Ahad, 10 April 2011

Bolehkah qarinah mensabitkan zina?

Penulis tertarik juga dengan perdebatan berkenaan kesahihan video seks sebagai bukti pertuduhan zina. Ada pendapat yang mengatakan zina tak boleh sabit sama sekali kecuali dengan pengakuan si pelaku dan kesaksian empat lelaki yang jujur. Penulis berpandangan, kedua-dua pihak yang berdebat sudah pasti bersepakat (bahkan ijma' ulama) bahawa hudud zina akan sabit dengan iqrar (pengakuan) si pelaku atau kesaksian itu wujud. Itu dalam kes zina yang melibatkan hubungan suka sama suka. Tapi bagaimana pula rogol? Bagaimana pula jika tiada sebarang pengakuan dan kesaksian tetapi ada bukti lain. Sebenarnya dalam persoalan sabitan zina di saat ketiadaan pengakuan dan kesaksian, para ulama telah berselisih pendapat, adakah ia boleh disabitkan melalui bukti-bukti lain (qarinah). Dalam hal ini para ulama terbahagi kepada dua pendapat :

Pendapat pertama : Zina boleh sabit dengan qarinah atau keterangan yang kuat yang menunjukkan ia berlaku seperti kehamilan wanita yang tidak mempunyai suami atau tuan (dalam kes hamba sahaya). Pensabitan rogol melalui peralatan teknologi terkini, seperti melalui pemeriksaan air mani si lelaki dan rekodnya di makmal-makmal jenayah, atau juga melalui rakaman perlakuan jenayah dengan alat perakam moden. Ini merupakan pandangan al-Zaila'i, Ibn al-Ghars dan al-Tarabulsi daripada mazhab Hanafi, Ibn Farhun dan al-Maziri daripada mazhab Maliki, Ibn Abd al-Salam daripada mazhab Syafi'i, Ibn Taimiyyah daripada mazhab Hanbali dan selain mereka. Misalnya, Ibn al-Qayyim dalam beberapa tempat dalam kitabnya antaranya I'lam al-Muwaqqi'in (4/374) mengatakan : "Para sahabat Nabi SAW telah menjatuhkan hudud zina dengan hanya sebab kehamilan, dalam hudud arak dengan bau dan muntah, dan ini adalah benar".

Pendapat kedua : Zina tidak sabit kecuali dengan pengakuan dan kesaksian. Ini merupakan pandangan al-Jassas dan Ibn Nujaim daripada mazhab Hanafi dan selain daripada keduanya. Sebahagian ulama mutakhir menyandarkan pandangan ini kepada mazhab Hanafi dan Syafi'i.

Bagaimanapun pendapat yang kedua lebih selamat, lebih-lebih lagi dengan wujudnya hukuman ta'zir dalam keadaan hudud tidak dapat disabitkan. Apapun jika kita bersandar kepada pendapat yang mengizinkan penggunaan qarinah sekalipun, ianya khusus bagi qarinah yang kuat yang hampir mencapai darjat yakin sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibn Nujaim daripada Ibn al-Ghars dalam al-Bahr al-Ra'iq (7/205).

Apapun, kedua-dua pendapat tetap mengatakan sebarang bentuk qarinah yang zanni (tidak kukuh) tidak boleh mensabitkan hukum hudud, begitu juga qarinah yang kuat tetapi masih terkait dengan andaian, ianya termasuk gambar atau video yang mungkin dipalsukan atau dicantum antara satu dengan lain, maka qarinah-qarinah yang seumpama ini tidak boleh menjadi bukti untuk disabitkan hudud kerana hudud tertolak dengan wujudnya keraguan. Ketika ini hukuman ta'zir boleh disabitkan mengikut kebijaksanaan hakim.

Kesimpulannya, untuk menolak qarinah secara mutlak, ia tidak wajar sama sekali. Ini kerana dengan peningkatan kes-kes rogol pada hari ini, qarinah sangat diperlukan bagi mensabitkan kejadian itu berlaku ke atas mangsa rogol (di saat ketiadaan pengakuan dan kesaksian) di samping mengelakkan mangsa rogol dijatuhkan hukuman qazaf. Malah peruntukan ini sememangnya telah dimasukkan di dalam Enakmen Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Negeri Terengganu. Wallahu a'lam.

Wallahu a'lam.    

Read more >>