Ahad, 29 November 2009

HUKUM AGIH DAGING KORBAN KEPADA BUKAN ISLAM




Semasa berada di kampung baru-baru ini, seperti biasa penulis bertemu dengan ramai orang terutamanya adik beradik, ipar duai, orang kampung dan ramai lagi la..Macam biasa banyaklah perkara yang dibualkan, antaranya isu sedekah daging korban kepada bukan Islam. Sebenarnya, perkara ni kurang menjadi persoalan di kalangan orang-orang kampung. Maklumlah diorang tinggal dalam kalangan majoriti Melayu Islam, tetapi isu ini banyak berlaku di kalangan orang-orang bandar yang sesetengah berjiran kiri dan kanan dengan bukan Islam atau minoriti bukan Islam yang wujud sebagai sebahagian daripada komuniti di taman-taman dalam @ pinggir bandar.


Cuma, dalam menjawab persoalan ini penulis menemui kesukaran kerana terdapat di kalangan masyarakat yang agak keliru dengan kewujudan dua fatwa yang berbeza di dalam laman web e-fatwa JAKIM. Salah satunya fatwa yang membenarkan oleh JK Fatwa Negeri Perlis (lihat di sini) dan satu lagi keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang melarangnya (lihat di sini). Maklumlah, masyarakat pada hari ini memiliki maklumat hanya di hujung jari. Mereka boleh access kepada apa jua maklumat dengan begitu cepat sekali...


Bagi menjawab persoalan ini, penulis cuba merujuk kepada antara kitab utama bagi Mazhab Syafie. Apabila membelek-belek kitab ini, penulis menemui ucapan Imam Nawawi seperti berikut:


"Berkata Ibn al-Munzir: Ulama telah sepakat bahawa harus diberikan daging korban kepada org Islam yang faqir. Adapun ahli zimmah (bukan Islam), ulama berselisih pendapat mengenainya. Imam Hasan al-Basri, Abu Hanifah dan Abu Tsur membenarkannya. Imam Malik pula memakruhkannya, malah beliau memakruhkan memberi kulit binatang korban atau dagingnya kepada mereka. Begitu juga dengan Imam al-Laith memakruhkannya, dan beliau berkata: Jika dimasak dagingnya tidak mengapa kafir zimmi makan bersama. Ini adalah ucapan Ibn al-Munzir dan aku tidak menemui pandangan para sahabat kita (ulama dalam mazhab Syafie) mengenainya. Bagaimanapun kehendak umum (muqtadha) mazhab (memberi maksud) harus memberi mereka (bukan Islam) daging korban sunat, tidak korban wajib". (Nawawi, al-Majmu', Bayrut: Dar al-Fikr, 1997, j.8, hal.316)

Daripada penjelasan Imam Nawawi ini, kita dapat simpulkan bahawa isu mengagihkan daging korban kepada bukan Islam hanyalah isu cabang (furu') yang tidak perlu diperbesar-besarkan. Mungkin kaedah terbaik dalam menyelesaikan perbezaan pendapat ini adalah melihat kepada fatwa yang mana satukah paling menepati maslahah agama dan ummah pada ketika ini? Jika kefakiran masih menyelubungi majoriti orang Islam di satu-satu kawasan ibadah korban itu dilakukan, sudah tentu tidak wajar sama sekali daging korban tersebut diagihkan kepada bukan Islam. Namun, sekiranya terdapat keperluan seperti ibadah korban yang dilakukan di kawasan-kawasan bencana alam yang meliputi umat Islam dan bukan Islam, kebanyakan ulama muta'akhirin membenarkannya. Dr. Yusuf al-Qaradawi juga adalah antara ulama yang membenarkan pengagihan daging korban kepada bukan Islam tetapi dengan syarat mereka itu hendaklah di kalangan golongan yang benar-benar memerlukan seperti faqir miskin.

Selain itu, untuk berpegang kepada fatwa yang membolehkan perlu juga satu garis panduan yang jelas. Pertama, hanya melibatkan daging korban sunat, bukan korban wajib seperti korban nazar dsb. Kedua, sudah tentulah daging tersebut haram diberikan kepada golongan bukan Islam yang termasuk ke dalam golongan kafir harbi iaitu kafir yang memerangi Islam. Ketiga, hendaklah bukan Islam itu terdiri di kalangan golongan yang benar-benar memerlukan iaitu faqir dan miskin. Keempat, tiada orang Islam yang lebih memerlukan berbanding golongan bukan Islam di dalam satu-satu kawasan atau daerah ibadah korban itu dijalankan. Wallahu 'alam.
Read more >>