Bulan lepas, penulis berkesempatan menyampaikan ceramah berkenaan Ahli Sunnah Wal-Jamaah di salah sebuah IPTA. Apa yang agak mengejutkan bahkan agak mengagumkan apabila ketika masuk sesi forum di sebelah petang, pelbagai soalan yang sangat ilmiyyah diajukan oleh para peserta. Bagi penulis, dari satu sudut ia satu perkembangan yang baik. Tapi dari sudut yang lain jelas kelihatan di sana wujud blok-blok pemikiran tertentu yang dipegang oleh para peserta, dan penulis yakin ia adalah hasil daripada pengajian dengan ustaz-ustaz tertentu.
Penulis diajukan bertubi-tubi tentang persoalan yang membabitkan soal teologi Islam. Beza salaf dan khalaf, pandangan mereka tentang ayat-ayat sifat yang mutasyabihat dan manhaj serta metodologi kedua-dua pihak di dalam aqidah. Tidak dinafikan soalan-soalan ini memang baik dan penulis menjawabnya secara ilmiyyah berdasarkan pengetahuan dan dasar-dasar yang ditentukan oleh Panel Kajian Aqidah (PKA) Jakim. Tetapi jauh di sudut hati ini, masih merasa kurang senang, mengapa itu yang menjadi fokus persoalan? Adakah di sana wujud konflik antara dua blok tertentu yang beraliran kontra antara satu sama lain.
Apa yang menjadi kebimbangan penulis adalah apabila blok-blok pemikiran ini wujud hasil daripada bawaan ustaz-ustaz tertentu. Ia berlaku apabila ustaz aliran A menuduh ustaz beraliran B sebagai kaza wa kaza dan ustaz aliran B menuduh ustaz aliran A sebagai kaza wa kaza. Akibatnya, orang awam menjadi mangsa dan tidak tahu mana satu aliran yang betul. Lebih berat lagi mereka bingung siapakah sebenarnya yang ikut Ahli Sunnah? Malah lebih berat lagi, benarkah si fulan telah terkeluar dan bukan Ahli Sunnah? Itulah hakikat yang sedang terjadi!
Penulis teringat kepada syor al-Fadhil Dr. Abdul Hayei (Timb. Pengerusi PKA Jakim) yang mencadangkan supaya semua ustaz lulusan Timur Tengah di 'tarsyid' yakni diberi tunjukarah supaya mereka pandai menyesuaikan diri dengan masyarakat awam di Malaysia. Kita akur masing-masing membawa latarbelakang pendidikan yang berbeza-beza sesuai dengan tempat mereka menimba ilmu, namun janganlah mereka terikut-ikut dengan 'budaya' dan 'gaya' guru atau tempat belajar mereka untuk diterapkan ke dalam masyarakat muslim di sini. Ia sudah tentu akan menimbulkan kekalutan dan keributan. Akhirnya pemikiran masyarakat jadi bercelaru, USTAZ manakah yang paling benar dalam banyak-banyak USTAZ? Malah ada pulak di sana istilah ustaz sesat! Subhanallah wallahulmusta'an...
Saat ini, pertembungan yang paling sengit adalah antara dua blok pemikiran paling berpengaruh di kalangan para ustaz. Satu digelar Salafi, musuhnya menggelarkan mereka Wahabi. Lawannya pula adalah Asya'irah, musuhnya menggelarkan mereka Ahbasy. Si Ahbasy menuduh Wahabi sebagai mujassim, si Wahabi pula menuduh si Asy'ari sebagai mu'tazilah (mu'attil). Maka berperanglah kedua-dua blok pemikiran ini, saling bertikam lidah, label melabel, tuduh menuduh, kata mengata, cop mengecop, jatuh menjatuh, hinggakan saman menyaman pun ada, dan pelbagai lagi tindakan yang sebenarnya amatlah memalukan title USTAZ itu sendiri.
Penulis sendiri kelu dan tak tahu apa yang mahu dikata perihal ustaz-ustaz sebegini. Ceramah-ceramah mereka bukan lagi berisi ilmu buat orang awam sebagai bekalan hidup. Tetapi bertukar menjadi medan hentam-menghentam sesama ustaz. Malah hujjah-hujjah yang digunakan seolah-olah ustaz yang dihentam itu berada di hadapan matanya. Padahal di hadapannya hanyalah orang awam yang tidak pun faham secara mendalam latarbelakang isu berbangkit. Kesannya, terbentuklah blok pemikiran tertentu dalam masyarakat yang anti ustaz tertentu dan aliran tertentu. Ketaksuban pula semakin dibina dari hari ke hari. Apa sahaja yang menyalahi pemikiran ustaznya akan diberi label tertentu. Malah nama-nama ulama silam dan mutakhir pun jadi mangsa. Jika disebut Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim, al-Qaradawi, maka jawapannya itu ulama pro Wahabi. Bila disebut nama-nama seperti Imam al-Ghazali, al-Taftazani, al-Baqillani, Dr. Ali Jum'ah, maka dituduh pula itu ulama pro Ahbasy. Wallahulmusta'anu bima tasifuuun..
Dalam hal ini, penulis amat teruja dengan perbicangan-perbincangan ilmiyah yang berlaku sesama ahli PKA Jakim. Tidak pernah melihat mereka berhujjah secara emosi ketika berselisih pendapat dan aliran, sebaliknya mereka berhujjah secara akademik dan disampaikan dengan penuh adab. Malah peranan pengerusi PKA, SS Mufti Wilayah sangat berkesan dalam menangani perselisihan pendapat. Semua diberi peluang untuk berhujjah secara akademik walaupun mengikut aliran pemikiran masing-masing.
Misalnya, dalam isu pertembungan dua blok pemikiran iaitu Wahabi dan Ahbasy. PKA Jakim pada kali ke-14/2000, kali ke-20/2002 dan kali ke-23/2003 telah memutuskan Wahhabiyyah masih termasuk di kalangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah namun penularannya perlu disekat kerana dibimbangi boleh menggugat perpaduan umat Islam di Malaysia. Begitu juga dalam mesyuarat PKA kali ke-36/2007, kumpulan al-Ahbasy dan yang sealiran dengannya juga masih termasuk dalam golongan Ahli Sunnah Wal-Jamaah kerana mereka beraliran Asya’irah dalam aqidah dan bermazhab Syafi’i dalam fiqh. Namun pendekatan menggunakan kata-kata takfir, tajsim dan tasybih kepada orang-orang Islam yang tidak sejalan dengan ajarannya dikhuatiri boleh mengundang perbalahan yang lebih besar dan ia tidak bersesuaian dengan konteks Malaysia.
Kelihatannya, ahli-ahli PKA Jakim tidak semudah itu untuk mengeluarkan mana-mana pihak dari Ahli Sunnah. Kesalahan atau kesilapan seorang individu tidak boleh dita'mimkan menjadi kesalahan seluruh kelompoknya. Konsistensi juga menjadi nilaian, adakah sesuatu aliran atau kumpulan sentiasa bertentangan dengan ASWJ atau hanya dalam cabang-cabang tertentu sahaja mereka berkhilaf. Namun dari sudut sumber hukum, manhaj aqidah dan syariahnya masih dalam lingkungan ijtihad ulama salaf dan khalaf. Jika salah..satu pahala, jika benar dua pahala. Kesimpulannya, PKA Jakim sangat teliti dalam menetapkan sebarang hukum apatah lagi bila melibatkan maruah agama seseorang. Bukan seperti lancangnya mulut ustaz-ustaz tertentu yang memberi label si anu ini Ahli Sunnah tetapi si anu itu bukan Ahli Sunnah.
Bagi penulis, kalau kita ada taqwa, ada wara', ada adab, ada tatasusila, insya-Allah segala perselisihan antara ahli agama dapat diatasi.Kadang-kadang perselisihan yang berlaku lebih kepada soal 'pendekatan' yang keras, rigid, straight, ego, takabbur, sombong dan seumpamanya yang memang tidak sesuai untuk dihadapkan kepada masyarakat awam.
Antara sesama ustaz, berubahlah, berbaiklah, berpakatlah demi kepentingan dakwah Islam-Sunni di negara ini. Jangan kita menjadi punca 'FITNAH' kepada masyarakat awam. Jangan juga kita berbalah sehingga Syiah pula mengambil kesempatan ke atas kita (seperti perpecahan antara Salafi dan Ikhwan di Bahrain). Ketepikanlah soal remeh temeh seperti bid'ah membid'ah perkara-perkara furu', menuduh Asya'irah sebagai golongan Mu'tazilah/Mu'atthilah atau menuduh Wahabi sebagai Mujassimah/Musyabbihah. Semua itu tidak memberi apa-apa manfaat demi kesatuan umat Sunni di negara ini.
Apa salahnya jika selepas ini, aliran Wahabi dan Asya'irah duduk bersama dan menganjurkan seminar bersama? Tinggalkan segala perselisihan dan berkerjasamalah pada perkara yang kita sepakati! Inilah warisan berharga yang ditinggalkan oleh Imam al-Syahid Hasan al-Banna dalam Usul al-'Isyrin. Bacalah dan hayatilah. Semoga Allah SWT menyatukan fikrah dan hati-hati kita semua. Amin...
Antara sesama ustaz, berubahlah, berbaiklah, berpakatlah demi kepentingan dakwah Islam-Sunni di negara ini. Jangan kita menjadi punca 'FITNAH' kepada masyarakat awam. Jangan juga kita berbalah sehingga Syiah pula mengambil kesempatan ke atas kita (seperti perpecahan antara Salafi dan Ikhwan di Bahrain). Ketepikanlah soal remeh temeh seperti bid'ah membid'ah perkara-perkara furu', menuduh Asya'irah sebagai golongan Mu'tazilah/Mu'atthilah atau menuduh Wahabi sebagai Mujassimah/Musyabbihah. Semua itu tidak memberi apa-apa manfaat demi kesatuan umat Sunni di negara ini.
Apa salahnya jika selepas ini, aliran Wahabi dan Asya'irah duduk bersama dan menganjurkan seminar bersama? Tinggalkan segala perselisihan dan berkerjasamalah pada perkara yang kita sepakati! Inilah warisan berharga yang ditinggalkan oleh Imam al-Syahid Hasan al-Banna dalam Usul al-'Isyrin. Bacalah dan hayatilah. Semoga Allah SWT menyatukan fikrah dan hati-hati kita semua. Amin...