Penulis ditanya, salahkah jika seseorang yang dituduh berzina untuk bersumpah bagi menafikan tuduhan tersebut. Penulis katakan, tiada tegahan atau larangan menurut hukum syarak untuk seseorang bersumpah dengan nama Allah SWT atas tuduhan zina yang ditujukan kepadanya. Ia tidak semestinya hanya dilakukan di mahkamah.
Adapun jika kes tersebut dibawa ke mahkamah, pertama sekali, hakim akan meminta keterangan atau bukti daripada yang menuduh, jika yang menuduh tidak membawa bukti, maka hakim akan meminta yang tertuduh membuat perakuan atau menafikan dakwaan tersebut. Jika dia mengaku maka sabitlah tuduhan itu tetapi jika yang dituduh tidak mengaku maka hendaklah yang menuduh membawa keterangan atau bukti dakwaannya. Jika masih tiada bukti atau keterangan, yang menuduh berhak memohon kepada hakim supaya yang dituduh bersumpah menafikan dakwaan itu. Jika yang dituduh bersumpah menafikan, maka gugurlah tuduhan tersebut, tetapi jika tidak maka sabitlah tuduhan tersebut. Sesetengah pendapat mengatakan sumpah dikembalikan kepada yang menuduh. Perbicaraan ini adalah berdasarkan kaedah "al-bayyinah limanidda'a wal-yamin 'ala man ankar", bermaksud, "keterangan (bukti) bagi yang menuduh dan sumpah bagi yang menafikan". Ia jelas menunjukkan sumpah ingkar tetap diperlukan menurut fuqaha', sekurang-kurangnya ia dapat membersihkan maruah diri orang yang dituduh. Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (1427), Kuwait: Wizarah al-Awqaf wa al-Syu’un al-Islamiyyah, j.7, hal. 52.
Bersumpah mengingkari tuduhan atau dakwaan ini, bukan sahaja tertakluk kepada isu-isu muamalat tetapi ia juga merangkumi isu-isu ibadat, kaffarat dan hudud. Menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik , Imam Syafi’iy dan al-Laith, jika seseorang dituduh dalam isu-isu tersebut maka yang dituduh boleh diminta supaya bersumpah untuk menafikan. Contohnya, Imam Syafi’iy mengatakan jika seseorang berkahwin dengan seorang wanita yang tidak halal bagi dirinya dengan dakwaan kerana jahil, maka dia hendaklah bersumpah atas dakwaannya itu. Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (1427), j.7, hal. 54.
Sesungguhnya mempertahankan maruah diri dan keturunan adalah wajib dan ia termasuk dalam tangga ke-empat dalam maqasid al-syariah. Tambahan pula tuduhan zina adalah termasuk dalam jenayah berat yang boleh membawa kepada hukuman hudud. Peristiwa fitnah zina yang berlaku ke atas Sayyidatuna Aisyah boleh dijadikan rujukan dalam isu ini. Lihat ketika Rasulullah SAW bersoal jawab dengan Aisyah bagi mendapatkan kepastian tentang apa yang dituduh.
فخرج صلى الله عليه و سلم حتى أتى منزل أبي بكر فدخل عليها فقال : يا عائشة ان كنت فعلت هذا الامر فقولي لي حتى أستغفر الله لك فقالت : والله لا أستغفر الله منه أبدا، ان كنت قد فعلته فلا غفر الله لي وما أجد مثلي ومثلكم إلا مثل أبي يوسف (يوسف الآية 86 )
Bermaksud : Lalu Rasulullah SAW keluar sehingga sampai ke rumah Abu Bakar dan menemui Aisyah. Baginda berkata : Wahai Aisyah, jika kamu telah melakukan perkara ini katakan padaku supaya aku memohon keampunan kepada Allah bagi kamu. Lalu Aisyah menjawab : Demi Allah aku tidak akan sekali-kali memohon keampunan Allah kerananya, jika aku telah melakukannya, tiada keampunan Allah bagiku, aku tidak dapati diriku dan diri kamu semua kecuali seperti yang berlaku kepada bapa Yusuf (sambil membaca surah Yusuf ayat 86)". Lihat al-Sayyuti (1993), al-Durr al-Manthur, Beirut: Dar al-Fikr, j.6, hal. 149; al-Tabarani (1983), al-Mu'jam al-Kabir, Musil: Maktabah al-Ulum wa al-Hikam, j.23, hal. 124.
Dalam ungkapan Aisyah di atas, jelas menunjukkan bahawa beliau telah bersumpah atas nama Allah bagi menafikan dirinya terlibat dalam perbuatan tersebut. Malah Rasulullah SAW sendiri tidak menegur atau melarang Aisyah daripada bersumpah atas nama Allah bagi membersihkan dirinya. Sejurus selepas peristiwa ini juga turun beberapa ayat dalam surah al-Nur yang menafikan dan membersihkan Aisyah daripada tuduhan tersebut. Malah, dalam surah al-Nur ayat 16, Allah SWT mengajarkan kita apabila mendengar berita-berita dusta mengucapkan “Subhaanaka haza buhtaanun azhim” bermaksud, “Maha Suci Engkau (Allah) ini adalah pembohongan yang besar”. Kata Ibn 'Asyur ungkapan ini adalah untuk berlepas diri daripada sebarang tuduhan yang tidak patut. Lihat Ibn 'Asyur (1997), al-Tahrir wa al-Tanwir, Tunisia: Dar Sahnun, j.22, hal. 48.
Kesimpulannya, bagi penulis tidak mengapa untuk seseorang yang dituduh untuk bersumpah dengan nama Allah SWT bagi menafikan tuduhan berat yang ditujukan kepadanya bagi membersihkan maruah dirinya. Sebaliknya sumpah yang ditegah dan dilarang di dalam al-Qur'an dan al-Sunnah adalah sumpah dusta yang dibuat bagi kepentingan tertentu atau tujuan tertentu. Maka kepada Allah SWT, kita serahkan setiap mereka yang berdusta dan berbohong atas nama Allah SWT. Wallahu a'lam.