Jumaat, 11 Disember 2015

G25 : ANTARA KEEGOAN DAN KEJAHILAN BERAGAMA

Jika dulu pemegang amanat, kini pula menjadi pengkhianat? Demikianlah luahan yang hampir terungkap buat segelintir bekas pemegang jawatan tertinggi penjawat awam. Gelagat seumpama itu tidak hairan jika terlihat pada seorang rakyat marhaen biasa.

Namun ia luar biasa jika terzahir daripada seorang bekas pegawai tertinggi kerajaan pusat! Kenapa sampai begitu sekali tindak tanduk kelompok yang dikenali G25 itu?

Bukankah suatu ketika dahulu, mereka itulah kumpulan tertinggi dalam perkhidmatan awam yang bertanggungjawab mempertahankan kedudukan istimewa Islam sebagaimana yang terserlah melalui sumpah jawatan Yang di Pertuan Agong (YDPA) [Jadual Keempat dibaca bersama Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan].

Berdasarkan peruntukan tersebut, YDPA mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk memelihara Islam pada setiap masa di negara ini. Justeru, tugas dan tanggungjawab ini turut terpakai kepada Kerajaan Persekutuan dalam menjalankan fungsi eksekutifnya. Oleh itu, sekian lama mereka menjadi pelaksana kepada fungsi eksekutif YDPA, mengapa kini mereka mula beralih arah?

Perlu diingat, memelihara agama Islam di peringkat pusat bukanlah tanggungjawab Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semata-mata. Di mana pun posisi pegawai kerajaan pusat itu, Islam wajib sentiasa dijunjung dan dipelihara demi merealisasikan sumpah jawatan YDPA.

Islam sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan adalah agama bagi Persekutuan. Dengan kata lain, Islam adalah agama yang memerintah. Perlembagaan tidak pernah mengatakan Islam adalah agama rasmi yang membawa erti sekadar untuk adat istiadat dan upacara rasmi.

Tuduhan kelompok G25 bahawa Perlembagaan Persekutuan kian tergugat dek kerana pelaksanaan undang-undang syariah yang semakin menyerlah, persis kacang lupakan kulit. Adakah G25 sudah lupa asal usul kejadian Perlembagaan Persekutuan itu?

Adakah di Tanah Amerika ia dihasilkan atau di Tanah UK ianya dilahirkan? Jawapannya tentu tidak, bahkan di Tanah Melayu ia dimuktamadkan, bumi keramat nenek moyang bangsa Melayu Islam sejak zaman berzaman.

Seburuk-buruk bangsa penjajah yang menjajah, mereka masih bertoleransi akan dua kekeramatan bangsa Melayu. Itulah raja dan agama. Tidak diabaikan sama sekali, ia kekal termaktub kukuh dalam Perlembagaan Negara. Bukti bahawa bumi ini punya sejarah, tradisi, budaya dan agamanya yang tersendiri.

Kewujudan Empayar Melayu Melaka dengan segala kehebatannya amat berkait rapat dengan pelaksanaan hukum-hakam Islam oleh para pendakwah. Pemerintah Melaka amat menghormati ajaran Islam dan menjadikan istana sebagai pusat perkembangan Islam.

Malah peranan Islam begitu penting di zaman itu hingga disyaratkan seseorang yang menjawat jawatan tertinggi dalam pentadbiran di Melaka, hendaklah mengetahui dan memahami Hukum Kanun Melaka.

Hukum Kanun Melaka pula tidak lain mengandungi Undang-undang Jenayah ‎‎(meliputi qisas, hudud, ta‘zir dan diyah), Undang-undang Muamalah, Undang-undang Keluarga, Undang-undang Keterangan dan Acara, syarat-syarat menjadi pemerintah serta tanggungjawab terhadap pemerintahan.

Selain daripada Undang-undang Melaka terdapat beberapa teks undang-undang Melayu-Islam lama seperti Hukum Kanun Pahang, Undang-undang Kedah, Undang-undang Sembilan Puloh Sembilan Perak, Undang-undang Sungai Ujong dan Undang-undang Johor.

Berdasarkan kenyataan ini, amat jelas bagaimana kedudukan Islam dalam masyarakat Melayu sebelum kedatangan penjajah. Islam telah menjadi agama yang mentadbir negara dan bukan sekadar diamalkan secara individu semata-mata.

Inilah hakikat bumi tempat lahirnya Perlembagaan Persekutuan. Ia bukan lahir di Amerika, UK, atau Australia yang beracuan demokrasi liberal Barat. Ia lahir daripada rahim Tanah Melayu yang telah sekian lama disemai oleh sistem beraja dan perundangan Islam.

Justeru, di mana warasnya kenyataan G25 apabila mengatakan Perlembagaan Persekutuan semakin digugat dengan pelaksanaan undang-undang syariat? Bukankah semakin meluasnya pelaksanaan syariat, ia indikasi semakin terlerainya belenggu pemikiran penjajah dalam menafsirkan Perlembagaan? Ia bagaikan sirih pulang ke gagang!

Menurut ‎Prof. Ahmad Ibrahim, oleh kerana perkataan “Islam” dan bukan “ugama Islam” yang digunakan dalam Perkara 3, bolehlah dihujahkan bahawa apa yang dimaksudkan ialah Islam sebagai cara hidup iaitu Islam sebagai “al-Din”.

Malangnya kelompok G25 itu seakan-akan sengaja tidak mahu memahami hal ini. Malah mereka beralasan undang-undang syariah yang diamalkan di negara ini mencampuri urusan peribadi seseorang. Ia dikatakan pencabulan terhadap hak asasi manusia yang juga pencabulan terhadap Perlembagaan.

Dalam surat terbuka G25 pada 2014, mereka mengatakan, “Pada hemat kami, terdapat keperluan segera untuk menilai kembali Undang-undang Jenayah Syariah di Malaysia. Undang-undang berkenaan yang mengkanunkan pelbagai “dosa peribadi” sebagai jenayah telah membawa kepada kekeliruan dan percanggahan dari aspek substantif serta pelaksanaan. Undang-undang ini bercanggah dengan prinsip perundangan Islam dan melanggar kebebasan asasi manusia serta menceroboh kehidupan peribadi rakyat.

Terbaru, mereka mengusulkan secara terang-terangan agar peruntukan kesalahan khalwat yang terkandung dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri-Negeri dibuang.

Lebih ekstrem lagi, terdapat pandangan dalam kumpulan tersebut yang mahukan JAKIM dimansuhkan terus. JAKIM dituduh banyak mencampuri hal peribadi keislaman seseorang yang disifatkan “dosa peribadi.”

Soalnya, benarkah dakwaan G25 bahawa institusi seperti JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) mencampuri “dosa peribadi” seseorang?

Bagi menjawab kekeliruan ini, analogi paling mudah difahami bagi seorang bekas pegawai tinggi perkhidmatan awam adalah dengan mengambil “Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib)” sebagai perbandingan.

Bukankah banyak perkara bersifat “dosa peribadi” yang dilarang dalam peraturan tersebut? Seseorang penjawat awam wajib berpakaian mengikut etika berpakaian yang ditetapkan. Adalah suatu “dosa peribadi” jika mereka berpakaian sesuka hati seperti bersinglet, baju-T lengan pendek tanpa kolar, berseluar atau berskirt pendek dan sebagainya.

Dalam peraturan 4(2)(d), seseorang pegawai awam tidak boleh berkelakuan dengan cara yang boleh memburukkan/mencemar nama baik perkhidmatan awam. Antaranya, terlibat dalam penyalahgunaan dadah, kesusahan berat kerana hutang, melakukan gangguan seksual dan menjalankan hubungan sulit dengan isteri/suami orang walaupun di luar waktu bertugas.

Semua ini adalah “dosa peribadi” yang dianggap satu kesalahan dalam perkhidmatan awam. Namun, tidak pula kedengaran semasa dalam kerajaan, ada individu-individu dalam G25 itu yang menentang peraturan tersebut atas dasar mencampuri kehidupan peribadi seseorang.

Jika “dosa peribadi” yang terkandung dalam peraturan perkhidmatan awam itu boleh diterima, mengapa pula “dosa peribadi” seperti yang terkandung dalam undang-undang syariah tidak boleh diterima? “Double standard” apakah ini?

Jika dalam perkhidmatan awam, kita boleh bercakap soal imej, soal memelihara nama baik jabatan yang diteraju, kenapa pula dalam soal beragama kita tidak boleh bercakap soal yang sama?

Adakah agama ini tidak perlu dijaga dan dipelihara? Persetankan sahaja soal agama ini? Biarkan saja seseorang beragama dengan cara yang dia suka. Menjadi gay, lesbian, biseksual, atau transeksual. Biarkan mereka berjudi, minum arak atau berzina. Biarkan mereka masuk Hindu, Buddha atau Kristian. Biarkan. Itu semua “dosa peribadi”. Jangan dikanunkan “dosa peribadi”.

Jangan kita menjadi hipokrit semata-mata kerana kejahilan memahami agama yang suci ini. “Dosa peribadi” yang kita faham itu jangan dinilai dengan akal semata-mata. Jangan diukur “dosa peribadi” itu dengan ukuran hak asasi manusia pada mata Barat.

Jika tidak, maka jadilah “dosa peribadi” itu soal remeh temeh. Urusan individu yang mutlak tanpa ada kena mengena dengan tanggungjawab pemerintah.

Ketahuilah betapa banyak kaum dan bangsa di bumi ini yang dihancurkan Allah s.w.t akibat “dosa peribadi” yang berleluasa. Lihatlah kaum Luth dihancurkan Allah s.w.t atas perbuatan liwat yang dilakukan. Perhatikan bagaimana kaum ‘Ad, Thamud dan Madyan dibinasakan Allah s.w.t kerana menentang ajaran para nabi a.s.

Sedangkan semua itu jika ditimbang dengan neraca hak asasi manusia Barat, ia bukanlah “dosa” sama sekali. Bahkan hak asasi yang perlu dipertahankan dan ditentang segala musuh-musuhnya.

Bagaimana mungkin seseorang yang jelas worldview Islamnya akan memandang perkara maksiat dengan kaca mata hak asasi Barat. Kecuali jika pemikiran seseorang itu telah rosak diracun liberalisme Barat atau terjangkit faham sekuralisme dalam hidup bernegara.

Ingatlah, Rasulullah s.a.w pernah berpesan, “Antara tanda-tanda kiamat adalah diangkat ilmu, tersebar kejahilan, diminum arak dan terzahirnya pezinaan.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w menegaskan, “Kelak akan ada di kalangan umatku yang menghalalkan zina, sutera, arak dan alatan muzik.” (HR al-Bukhari)

Hadis-hadis ini mengisyaratkan bagaimana parahnya keadaan umat di akhir zaman apabila maksiat semakin berleluasa.

Dari sinilah datangnya tanggungjawab pemerintah. Allah s.w.t sendiri yang meletakkan tanggungjawab menjalankan amar makruf nahi mungkar ke atas pemerintah yang berkuasa. Firman-Nya,

Mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta menunaikan zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj: 41)

Bererti apa yang kita lihat pada hari ini seperti JAKIM, JAIN, enakmen dan akta berkaitan syariah, semua itu adalah terjemahan kepada melaksanakan perintah Allah s.w.t tersebut. Jika pun ada kelemahan daripada sudut teknikal pelaksanaan atau pentadbiran, jangan pula sampai menafikan asas-asas kewujudannya.

Segelintir orang sering memandang “allergic” kepada golongan agama. Dikatakan golongan agama itu kolot, jumud dan tidak tahu mengurus. Namun, bila wujud institusi seperti JAKIM yang bertanggungjawab mengurus agama secara profesional, disaran pula agar dihapuskan.

Apa isu sebenarnya, mereka ini anti agama atau anti orang dan institusinya? Jika orang dan institusinya, maka tiada bezanya dengan sekalian institusi kerajaan yang lain. Tiada institusi yang sempurna selagi yang mentadbirnya adalah manusia. Tetapi jika agama yang mereka antikan, maka institusi agama sehebat manapun mereka pasti akan menentangnya.   

Dalam isu khalwat, biarpun mungkin ada kelemahan dalam kes-kes tertentu. Jangan sampai menafikan keabsahan kesalahan tersebut dari sudut syarak dan tanggungjawab kerajaan melaksanakan siyasah syar’iyyah.

Jangan disamakan tangkapan khalwat dengan mengintip atau mengintai kesalahan orang lain (tajassus). Jelas termaktub dalam prosedur tangkapan khalwat, seorang Ketua Operasi hendaklah memberi salam, memperkenalkan diri dan menyatakan tujuan kehadiran kepada orang yang disyaki atau mana mana orang yang berada di lokasi atau premis, dengan menunjukkan kad kuasa, waran tangkap, atau waran geledah. Apakah ini dinamakan mengintip?

Bahkan cara seumpama ini dapat menyekat daripada orang yang belum melakukan maksiat, membatalkan niatnya, atau yang sedang melakukan maksiat memberhentikan maksiatnya. Ini disebut mencegah maksiat, bukan mengintip maksiat.

Hal ini memang dituntut oleh syarak, ia bukan mencari-cari kesalahan, tetapi bertindak berdasarkan aduan masyarakat sekeliling yang melihat kemungkaran lalu disampaikan kepada pihak berkuasa. Ia bertepatan dengan konsep siyasah syar’iyyah dalam pemerintahan negara.

Al-Imam al-Mawardi menjelaskan dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah, “Maksiat yang sekiranya dibiarkan, akan berlaku satu pencerobohan dan pencemaran terhadap maruah dan kehormatan yang akan terlepas daripada disekat dan dihalang. Misalnya, sekiranya seseorang yang dipercayai membuat aduan kepada penguatkuasa tentang seorang lelaki yang berdua-duaan dengan seorang wanita untuk berzina dengannya atau dengan lelaki lain untuk membunuhnya. Maka penguatkuasa dalam keadaan ini boleh membuat intipan dan berusaha untuk membongkar, menyiasat dan menyelidiknya untuk mengelak daripada terluputnya usaha menyekat dan menghalang pencerobohan terhadap kehormatan dan melakukan perbuatan yang haram. Begitu juga dengan penguatkuasa yang sukarela (yang tidak dibayar gaji), boleh juga melakukan pembongkaran dan penyiasatan serta memungkirinya.”

Kesimpulannya, kelompok G25 itu ibarat orang berjalan yang melangkah ke belakang. Semakin berjalan semakin menjauh ke destinasi yang dituju. Walhal semakin kuat pelaksanaan Islam di negara ini, semakin dekat kita dengan seruan Allah s.w.t “Baldatun toyyibah wa rabbun ghafur” (Negara yang baik, Tuhan Yang Maha Pengampun).

Secara fitrah, semakin berumur individu muslim itu, semakin lentur hatinya untuk mendekati Tuhan. Itulah kebijaksanaan yang sebenar. Bukan terus bergelumang dengan ego kedudukan tinggi dan pangkat besar yang pernah dimiliki.

Ingatlah sabda Nabi s.a.w, “Orang yang paling bijaksana adalah orang yang sentiasa memuhasabah dirinya serta beramal untuk bertemu Allah selepas kematiannya. Sedangkan yang kurang bijak adalah orang yang sentiasa menuruti hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah.” (HR al-Tirmizi).

Wallahu a’lam.



Read more >>