Sabtu, 26 Mac 2011

Haram tonton video lucah itu!

Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya untuk sentiasa menjaga pandangan daripada perkara-perkara yang diharamkan untuk dilihat kerana ia dapat menghindarinya daripada zina. Firman Allah SWT :

قل للمؤمنين يغضوا من أبصارهم ويحفظوا فروجهم ذلك أزكى لهم إن الله خبير بما يصنعون

Ertinya: "Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka perbuat ". (An-Nur: 30)

Allah menyebutkan bahawa seseorang yg sentiasa menahan pandangan dari hal-hal yang diharamkan akan menjadikan hatinya bersih dan kebersihan hati memudahkan masuknya nur atau cahaya petunjuk daripada Allah SWT ke dalam.

Sebaliknya kebiasaan memandang hal-hal yang diharamkan Allah, seperti aurat orang lain, maka akan menjadikan hati kotor dengan maksiat dan dosa yang lama-kelamaan semakin menutupi kebersihan hati sehingga sukar ditembusi oleh nur hidayah-Nya.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Hurairah, dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya seorang mukmin jika berbuat dosa maka akan ada satu noda hitam di hatinya, jika ia bertaubat dan berlepas daripada dosanya maka hatinya akan menjadi bersih, tetapi jika dosanya bertambah, maka noda hitam tersebut akan semakin bertambah hingga menutupi hatinya, itulah noda yang disebutkan oleh Allah Azza Wa Jalla dalam Al Qur`an: "Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya dosa yang mereka lakukan itu menutup hati mereka". (Kalla bal raana 'ala qulubihim)

Jikalau filem-filem atau video-video lucah itu tidak ada yang menontonnya mungkin tidak akan ada orang yang menerbitkannya atau paling tidak pembikinan dan penyebarannya menjadi sangat terhad kerana wujud perasaan malu dan takut dosa di dalam diri masyarakat.

Selain itu, pada Februari 2011 baru-baru ni, Majelis Ulama Indonesia (MUI) telah mengeluarkan kenyataan bahawa pornografi lebih berbahaya berbanding dadah.

Menurut MUI, berdasarkan kajian dari Kementerian Kesihatan Indon, kerosakan otak akibat dadah ini boleh merosakkan dua hingga tiga komponen di dalam otak, tetapi akibat kecanduan pornografi boleh merosakkan lima komponen di dalam otak. Berdasarkan hasil kajian doktor di Amerika Syarikat, seseorang yang kecanduan pornografi otak akan rosak sehingga anak akan menjadi bodoh bahkan dikhuatiri akhirnya akan menimbulkan penyakit seksual.

Berbalik kepada isu video lucah yang kononnya mahu disebarkan oleh pihak tertentu itu, maka elakkanlah dan jangan sekali-kali menontonnya kerana tiga sebab :-

Pertama : Hukumnya memang haram

Kedua : Menimbulkan persepsi tertentu sehingga boleh membawa kepada memfitnah orang tertentu

Ketiga : Menghitamkan hati sendiri dengan noda dan dosa

Wallahu a'lam.
Read more >>