Isnin, 21 Disember 2009

SAAT-SAAT AKHIR SYEIKH AL-QARADAWI DI MALAYSIA

Malam 21 Disember 2009 adalah malam terakhir buat Syeikhuna al-‘Allamah Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi. Tepat jam 3.00 petang hari ini, Syeikh dijangka akan bertolak meninggalkan Malaysia. Alhamdulillah, dengan kebijaksanaan Y.Bhg. Dato’ Wan selaku Ketua Pengarah JAKIM, beliau telah mengusulkan supaya satu pertemuan ‘Dinner Talk’ diadakan di hotel penginapan Syeikh dengan ahli-ahli panel penasihat syariah bank, Panel Kajian Syariah JAKIM dan Panel Kajian Aqidah JAKIM.

Sebelum daripada pertemuan tersebut, penulis dan guru penulis, Dr. Zulkifli al-Bakri (juga ahli Panel Kajian Aqidah JAKIM) sempat mengadakan kunjungan hormat terhadap Syeikh di bilik beliau. Dr. Zul ingin bertemu bagi meminta keizinan untuk menerbitkan kitab al-Halal wa al-Haram fil Islam yang telah siap diterjemahkan oleh beliau. Penulis pula mengambil kesempatan untuk menyatakan rasa kagum penulis terhadap fatwa-fatwa beliau yang bersifat tarjih bayn al-mazahib sebagaimana yang termaktub dalam kitab Fatawa Mu’asirah sambil memohon secoret kata daripada Syeikh sebagai tanda ingatan (autograph). Alhamdulillah selepas itu penulis dihadiahkan senaskhah jilid terbaru kitab ‘Fatawa Muasirah’ ini iaitu jilid yang keempat. Jazakumullah Ya Habibanassyaikh…

Dalam pertemuan ‘Dinner Talk’ malam tadi..banyak perkara dibangkitkan oleh para peserta yang terlibat. Antaranya isu muamalat Islam yang hanya bersifat syakliyyat yang semakin bertambah dalam urusan perbankan Islam, emas adakah ianya sebagai wang atau komoditi, hukum meminta pertolongan dengan bukan Islam, isu al-Ahbasy, isu Wahhabiyyah/Salafiyyah dan lain-lain. Jawapan Syeikh sangat mantap dan bernas serta bersifat objektif tanpa berpihak. Muqaddimah sebelum soal jawab juga sangat menarik perhatian penulis kerana FadhilatusSyaikh juga turut membincangkan tentang amalan bermazhab dan sedikit sebanyak menyentuh kerigidan golongan Syafi’iyyah dalam bab taharah dan implikasinya dalam masyarakat Islam. Ucapan ini banyak persamaannya dengan muqaddimah dalam kitab ‘Fatwa Mu’asirah’ milik beliau..sila rujuk kitab tersebut untuk mengetahui pemikiran beliau tentang mazhab. Yang jelas beliau bukan menolak mazhab tetapi menolak keta’assuban terhadap mazhab!!

Hari ini 21/12/09 Syeikh akan meninggalkan negara kita menuju ke Riyadh, penulis difahamkan untuk menghadiri satu seminar di sana. Subhanallah, begitu lah hebat orang berilmu, ilmunya sentiasa ditagih oleh keseluruhan umat Islam di dunia. Seluruh dirinya diinfaq kepada jalan Allah SWT. Wang ringgit tidak menjadi apa-apa nilai baginya. Dengan kemurahan hatinya, ketika berbincang soal urusan untuk pembayaran baki daripada 100k (Hadiah Ma’al Hijrah) yang diterima oleh Syeikh, beliau dengan rela hati menyatakan hasrat untuk menginfaqkan sahaja wang sebanyak 40k kepada Tabung Siswa Miskin, UIAM. Subhanallah..inilah akhlaq luhur seorang Syeikh yang mengajar ilmu melalui ucapan dan tauladan..Selamat tinggal Syaikhuna wa habibana wa ustazana wa mu’allimana..la la taquuluu wida’an bal quuluu ilalliqa’…
Read more >>

Himpunan Artikel