjadi fardhu kifayah kepada sebahagiannya sahaja untuk menjawab.


Kesimpulannya, jika benar dakwaan orang kampung penulis itu, penulis berharap perkara ini dapat diperbetulkan. Janganlah kerana keghairahan kita menyambut ‘gagasan’ kerajaan pimpinan PM baru, kita terlupa pula kepada petunjuk dan hidayah yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT dan Rasulnya SAW. Wallahul musta’an…
Read more >>

Himpunan Artikel