Sabtu, 10 Disember 2011

Dialog Sunni vs Syiah

Dalam tempoh sebulan ini, penulis berkesempatan untuk berdialog dengan beberapa penganut tegar Syiah di Malaysia. Satu di Melaka anjuran Jabatan Mufti Melaka dan satu lagi di Perak anjuran Jabatan Agama Islam Perak (sepatutnya satu lagi di Johor tetapi dibatalkan tanpa diketahui sebabnya, wallahu a'lam). Apa yang mengujakan apabila ketua Syiah Malaysia, "Hujjatul Islam" Kamil Zuhairi Abdul Aziz sanggup turun sebagai panel utama Syiah dalam dialog di Perak. Apa pun, berdasarkan pemerhatian dan penelitian penulis dalam siri-siri dialog tersebut, golongan Syiah dapat disimpulkan seperti berikut:

Sindrom taqlid buta di kalangan pengikut Syiah jadian (bekas Sunni). Pengikut Syiah jadian sering mendakwa memeluk Syiah setelah mengkaji tentang Syiah, lalu memutuskan untuk meninggalkan Ahli Sunnah. Sedangkan ketika menjadi Sunni mereka tidak pernah mendalami Ahli Sunnah berdasarkan disiplin dan sumber Ahli Sunnah sendiri. Akhirnya mereka hanya akan mengenali Ahli Sunnah menerusi persepsi Syiah yang menyeleweng.

Mereka mendakwa Syiah itu lebih logik berbanding Ahli Sunnah. Tetapi apabila disoalkan kepada mereka mana logiknya Syiah dalam hal ghaibnya imam mereka selama 1173 tahun hingga sekarang dan nikah mut'ah yang tak ubah seperti zina berakad. Mereka buntu dan tidak tahu menjawab kecuali mengatakan itu perlu disoal kepada ulama mereka atau kerana mereka di Malaysia, maka tidak akan buat perkara yang melanggar undang-undang di Malaysia (seperti nikah mut'ah). Bermakna banyak perkara yang penganut Syiah tahu bahawa itu tidak logik (belum lagi bahas dari sudut keberadaan dan kesahihan nas), tetapi kerana kejahilan dan ketaksuban ia menutup hati-hati mereka untuk terus mengkaji dan menilai kebenaran.

Denial syndrome yang berterusan. Sukar untuk diajak berdialog dengan Syiah kerana mereka tidak yakin dengan kebenaran anutan sendiri. Apabila diajukan soalan beserta hujah dan bukti menerusi sumber-sumber mereka sendiri, semuanya dinafikan. Mereka sendiri yang mengatakan 'imamah' itu rukun utama dalam Syiah, tetapi apabila ditanya apakah hukumnya Ahli Sunnah yang menolak rukun utama itu secara iktikad, tiada jawapan konkrit diberikan, tetapi terus menafikan bahawa Syiah mengkafirkan Ahli Sunnah yang menolak 'imamah' padahal mereka sendiri mengakui itu rukun yang tak boleh ditolak. Sedangkan bagi Ahli Sunnah, tanpa kompromi dan berselindung, barangsiapa yang menolak salah satu daripada rukun Islam maka jawapannya adalah kafir, terkeluar daripada Islam.

Escapism syndrome dalam berhujjah. Bila dihujjahkan bahawa Syiah itu boleh membawa kepada perpecahan ummah, maka dijawab kononnya di dalam Ahli Sunnah juga terdapat perpecahan. Padahal yang dibincangkan adalah perpecahan dalam soal prinsip (usul) yang tidak dibenarkan oleh agama. Bila ditanya kedudukan Ahli Sunnah menurut Syiah, bukan dijawab secara ilmu berdasarkan nas-nas dan sumber Syiah, tetapi dialihkan perbincangan kononnya mereka juga memakan sembelihan Sunni, menghadiri kenduri Sunni dan lain-lain yang menunjukkan pada zahirnya mereka tidak mengkafirkan Sunni. Tetapi persoalan utama iaitu kedudukan aqidah golongan Sunni di sisi Syiah langsung tidak dijawab.

Sindrom taqiyyah yang melampau. Dalam dialog tersebut, langsung tidak kedengaran pihak Syiah berhujjah dengan sumber-sumber mereka sendiri. Mereka mengaku bermazhab Alul Bayt dan ikutan mereka adalah para imam Alul Bayt, tetapi di mana sandaran mereka terhadap Alul Bayt itu? Adakah ia bersanad atau sekadar dakwaan semata-mata ataukah sebenarnya mereka lebih percaya kepada dalil-dalil daripada kitab Sunni sehinggakan tiada suatupun dalil dibawakan daripada kitab-kitab mereka sendiri seperti al-Kafi, Man La Yahdhuruh al-Faqih, Tahzib al-Ahkam, al-Istibsar dan lain-lain. Bila pihak Sunni membawakan dalil daripada kitab mereka, dikatakan pula bahawa kitab itu tidak sahih atau tidak muktamad di sisi Syiah, bermakna apa sumber yang sahih dan muktamad dalam mazhab Syiah? Ada atau tidak? Atau sebenarnya Syiah bertaqiyyah sehingga tidak berani mengakui kitab-kitab rujukan mereka sendiri.

Disiplin ilmu yang rapuh. Dua bukti jelas akan kerapuhan disiplin ilmu di sisi Syiah; pertama, apabila "Hujjatul Islam" Kamil Zuhairi tidak mampu meyakinkan Ahli Sunnah bahawa hadith Ghadir Khum adalah hujjah paling ampuh berkenaan imamah Sayyidini Ali bahkan beliau menokok tambah kononnya hadith Ghadir Khum berlaku ketika khutbah al-Wada'. Ini adalah kekeliruan kerana ia bukan disebut oleh Nabi SAW ketika khutbah al-Wada' tetapi ketika Baginda SAW berada di Ghadir Khum yang jaraknya 250 km daripada Makkah, dan ia tiada kena mengena dengan Khutbah al-Wada'. Soalnya mengapa di Ghadir Khum dan tidak di Arafah? Ini bermakna dalil Ghadir Khum tertolak untuk menjadi hujjah dalam soal aqidah kerana ia tidak jelas dan mengandungi banyak andaian, tidak seperti dalil-dalil rukun Islam lain yang disepakati seperti solat, zakat, haji dan lain-lain. Kamil tidak menjawab persoalan ini. Kedua, Kamil mengakui bahawa kitab al-Kafi karangan al-Kulaini itu bukan kitab sahih seperti Sahih al-Bukhari, tetapi Kamil tidak pula menyatakan apakah kitab yang paling sahih di sisi Syiah atau sekurang-kurangnya riwayat-riwayat Syiah yang sahih yang boleh menjadi rujukan orang Syiah sendiri dan pengkaji Sunni. Apakah Syiah tidak mementingkan soal sanad dalam menerima ilmu? Bagi Sunni, sanad teramat penting, seperti kata Imam Muhammad bin Sirin, "Sesungguhnya ilmu (sanad) ini adalah agama, maka lihatlah daripada siapa kamu mengambil agama kamu!" Soalnya, adakah pegangan Syiah pada hari ini punya sanad yang sahih daripada imam-imam Alul Bayt atau rekaan mereka sendiri.

Banyak lagi konklusi penulis berkenaan dialog dengan Syiah, tidak termasuk bagaimana jahil dan emosinya para pengikut mereka yang hadir. Termasuk salah seorang pengikut Syiah yang membuat kenyataan, "oleh kerana Ahli Sunnah bukan Syiah, maka Ahli Sunnah tidak kafir kerana menolak imamah yang merupakan rukun menurut Syiah". Kenyataan ini jelas menunjukkan kejahilan dan kekeliruan aqidah Syiah, sebenarnya kenyataan ini sama seperti kita mengatakan "oleh kerana Islam bukan Kristian, maka orang Islam tidak kafir kerana menolak Isa sebagai anak tuhan". Ini kekeliruan dan kepincangan terbesar dalam Syiah, mana mungkin dalam satu agama yang sama terdapat dua rukun yang berbeza?


Wallahu a'lam.
Read more >>