Rabu, 1 Disember 2010

AJARAN SESAT ASALAMA..


Baru-baru ini penulis dijemput mewakili jabatan dalam satu Muzakarah Ajaran Sesat di Jabatan Mufti Melaka. Amat mendukacitakan penulis kerana salah satu daripada empat ajaran sesat yang dipanggil adalah pengasas ajaran sesat 'Asalama' yang mengaku kononnya tiada kena mengena dengan Islam tetapi sebenarnya cuba mengubahsuai dan menyelewengkan ajaran Islam.

Sukar untuk berbincang kerana hati tertuduh seolah-olah sudah tertutup untuk menerima kebenaran. Kejahilan jelas bersalut tebal dalam diri tertuduh. Tetapi keegoaan dan keangkuhan menyebabkan sukar kebenaran untuk menembusi dirinya kecuali dengan izin Allah SWT.

Dalam muzakarah tersebut, penulis cuba menyampaikan kepada tertuduh bahawa al-Qur'an itu asalnya bukan huruf-huruf dan kalimah-kalimah bertulis seperti dilihat di dalam mashaf. Sebaliknya ia adalah Kalamullah berbentuk kalam atau ucapan atau bahasa. Kesilapan besar tertuduh adalah dia menyangka seolah-olah al-Qur'an itu turun dalam bentuk kitab bertulis tetapi tidak berbaris. Oleh kerana itu, dia mendakwa, umat Islam telah menyelewengkan al-Qur'an kerana membacanya secara berbaris tetapi dia mengekalkannya dalam bentuk tanpa baris.

Walhal, dia sendiri membacanya secara berbaris dengan membarisataskan semua huruf-huruf al-Qur'an. Sebagai contoh dia membaca basmalah begini "Ba Sama Allaha Al Rahamana Al Rahayama". Penulis katakan kepadanya, bahawa apa yang dibacanya itu bukan kalam kerana kalam dalam bahasa Arab mesti bersifat 'lafzun mufid' iaitu lafaz yang difahami, jika tidak difahami itu bukan kalam! Dia tidak menjawab dan dia sendiri mengetahui dia sendiri tidak faham apa yang disebut, bahkan tetap merujuk kepada terjemahan al-Qur'an dalam bahasa Melayu.

Akhirnya, dia dengan rela hati membuat perakuan bahawa bukan lagi Islam bahkan beragama 'Asalama' dan merupakan rasul yang meneruskan risalah terdahulu. (Dia juga tidak faham apa beza antara nabi dan rasul). Hal ini membawa implikasi besar kerana ia akan melibatkan hukum murtad dan susulannya seperti fasakh nikah, hadanah anak, harta warisan dan sebagainya.

Antara doktrin tertuduh yang perlu diawasi adalah seperti berikut:-

Agama yang benar adalah agama Asalama
Membaca al-Qur'an secara baris atas dan mendakwa al-Qur'an yang sedia ada telah diselewengkan bacaannya
Al-Qur'an diturunkan kepada Nabi Ibrahim
Nabi Muhammad tidak layak menjadi nabi
Mengaku dirinya sebagai rasul
Semua agama adalah berasal daripada agama Asalama termasuk Kristian dan Hindu.

Wallahu a'lam.

p/s: Pihak Jabatan Mufti Melaka akan mengeluarkan fatwa tentang ajaran ini dalam tempoh terdekat. Insya-Allah.

Read more >>