Khamis, 22 September 2011

Fatwa al-Azhar tentang isu berebut mayat

Bila baca isu rebut mayat yang terbaru (klik sini), teringat perbincangan penulis dengan Wakil al-Azhar (Timb. Syeikh al-Azhar) Syeikh Abdul Fattah 'Allam pada 2009 tentang isu perebutan mayat Islam dengan keluarganya yang bukan Islam. Kesimpulan daripada jawapan beliau adalah seperti berikut:


"Beliau berpandangan bahawa harus diserahkan mayat orang Islam untuk dikebumikan di perkuburan bukan Islam sebagaimana harus diserahkan mayat orang Islam kepada bukan Islam untuk diadakan ritual bukan Islam sekiranya ditakuti akan berlakunya perbalahan dan persengketaan besar antara umat Islam dan bukan Islam. Bagaimanapun mayat tersebut hendaklah diuruskan secara Islam terlebih dahulu spt dimandi, dikafan dan disolatkan. Beliau berhujah berdasarkan kaedah ‘al-dharar yuzal’ iaitu ‘bahaya dihilangkan’ dalam perkara yang melibatkan kepentingan umum. Namun, sekiranya tidak wujud sebarang masalah, maka ia kembali kepada hukum asal iaitu wajib dikebumikan di perkuburan orang Islam dan tidak diadakan upacara ritual bukan Islam ke atas mayat orang Islam".

Untuk mendengar sendiri perbincangan antara penulis dengan beliau (dalam Bahasa Arab), sila download di sini
Read more >>

Isnin, 19 September 2011

Puak 'liberal' mula mencanang ideologi inklusif

Klik sini utk baca artikel penuh

Penulis tak pasti adakah ini reaksi terhadap ucapan PM pada malam 16 September 2011 lalu. Tapi penulis ada menulis di ruangan Berita Semasa (lihat scrolling layer sebelah kanan blog ini) sejurus mendengar ucapan PM, "Alhamdulillah pengumuman PM utk memansuhkan ISA dan beberapa akta lain memberi indikasi bhw kerajaan sekarang semakin terbuka @ 'inklusif',diharapkan 'orang-orang agama' dlm kerajaan sama ada Jakim, Jain, Jab. Mufti, pensyarah universiti dll berani menegur kerajaan secara berhikmah. Zaman secara berhikmah. Zaman mengampu, taat membuta tuli & kunci mulut sepatutnya telah berakhir.Jangan pula biarkan gol. non-muslim, puak-puak sekular & liberal shj yang mengambil kesempatan ini!"

Nampaknya ayat terakhir penulis itu benar-benar jadi kenyataan. Pada 18 September 2011, dua hari selepas ucapan PM sempena Hari Malaysia, ia telah mula disambut dengan interpretasi 'inklusif' puak liberal. Ironinya ia diterbitkan pula oleh kumpulan akhbar yang dikatakan lidah rasmi Melayu-Islam di negara ini. Kumpulan akhbar ini jugalah suatu ketika dahulu menghentam ucapan berbau liberalism dan pluralisme agama oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim. Akhbar itu adalah Kosmo! iaitu tabloid milik Kumpulan Utusan, akhbar Melayu-Islam 'yang dikatakan' paling garang dan paling ulung dalam menjunjung agama Islam dan idealisme Melayu.

Apa yang dimaksudkan ialah satu artikel diterbitkan Kosmo! di ruangan 'Akademi' tulisan Shaharom Tm Sulaiman (STS) bertajuk 'Menuju Islam Inklusif'.

Permulaan artikel ini sudah menggambarkan segala isinya, ia bermula dengan satu gambar jemaah wanita sedang bersolat sambil di bawah gambar tersebut terdapat kapsyen yang menyebut "syarat pertama iaitu beriman kepada Allah tidak harus dibatasi dengan keimanan menurut cara Islam". Ayat yang diungkapkan ini, jika diungkapkan oleh STS beserta iktikad di dalam hati dan tanpa sebarang keuzuran spt jahil dll, maka ia merupakan kalimah kufur yang boleh membawa kepada murtad!

Dua kesalahan fatal yang dilakukan STS. Pertama, beriman kepada Allah dikatakan 'syarat' sedangkan ia adalah 'rukun'. Tidak mengerti beza antara 'syarat' dan 'rukun' menyebabkan STS membuat kesalahan yang kedua. STS menyimpulkan bhw beriman kpd Allah tidak semestinya ikut cara Islam. STS perlu faham, 'syarat' iaitu adanya sesuatu tidak semesti adanya sesuatu yg lain manakala 'rukun' pula iaitu tiadanya sesuatu menyebabkan tiadanya sesuatu yg lain. Bermakna kalau kita mengatakan beriman kepada Allah itu hanya 'syarat', dengan teori ini mungkin saja kita mengatakan sekadar beriman kepada Allah itu sudah memadai sebagai syarat adanya agama.

Tapi dalam konteks Islam, beriman kepada Allah adalah rukun bukan syarat. Bermakna, tidak beriman kepada Allah maka dikira tidak Islam. Bahkan memang tak dapat nak digambarkan bagaimana seseorang itu beriman kepada Allah (dengan cara yang benar) jika dia bukan seorang muslim. Maknanya, 'rukun' adalah sesuatu yang tidak boleh berpisah-pisah. Jika tiada, tiadalah sesuatu, jika ada maka adalah sesuatu itu. Jadi, sesuatu yang tidak tergambarkan, bagaimana mungkin keimanan kepada Allah boleh dipisahkan daripada Islam?

Seterusnya STS menulis dengan mengambil hujah pemuka-pemuka Islam liberal di seperti Nurcholis Madjid, Alwi Shihab, Fazlur Rahman, di samping turut menyelewengkan idea pemikir-pemikir Islam tersohor seperti Syeikh Muhammad Abduh dan Syeikh Muhammad Rashid Ridha yang dikatakan telah berusaha untuk menunjukkan semangat inklusif.

Dakwaan kononnya Muhammad Abduh berpendapat bahawa "syarat pertama iaitu beriman kepada Allah tidak harus dibatasi dengan keimanan menurut cara Islam" dan selanjutnya diperjuangkan oleh Muhammad Rashid Ridha adalah suatu kesilapan fakta. Mana mungkin seorang imam sehebat Syeikh Muhammad Abduh yang juga bekas Mufti Mesir, akan berpegang kepada fahaman inklusif versi pluralisme agama. Malah jika dibaca kitab terkenal beliau berkenaan aqidah iaitu 'Rilasat al-Tauhid', kita akan dapati bahawa Syeikh Muhammad Abduh memiliki pegangan aqidah Islam yang kukuh dan tulin. Beliau juga pernah menulis kitab 'al-Islam wa al-Nasraniyyah ma'a al-'Ilm wa al-Madaniyyah' yang menghuraikan pertentangan antara Islam dan Kristian serta pertembungan antara tamadun Islam dan Barat.

Sebenarnya apa yang disalahfahami oleh Alwi Shihab dan kumpulannya serta diikuti membuta tuli oleh STS adalah kefahaman terhadap konsep tauhid yang dibawa oleh para nabi dan rasul terdahulu. Syeikh Muhammad Abduh memaksudkan bahawa setiap nabi dan rasul dalam ajaran terdahulu membawa konsep tauhid yang sama seperti yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Perlu diingat bahawa ajaran terdahulu bukan langsung bermakna ajaran-ajaran agama yang telah diselewengkan sehingga melahirkan Kristian, Yahudi dan agama-agama lain, sebaliknya ia adalah ajaran-ajaran asal berupa wahyu Allah SWT yang dibawa oleh para nabi dan rasul terdahulu. Inilah hujjah yang sengaja disalahfahami oleh Alwi Shihab dan golongan liberal lain lalu disandarkan kepada Syeikh Muhammad Abduh dan lain-lain.    

Kesimpulannya, artikel ini WAJIB ditarik balik oleh pihak Kosmo! yang merupakan tabloid di bawah kelolaan Kumpulan Utusan. Ia telah menghina agama Islam yang suci dan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan fahaman Islam liberal dan pluralisme agama. Jika tidak, selepas ini Kumpulan Utusan jangan bicara soal mempertahankan agama dan aqidah kerana mereka sendiri terlibat dalam menyebarkan fahaman Islam inklusif versi pluralisme dan liberalisme agama. Wallahu a’lam.

Read more >>

Khamis, 15 September 2011

Isu tokoh kemerdekaan yang kontroversi

Bila merenung perbalahan politik yang sedang berlaku, entah kenapa tiba-tiba penulis teringatkan rancangan “Law Kaana Bainanaa” (Kalaulah Nabi SAW bersama kita) terbitan Ustaz Ahmad al-Syuqairi.

Amat sedih, perbalahan politik yang berlaku, bukan lagi berkait soal dasar dan manifesto perjuangan, tetapi ia soal akhlak Islam yang digadaikan. Begitu mengharukan, orang-orang yang telah meninggal dunia turut dilibatkan oleh politikus yg rakus, hingga mereka menjadi mangsa dikeji, diperleceh, ditohmah, diungkit tanpa apa-apa keperluan darurat. Allahu Akbar! Dimanakah hilangnya akhlak Rasulullah SAW yang mulia itu? Jika diandaikan Rasulullah SAW bersama, bagaimanakah reaksi Baginda SAW terhadap perbuatan sebegini?

Tanpa mahu menyokong mana-mana parti, tanpa mengira daripada parti mana pun orang yang dicaci itu, jika dia telah meninggal dunia dan masyarakat bersaksi bahawa pada zahirnya dia seorang muslim ketika matinya, maka janganlah maruahnya dirobek-robek selepas kematiannya. Malah perkara ini ditegah dan dilarang sama sekali oleh Rasulullah SAW. Baginda SAW bersabda :
لا تسبوا الأموات فإنهم قد أفضوا إلى ما قدموا

“Janganlah kamu mencaci orang yang telah meninggal dunia, sesungguhnya mereka telah menerima balasan atas apa yang mereka kerjakan (ketika di dunia)”. (Riwayat al-Bukhari)

Lihatlah bagaimana tarbiyah akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW apabila Baginda SAW mendengar orang yang hidup mencaci-maki orang yang telah meninggal dunia.

Al-Hafiz Imam Jalaluddin al-Sayuti dalam kitab al-Luma’ fi Asbab Wurud al-Hadith menukilkan daripada Ibn Sa’ad, Imam Ahmad dan al-Hakim yang mensahihkannya daripada Ibn Abbas, satu riwayat mengenai seorang lelaki yang telah mencaci bapa al-Abbas (mengenai kisah lampau). Dalam satu lafaz menyebut : (Lelaki tersebut) berkata kepadanya (al-Abbas), aku telah melihat Abdul Muttalib bin Hashim dan al-Ghaithalah, bomoh perempuan Bani Sahm, semoga Allah menghimpunkan kedua-duanya di dalam neraka. (Akibat sakit hati dengan perkataan itu) al-Abbas telah menamparnya. (Kabilah orang itu tidak berpuas hati lalu) mereka berkata, "Demi Allah, kami akan menamparnya seperti ia menampar saudara kami!" Hal ini diketahui oleh Rasulullah SAW, lalu Baginda SAW mengumpulkan kaum muslimin dan naik ke atas mimbar kemudian bersabda, "Siapa orang yang paling mulia di sisi Allah? Mereka menjawab: Engkau, ya Rasulullah! Lalu Baginda bersabda: "(Tahukah kalian) bahawa al-Abbas itu dariku dan aku darinya. Janganlah kalian mengumpat orang-orang yang sudah mati, lalu dengannya akan menyakiti hati orang-orang yang masih hidup".

Al-Sayuti juga mengeluarkan daripada Ibn Sa’ad dan al-Hakim juga telah mensahihkannya, satu riwayat daripada Ummu Salamah yang berkata : ‘Ikrimah bin Abi Jahal telah mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa setiap kali dia melalui (jalan) di Madinah, diseru kepadanya : “Ini adalah anak musuh Allah”. Lalu Baginda SAW bersabda dalam khutbahnya : “Manusia itu ibarat logam, mana yang baik dalam jahiliyah, baik juga dalam Islam sekiranya mereka faham (beragama), maka janganlah kamu menyakiti seorang Islam kerana seorang kafir”.

Jika diteliti, kedua-dua riwayat di atas menunjukkan larangan Rasulullah SAW daripada mencaci orang yang telah meninggal dunia walaupun dia adalah seorang kafir. Baginda SAW menegah kerana perbuatan itu boleh membangkitkan kemarahan kaum keluarganya yang masih hidup. Bayangkan jika yang dicaci itu adalah seorang muslim yang sudah pasti berpeluang untuk mendapat rahmat dan keampunan Allah SWT. Lantaran itu Rasulullah SAW dalam hadith yang lain menyebut:

سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ وَقِتَالُهُ كُفْرٌ

“Mencaci maki orang muslim itu perbuatan fasiq dan memeranginya adalah perbuatan kufur”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kata Ibn Battal ketika mensyarahkan hadith ini, maksud dilarang mencaci orang muslim itu, kerana maruah diri seorang muslim adalah terpelihara (haram dicabul) sebagaimana haram darah dan hartanya. Kaedah fiqh juga menyebut :

الأصل براءة الذمة

“Asal seseorang itu adalah suci maruahnya (bebas dari tuduhan, tanggungan dll)”.

Bagi penulis, memang tidak dinafikan, kemungkinan orang yang dicaci itu ada melakukan kesalahan dan kesilapan ketika hidupnya, tetapi dalam banyak keadaan, kesalahan dan kesilapan itu tidak dapat dipastikan, adakah ia disengajakan atau tidak? Apakah niatnya yang sebenar? Tiada siapa yang mengetahuinya kecuali Allah SWT. Hal ini sama dengan apa yang diungkapkan oleh Baginda SAW:

‏"‏يغزو جيش الكعبة فإذا كانوا ببيداء من الأرض يخسف بأولهم وآخرهم‏"‏‏.‏قالت‏:‏ قلت‏:‏ يارسول الله، كيف يخسف بأولهم وآخرهم وفيهم أسواقهم ومن ليس منهم‏!‏‏؟‏ قال‏:‏ ‏"‏يخسف بأولهم وآخرهم، ثم يبعثون على نياتهم‏"‏‏‏‏.‏

"Ada sepasukan tentera yang hendak memerangi - menghancurkan - Ka'bah, kemudian setelah mereka berada di suatu padang dari tanah lapang lalu dibenamkan (dalam tanah) dengan yang pertama sampai yang terakhir dari mereka semuanya. (Aisyah bertanya): Saya berkata: Wahai Rasulullah, bagaimanakah semuanya dibenamkan dari yang pertama sampai yang terakhir, sedang di antara mereka itu ada para pedagang serta ada pula orang yang tidak termasuk golongan mereka tadi (yakni tidak berniat ikut menggempur Ka'bah?) Rasulullah SAW menjawab: Ya, semuanya dibenamkan dari yang pertama sampai yang terakhir, kemudian nantinya mereka itu akan dibangkitkan mengikut niat masing-masing. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari, hadith ini menunjukkan niat memberi kesan utama terhadap segala amalan yang akan ditimbang di hari akhirat kelak.

Bermakna, dalam membahaskan isu tokoh-tokoh kemerdekaan yg kontroversi “antara pejuang dan pengkhianat”, penulis lebih cenderung untuk mengembalikan urusan mereka yang terlibat kepada Allah SWT. Tiada yang mengetahui niat sebenar mereka itu kecuali Allah SWT. Silap jika kita mengatakan sejarah boleh membuktikan segala-galanya, bahkan tidak! Ini kerana sejarah itu catatan manusiawi yang tidak pernah luput dari salah dan silap. Tetapi petunjuk wahyu dan hikmah rasul itulah yang sepatutnya menjadi rujukan setiap muslim.

Semoga Allah SWT merahmati dan mengampuni semua pejuang kemerdekaan beragama Islam tanpa mengira siapa dan apa partinya. Diulangi sekali lagi sabda Rasulullah SAW:

...فإنهم قد أفضوا إلى ما قدموا

“…sesungguhnya mereka telah menerima balasan atas apa yang mereka kerjakan (ketika di dunia)”.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 118:

إِنْ تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ وَإِنْ تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

“Jika Engkau mengazab mereka, sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba-Mu, jika Engkau mengampunkan mereka, sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Mulia lagi Maha Bijaksana”.

Al-Fatihah buat semua mereka.

Wallahu a’lam.
Read more >>

Selasa, 13 September 2011

Haramkan rancangan satanist 'Criss Angel Mindfreak' di NTV7!!

Klik di sini untuk melihat promo Media Prima
Lebih kurang pukul 9 malam tadi, penulis menerima sms tentang sebuah rancangan ala silap mata di channel NTV7 berjudul "Criss Angel Mindfreak". Apa yang mengejutkan rancangan ini bukan cerita silap mata biasa tetapi ia adalah sebuah persembahan ilmu sihir yang menjadi amalan golongan satanism (penyembah syaitan) yang menganut faham illuminati @ freemasonry. Jelas pada tubuhnya menggantung simbol salib dan simbolnya sendiri 'angel' yang berasal usul daripada simbol anarchy yang berasal usul pula daripada simbol pentagram yang merupakan occultic symbol bagi penganut freemason.

Perbuatan-perbuatan yang dilakukan pula adalah jelas merupakan perbuatan sihir yang diharamkan oleh Islam dan amat tidak wajar sekali ia dipertontonkan dalam sebuah negara Islam. Antaran persembahannya seperti membuat ramalan nombor ekor dgn tepat, mengubah kedudukan sesuatu benda, terbang ke atas, meneka sesuatu dengan tepat dan lain-lain. Semua ini dilakukan dalam keadaan simbol-simbol keagamaan tadi tergantung pada lehernya. Malah Criss Angel sendiri menjadi kontroversi di kalangan penganut Kristian kerana cuba menggambarkan dirinya sebagai Jesus (Nabi Isa). Ini boleh dilihat dalam beberapa percubaan sihir beliau untuk melakukan apa yang dikatakan sebagai perbuatan mencarik adat Jesus. Sila lihat pembongkaran yang dibuat oleh blogger Kristian di ini.

Oleh itu, dengan tegasnya, penulis memohon seluruh umat Islam supaya mendesak Media Prima menarik balik rancangan yang berpaksikan amalan satanism ini. Bahkan ia sewajarnya diharamkan daripada ditayangkan di negara ini sama sekali dan mana-mana media yang menayangkan rancangan seumpama ini, WAJIB dikenakan tindakan yang tegas! Sesungguhnya membiarkan rancangan begini ditayangkan bermakna kita bersikap dayus dalam memelihara Islam dan umatnya khususnya generasi baru spt kanak-kanak dan remaja serta mereka yang lemah pegangan agama.

Wallahu a'lam.
Read more >>

Isnin, 12 September 2011

Apa hukuman yang menanti Makcik Hajjah Sitt Wuzara'?

Sampai saat ini kita masih lagi bingung, siapakah sebenarnya makhluk Allah yang menggelarkan dirinya Makcik Hajjah Sitt al-Wuzara (MHSW). Sampaikan ada beberapa parti politik dan NGO’s Islam yang bangkit mempertikaikan tindakan lembap pihak berkuasa agama. Walaupun bagi penulis, yang lebih PATUT dipertikaikan adalah pemerintah secara amnya, kerana yang dihina oleh MHSW itu bukan setakat menyentuh enakmen dan akta agama semata-mata, tetapi ia menggugat kedudukan Islam sebagai ‘agama persekutuan’ di negara ini sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3(1). Adakah memburuk-burukkan ‘agama persekutuan’ yang diangkat oleh perlembagaan itu bukan satu jenayah sivil?

Kadang-kadang penulis terfikir ada baiknya MHSW itu belum ditemui, kalaupun berjaya ditangkap, adakah pemerintah telah jelas dan sepakat terhadap tindakan yang akan diambil ke atasnya? Di bawah peruntukan mana? Enakmen atau akta mana? Di bawah undang-undang sivil atau agama? Kalau jawapannya, di bawah undang-undang agama, bermakna hukuman yang bakal diterima oleh MHSW adalah;

Jika di Wilayah Persekutuan, di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina dll, jika sabit kesalahan akan didenda tidak melebihi RM3000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.

Jika di negeri lain seperti Melaka, sesiapa dengan secara lisan atau tulisan atau kelakuan yang nyata atau sebarang cara yang membawa kepada mencerca atau disifatkan sebagai menghina atau cuba mencerca atau menghina Agama Islam, perjalanan mana-mana mazhab yang muktabar, pegawai Agama, guru agama dan imam yang dilantik dengan sahnya menurut undang-undang, mana-mana fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis atau mufti di bawah peruntukan enakmen, adalah merupakan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 5000 atau penjara tidak lebih 36 bulan atau kedua-duanya (Enakmen Kesalahan Syariah Melaka 1991, seksyen 63). Begitulah seterusnya di negeri-negeri lain, tidak akan keluar daripada ‘rumus 356’.

Hakikatnya, itulah keupayaan dan kuasa yang telah diperturunkan oleh pemerintah kepada pihak berkuasa agama yang bertanggungjawab menggalas tugas berat memelihara ‘agama persekutuan’ yang termaktub dalam perlembagaan negara. Lebih mendukacitakan, jika hukuman telah dijatuhkan dan pesalah telah selesai menjalani hukuman, pesalah akan balik melakukan kesalahan yang sama seolah-olah tiada apa kesan atau sedikit pun perasaan TAKUT @ GERUN terhadap hukuman yang pernah dilaluinya. Soalnya, wajarkah ketika itu pihak berkuasa agama dipersalahkan?

Dalam kes MHSW, penulis dengan berani (setelah membaca tulisan-tulisannya di laman web dan twitter) mengatakan bahawa perbuatan MHSW boleh membawa kepada murtad dalam kategori hirabah, iaitu murtad dan memerangi Islam. Dia bukan sekadar memurtadkan dirinya dengan tulisan-tulisannya, tetapi turut menghina dan mencabar kesucian Islam serta menyebarkannya kepada umat Islam yang lain.

Menurut Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, bila mana kemurtadannya diwar-warkan kepada orang ramai dan diiklankan kepercayaan barunya kepada khalayak, ia sekaligus telah mengisytiharkan serangan berbentuk pemikiran (al-harb al-fikriyyah) ke atas Islam dan aqidahnya. Tindakan tersebut boleh menimbulkan atau menanam bibit keraguan dalam hati orang ramai yang masih menganut Islam. Ketika ini, tindakan murtad perlu dilihat bukan dari segi hak peribadinya untuk menukar agama, tetapi dari aspek adanya unsur hirabah’’, iaitu serangan terhadap dasar-dasar agama yang menjadi tonggak utama kerajaan Islam. Lantaran itu, langkah-langkah perlu diambil bermula  dari proses memberi penjelasan bagi merungkai keraguannya, meminta supaya bertaubat dan berakhir dengan pelaksanaan hukuman bunuh atas dasar hirabah’’ (al-qatlu hirabatan) sekiranya ia tetap berdegil mempertahankan pendiriannya untuk murtad. Ertinya murtad dibunuh bukan atas kekufuranya, tetapi atas dasar hirabah.  (al-Buti, (2004), Hurriyah al-Insan fi Zill `Ubudiyyah Li-Allah. Damsyik: Dar al-Fikr, h. 85-87).

Ini jelas berdasarkan ayat 33 surah al-Ma‘idah bermaksud:  Sesungguhnya balasan bagi orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan  melakukan fasad (kerosakan) di muka bumi ialah sama ada dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kakinya secara bersilang atau dibuang negeri....

Walaupun ayat ini difahami oleh kebanyakan ulama sebagai ayat untuk menghukum penjenayah rompak dan samun, tetapi tidak dinafikan bahawa perbuatan murtad secara terang-terangan adalah salah satu daripada perbuatan memerangi Allah dan Rasul-Nya. Maka terdapat ulama Salaf  yang berpendapat hukum bunuh si murtad  itu juga diambil daripada ayat ini, selain  hadith-hadith  sahih  lain  yang  bertindak  sebagai  penghurai.  Antara  yang berkata demikian ialah Abu Qilabah dan lain-lain. (Lihat Ibn Rajab al-Hanbali, Jami’ al-`Ulum wa al-Hikam, hal. 32; juga Dr. Yusuf al-Qaradawi (1993), Malamih al- Mujtama` al-Muslim Allazi Nansyuduhu, Kaherah: Maktabah Wahbah, hal. 41)

Ini bermakna, hukuman yang terkandung dalam enakmen atau akta agama sedia ada dalam soal memerangi Islam (seperti menghina Allah, Rasulullah SAW, hukum hakam dan sebagainya) adalah sama sekali bertentangan dengan saranan al-Qur’an yang meletakkan sedahsyat-dahsyat hukuman terhadap golongan sebegini! Bahkan hukuman sedia ada itu, jika dipraktikkan, mungkin akan menjadi bahan perlecehan golongan penghina Islam yang berpengaruh, berkedudukan dan berharta. Ini kerana hukuman tersebut tidak akan memberi apa-apa kesan terhadap diri mereka.

Cuba kita tinjau kesalahan-kesalahan yang diiktiraf oleh undang-undang sivil sebagai jenayah paling berat yang boleh membawa pelakunya kepada HUKUMAN MATI :
  • Seksyen 121 Kanun Keseksaan: Melancarkan perang terhadap Yang Di-pertuan Agong.
  • Seksyen 121A Kanun Keseksaan: Salahlaku jenayah terhadap Sultan dan Yang Dipertua, iaitu cubaan (ataupun yang berjaya!) mencederakan, membunuh atau mengurung mereka dan waris-waris mereka.
  • Seksyen 132 Kanun Keseksaan – Bersuhabat memberontak dalam Angkatan Tentera.
  • Seksyen 302 Kanun Keseksaan – Pembunuhan, hukuman mati mandatori yang pertama.
  • Seksyen 305 Kanun Keseksaan – Memberikan bantuan kepada seseorang yang (mengikut pengertian undang-undang) tidak berdaya untuk membunuh diri, seperti seorang kanak-kanak, seseorang yang sakit jiwa dan sebagainya.
  • Seksyen 307C Kanun Keseksaan – Cubaan membunuh, sekiranya anda telahpun dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun atau lebih
  • Seksyen 364 Kanun Keseksaan – Penculikan untuk tujuan pembunuhan
  • Seksyen 374A Kanun Keseksaan – Menjadikan seseorang sebagai tebusan
  • Seksyen 396 Kanun Keseksaan – Rompakan berkumpulan melibatkan pembunuhan
  • Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya – Mengedar dadah, satu hukuman mati mandatori
  • Seksyen 57 Akta Keselamatan Negeri – Memiliki senjata api.


Soalnya sekarang, adakah sesiapa di kalangan kita yang berani untuk mengatakan kesalahan memerangi Allah SWT dan Rasulullah SAW itu adalah jauh lebih ringan daripada kesalahan-kesalahan di atas sehingga hukumannya cukup sekadar ‘rumus 356’?

Semoga Allah SWT memberi hidayah kepada kita semua untuk melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Amin…
Read more >>

Himpunan Artikel