Sabtu, 19 Disember 2009

Al-ALLAMAH PROF. DR. YUSUF AL-QARADAWI, TOKOH MA'AL HIJRAH 1431




Alhamdulillah..segala urusan bagi menjemput Syeikh al-Qaradawi (SQ) ke Malaysia berjalan lancar. Tahun ini, seperti tahun lepas, penulis sekali lagi diberi kepercayaan oleh pengurusan tertinggi jabatan untuk menguruskan kedatangan SQ dan sekaligus menjadi Liason Officer (LO) kepada beliau. Bagi penulis ini adalah satu penghormatan besar kerana hanya dengan cara menjadi 'khadam' seperti ini kita dapat mendampingi seorang tokoh besar seperti SQ.

Bagaimanapun tahun ini, tidak seperti tahun lepas ketika penulis menguruskan kedatangan Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili dan menjadi LO beliau. Penulis berjaya menguruskan dari mula hingga akhir iaitu sehingga hari kepulangan beliau dan dapat berdampingan dengan beliau sepenuh masa selama enam hari ketika beliau berada di Malaysia. Banyak perkara dan persoalan yang dapat penulis ajukan dengan Syeikh Wahbah, ketika menjamu selera, di dalam kereta, membawa beliau bersiar-siar dan alhamdulillah sebahagiannya sempat direkod dan dijadikan simpanan peribadi penulis.

Tahun ini, penulis agak kurang bernasib baik. Semua ini adalah taqdir Allah SWT jua. Dari awal, penulis uruskan kedatangan SQ melalui komunikasi dengan setiausaha akademik beliau di Pusat Kajian Sunnah dan Sirah, Universiti Qatar iaitu Syeikh Waleed Abu al-Naja. Komunikasi ini melalui dua cara sama ada telefon terus atau emel. Perkara-perkara yang 'urgent' penulis selesaikan melalui telefon terus.

Alhamdulillah, sampai masanya SQ tiba di KLIA pada hari yang ditetapkan iaitu 16/12/09 jam 1.50 petang. Beliau tiba dengan 3 pengiring, anaknya, Muhammad, pengganti setiausaha, Mokhtar Lehmar (kerana Syeikh Waleed patah kaki di saat akhir) dan penasihat akhbar, Muhammad Sabra. Penulis sempat menyambut ketibaan beliau di Terminal C4, KLIA, Sepang pada lebih kurang pukul 1.50 petang bersama Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan dan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Bagi penulis, dapat mengucup tangan dan wajah beliau sudah mencukupi bagi mendapat keberkatan ulama besar ini.

Setelah selesai menguruskan penginapan beliau, penulis merasakan tubuh ini sudah benar-benar keletihan. Sebenarnya keletihan menahan demam yang telah masuk hari kedua. Akhirnya, keesokan hari penulis mengalah..terpaksa pergi ke klinik dan doktor mengesahkan demam penulis agak tinggi 40 darjah celsius. Nasib baik penulis memiliki sahabat-sahabat yang dapat menggantikan tempat penulis untuk mengiringi SQ ke mana sahaja beliau pergi. Nampaknya pada tahun ini penulis tidak dapat sepenuhnya menghambakan diri untuk tokoh ulama ini. Insya Allah mungkin pada masa akan datang pula. Insya Allah...

Himpunan Artikel