Isnin, 5 April 2010

SEBAT KARTIKA DIPINDA

Penulis sebenarnya agak kurang bersetuju dengan pandangan SS Mufti Perak yang mengatakan bahawa hukuman sebat Kartika boleh dipinda kerana ia bukan hukum hudud sebaliknya hanyalah hukum ta'zir. Bagi penulis, memang betul hukuman yang dikenakan ke atas Kartika itu bukan hudud tetapi kesalahan yang dilakukan oleh Kartika tetap di bawah kesalahan hudud. Usaha yang dilakukan oleh pihak berkuasa agama untuk melaksanakan hukuman sebat juga adalah salah satu langkah ke arah melaksanakan hudud secara total pada masa hadapan. Sebab itu, kita melihat pihak berkuasa agama telah melakukan kajian yg mendalam supaya kaedah sebatan dilakukan benar-benar menepati kaedah sebatan hudud yg sebenar biarpun tidak menepati kadar yg sebenar iaitu 40 @ 80 kali sebatan.

Bagi penulis di sini terpakainya kaedah "ma la yudraku kullu la yutraku kulluh" maksudnya "apa yang tidak dapat dilaksanakan secara keseluruhan, tidak ditinggalkan secara keseluruhan". Alangkah baiknya jika hukuman itu dapat dijalankan walaupun secara beransur-ansur. Bukankah dgn pelaksanaan itu dpt menghilangkan segala persepsi negatif masyarakat yg menganggap hukum Islam itu kejam dan bersifat mendera. Jika ia tidak dijalankan, maka akan timbul suara-suara mereka yg jahil dan tidak faham mengatakan bahawa hukum Islam itu menzalimi wanita, tidak sesuai, tidak praktikal malah telah lapuk di tinggal zaman. Inilah yg menjadi kebimbangan penulis! Sila baca laporan di bawah...

PEGUAM MUSLIM BANTAH SULTAN GUGUR HUKUMAN SEBAT KARTIKA

KUANTAN, 2 April — Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) hari ini kecewa dengan keputusan Sultan Pahang yang membolehkan hukuman sebat ke atas bekas model, Kartika Sari Dewi Shukarno digantikan dengan kerja-kerja khidmat sosial.

Setiausaha Agung PPMM Abdul Halim Bahari berkata, keputusan itu tidak mengambil kira hasrat dan kemahuan Kartika yang mahu disebat mengikut lunas syariah.

“Dia (Kartika) telah menghadapi pelbagai tekanan supaya merayu terhadap hukuman sebatan syarie tetapi dia tetap mahu undang-undang Islam dilaksanakan ke atasnya.

“Undang-undang Islam telah menetapkan secara definitif hukuman bagi kesalahan meminum arak.

“Walaupun sebatan syarie sebanyak enam kali itu tidak mencapai jumlah yang ditetapkan oleh hukum syarak, namun ia perlu dilaksanakan kerana hampir dengan hukum syarak,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini selepas Kartika memulakan kerja khidmat sosial.

Beliau berkata, PPMM mewakili lebih 1,000 ahli yang berkelulusan undang-undang dan syariah bimbang keputusan itu tidak mempunyai kebolehpercayaan dari segi undang-undang.

“Walaupun bertindak sebagai Ketua Agama Negeri, Sultan Pahang seharusnya mempertahankan undang-undang Islam serta memperkukuhkan institusi mahkamah syariah.

“Jadi hak dan kuasa sebagai Ketua Agama hendaklah dijalankan mengikut hukum agama itu sendiri.

“Sultan Pahang ada menyatakan hukuman kerja-kerja khidmat sosial ini digantikan atas faktor kemanusiaan sedangkan hukuman rotan tersebut adalah amat ringan.

“Ini kerana sebatan syariah amat berbeza dengan sebatan sivil yang mencedera dan menzalami pesaah. Sebatan syariah lebih bersifat mendidik sebagaimana bapa mendidik anak,” katanya.

Abdul Halim berkata, peringanan hukuman bagi kesalahan syariah hendaklah dibuat atas nasihat mufti.

“Sekiranya hendak meringankan sesuatu hukuman terlebih dahulu mesti mendapatkan nasihat mufti.

“Mufti pula bertanggungjawab menasihati Sultan berdasarkan hukum syarak. Dalam hal ini kita tidak dapat mencari satu kesimpulan mengenai perkara ini,” katanya lagi.

Read more >>