Selasa, 15 Februari 2011

Tawassul hanya khilaf fiqhi dalam ASWJ

Ketika soal jawab selepas membentang isu khurafat di Melaka baru-baru ini, penulis ditanya oleh salah seorang hadirin tentang persoalan tawassul. Bagaimana hukumnya bertawassul  dengan Nabi SAW dan orang saleh yang telah meninggal dunia? Sebenarnya soalan ini tidak berkaitan dengan apa yang penulis bentangkan kerana isu yang dibentangkan adalah persoalan khurafat termasuklah khurafat memohon kepada ahli kubur seperti yang berlaku di Pulau Besar.

Sesetengah orang menjadikan kubur-kubur itu sebagai keramat yang boleh memberi manfaat dan menolak mudarat. Mereka tidak lagi menganggap Allah SWT yang berkuasa atas manfaat dan mudarat tetapi kubur-kubur itu, lalu mereka bernazar, menyembelih haiwan, membuat pemujaan dan pelbagai lagi perkara bid'ah dan khurafat.

Tetapi apabila persoalan tawassul dibangkitkan, penulis katakan ia adalah perkara khilaf fiqhi, ia bukan perkara aqidah. Tidak perlu kita berbalah dalam soal tawassul. Apa yang penting semua yang berdoa sambil bertawassul itu memohon kepada Allah SWT dan beri'tiqad hanya Allah SWT yang mengabulkan permintaannya, bukan 'fulan' yang dijadikan perantara itu termasuklah Nabi SAW sekalipun. Kerana itu, Imam al-Syahid Hasan al-Banna memasukkan dalam Usul al-'Isyrin bahawa doa kepada Allah sambil bertawassul dengan mana-mana di kalangan makhluk-Nya adalah khilaf far'i (perselisihan perkara cabang fiqh) tentang kaedah berdoa, dan bukan termasuk dalam masalah aqidah. (Lihat Majmu'at al-Rasa'il).

Bagi penulis sesiapa yang ingin bertawassul dengan Nabi SAW, orang saleh yang sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia, maka dia berhak berbuat sedemikian tetapi dengan syarat dia tidak boleh taksub dan fanatik sehingga menyesat atau mengeluarkan orang yang menolak tawassul seperti itu daripada Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Bagi yang menolak tawassul pula, mereka jangan semudah itu untuk menuduh orang yang bertawassul dengan Nabi SAW sebagai bid'ah kerana itu adalah pandangan jumhur mazhab yang empat.

Kesimpulannya, kita harus tahu membezakan antara perkara usul dan furu', walaupun kita berhak untuk mentarjih pendapat kita berdasarkan hujjah dan dalil tetapi itu tidak bermakna pendapat yang lemah itu dianggap bid'ah atau sesat atau terkeluar daripada ASWJ malah terkeluar daripada Islam. Dalam perkara furu', kaedah menyebut "La yanqudh al-ijtihad bil-ijtihad" bermakna "ijtihad tidak boleh membatalkan ijtihad". Apa yang penting adalah kita memerangi perkara yang jelas-jelas khurafat dan bid'ah seperti menyembah dan memuja kubur, berdoa dan bernazar kepada kubur keramat dan sebagainya. Wallahu a'lam.
   




Read more >>

Awas program agama tajaan PBB

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan segala deklarasi yang dikeluarkan berkenaan agama bukanlah badan yang benar-benar berautoriti untuk menentukan polisi beragama. PBB adalah sebuah pertubuhan sekular di peringkat antarabangsa. Mungkin negara-negara Islam boleh memanfaatkan PBB dalam isu-isu kemanusiaan seperti bencana alam, keselamatan, pendidikan, alam sekitar dan lain-lain tetapi  bukan soal keagamaan. 

Terbaru, PBB telah menganjurkan masyarakat dunia supaya menyambut pada setiap minggu pertama bulan Februari apa yang dinamakan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia (World Interfaith Harmony Week). Melihat kepada nama program ini  kelihatannya tiada masalah, tetapi apa motif sebenar di sebaliknya? Apa dasar, prinsip dan matlamatnya yang sebenar?

Jika kita melihat sepintas lalu, program PBB ini telah mendapat sambutan yang sangat meriah di kalangan pejuang-pejuang kesamarataan agama terdiri di kalangan golongan liberalist dan pluralist. Macam-macam acara yang mereka anjurkan termasuk acara DOA BERSAMA seperti yang dilakukan di Indonesia dengan penganut Islam  diwakili oleh pemimpin tertinggi salah sebuah NGO Islam terbesar di sana. Sudah lupakah masyarakat Indonesia terhadap fatwa MUI tahun 2005 yang mengatakan doa bersama-sama penganut agama lain adalah haram kerana seolah-olah kita mengiktiraf agama mereka.

Di Malaysia pula, penulis mendapat maklumat pelbagai acara cuba diatur termasuk memeriahkan konsep 'pluralisme agama' melalui penulisan dan aktiviti kemasyarakatan. Antaranya tulisan yang disiarkan di NST pada minggu lalu yang ditulis oleh salah seorang pensyarah muslim liberal berkenaan konsep pluralisme agama yang kononnya didukung oleh agama Islam. Malah penulis juga mendapat khabar bahawa terdapat rancangan untuk mengadakan program anak angkat antara keluarga muslim dan bukan muslim. Maksudnya anak muslim diletakkan dengan keluarga angkat bukan muslim dan sebaliknya. Soalnya, beginikah cara Islam mengharmonikan hubungan antara agama? Atau ini sebenarnya konsep sekular yang digunapakai PBB kononnya untuk keharmonian beragama!

Sekali lagi penulis tegaskan, PBB bukanlah pertubuhan yang berautoriti untuk menyelesaikan isu-isu keagamaan kerana PBB adalah sebuah pertubuhan sekular. Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 PBB telah menjelaskan segala-galanya. Bagaimana umat Islam mahu dibolehkan untuk menukar agama sesuka hati? Mengahwini sesiapapun tanpa mengira agama sesuka hati? Semoga pihak pemerintah sentiasa peka dan tidak menerima apa sahaja yang dianjur oleh PBB. Dengan kedaulatan negara ini, penulis yakin kita berhak untuk menerima atau menolak apa sahaja yang ditaja oleh PBB. Wallahu a'lam.
Read more >>

Himpunan Artikel