Guru-guruku mengajarkan kesederhanaan

Banyak mutiara ilmu yang mengajar penulis erti manhaj 'kesederhaan' dalam Ahli Sunnah, sepanjang bergaul dan menuntut ilmu daripada guru-guru para masyayikh kibar al-ulama. Antaranya yang sempat penulis nukilkan di sini;

Syeikh al-Azhar Fadhilat al-Imam al-Akbar al-Marhum Prof. Dr. Muhammad Sayyid Tantawi : Penulis sempat bertanya kepada beliau ketika Kursus Fatwa di dalam bilik mesyuarat Syeikh al-Azhar tentang beberapa aliran yang dilihat keras membid'ahkan atau mengkafirkan kumpulan lain, beliau menjelaskan bahawa setiap kumpulan perlu dinilai berdasarkan fahaman yang dibawa oleh mereka. Tasyaddud (sikap keras) sahaja tidak boleh dijadikan alasan untuk mengeluarkan mereka daripada Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Selagimana khilaf yang berlaku masih berkisar kepada isu-isu furu’ dan bukan melibatkan rukun atau usul maka ia dibenarkan dan mereka masih dianggap dalam lingkungan Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Syeikh Salim Muhammad Salim, Ketua Lajnah Fatwa di Jami' al-Azhar, ketika mengikuti Kursus Fatwa di Masyiyakhah al-Azhar : Penulis bertanyakan beliau tentang Ibn Taimiyyah dan Muhammad bin Abdul Wahhab. Menurut beliau, pada hakikatnya Ibn Taimiyyah tidak pernah menyeru supaya meninggalkan apa yang dibawa oleh para ulama sebelumnya. Manakala Muhammad bin Abdul Wahab pula berdakwah kepada umat Islam pada zamannya supaya tidak menyembah kubur malah menyeru supaya mereka kembali kepada kesucian Islam. Beliau juga tidak pernah menyeru supaya umat Islam meninggalkan pandangan mazhab malah tidak pernah memusuhi imam-imam mazhab yang empat. Bagi kedua-duanya, mazhab mereka ialah dalil-dalil yang sampai kepada mereka melalui ijtihad mereka sendiri. Dakwah mereka dikenali sebagai ‘da’wah Wahhabiyyah’ atau ‘da’wah islahiyyah’. Pada zaman ini dakwah mereka berhadapan dengan musuh yang ramai terutamanya di kalangan golongan sufiyyah.

Al-Muhaddtih wa al-Muhaqqiq al-Kabir Syeikh Syu'aib al-Arna'uth : Ketika penulis bersama tiga rakan lain bertalaqqi al-Balaghah al-Wadhihah di Maktabah al-Tahqiq beliau di Syamisani, Amman, penulis sempat bertanya pandangan beliau tentang al-Marhum Syeikh Nasir al-Din al-Albani. Beliau memuji-muji ijtihad dan kesungguhan al-Albani dalam menentukan kedudukan sanad hadith bagaimanapun al-Albani adalah seorang manusia dan dia juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan.

Al-Muhaddith Dr. Abd al-Sami' al-Anis, beliau adalah musyrif musa'id penulis ketika menyiapkan masyru' takharruj khusus dalam bidang takhrij hadith (memilik ijazah hadith antaranya daripada Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani, Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, Syeikh Abdul Aziz al-Ghumari dan Syeikh Abul Hasan al-Nadawi) : Suatu ketika penulis bertanya beliau berkenaan pandangan sesetengah pihak yang menuduh Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim sebagai mujassim dan kafir. Beliau nasihatkan penulis supaya bertaqwa dan takutlah kepada Allah SWT serta jauhkan diri daripada kumpulan-kumpulan yang gemar menuduh para ulama.

Al-'Allamah Syeikh Prof. Dr. Qahthan al-Duri al-Iraqi, beliau adalah Dekan Fakulti Fiqh dan Undang-undang Universiti Al al-Bayt : Ketika kami bertalaqqi kitab karangan beliau Usul al-Din al-Islam, kami menyampaikan hasrat murid dan pengikut kepada al-Marhum Syeikh Abdullah al-Harari yang ingin berdebat dengan beliau. Beliau menjawab dengan lemah lembut bahawa sebagai penuntut ilmu adalah penting menguasai ilmu-ilmu alat termasuk nahu, saraf, balaghah dan mantiq. Jika ilmu ini pun tidak dikuasai, tiada gunanya mendabik dada dan bongkak ingin mencabar pihak lain.

Syeikh Dr. Syarif al-Khathib, pensyarah aqidah di Al al-Bayt : Ketika kami bertemu dengan beliau memohon untuk bertalaqqi kitab, kami mengemukakan beberapa cadangan kitab aqidah, akhirnya beliau mengatakan 'buat apa mempelajari perkara yang menajamkan perdebatan dalam aliran aqidah, bukankah elok kita mempelajari aqidah yang menajamkan amal perbuatan, lalu kitab 'Madarij al-Salikin' karangan Imam Ibn al-Qayyim digunakan. Malah Dr. Syarif secara terbuka mengatakan bahawa kedua-dua aliran iaitu mazhab Salaf dan Khalaf diperlukan buat diri kita. Aliran Salaf penting sebagai iman yang kukuh di dalam hati manakala aliran Khalaf (Asya'irah dan Maturidiyyah) penting sebagai senjata apabila bertembung dengan golongan falasifah dan rasionalis masakini.

Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi : Ketika menguruskan kedatangan beliau ke Malaysia untuk menerima anugerah Tokoh Ma'al Hijrah 1431H, beliau telah menghadiahkan kepada penulis kitab al-Fatawa al-Mu'asirah jilid 4, di dalam jilid ini beliau menjelaskan ijtihad-ijtihad baru beliau berkenaan pendirian ulama Salaf dan Khalaf berkenaan ayat-ayat sifat. Penjelasan ini adalah usaha taqrib beliau antara pendekatan Salaf dan Khalaf, bukan seperti yang dilaungkan sesetengah pihak yang kononnya hanya mengiktirafkan pendekatan Salaf semata-mata dan menuduh Khalaf terkeluar daripada Ahli Sunnah.

Syeikh Prof. Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti : Ketika penulis bertemu dengannya di rumah beliau di Dimasyq, penulis sempat bertanyakan tentang percakaran antara kumpulan Wahhabiyyah dan pengikut al-Marhum Syeikh Abdullah al-Harari. Syeikh al-Buti menjelaskan tiada kalangan ulama Asya'irah yang mengkafirkan Wahhabiyyah secara mutlaq seperti yang dilakukan oleh Syeikh al-Harari. Bahkan cara pembawaan Syeikh al-Harari yang keras tidak diterima oleh ulama Dimasyq. Pendekatan ulama Ahli Sunnah adalah sederhana terhadap para musuh termasuk Wahhabi dan tidak sewenang-wenangnya mengkafirkan mereka.

Syeikh Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili : Ketika penulis menjadi pengiringnya selama enam hari sebagai penerima Tokoh Ma'al Hijrah 1430 sempat berbual-bual dengan beliau beberapa isu termasuk isu Wahhabiyyah, al-Ahbasy dan soal bid'ah. Beliau menasihatkan penulis supaya menjauhkan diri daripada mana-mana kelompok yang ghuluw dan ekstrim kerana Islam adalah agama kesederhanaan. Penulis juga sempat membacakan selawat syifa' dan selawat tafrijiyyah yang dikatakan bid'ah oleh Wahhabi, namun Syeikh Wahbah menafikan dan mengharuskan kedua-dua selawat tersebut.

Syeikh Prof. Dr. Ali Jum'ah, Mufti Mesir : Ketika penulis bertemu beliau dalam persidangan Majma' al-Fiqh al-Islami al-Duwali di Marriot Putrajaya, penulis bertanyakan tentang tuduhan mujassimah ke atas Wahhabiyyah, Syeikh Ali menjawab dengan mengatakan bahawa istilah Wahhabiyah adalah terlalu umum. Ini kerana suatu ketika dahulu sememangnya wujud satu kumpulan sesat yang dinamakan dengan Wahhabiyah. Kumpulan ini wujud pada kurun yang kedua. Ia merupakan pecahan kumpulan Khawarij yang dipimpin oleh Abdul Wahhab ibn Rastam al-Khariji al-Abadhi. Namun Wahhabiyah yang wujud pada hari ini adalah Wahhabiyah yang dibawa oleh Muhammad ibn Abdul Wahhab. Apa yang dibawa oleh Muhammad ibn Abdul Wahhab ada yang benar dan ada yang tidak benar. Antara yang tidak sahih dan perlu ditolak sekiranya benar iaitu pandangan mereka tentang ayat-ayat mutasyabihat yang mirip kepada tajsim. Namun apabila ditanya kepada penganut Wahhabiyah sendiri mereka tidak mengakuinya lalu mengatakan mereka berlepas diri dengan tuduhan-tuduhan tersebut. Dengan pengakuan itu, Syeikh Ali mengatakan tidak perlu lagi kita menyelidikinya kerana ia boleh menimbulkan perbalahan yang tidak berkesudahan.

Al-Mursyid al-Sufi Dr. Mu'az Sa'id Hawa : Ketika bertalaqqi kitab Syarh Hikam Ibn Atha'illah al-Sakandari di masjid beliau, penulis ada bertanyakan beliau maksud 'Wahdatul Wujud' kalangan golongan sufi, lalu beliau menjelaskan 'Wahdatul Wujud' yang dimaksudkan itu adalah maqam musyahadah yang berlaku kepada golongan sufi, bukan teori kufur yang dipegang oleh ahli falsafah yang mengatakan alam ini limpahan (fadyh) dari Zat Allah SWT. Bermakna jangan semudah itu menuduh golongan sufi seperti yang dilakukan oleh sesetengah salafi keras.

Al-'Allamah Prof. Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim, ahli Panel Kajian Aqidah Jakim, pemegang ijazah Usuluddin Imtiyaz Li Awwal al-Kuliyyat di Universiti al-Azhar, pakar dalam bidang falsafah : Ketika dalam perbincangan penulis dengan beliau tentang perbahasan ayat-ayat mutasyabihat. Beliau dengan selamba menyebut, apa yang mahu dibahaskan lagi, bukankah Ibrahim al-Laqqani telah mengatakan sambil membacakan matan Jauharat al-Tauhid :
وكل نصٍ أوهم التشبيها أوله أو فوض ورم تنزيها
Bermaksud : “Setiap nas yang mengandung penyerupaan (terhadap makhluk) takwilkanlah atau serahkanlah dan bersihkanlah Allah (dari kekurangan)”. Bermakna kedua-dua metode, takwil dan tafwidh diterima oleh Salaf dan Khalaf.

Al-Mursyid Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, ahli Panel Kajian Aqidah Jakim : Beliau menasihatkan penulis dalam soal khilaf yang berlaku antara kibar al-ulama (para ulama besar) samada ulama Salafi mahupun Asy'ari, yang terbaik adalah kita tidak terlibat dalam menajamkan perselisihan antara mereka kerana mereka adalah golongan mujtahidun, sama seperti ibu bapa @ orang tua (kibar) yang bergaduh, jangan pula anak-anak @ budak-budak (sighar) masuk campur menjadi batu api yang melaga-lagakan kedua-duanya, kerana kedua-duanya adalah orang tua yang perlu dihormati.

Panel Kajian Aqidah Jakim : Sepanjang mengikuti perbahasan para ulama dalam panel tersebut, penulis dapati mereka sangat bersederhana dan berhati-hati dalam menetapkan satu-satu ajaran itu benar-benar menyeleweng dan terkeluar daripada Ahli Sunnah. Terdapat ajaran seperti Wahhabi dan al-Ahbasy yang diputuskan oleh panel sebagai masih Ahli Sunnah dari sudut aqidahnya (bermaksud kedua-duanya tidak sesat), namun sifat ekstrim seperti mengkafirkan, menyesatkan atau membid'ahkan daripada kedua-dua kumpulan tersebut adalah ditolak dan perlu disekat di Malaysia.

Kesimpulan daripada mutiara-mutiara hikmah yang penulis timba daripada kalangan guru-guru (para ulama besar) di atas, dapat penulis simpulkan bahawa sebaik-baik manhaj adalah bersederhana dalam segala hal, tiada takfir, tadhlil, tabdi', tafsiq dan tafriq dalam masalah khilafiyyah sebaliknya tauhid (penyatuan) umat Islam perlu diutamakan. Biarlah penulis tersilap untuk tidak mengkafirkan, menyesatkan dan membid'ahkan kerana ia lebih ringan berbanding kesilapan mengkafirkan, menyesatkan atau membid'ahkan sesama Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Semoga Allah SWT mengurniakan istiqamah kepada penulis untuk terus berada di atas manhaj ini hingga ke detik nyawa yang terakhir. Amiiin. Wallahu a'lam.

Himpunan Artikel