Penulis langsung tidak terkejut apabila keluar fatwa Hizbut Tahrir Malaysia yang mengharamkan BTN. Hakikatnya isu BTN bukan isu besar kerana ia hanya sekadar satu alat. Lihatlah siapa yang menggunakannya. Jika kandungannya baik dan digunakan untuk tujuan yang baik maka ia akan jadi baik tetapi jika sebaliknya, inilah yang terjadi. Tapi itu bukan perbincangannya di sini.
Apa yang ingin disentuh penulis ialah soal doktrin Hizbut Tahrir itu sendiri. Kumpulan ini memang terkenal dengan perjuangan mereka menegakkan khilafah Islam di dunia. Setiap muslim yang memahami Islam dengan baik, sudah tentu tidak akan membantah sesiapa jua yang ingin menegakkan khilafah Islam di dunia ini. Malah kewujudan gerakan-gerakan Islam yang banyak menunjukkan betapa wujudnya segolongan umat yang masih komited bagi meneruskan perjuangan mengembalikan Islam sebagai 'kuasa dunia'.
Bagaimanapun, perjuangan menegakkan khilafah tidak boleh dijadikan alasan untuk mengkafirkan pemimpin Islam dan seluruh umat Islam termasuk ulama, mufti dan sesiapa sahaja yang dituduh sebagai terlibat dengan sistem kuffar. Malah parti-parti politik Islam yang terlibat dengan sistem demokrasi seperti menyertai pilihanraya dan menjadi ahli parlimen juga dianggap kafir kerana telah meredhai sistem kuffar. Sesiapa yang mengkaji sejarah Hizbut Tahrir sudah tentu mengetahui bahawa antara punca pengasasnya keluar daripada Ikhwan Muslimin dan menubuhkan Hizbut Tahrir adalah disebabkan beliau tidak bersetuju dengan pendekatan Ikhwan yg menerima sistem politik demokrasi selagi mana matlamat menegakkan syariat Islam boleh dicapai.
Lihat sahaja antara-kenyataan-kenyataan di dalam buku 'Islam, dakwah dan politik, Pustaka Thariqatul Izzah,2002' yang menjadi panduan usrah anggota Hizbut Tahrir:-
“Mari kita perhatikan penguasa-penguasa negeri Islam di antaranya adalah Jordan. Apakah mereka meninggalkan hukum-hukum syara’ yang qat’iy kemudian mereka membuat hukum-hukum lain dari Barat atau Timur? Ya. Apakah mereka mengakui bahawa mereka meninggalkan hukum-hukum syara’ kemudian membuat yang lain berdasarkan keinginan mereka dan disertai sikap qana’ah (rasa menerima)? Ya. Maka mereka adalah kafir, dan tidak perlu ada kenyataan lain lagi. Hanya saja mungkin segelintir dari mereka bisa terhindar dari kekufuran, tetapi tidak dapat terhindar dari kefasikan dan kemaksiatan”. (hal. 91)
“Sekarang cuba perhatikan anggota-anggota parlimen yang mereka sebut dengan dewan legislatif. Mereka telah mengadopsi perundangan-perundangan dan hukum-hukum yang jelas bertentangan dengan nas-nas Islam yang qat’iy, baik sumber mahupun penunjukkan maknanya. Mereka nyata-nyata mengadopsi kekufuran yang riil. Maka, setiap anggota parlimen yang mengeksposenya dengan bangga dan rida, serta mendorong pengambilan hukum dan perundangan-perundangan kufur, bererti jelas dia telah kafir”. (hal. 91)
Dan lagi...
"Apabila orang alim yang paling taqarrub ini mendorong secara langsung lahirnya perundangan-perundangan yang bertentangan dengan nas syara’ yang qat’iy baik sumber mahupun penunjukkan maknanya dan turut menghiasinya agar bisa diberlakukan. Maka orang alim (yang sebenarnya bodoh) adalah kafir, tanpa ragu-ragu sedikitpun. Sekalipun dia menjalankan puasa, salat, haji dan zakat, serta disangka (sebagai) seorang muslim. Dia adalah kafir-munafiq”.(hal.99)
Dan lagi...
“Dari sini jelas bahawa majoriti penguasa kaum muslimin saat ini bukan lagi berbuat maksiat ataupun fasik sahaja. Mereka adalah kafir yang jelas-jelas kekufurannya. Yang telah mengeluarkan mereka dari agama Islam. Jelas pula bahawa tinta dan lidah yang berusaha membersihkan para penguasa berserta sistem kufur yang mereka jalankan adalah tinta dan lidah yang dimiliki orang-orang munafiq dan kufur. Kekufuran mereka sangat nyata. Yang mengeluarkan mereka dari agama Islam. Jelas pula bahawa orang yang menerima para penguasa dan rela dengan sistem kufur yang mereka pratikkan adalah kafir. Kekufurannya jelas, telah mengeluarkan dirinya dari agama Islam” . (hal.99)
Bahkan mesti perangi pemerintah itu...
“Jadi dalam keadaan apapun berhukum dengan selain yang diturunkan Allah merupakan kekufuran yang amat jelas. Mafhum hadis tersebut (ala tuqatilhum ya rasulallah qala la ma sallu-ahmad) (qila ya rasulullah afala nunabizuhum bissaif faqala la ma aqamu fikum al-salat-malik) adalah agar mengambil alih kekuasaan dan memerangi dengan pedang terhadap orang yang melakukannya. Dalil-dalil ini menunjukkan bahawa Islam memerintah untuk memerangi orang yang menerapkan (sistem) hukum selain Islam. Iaitu perintah memerangi penguasa tatkala jelas-jelas nampak kekufurannya. Termasuk dalam hal ini perintah memerangi para pemimpin yang tidak menegakkan salat, iaitu mereka yang tidak menerapkan (sistem) hukum berdasarkan apa yang diturunkan Allah. (hal. 117)
Angkat senjata dan bunuh pemimpin!!!
"Tidak hanya itu, syara’ bahkan melarang berhukum kepada selain yang diturunkan Allah, dengan larangan yang bersifat pasti. Itupun belum cukup, syara’ juga memerintah kaum muslimin untuk memerangi para penguasa, apabila mereka berhukum dengan selain syara’. Iaitu dengan mengangkat senjata di hadapan mereka ingat mereka kembali kepada hukum syara’". (hal. 117)
Pandangan Hizbut Tahrir yang mengkafirkan pemerintah Islam serta mereka yang dituduh terlibat dengan sistem kufur dengan alasan meninggalkan sistem/perundangan Islam adalah menyalahi ijma’ para ulama. Dalam hal ini Imam Nawawi menyebut dalam Syarah Sahih Muslim:
وَأَجْمَعَ أَهْل السُّنَّة أَنَّهُ لَا يَنْعَزِل السُّلْطَان بِالْفِسْقِ ، وَأَمَّا الْوَجْه الْمَذْكُور فِي كُتُب الْفِقْه لِبَعْضِ أَصْحَابنَا أَنَّهُ يَنْعَزِل ، وَحُكِيَ عَنْ الْمُعْتَزِلَة أَيْضًا ، فَغَلَط مِنْ قَائِله ، مُخَالِف لِلْإِجْمَاعِ .قَالَ الْعُلَمَاء : وَسَبَب عَدَم اِنْعِزَاله وَتَحْرِيم الْخُرُوج عَلَيْهِ مَا يَتَرَتَّب عَلَى ذَلِكَ مِنْ الْفِتَن ، وَإِرَاقَة الدِّمَاء ، وَفَسَاد ذَات الْبَيْن ، فَتَكُون الْمَفْسَدَة فِي عَزْله أَكْثَر مِنْهَا فِي بَقَائِهِ
Maksudnya: "Dan Ahli Sunnah telah sepakat (ijma') bahawa pemerintah tidak boleh dilucutkan dengan kefasiqan/kemaksiatan, adapun pendapat yang termaktub di dalam kitab-kitab fiqh daripada sesetengah sahabat kita bahawa ia dilucutkan, dan diriwayatkan juga daripada Mu'tazilah, ia adalah kesilapan daripada orang tersebut, malah menyanggahi kesepakatan ulama' (ijma'). Para ulama' berkata: Sebab tidak dibolehkan pelucutan dan haram menentang mereka adalah kerana menyebabkan timbulnya fitnah-fitnah, terjadinya pertumpahan darah, rosaknya hubungan persaudaraan, oleh itu, keburukan menggulingkannya lebih banyak daripada membiarkannya".
Lebih merugikan lagi..Hizbut Tahrir juga mengajak supaya ahli-ahli tidak terlibat dalam sebarang aktivit ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan dan sosial di sebuah negara yang berhukum dengan sistem kufur atas alasan itu boleh membantu kerajaan tersebut untuk terus kekal memerintah dengan penambahbaikan yang dilakukan. Sebaliknya, apa yang perlu dilakukan adalah menjatuhkan pemimpin kerajaan tersebut supaya mereka dapat digantikan dengan golongan yang dapat menukarkan sistem kufur kepada sistem Islam. Ini berdasarkan kenyataan yang diajar oleh pengasasnya dalam bukunya 'Manhaj Hizbut Tahrir fi al-Taghyir'.
Penulis ingin mengingatkan kepada pengikut-pengikut Hizbut Tahrir di Malaysia supaya menguasai Bahasa Arab dan membaca buku-buku karangan pengasasnya dalam bahasa asal. Bukan sekadar ikut-ikut dan semangat membabi buta tanpa memahami konsep perjuangan mereka. Mereka juga perlu membaca sejarah mengapa al-Nabhani keluar daripada Ikhwan dan bagaimana tokoh-tokoh di dalam Ikhwan pernah menasihatkan mereka supaya kembali kepada jamaah Ikhwan antaranya, al-Marhum al-Syahid Sayyid Qutb dll. Fikir-fikirkan juga apa sebenarnya kaedah yang ingin digunakan oleh Hizbut Tahrir untuk menegakkan 'khilafah' jika sistem politik berasaskan demokrasi yang ada sekarang dianggap kufur dan menggunakannya dianggap kafir? Perang? Revolusi? Inqilab? Guling? Jika sekadar tatsqif dan tarbiah..bukankah dalam jemaah-jemaah Islam lain juga wujud? Silakan dijawab oleh ahli-ahli Hizbut Tahrir...
Sekadar itu dulu...wassalam...