Sabtu, 9 April 2011

Panel Kajian Aqidah : Isu Titian Sirath

Berdasarkan aduan yang banyak diterima oleh orang ramai, Panel Kajian Aqidah (PKA) Jakim telah membincangkan isu 'Kedudukan Titian Sirath Menurut Ahli Sunnah Wal-Jamaah' dalam mesyuarat PKA kali ke-42/2011. Mesyuarat memutuskan antara lain: 



  •  Tiada khilaf di kalangan para ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah tentang kefahaman terhadap “Titian Sirath”, sebaliknya khilaf hanya berlaku di kalangan mereka yang diluar Ahli Sunnah seperti pandangan Mufti Oman yang bermazhab Ibadhi (Khawarij) yang boleh dianggap pandangan yang syaz. Oleh itu, kewujudan “Titian Sirath” adalah perkara ijma’ menurut Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
  •  “Titian Sirath” adalah perkara sam’iyyat yang sepatutnya hanya terbatas dengan apa yang terkandung di dalam nas al-Qur’an dan al-Sunnah.
  • Membuat kiasan perkara ghaibiyyat dengan perkara hissiyyat adalah salah.
  • Perkara sam’iyyat adalah tauqifi dan bukan perkara ijtihadi.



Mesyuarat akhirnya menyimpulkan  “Titian Sirath” adalah wujud sebagaimana yang disifatkan oleh nas-nas syara’ pada hakikatnya berdasarkan al-Qur’an, hadith dan ijma’ ulama. 


Lihat artikel penulis sebelum ini :


................


Penulis ditanya tentang kedudukan titian sirath di akhirat kelak. Adakah ia benar-benar wujud seperti apa yang kita imani selama ini? Penulis mendapat aduan, ketika ini tersebar pandangan yang mengatakan bahawa titian sirath itu hanyalah satu simbolik dan tidak wujud secara hakikatnya. Bagi penulis dalam menentukan perkara-perkara ghaib (sam'iyyat) seharusnya kita tawaqquf (berhenti) sekadar apa yang didapati melalui nas-nas syara' di samping mengikut kefahaman salafussoleh. Oleh itu, untuk berijtihad dan meletakkan pendapat sendiri lebih benar berbanding apa yang telah diperjelaskan oleh para imam dan ulama terdahulu, maka penulis dengan penuh rendah diri tidak sekali-kali akan bersikap seperti itu.

Dalam hal ini, penulis mengajak diri penulis dan para asatizah untuk melihat beberapa pandangan imam dan ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah berkenaan kedudukan titian sirath.

Pandangan Imam al-Ghazali (wafat 505H)

وأما الصراط فهو أيضاً حق ، والتصديق به واجب ، لأنه ممكن . فإنه عبارة عن جسر ممدود على متن جهنم يرده الخلق كافة ، فإذا توافوا عليه قيل للملائكة ' وقفوهم إنهم مسؤولون ' فإن قيل : كيف يمكن ذلك وفيما روى أدق من الشعر وأحد من السيف ، فكيف يمكن المرور عليه ؟ قلنا هذا إن صدر ممن ينكر قدرة الله تعالى ، فالكلام معه في إثبات عموم قدرته وقد فرغنا عنها . وإن صدر من معترف بالقدرة فليس المشي على هذا بأعجب من المشي في الهواء ، والرب تعالى قادر على خلق قدرة عليه ، ومعناه أن يخلق له قدرة المشي على الهواء ولا يخلق في ذاته هوياً إلى أسفل ، ولا في الهواء انحراف ، فإذا أمكن هذا في الهواء فالصراط أثبت من الهواء بكل حال .

"Adapun titian sirath ia juga adalah benar, mengimaninya adalah wajib kerana ianya mungkin. Ia adalah ibarat sebuah jambatan yang terbentang di atas neraka Jahannam dilalui oleh seluruh makhluk, apabila mereka sampai di atas, dikatakan kepada malaikat, hentikan mereka sesungguhnya mereka akan disoal. Jika dikatakan: Bagaimana mungkin demikian itu dan telah diriwayatkan ia lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang, maka bagaimana mungkin lalu di atasnya? Kita menjawab: Jika ini terbit daripada sesiapa yang memungkiri qudrat Allah SWT, maka perbahasan dengannya dalam menetapkan umum qudrat-Nya telah selesai. Jika ia timbul daripada orang yang menerima qudrat-Nya, maka berjalan di atas ini tidak lebih hairan daripada berjalan di udara, Allah SWT mampu menciptakan kuasa ke atasnya, maknanya Dia mampu menciptakan baginya berjalan di atas udara, tidak menciptakan pada zatnya jatuh ke bawah dan tidak tersasar di udara. Oleh itu, jika Dia berkuasa melakukan ini di udara, maka sirath itu lebih tetap daripada udara dalam apa jua keadaan". (Ghazali, Abu hamid, al-(1993), al-Iqtisad fi al-I’tiqad, Lubnan: Dar wa Maktabat al-Hilal, hal. 240)

Di tempat lain Imam al-Ghazali juga mengatakan:

وأن يؤمن بأن الصراط حق وهو جسر ممدود على متن جهنم أحد من السيف وأدق من الشعرة تزل عليه أقدام الكافرين بحكم الله سبحانه فتهوى بهم إلى النار وتثبت عليه أقدام المؤمنين بفضل الله فيساقون إلى دار القرار.

"Dan hendaklah beriman bahawa titian sirath itu benar, ia adalah jambatan yang terbentang di atas perut neraka Jahannam, lebih tajam daripada pedang, lebih halus daripada rambut, ia menggelincirkan kaki-kaki orang kafir dengan ketentuan Allah SWT, lalu menjerumuskan mereka ke dalam neraka, manakala ia menetapkan kaki-kaki orang mukmin dengan rahmat Allah lalu mereka diiring ke syurga".( Ghazali, Abu Hamid, al-(1985), Qawa’id al-‘Aqaid, Lubnan: ‘Alam al-Kutub, hal. 66 dan Imam Ibn ‘Asakir al-Dimasyqi(1404H), Tabyin Kazib al-Muftari fi ma nusiba ila al-Imam Abi al-Hasan al-Asy’ari, Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi, hal. 305

Pandangan al-Ghaznawi al-Hanafi (wafat 593H):

الصراط حق وهو جسر ممدود على متن جهنم أدق من الشعر وأحد من السيف يورد الناس جميعا على الصراط وورودهم قيامهم حول النار ثم يمرون على الصراط بقدر أعمالهم

"Titian sirath itu benar, ia adalah jambatan yang terbentang di atas perut neraka Jahannam, lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang, seluruh manusia lalu di atas titian sirath, laluan mereka adalah berdiri mereka di sekitar neraka kemudian lalu di atas titian sirath mengikut kadar amal perbuatan mereka". (Ghaznawi, Ahmad bin Muhammad(1998), Kitab Usul al-Din, Beirut: Dar al-Basya’ir al-Islamiyyah, hal. 238-239)

Pandangan al-Taftazani (wafat 791H):

ومنها الصراط وهو جسر ممدود على متن جهنم يرده الأولون والآخرون أدق من الشعر وأحد من السيف على ما ورد في الحديث الصحيح ويشبه أن يكون المرور عليه هو المراد بورود كل أحد النار على ما قال تعالى ) وإن منكم إلا واردها ( وأنكره القاضي عبدالجبار وكثير من المعتزلة زعما منهم أنه لا يمكن الحظور عليه ولو أمكن ففيه تعذيب ولا عذاب على المؤمنين والصلحاء يوم القيامة... والجواب أن إمكان العبور ظاهر كالمشي على الماء والطيران في الهواء غايته مخالفة العادة ثم الله تعالى يسهل الطريق على من أراد كما جاء في الحديث إن منهم من يمر كالبرق الخاطف ومنهم من يمر كالريح الهابة ومنهم من يمر كالجواد...

"Dan antaranya titian sirath, ia adalah jambatan yang memanjang di atas perut neraka Jahannam, ia dilalui oleh golongan terdahulu dan terkemudian, ia lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang berdasarkan apa yang terdapat dalam hadith sahih…ia dimungkiri oleh Qadi Abdul Jabbar dan ramai di kalangan Mu'tazilah dengan dakwaan mereka bahawa ianya tidak mungkin diseberangi , jika mampu sekalipun padanya satu penyeksaan sedangkan tiada azab terhadap golongan mukmin dan orang soleh pada hari Qiyamah…(pandangan Mu'tazilah ini) dijawab bahawa kemungkinan menyeberangi adalah jelas seperti berjalan di atas air dan terbang di udara yang tujuannya menyalahi adat. Kemudian Allah SWT memudahkan jalan bagi sesiapa yang dikehendaki sebagaimana di dalam hadith, bahawa sebahagian mereka golongan yang menyeberang seperti kilat menyambar, sebahagiannya yang berjalan seperti angin kencang, sebahagiannya seperti kuda…". ( Taftazani, Sa’d al-Din Mas’ud bin ‘Umar(1981), Syarh al-Maqasid fi ‘Ilm al-Kalam, Pakistan: Dar al-Ma’arif al-Nu’maniyyah, j.2, hal. 223)

Pandangan Ibn Taimiyyah (wafat 728H)

والصراط منصوب على متن جهنم وهو الجسر الذي بين الجنة والنار يمر الناس على قدر أعمالهم فمنهم من يمر كلمح البصر ومنهم من يمر كالبرق...

"Dan titian sirath itu terbentang di atas perut neraka Jahannam, ia adalah jambatan yang terletak antara syurga dan neraka, dilalui oleh manusia mengikut kadar amal perbuatan mereka, sebahagian mereka melaluinya seperti sekelip mata, sebahagian mereka seperti kilat…". (Ibn Taimiyyah, Ahmad bin Abdul Halim(1412H), al-'Aqidah al-Wasitiyyah, Riyadh: Idarat al-Buhuth wa al-Ifta', hal. 33)

Wallahu a'lam.
Read more >>