Nampaknya
isu hudud semakin galak diperkatakan oleh pihak non-muslim. Ia memperlihatkan
betapa prihatinnya golongan non-muslim memantau dan meneliti pelaksanaan hukum
jenayah Islam di Malaysia. Walaupun suara-suara yang mahukan pelaksanaan itu
hakikatnya datang daripada pihak pembangkang (khususnya Pas) yang mungkin sukar
untuk dilaksanakan dalam waktu terdekat, namun perang psikologi terhadap
pelaksanaan tersebut telah pun dilakukan oleh pihak non-muslim seolah-olah
hudud akan dilaksanakan pada esok atau lusa.
Bagi
penulis, penolakan hudud oleh non-muslim itu boleh dianggap sebagai perkara
biasa. Ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana mereka memang pun tidak
beriman dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW mengenai
hudud. Namun begitu, mereka terus mengkaji, meneliti, memerhati, memantau dan
membuat ramalan dan andaian jika sekiranya hudud benar-benar berlaku. Begitulah
tajamnya pemerhatian mereka terhadap pelaksanaan hudud di Malaysia. Soalnya,
apa yang dibuat oleh kita sesama muslim dalam menanggapi isu ini? Pemerhatian
penulis boleh diterjemahkan menerusi beberapa noktah berikut:
a) Tiada sebarang persepakatan
antara dua parti politik Melayu Islam terbesar di negara ini iaitu Pas dan UMNO
untuk melaksanakan hudud. Walaupun kedua-duanya sepakat bahawa hukum hudud
terdapat di dalam al-Qur'an dan al-Sunah, namun kedua-duanya saling bercanggah
dalam teknikal pelaksanaannya hingga menyebabkan isu hudud terbengkalai
selama 55 tahun.
b) Pas mendakwa telah berusaha
untuk melaksanakan hudud di negeri-negeri yang ditawan seperti Kelantan dan
Terengganu, namun kerajaan pusat tidak membenarkan pelaksanaannya. UMNO pula
mendakwa hudud Pas bukan hudud Allah, namun tidak pula UMNO membentangkan hudud
Allah yang sebenar.
c) Ulama Muda UMNO (ILMUAN)
menambahkan lagi hujah ketidakkemungkinan hudud dilaksanakan apabila mengatakan
hudud WAJIB dijalankan secara menyeluruh merangkumi muslim dan non-muslim
supaya ianya menepati prinsip keadilan. Oleh itu, selagimana non-muslim tidak
mahu menerima hudud, maka selagi itulah hudud mustahil untuk dilaksanakan. Pas
pula mengatakan bahawa pelaksanaan hudud hanya dijalankan di kalangan muslim
sedangkan non-muslim diberi pilihan sama ada mahu dihukum berdasarkan hudud
atau sivil.
d) Sebahagian ilmuan muslim pula
berpandangan hudud tidak boleh dilaksanakan kecuali masyarakat benar-benar
telah bersedia dan berada dalam suasana yang kondusif. Selagimana tahap
tersebut tidak dicapai maka hudud tidak boleh dilaksanakan. Namun, tidak pula
dinyatakan apakah 'benchmark' untuk mengukur masyarakat yang bersedia dan
bersuasana kondusif tersebut. Boleh sahaja hujah yang seperti ini digunakan
untuk 100 tahun lagi.
e) Tiada pihak yang membuat
kajian perbandingan antara permulaan pelaksanaan undang-undang jenayah sivil
dengan permulaan undang-undang jenayah Islam. Sepengetahuan penulis, permulaan
undang-undang jenayah sivil tidak pula dibebankan dengan syarat-syarat seperti
persediaan masyarakat, pemahaman rakyat tentang undang-undang dan suasana yang
kondusif. Tetapi kenapa apabila undang-undang jenayah Islam ingin kembali
dipraktikkan setelah sekian lama dihapuskan oleh penjajah,lalu
ia dibebankan dengan pelbagai syarat? Adakah syarat-syarat itu hanya alasan
bagi melengah-lengahkan pelaksanaan hukum Islam atau ia memang perlu dipenuhi terlebih
dahulu?
Sultan Brunei komited laksanakan hudud |
f) Pihak autoriti agama yang
diperturunkan kuasanya oleh Yang Di Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu seperti
majlis fatwa kebangsaan, majlis agama Islam negeri-negeri, jabatan gama Islam
negeri-negeri, mufti-mufti dilihat hanya membisu seribu bahasa. Tidak
berperanan malah tidak memainkan apa-apa fungsi yang patut bagi menjelaskan
kekeliruan yang sedang berlaku. Sepatutnya sebagai sahib al-amanah (pemegang
amanah agama Islam) mereka perlu tampil bersuara secara kolektif untuk
menerangkan kedudukan sebenar hudud khususnya bagi mengelakkan isu ini terus
dimainkan oleh ahli politik berkepentingan, ilmuan Islam yang tidak terarah dan
golongan non-muslim yang tersalah anggapan.
Sebagai
penyelesaiannya penulis mencadangkan seperti berikut:
a) Ketua tertinggi agama Islam
di negara ini iaitu YDPA dan Raja-Raja Melayu perlu menyatakan solidariti yang
padu terhadap pensyariatan hudud sebagai
salah satu daripada hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Penulis yakin
jika Raja-Raja Melayu sendiri yang mengeluarkan kenyataan mempertahankan
pensyariatan hudud, ia sudah pasti dapat meredakan kenyataan-kenyataan tidak
bertanggungjawab golongan non-muslim yang beranggapan isu hudud hanyalah mainan
politik semata-mata.
b) Pihak autoriti agama
seperti majlis fatwa kebangsaan, majlis agama Islam, jabatan agama Islam,
jabatan mufti, Jakim, JKSM, Ikim dan lain-lain perlu mempersiapkan draf lengkap
jangka panjang dan jangka pendek pelaksanaan hudud di Malaysia dengan melihat
kepada kedua-dua sudut teknikal perundangan mahupun hukum syara'. Mana-mana
parti politik tidak perlu terlibat secara langsung dalam menggubal draf hudud
tersebut bagi mengelakkan keluarnya istilah 'hudud Pas' atau 'hudud UMNO'.
c) Ditubuhkan kumpulan pemikir
yang terdiri daripada pakar-pakar agama, perundangan Islam dan perbandingan
agama sama ada tokoh-tokoh di peringkat tempatan mahupun antarabangsa yang
berfungsi untuk memberi penjelasan dan pencerahan terhadap sebarang keraguan
yang ditimbulkan oleh mana-mana pihak sama ada golongan muslim atau non-muslim berkenaan
pelaksanaan hudud.
Penulis
yakin jika ahli-ahli politik muslim di semua peringkat daripada Perdana Menteri
hingga ADUN biasa sama ada kerajaan atau pembangkang, bersedia memberi
KEBEBASAN kepada ketiga-tiga institusi di atas iaitu institusi raja, institusi
agama dan golongan pakar memainkan peranan masing-masing, nescaya hudud boleh
dijalankan secara aman dan damai walaupun mungkin bukan dalam jangka waktu yang
terdekat.
Apa
yang penting, perancangan ke arah pelaksanaannya itu mampu berjalan tanpa
konflik, tanpa perbalahan sesama sendiri dan tanpa campur tangan bukan Islam.
Hudud juga akhirnya tidak menjadi retorik politik sesetengah pihak yang asyik
berselindung di sebalik hujjah "tadarruj" atau
"beransur-ansur". Hal ini seperti mana penjelasan Imam al-Qaradawi
dalam kitabnya "Fi Fiqh al-Awlawiyyat" berikut:
ولا نعني بالتدرج
هنا مجرد التسويف
وتأجيل التنفيذ ٬ واتخاذ كلمة
التدرج "تكأة" لتمويت فكرة المطالبة
الشعبية الملحة بإقامة
حكم الله ٬ وتطبيق شرعه
٬ بل
نعني بها تعيين الهدف
٬ ووضع
الخطة ٬ وتحديد المراحل
٬ بوعي
وصدق ٬ بحيث تسلم
كل مرحلة إلى
ما
بعدها بالتخطيط والتنظيم والتصميم
٬ حتى
تصل المسيرة إلى
المرحلة المنشودة والأخيرة التي
فيها قيام الإسلام
٬ كل
الإسلام.
Maksudnya:
"Dan kita tidak maksudkan tadarruj di sini hanya pelengahan dan
penangguhan pelaksanaan, dan penggunaan kalimah tadarruj sebagai sandaran untuk
mematikan fikrah tuntutan rakyat yang mendesak untuk menegakkan hukum Allah dan
melaksanakan syariat-Nya, bahkan apa yang kita maksudkan dengannya (tadarruj)
ialah menentukan matlamat, meletakkan perancangan, menetapkan fasa-fasa dengan
penuh kesedaran dan kejujuran, agar setiap fasa diserahkan kepada yang
seterusnya secara berstrategi, tersusun dan sistematik hinggalah perjalanan sampai
kepada peringkat terakhir yang diimpikan yang padanya terbangun Islam, keseluruhan
Islam".
Wallahu
a'lam…