Khamis, 31 Mac 2011

Kenapa poco-poco haram?


IPOH, 30 Mac: Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang pada 24-26 Januari 2011 lalu telah memperakukan supaya tarian atau senama poco-poco diharamkan. Ia dibuat atas asas ianya mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama juga pemujaan roh berdasarkan kajian yang menyatakan ianya sering diamalkan di Jamaica serta bercirikan agama Kristian. "Mesyuarat mengambil keputusan bahawa pengharaman ini akan diwartakan," kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dalam satu suratnya. Surat fatwa Mufti Perak itu dihantar kepada Pengerusi Persatuan Kakitangan Islam Malayan Banking (PKIMB) Perak.

Ulasan penulis :

Sebenarnya, isu tarian poco-poco telah ditanya oleh ramai orang. Jakim sendiri melalui Bahagian Perancangan dan Penyelidikan telah cuba menjalankan kajian the origin of poco-poco (philosophy dan epistemologinya), tetapi masih menemui jalan buntu. Tidak terdapat satu bukti literature mahupun praktikal yang menunjukkan poco-poco yang ditarikan oleh rakyat Malaysia sekarang berasal daripada agama Kristian samada di Indonesia, Filipina mahupun Jamaica. Memang tidak dinafikan sebelum kedatangan Kristian lagi setiap bangsa di atas telah pun memiliki budaya mereka sendiri terutamanya tarian-tarian yang mempunyai unsur-unsur pemujaan terhadap dewa (dinimisme dan animisme) seperti tarian-tarian kebudayaan kaum yang terdapat di Sabah dan Sarawak.

Dalam fatwa yang dinyatakan oleh SS Mufti Perak di atas, beliau mengatakan poco-poco berasal daripada Jamaica. Ia berkemungkinan apabila beliau merujuk kepada kepercayaan golongan Pocomania (small madness) yang memeluk agama Kristian di sana. Sebenarnya pocomania adalah satu bentuk sinkretik antara amalan tradisional kuno Afrika yang kononnya dikuasai oleh roh nenek moyang mereka dalam upacara ritual yang dilakukan dalam bentuk tarian liar (dance wildly) sehingga tidak sedarkan diri (kerasukan). Apabila Kristian datang, sebagaimana biasa, dakyah Kristian hanya akan mengubah konsep dewa-dewi menjadi Father ,Son dan Holy Spirit. Kristian tidak seperti Islam yang apabila datang akan menghapuskan segala bentuk aqidah syirik dalam kepercayaan lama kerana Islam berpegang kepada konsep al-wala' dan al-bara'. Soalnya inikah asal-usul poco-poco yang ada di Malaysia ini?

Dalam hal ini, penulis berpendapat sukar untuk menyamakan pengharaman poco-poco dengan yoga kerana yoga adalah satu ritual agama Hindu yang establish di dalam kitab-kitab suci Hindu spt Veda dan Upanishad serta masih dilakukan oleh sami-sami Hindu. Malah falsafah Hindu di sebalik yoga asana itu masih kukuh tertanam. Manakala anggapan yang mengatakan pergerakan poco-poco sama dengan bentuk salib juga tidak boleh menjadi alasan yang kukuh kerana pergerakan depan belakang kiri kanan adalah pergerakan natural seorang manusia dan kembali kepada hukum harus. Malah tubuh manusia ketika mendepakan kedua tangannya juga (spt ketika streching) boleh dianggap haram kalau kaedah 'menyerupai salib' digunakan dalam gerakan tubuh.

Bagaimanapun, ulasan ini tidak bermakna penulis menentang fatwa yang dikeluarkan oleh SS Mufti Perak kerana penulis hampir berpandangan sebegitu walaupun dengan alasan yang berlainan. Alasan penulis mudah, tarian poco-poco adalah suatu tarian yang meragukan kerana tidak diketahui siapakah pemilik budaya sebenar poco-poco. Ada yang mengatakan ianya tarian agama dan ada yang mengatakan ianya tarian budaya. Bagi penulis, peganglah kepada kaedah yang diajar oleh Nabi SAW. Pertama, tinggalkan perkara yang meragukan kepada yang tidak meragukan. Kedua, tinggalkan perkara yang syubuhat (tidak jelas halal dan haramnya) nescaya akan selamatlah maruah agama dan diri kita.

Wallahu 'alam.  
Read more >>

Himpunan Artikel