Khamis, 19 Mei 2011

Perihal intip mengintip

Penulis kurang bersetuju dengan kenyataan kurang cermat yang mengecam tindakan penguatkuasa (muhtasib) menjalankan intipan atau tajassus untuk menangkap orang yang melakukan maksiat. Bagi penulis kecaman itu terlalu umum dan boleh merosakkan nama baik konsep 'al-amr bil ma'ruf wa an-nahy 'an al-munkar' atau hisbah. Sebaiknya diteliti terlebih dahulu mana silapnya. Adakah berlaku kesilapan teknikal atau tidak mengikut prosedur seperti membawa wartawan bersama. Dari sudut hukum, penguatkuasa memang punya hak untuk melakukan tajassus atau intipan dalam situasi tertentu apabila mendapat maklumat seperti aduan daripada saksi atau orang yang dipercayai berkenaan kemungkaran yang sedang berlaku. Memang asal hukum mengintip itu haram tetapi untuk tujuan mencegah kemungkaran maka dalam tahap tertentu ia dibenarkan seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Mawardi :

أَنْ يَكُونَ ذَلِكَ فِي انْتِهَاكِ حُرْمَةٍ يَفُوتُ اسْتِدْرَاكُهَا ، مِثْلُ أَنْ يُخْبِرَهُ مَنْ يَثِقُ بِصِدْقِهِ أَنَّ رَجُلًا خَلَا بِامْرَأَةٍ لِيَزْنِيَ بِهَا أَوْ بِرَجُلٍ لِيَقْتُلَهُ ، فَيَجُوزُ لَهُ فِي مِثْلِ هَذِهِ الْحَالَةِ أَنْ يَتَجَسَّسَ وَيُقْدِمَ، وَهَكَذَا لَوْ عَرَفَ ذَلِكَ قَوْمٌ مِنْ الْمُتَطَوِّعَةِ جَازَ لَهُمْ الْإِقْدَامُ عَلَى الْكَشْفِ ، وَالْبَحْثُ فِي ذَلِكَ ، وَالْإِنْكَارُ .
كَاَلَّذِي كَانَ مِنْ شَأْنِ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ. فَقَدْ رُوِيَ أَنَّهُ كَانَ تَخْتَلِفُ إلَيْهِ بِالْبَصْرَةِ امْرَأَةٌ مِنْ بَنِي هِلَالٍ يُقَالُ لَهَا أُمُّ جَمِيل بِنْتُ مِحْجَنِ بْنِ الْأَفْقَمِ وَكَانَ لَهَا زَوْجٌ مِنْ ثَقِيفٍ يُقَالُ لَهُ الْحَجَّاجُ بْنُ عُبَيْدٍ ، فَبَلَغَ ذَلِكَ أَبَا بَكْرِ بْنَ مَسْرُوحٍ وَسَهْلَ بْنَ مَعْبَدٍ وَنَافِعَ بْنَ الْحَارِثِ وَزِيَادَ بْنَ عُبَيْدٍ فَرَصَدُوهُ حَتَّى إذَا دَخَلَتْ عَلَيْهِ هَجَمُوا عَلَيْهِمَا وَكَانَ مِنْ أَمْرِهِمْ فِي الشَّهَادَةِ عَلَيْهِ عِنْدَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ مَا هُوَ مَشْهُورٌ فَلَمْ يُنْكِرْ عَلَيْهِمْ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ هُجُومَهُمْ. وَإِنْ كَانَ حَدَّهُمْ الْقَذْفَ عِنْدَ قُصُورِ الشَّهَادَةِ .

Maksudnya : "Maksiat yang sekiranya dibiarkan, akan berlaku satu pencerobohan dan pencemaran terhadap maruah dan kehormatan yang akan terlepas daripada disekat dan dihalang. Misalnya, sekiranya seseorang yang dipercayai membuat aduan kepada penguatkuasa tentang seorang lelaki yang berdua-duaan dengan seorang wanita untuk berzina dengannya atau dengan lelaki lain untuk membunuhnya. Maka penguatkuasa dalam keadaan ini boleh membuat intipan dan berusaha untuk membongkar, menyiasat dan menyelidiknya untuk mengelak daripada terluputnya usaha menyekat dan menghalang pencerobohan terhadap kehormatan dan melakukan perbuatan yang haram. Begitu juga dengan penguatkuasa yang sukarela (yang tidak dibayar gaji), boleh juga melakukan pembongkaran dan penyiasatan serta memungkirinya.

Seperti dalam kisah al-Mughirah bin Syu`bah. Seorang wanita daripada kalangan Bani Hilal bernama Ummu Jamil, suaminya bernama al-Hajjaj bin `Ubaid, selalu datang bertemu beliau (al-Mughirah) di Basrah. Perkara itu diketahui oleh Abu Bakrah bin Masruh, Sahl bin Ma'bad, Nafi` bin Harith dan Ziyad bin 'Ubaid. Mereka lalu mengintipnya hinggalah apabila wanita itu masuk bertemunya mereka menyerbu mereka berdua. Yang masyhur, Umar dalam hal ini menilai mereka dari sudut kesaksian dan tidak menyalahkan tindakan mereka menyerbu,  walaupun mereka boleh dihukum qazaf jika tidak memiliki saksi yang mencukupi". (Rujuk al-Mawardi, al-Ahkam al-Sultaniyyah, Bab 10 : Fi Ahkam al-Hisbah, j.2, hal. 8)

Bagi penulis, dalam keadaan fitnah yang teramat dahsyat pada zaman ini, khususnya gejala seks bebas dan pembuangan bayi yang berleluasa, adalah menjadi satu kewajipan bagi pihak pemerintah menggiatkan aktiviti 'pencegahan maksiat' dengan menerima aduan, membuat risikan dan menyiasat modus operandi golongan terbabit bagi memastikan kewajipan mencegah kemungkaran dapat ditegakkan. Bahkan perbuatan itu tidak boleh dikatakan tersembunyi lagi jika ia telah menjadi fenomena biasa dalam masyarakat berbeza dengan zaman para sahabat dan tabi'in yang sangat kuat berpegang kepada nilai-nilai ketaqwaan dan ketaatan kepada agama. Kes-kes zina adalah sesuatu yang terpencil dan sangat asing bagi mereka!

Sebagai contoh pada malam-malam sambutan tahun baru atau malam kemerdekaan, telah menjadi lumrah anak-anak muda akan melakukan aktiviti-aktiviti tidak bermoral di hotel-hotel murah atau lokasi tertentu yang tersembunyi. Adakah kita ingin katakan kerana ia dilakukan secara tersembunyi dan tertutup, maka para penguatkuasa tidak perlu bertugas dan serahkan sahaja urusan mereka kepada Allah SWT. Bagi penulis kalau begini pendiriannya, bermakna kita telah menjadi pendukung-pendukung golongan liberal yang berpegang kepada konsep human right membabi buta dan slogan 'personal sin', kononnya dosa peribadi yang tiada kena mengena dengan orang lain.

Akhirnya, penulis ingin menukilkan kata-kata al-Qaradawi betapa pentingnya kita meneliti realiti sesuatu isu sebelum mengeluarkan hukum, fatwa atau pandangan. Jangan sampai pandangan kita itu menjadi back-fire yang akhirnya mencemarkan nama baik agama Islam itu sendiri. 

Kata beliau, “Dan daripada sini amat menghairankan apabila ada sesetengah penuntut ilmu agama (kebanyakannya hanya tampalan sahaja) yang memberi fatwa dengan tergesa-gesa dan kesombongan pada masalah yang kronik, isu yang serius, mempertikaikan para ulama tersohor bahkan mencela para ulama besar, tokoh-tokoh Sahabat sambil berkata dengan sombong dan bongkak, mereka rijal (orang) dan kami rijal!! Sepatutnya perkara pertama yang mereka perlu (lihat) adalah mengetahui kadar kemampuan diri mereka, kemudian fiqh tentang maqasid al-syara’ (tujuan-tujuan syariat), fiqh haqa’iq al-waqi’ (realiti semasa), namun kesombongan menjadi pendinding yang tebal tanpa sebab-sebab lain”. (Lihat perbincangan al-Qaradawi berkenaan kepentingan ilmu kepada mufti dalam: Fi al-Fiqh al-Awwaliyyat, Maktabat Wahbah, Qahirah, 1995, hal. 63)

Wallahu a'lam.

Read more >>

Khamis, 12 Mei 2011

Kasih ibu tiada bandingan...

Berkata Tuan Guruku hafizahullah :

Kasih ibu tiada bandingan
Menggadai nyawa di alam sunyi
Aku dilahirkan dalam kesayangan
Mengayun buaianku sambil menyanyi

Di mana langit terangnya bulan
Di situ paras ibu tenang kelihatan
Langit dunia tanpa awan
Langit hatiku lebatnya hujan

Oh langit...Bintangmu banyak amat
Banyak lagi istighfar solihin
Malaikat turun membawa rahmat
Kepada ibu dan semua mukminin

----------------------

"Aku mahu hantar Haron-Muhammad (adik Haron) mengaji jauh! Bila jauh, dia  fikir".

Kerapkali bondaku sebut perkataan ini di zaman kecil kami. Perkataan inilah juga yang dia sebut ketika menghembuskan nafasnya yang terakhir...

---------------------

Emak sakit ketumbuhan dalam perut...sambil mengerang kesakitan, mak memaksakan dirinya memasak. Pada suatu hari pulang dari sekolah, aku dapati emak menangis. Mengapa mak menangis? Tanyaku. Adikmu makan nasi dengan tahi ayam, jawabnya. Aku dapati nasi dan lauk dihidangkan jadi berkecai. Aku dapati tahi ayam di sana sini dan dalam pinggan mangkuk. Masa itu Muhammad selalunya berbogel, emak tiada berupaya memberinya salinan yang baru dibasuh. Dia boleh berjalan dan bermain di luar rumah bersama kawan-kawan sebaya dengannya. Bila berasa lapar, dia balik. Dia faham emak tiada berupaya dan tiada bertenaga. Muhammad makan apa yang sudah dikecaikan oleh ayam-ayam yang masuk ke dapur. Sudah makan, Muhammad keluarga lagi menemui kawan-kawan. Aku pulang dari sekolah merasa lapar. Melihat keadaan begini, aku tiada tersuap sebiji nasi ke dalam mulut. Keadaan begini berterusan bulan demi bulan, malah tahun demi tahun...

---------------------

Tiba-tiba di suatu malam didapati emak boleh bercakap dengan baik seperti dalam keadaan sihat biasa. Di saat ini dia bercakap dengan terang tetapi terputus-putus suaranya meninggalkan wasiat. Di bahagian kanan kepalanya duduk ayah Hj. Ibrahim suaminya, di atas ribanya Muhammad dan di sebelahnya aku dan jasadnya penuh di kelilingi oleh keluarga rumah pada masa itu.

Dia mula bercakap dengan minta maaf kepada suaminya Hj. Ibrahim dan "Haron tu, Haron tu, hantar dia pergi mengaji...". Sejurus lamanya dia tenung muka Muhammad seolah matanya berkata-kata sesuatu tanpa suara. Muhammad masih terlalu kecil hendak diwasiatkan apa-apa. Seterusnya satu dua perkataan yang lain. Selepas itu kelihatan matanya pandang ke atas dan sedikit demi sedikit kelihatan dan kedengaran pernafasannya berbunyi seakan orang tidur nyenyak, selepas itu dia tidak bernafas lagi.

"Mak sudah tidak ada lagi Mat!" Kata ayahku Hj. Ibrahim. "Tu ada tu!" jawab Muhammad. Muhammad belum tahu membezakan antara jasad yang bernafas dan yang tidak bernafas.

Penulis : Ini adalah sedutan manuskrip autobiografi (217 hal) berjudul "Restu Ibu" karangan tuan guru penulis, Prof. Dr. Abdulfatah Haron bin Hj. Ibrahim, mengungkap jerit perih kehidupan zaman silamnya hingga akhirnya beliau berjaya meniti kejayaan ke al-Azhar dan merangkul pingat imtiyaz dari kerajaan Mesir.  
Read more >>

Selasa, 10 Mei 2011

KP Jakim jawab isu pegawai Jakim menuduh Syeikh Sudais Wahabi

Soalan Utusan : Apa pendekatan untuk memastikan adab ikhtilaf ini tidak sehingga menjejaskan perpaduan umat. Contoh terbaru, kedatangan Sheikh Sudais menimbulkan polemik kononnya menyebar luas fahaman wahhabi?

Jawapan KP : Pada hemat saya telahan itu sangat tidak tepat. Sheikh Sudais adalah tokoh agama yang disegani. Kedatangan beliau ke Malaysia tempoh hari adalah sebagai tetamu negara.

Sheikh Sudais adalah orang yang sentiasa kita ingati suaranya apabila kita pergi ke Mekah. Jadi semasa di sini, selain memberi ceramah, ramai yang minta beliau membaca al-Quran untuk mengubat kerinduan mendengar suaranya di Masjidil Haram.

Kita boleh berbeza pendapat tetapi janganlah sampai melanggar prinsip usul dalam agama. Perpaduan, persepakatan, keharmonian adalah kewajipan yang mesti dijaga.

Saya lihat, semasa di sini, Sheikh Sudais tidak ada berkempen mengembangkan fahaman wahhabi di Malaysia. Dalam khutbah Jumaat yang disampaikan pun tidak menyebut pun hal itu. Sebab itu, jangan kita suka label melabel orang. Walaupun kita ada ilmu, kita tidak boleh menuduh orang sembarangan walaupun orang itu katakan salah, daripada segi adabnya tidak boleh menuduh.

Saya tidak setuju orang Jakim yang begitu, suka menuduh. Soalnya, adakah kita orang yang amat sempurna? Kita perlu mengambil iktibar daripada akhlak para sahabat dan fuqaha silam yang amat memahami dan mengamal adab dalam berbeza pendapat.

Allah SWT juga telah memberikan formula persepakatan kepada kita semua seperti firman-Nya dalam surah an-Nisa’ ayat 59.

Ayat ini memberi satu iktibar yang besar kepada kita semua, iaitu sebarang pertikaian mestilah kita membuat rujukan kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah.

Saya suka menyebut begini, jika orang bukan Islam pun kita boleh hormat, apatah lagi orang Islam seperti Sheikh Sudais yang dihormati di seluruh dunia.

Umat Islam hari ini mesti memperkemaskan barisan kesepakatan. Kita punya agenda yang lebih besar, iaitu berfikir dan bertindak untuk membangunkan umat.

Sumber : Klik Utusan Malaysia

Makluman : Untuk makluman semua, di dalam Jakim, terdapat satu unit yang bertanggungjawab memelihara dan memantau isu-isu aqidah iaitu Cawangan Aqidah, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jakim, Putrajaya. Di bawah unit ini terdapat Panel Kajian Aqidah yang dipengerusikan oleh SS Dato' Mufti Wilayah dan 13 orang panel yang merupakan pensyarah-pensyarah universiti dalam bidang aqidah, falsafah dan pemikiran Islam. Sebarang isu aqidah termasuk Wahabi, Syiah dan lain-lain akan dirujuk kepada mesyuarat Panel Kajian Aqidah sebelum diangkat untuk pengetahuan pengurusan tertinggi Jakim. Oleh itu, orang ramai tak perlu gusar jika terdengar suara-suara sumbang daripada individu tertentu dalam Jakim yang membawa pandangan peribadi yang mengelirukan. Wallahu a'lam.
Read more >>

Ahad, 8 Mei 2011

Mufti Mesir seru Ahli Sunnah bersatu

Syeikh Dr. Ali Jum'ah, Mufti Mesir mengambil langkah baru yang bertujuan untuk menghidari apa yang disebut sebagai bencana akibat konflik antara aliran Islam. Oleh itu, Dar al-Ifta' al-Misriyyah (Lembaga Fatwa Mesir), organisasi yang beliau pimpin, mengundang para tokoh dari pelbagai kumpulan Muslim untuk mengkaji program yang jelas untuk kebangkitan umat dan mengelakkan perkara-perkara khilafiyyah. Melalui program ini diharap akan terbentuk kesatuan kalimah dan maslahah untuk negara dan umat Islam.

Dar al-Ifta' menyeru pentingnya kesepakatan untuk melaksanakan fatwa ulama ummah yang bersepakat bahawa sesiapa sahaja yang mengikuti salah satu daripada mazhab yang diiktiraf dari Ahli Sunnah wal-Jama'ah, maka dia seorang Muslim, yang tidak boleh dikafirkan dan diharamkan darahnya, kehormatannya serta hartanya.

Dar al-Ifta' juga menegaskan bahawa tidak boleh mengkafirkan dan memfasikkan penganut aqidah al-Asy'ariyyah dan sesiapa yang menganut tasawwuf hakiki serta penganut pemikiran Salafi yang sahih. Sebagaimana dilarang untuk mengkafirkan dan memfasikkan kumpulan lain dari umat Islam yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya SAW, rukun Iman dan rukun Islam serta tidak mengingkari parkara yang lazim diketahui dari agama.

Dr. Ali Jum'ah juga menyebutkan kaedah yang diakui para ulama Muslim sepanjang zaman, bahawa, "Sesunggunya yang diingkari adalah hal yang disepakati (bahawa hal itu mungkar), dan tidak diingkari perkara yang diperselisihkan di dalamnya." Beliau menambah, "Jika kami memilih satu mazhab dari mazhab-mazhab yang ada atau kami bertaklid kepada salah satu imam dari para imam, maka saya tidak akan mengingkari saudara saya yang bertaklid kepada imam lain atau mazhab lain yang berbeza."

Wallahu a'lam.
Read more >>

Khamis, 5 Mei 2011

Semoga Allah SWT mengampunkan Ibn Laden

Ketua Hamas, Ismail Haniyyeh menganggap Usamah sebagai mujahid dan muslim yg syahid

Jika benar Usamah bin Laden itu telah meninggal dunia, panjatkanlah doa buatnya, dia adalah muslim yang telah menempuh jalan kehidupannya, semoga Allah SWT mengampuni dosa-dosanya dan merahmatinya. Allah SWT Maha Mengetahui siapakah di kalangan hambanya yang benar-benar berjaya atau kecundang dalam mencapai redha-Nya dan berbakti kepada agama-Nya. Jangan pula kita terpedaya dengan gerak-geri, gimik dan propaganda golongan kuffar yang sengaja memburuk-burukkan jenazah seorang muslim. 
Syeikh al-Azhar: Kebumi di laut satu penghinaan terhadap Islam! 

Apalah yang 'BAHAYA' pada jenazah seorang muslim yang telah tidak bernyawa? Jangan pula kita menjadi juak-juak zionis Benjamin Netanyahu dan Amerika Syarikat yang gembira dan bertepuk tangan dengan pembunuhan seorang muslim yang tak pernah dibicarakan dalam mana-mana mahkamah dunia? 
Netanyahu gembira dgn kerja proksinya USA membunuh Usamah

Syeikh al-Azhar anggap US spt lanun ganas yg bertindak liar membunuh Usamah

Wallahi sesungguhnya Islam itu tidak pernah mengajarkan umatnya menjadi ganas. Kalau bukan kerana Yahudi yang membantai penduduk Palestin, Amerika dan Britain yang menceroboh Iraq, Afghanistan dll, mungkinkah mereka menjadi pengganas? Tidak, Islam dan umatnya bukan sekali-kali agama keganasan. Klik sini . Buat al-Marhum Usamah bin Laden, Allahummaghfir lahu warhamhu wa 'afihi wa'fu 'anhu...Innalillahi wa inna ilaihi raji'un...al-Fatihah...
Syeikh Hasan al-Turabi (salah seorang sahabat Usamah) mengatakan cita-cita Usamah adalah syahid...

Baca laporan di bawah :-

KUALA LUMPUR, 4 Mei — Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengutuk sekeras-kerasnya operasi Amerika Syarikat (AS) yang membawa kepada kematian Osama bin Laden, kelmarin.
Setiausaha Agung Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya mengutuk tindakan tentera AS melepaskan jenazah ketua rangkaian pengganas Al-Qaeda ke laut kerana tindakan tersebut merupakan suatu penghinaan.
“Jenazah Osama sepatutnya dikembalikan kepada keluarga dan sahabat handainya dan diuruskan pengebumian yang selayaknya sebagai seorang Muslim,” katanya dalam satu kenyataan media.
Azmi menambah, operasi tersebut adalah gerakan asasinasi unilateral AS untuk membunuh seorang yang diburu di luar bumi Amerika dan ia satu tindakan melanggar undang-undang antarabangsa.
Azmi juga berkata, kerajaan Pakistan turut menjadi tali barut kepada AS untuk menjayakan operasi tersebut yang sama sekali tidak dapat diterima oleh umat Islam.
Pemimpin Al-Qaeda kelahiran Arab Saudi yang hidup dalam persembunyian itu dilaporkan terbunuh dalam satu operasi khas tentera AS di sebuah rumah di bandar Abbottabad, timur laut Islamabad.
Jenazahnya dilepaskan di utara Laut Arab semalam.
Dalam pada itu, Pengerusi Shura, Abdul Ghani Samsudin pula berkata, Shura dan Mapim akan menganjurkan solat ghaib untuk jenazah Osama di seluruh negara.
“Kami menyeru semua ulama, tuan guru, ustaz, aktivis Islam, pemimpin NGO Islam, para imam untuk mengadakan solat ghaib jenazah untuk beliau dan mendoakan agar rohnya dikumpulkan bersama para syuhada,” katanya dalam satu kenyataan.
Shura dan Mapim juga akan mengusulkan kepada kerajaan Malaysia agar menyatakan pendirian mengecam serangan tentera AS tanpa rasa takut.
Read more >>

Ahad, 1 Mei 2011

Harus bersumpah menafikan tuduhan

Penulis ditanya, salahkah jika seseorang yang dituduh berzina untuk bersumpah bagi menafikan tuduhan tersebut. Penulis katakan, tiada tegahan atau larangan menurut hukum syarak untuk seseorang bersumpah dengan nama Allah SWT atas tuduhan zina yang ditujukan kepadanya. Ia tidak semestinya hanya dilakukan di mahkamah.

Adapun jika kes tersebut dibawa ke mahkamah, pertama sekali, hakim akan meminta keterangan atau bukti daripada yang menuduh, jika yang menuduh tidak membawa bukti, maka hakim akan meminta yang tertuduh membuat perakuan atau menafikan dakwaan tersebut. Jika dia mengaku maka sabitlah tuduhan itu tetapi jika yang dituduh tidak mengaku maka hendaklah yang menuduh membawa keterangan atau bukti dakwaannya. Jika masih tiada bukti atau keterangan, yang menuduh berhak memohon kepada hakim supaya yang dituduh bersumpah menafikan dakwaan itu. Jika yang dituduh bersumpah menafikan, maka gugurlah tuduhan tersebut, tetapi jika tidak maka sabitlah tuduhan tersebut. Sesetengah pendapat mengatakan sumpah dikembalikan kepada yang menuduh. Perbicaraan ini adalah berdasarkan kaedah "al-bayyinah limanidda'a wal-yamin 'ala man ankar", bermaksud, "keterangan (bukti) bagi yang menuduh dan sumpah bagi yang menafikan". Ia jelas menunjukkan sumpah ingkar tetap diperlukan menurut fuqaha', sekurang-kurangnya ia dapat membersihkan maruah diri orang yang dituduh. Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (1427), Kuwait: Wizarah al-Awqaf wa al-Syu’un al-Islamiyyah, j.7, hal. 52.

Bersumpah mengingkari tuduhan atau dakwaan ini, bukan sahaja tertakluk kepada isu-isu muamalat tetapi ia juga merangkumi isu-isu ibadat, kaffarat dan hudud. Menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik , Imam Syafi’iy dan al-Laith, jika seseorang dituduh dalam isu-isu tersebut maka yang dituduh boleh diminta supaya bersumpah untuk menafikan. Contohnya, Imam Syafi’iy mengatakan jika seseorang berkahwin dengan seorang wanita yang tidak halal bagi dirinya dengan dakwaan kerana jahil, maka dia hendaklah bersumpah atas dakwaannya itu. Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (1427), j.7, hal. 54.

Sesungguhnya mempertahankan maruah diri dan keturunan adalah wajib dan ia termasuk dalam tangga ke-empat dalam maqasid al-syariah. Tambahan pula tuduhan zina adalah termasuk dalam jenayah berat yang boleh membawa kepada hukuman hudud. Peristiwa fitnah zina yang berlaku ke atas Sayyidatuna Aisyah boleh dijadikan rujukan dalam isu ini. Lihat ketika Rasulullah SAW bersoal jawab dengan Aisyah bagi mendapatkan kepastian tentang apa yang dituduh.

فخرج صلى الله عليه و سلم حتى أتى منزل أبي بكر فدخل عليها فقال : يا عائشة ان كنت فعلت هذا الامر فقولي لي حتى أستغفر الله لك فقالت : والله لا أستغفر الله منه أبدا، ان كنت قد فعلته فلا غفر الله لي وما أجد مثلي ومثلكم إلا مثل أبي يوسف (يوسف الآية 86 )

Bermaksud : Lalu Rasulullah SAW keluar sehingga sampai ke rumah Abu Bakar dan menemui Aisyah. Baginda berkata : Wahai Aisyah, jika kamu telah melakukan perkara ini katakan padaku supaya aku memohon keampunan kepada Allah bagi kamu. Lalu Aisyah menjawab : Demi Allah aku tidak akan sekali-kali memohon keampunan Allah kerananya, jika aku telah melakukannya, tiada keampunan Allah bagiku, aku tidak dapati diriku dan diri kamu semua kecuali seperti yang berlaku kepada bapa Yusuf (sambil membaca surah Yusuf ayat 86)". Lihat al-Sayyuti (1993), al-Durr al-Manthur, Beirut: Dar al-Fikr, j.6, hal. 149; al-Tabarani (1983), al-Mu'jam al-Kabir, Musil: Maktabah al-Ulum wa al-Hikam, j.23, hal. 124.

Dalam ungkapan Aisyah di atas, jelas menunjukkan bahawa beliau telah bersumpah atas nama Allah bagi menafikan dirinya terlibat dalam perbuatan tersebut. Malah Rasulullah SAW sendiri tidak menegur atau melarang Aisyah daripada bersumpah atas nama Allah bagi membersihkan dirinya. Sejurus selepas peristiwa ini juga turun beberapa ayat dalam surah al-Nur yang menafikan dan membersihkan Aisyah daripada tuduhan tersebut. Malah, dalam surah al-Nur ayat 16, Allah SWT mengajarkan kita apabila mendengar berita-berita dusta mengucapkan “Subhaanaka haza buhtaanun azhim” bermaksud, “Maha Suci Engkau (Allah) ini adalah pembohongan yang besar”. Kata Ibn 'Asyur ungkapan ini adalah untuk berlepas diri daripada sebarang tuduhan yang tidak patut. Lihat Ibn 'Asyur (1997), al-Tahrir wa al-Tanwir, Tunisia: Dar Sahnun, j.22, hal. 48.

Kesimpulannya, bagi penulis tidak mengapa untuk seseorang yang dituduh untuk bersumpah dengan nama Allah SWT bagi menafikan tuduhan berat yang ditujukan kepadanya bagi membersihkan maruah dirinya. Sebaliknya sumpah yang ditegah dan dilarang di dalam al-Qur'an dan al-Sunnah adalah sumpah dusta yang dibuat bagi kepentingan tertentu atau tujuan tertentu. Maka kepada Allah SWT, kita serahkan setiap mereka yang berdusta dan berbohong atas nama Allah SWT. Wallahu a'lam.
Read more >>

Himpunan Artikel