DAMAI... Pertemuan tertutup antara bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz; dan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Abd Ralip di salah sebuah hotel di ibu negara hari ini berjaya mencapai keputusan positif.
Alhamdulillah...inilah yang kita mahukan. Malah sepatutnya sikap bersemuka, berbincang dan saling mendengar antara satu sama lain dalam suasana harmoni ini telah diamalkan sejak awal lagi. Kadang-kadang prasangka dan dengar-dengar cakap 'org ketiga' boleh menyebabkan hal yang kecil menjadi besar seolah-olah tiada penyelesaian!!
Bagi penulis, isu Wahhabiyyah adalah punca segala-galanya. Sebenarnya isu ini sekiranya ditangani secara berhemah dan berhujah dengan cara beradab dan berhikmah kita akan dapat menanganinya. Tetapi jika menanganinya seperti ajaran sesat atau ajaran pelampau persis Jemaah Islamiyyah, Ma'unah dll inilah padah yang kita akan dapat. Kes JAIS adalah pengajaran terbesar kepada semua agensi agama dan penguatkuasa. Berhati-hatilah supaya Islam tidak difitnah akibat kegopohan dan ketidakbijaksanaan agensi agama bertindak. Pengalaman penulis dalam JAKIM sendiri, kita sentiasa mengadakan pertemuan dari masa ke semasa dengan kumpulan ini bagi menyelesaikan sebarang krisis atau perkara kontroversi yang timbul.
Pendirian JAKIM, aqidah mereka masih dalam kalangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah, walaupun terdapat perbezaan dari segi metod antara Salaf & Khalaf. Apa yang penting, kita mahu mereka juga memahami bahawa isu-isu furu' yang ditimbulkan seperti soal tahlil, talqin dll, walaupun ianya kecil tetapi ia amat sensitif kerana telah diamalkan sejak turun termurun oleh masyakarat Islam di negara ini dan bukanlah isu utama yang perlu dibangkitkan untuk melakukan 'tajdid'. Bukankah masih banyak isu-isu besar yang merupakan prinsip yang perlu ditangani dalam negara ini!
Untuk mengetahui dan mengenali lebih lanjut siapakah sebenarnya Wahhabi..penulis persilakan rakan-rakan untuk membaca pandangan dua tokoh berikut iaitu Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin (klik di sini), Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Prof. Zakaria Stapa, bekas Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM (klik di sini).