Sabtu, 20 Ogos 2011

Semoga Allah memberkati kita pada 10 yang terakhir!

Kita telah masuk pada penghujung bulan Ramadhan, bererti telah masuk pada sepertiga terakhir yang mengandungi sepuluh atau barangkali hanya sembilan hari saja. Maha Benar Allah SWT ketika menyebutkan bahawa Tetamu Agung Ramadhan hanyalah "Ayyaam ma'dudaat" (beberapa hari yang telah ditentukan).

Cepat dan ringkas, namun Ramadhan mengandungi kemuliaan dan keberkatan yang luar biasa.Kalangan ulama tafsir banyak yang menafsirkan ayat sumpah Allah SWT dalam surah al-Fajr bahawa "layalin asyr" (dan demi malam yang sepuluh) maksudnya adalah malam sepuluh terakhir bulan Ramadhan, walaupun banyak pula yang menafsirkan maksudnya adalah sepuluh malam bulan Zulhijjah, ada pula yang mengatakan sepuluh hari pertama bulan Muharram. Semua tafsiran boleh jadi benar, kerana masing-masing mempunyai dalil-dalil yang mendukungnnya.

Pada hari-hari terakhir ini Baginda Nabi SAW bersiaga penuh mengisi malam-malamnya, sehingga baginda mengasingkan diri dari isteri-isterinya, beriktikaf di dalam masjid, beribadah dan bermunajat kepada Allah SWT, sebagai kesempatan akhir "mengambil berkat" bulan Ramadhan. Tak hairan seperti diriwayatkan oleh isteri beliau Sayyidah A'isyah bahawa Rasulullah SAW bersungguh-sungguh dalam beribadat pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan yang tidak dilakukannya pada bulan-bulan yang lain.

Pertanyaanya, mengapa demikian? Mengapa Nabi SAW menggalakkan umatnya untuk melipatgandakan ibadah dalam masa tersebut? Jawabnya ringkas, kerana pada malam-malam bulan Ramadhan tersebut, terutama pada malam-malam yang ganjil, terdapat malam Lailatul qadar, malam kemuliaan yang sangat istimewa yang semua orang berlumba memburunya, iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan, sebagai bonus hadiah Tuhan bagi orang yang ikhlas mengabdikan diri kepada-Nya.

Lailatul qadar ibarat benda elok yang sangat indah namun bukan sentiasa ada. Tak hairan jika tak mudah meraihnya, kerana mahal harga belinya. Malam kemuliaan ini hanya boleh dibeli dengan pengorbanan jiwa raga, dengan amalan-amalan ibadah yang ditunjuk oleh agama, seperti melakukan qiyamullail, berpuasa sebaiknya, tilawah, dan tadarus al-Quran dengan tadabbur, berdoa, zikir, memperbanyak istighfar, muhasabah diri, perbanyak sedekah, serta amalan makruf yang lain untuk diri sendiri, keluarga, dan masyarakat pada umumnya.

Lailatul qadar dirahsiakan? Jelas sesuatu yang mahal dan luar biasa tentu dirahsiakan dan tidak dimaklumkan, hikmahnya agar umat semangat berlumba memburunya, dan agar ibadat tidak hanya dilakukan pada waktu tertentu sahaja, tetapi pengabdian haruslah kekal terus dilakukan selagi hayat masih di kandung badan. Merugilah kita yang luput dari peningkatan ibadah pada hari -hari sepuluh terakhir ini.

Kebahagiaan yang beriman sebenarnya bukan hanya kerana akan mendapat bonus pahala Lailatul qadar dan sejenisnya, namun kebahagiaan yang beriman itu adalah saat dirinya mengabdi, mohon ampun, berserah dan tunduk kepada pencipta-Nya, kerana itulah nikmat besar yang tiada taranya!

Wallahu 'alam
Read more >>