Selasa, 15 November 2011

ِAl-I'tidal adalah manhaj Ahli Sunnah

Sumber di sini
Pada 9 Oktober 2011 yang lalu telah berlakunya persepakatan antara dua institusi pemegang amanah Islam yang mewakili dua blok pemikiran terbesar dalam dunia Islam Sunni iaitu aliran Asya'irah yang diwakili oleh Syeikh al-Azhar al-Imam al-Akbar Dr. Ahmad Thayyib dan aliran Salafiyyah yang diwakili oleh Menteri Wakaf dan Ehwal Islam Arab Saudi, Dr. Soleh bin Abdul Aziz bin Aali Syaikh.

Laporan akhbar menyebut bahawa Universiti al-Azhar dan Kementerian Wakaf dan Ehwal Islam Arab Saudi telah bersepakat bahawa mereka akan berhadapan dengan apa jua percubaan yang cuba menggugat masyarakat Islam Sunni atas nama apa jua syiar yang bertentangan.

Dr. Soleh bin Abdul Aziz ketika pertemuannya dengan Syeikh al-Azhar menegaskan bahawa, Universiti al-Azhar tetap menjadi rujukan kepada seluruh Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan ia tidak boleh disentuh atau ditawar-menawar pada segi agama dan kedudukan politiknya.

Dr. Hasan al-Syafi'i, Ketua al-Maktab al-Fanni kepada Syeikh al-Azhar mengumumkan bahawa kedua-dua pihak telah sepakat tentang kepentingan untuk berpegang kepada pemikiran 'wasathiy' (sederhana) yang berdiri di atas asas al-i'tidal (pertengahan), tidak menyisihkan yang lain, tidak memungkiri kecuali apa yang diingkari oleh syarak, bersungguh-sungguh dalam hubungan berterusan, saling memahami antara ulama Ahli Sunnah bagi mengukuhkan kedudukan Islam, khususnya antara sesama Ahli Sunnah berdasarkan pemikiran 'wasathiy' yang digesa oleh kedua-dua belah pihak.

Bagi penulis, jika apa yang disepakati oleh kedua-dua ulama besar berlainan aliran Sunni ini dapat diterjemahkan oleh pengikut bawahan, alangkah aman dan kukuhnya aliran Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Tiada lagi tuduh menuduh, label melabel, bid'ah membid'ah, kafir mengkafir, jatuh menjatuh dan perbalahan yang tak berkesudahan. Lebih parah, apabila sesetengah pengikut bawahan yang kurang adab daripada ilmu, sanggup menabur dusta dan pembohongan terhadap lawan atas nama berperang merebut title Sunni.

Lihat bagaimana tajamnya kritikan al-marhum Imam Muhammad Abu Zahrah terhadap Ibn Taimiyyah dalam isu ayat mutasyabihat, namun bahasa yang digunakan penuh adab hinggakan pedasnya tidak terasa. Tetapi pada hari ini, pengikut-pengikut bawahan mengutuk dan mencaci maki kibar al-ulama daripada kedua-dua aliran sama ada Asya'irah mahupun Salafiyyah seolah-olah yang dikata itu telah 'confirm' kafir murtad dan tempatnya di neraka. Wal'iyazu billah.

Kesimpulannya, pada akhir zaman ini, kita amat memerlukan lebih ramai ulama Islam Sunni yang mu'tadil (adil dan sederhana dalam menilai) seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi, Dr. Wahbah al-Zuhaili, al-marhum Syeikh Muhammad Alawi al-Maliki, al-marhum Imam Muhammad Abu Zahrah, al-Syahid Hasan al-Banna, masyayikh al-Azhar dan lain-lain. Sesungguhnya sebaik-baik manhaj itu adalah yang pertengahan (al-i'tidal) dan itulah yang akan kekal serta mudah diterima fitrah manusia. Adapun yang melampau dan berlebih-lebihan itu akan padam dan luput ditelan masa.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ra'd ayat 17:

...فَأَمَّا الزَّبَدُ فَيَذْهَبُ جُفَاءً وَأَمَّا مَا يَنْفَعُ النَّاسَ فَيَمْكُثُ فِي الْأَرْضِ...

"...adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi..." 

Wallahu a'lam.
Read more >>