Khamis, 19 Mei 2011

Perihal intip mengintip

Penulis kurang bersetuju dengan kenyataan kurang cermat yang mengecam tindakan penguatkuasa (muhtasib) menjalankan intipan atau tajassus untuk menangkap orang yang melakukan maksiat. Bagi penulis kecaman itu terlalu umum dan boleh merosakkan nama baik konsep 'al-amr bil ma'ruf wa an-nahy 'an al-munkar' atau hisbah. Sebaiknya diteliti terlebih dahulu mana silapnya. Adakah berlaku kesilapan teknikal atau tidak mengikut prosedur seperti membawa wartawan bersama. Dari sudut hukum, penguatkuasa memang punya hak untuk melakukan tajassus atau intipan dalam situasi tertentu apabila mendapat maklumat seperti aduan daripada saksi atau orang yang dipercayai berkenaan kemungkaran yang sedang berlaku. Memang asal hukum mengintip itu haram tetapi untuk tujuan mencegah kemungkaran maka dalam tahap tertentu ia dibenarkan seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Mawardi :

أَنْ يَكُونَ ذَلِكَ فِي انْتِهَاكِ حُرْمَةٍ يَفُوتُ اسْتِدْرَاكُهَا ، مِثْلُ أَنْ يُخْبِرَهُ مَنْ يَثِقُ بِصِدْقِهِ أَنَّ رَجُلًا خَلَا بِامْرَأَةٍ لِيَزْنِيَ بِهَا أَوْ بِرَجُلٍ لِيَقْتُلَهُ ، فَيَجُوزُ لَهُ فِي مِثْلِ هَذِهِ الْحَالَةِ أَنْ يَتَجَسَّسَ وَيُقْدِمَ، وَهَكَذَا لَوْ عَرَفَ ذَلِكَ قَوْمٌ مِنْ الْمُتَطَوِّعَةِ جَازَ لَهُمْ الْإِقْدَامُ عَلَى الْكَشْفِ ، وَالْبَحْثُ فِي ذَلِكَ ، وَالْإِنْكَارُ .
كَاَلَّذِي كَانَ مِنْ شَأْنِ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ. فَقَدْ رُوِيَ أَنَّهُ كَانَ تَخْتَلِفُ إلَيْهِ بِالْبَصْرَةِ امْرَأَةٌ مِنْ بَنِي هِلَالٍ يُقَالُ لَهَا أُمُّ جَمِيل بِنْتُ مِحْجَنِ بْنِ الْأَفْقَمِ وَكَانَ لَهَا زَوْجٌ مِنْ ثَقِيفٍ يُقَالُ لَهُ الْحَجَّاجُ بْنُ عُبَيْدٍ ، فَبَلَغَ ذَلِكَ أَبَا بَكْرِ بْنَ مَسْرُوحٍ وَسَهْلَ بْنَ مَعْبَدٍ وَنَافِعَ بْنَ الْحَارِثِ وَزِيَادَ بْنَ عُبَيْدٍ فَرَصَدُوهُ حَتَّى إذَا دَخَلَتْ عَلَيْهِ هَجَمُوا عَلَيْهِمَا وَكَانَ مِنْ أَمْرِهِمْ فِي الشَّهَادَةِ عَلَيْهِ عِنْدَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ مَا هُوَ مَشْهُورٌ فَلَمْ يُنْكِرْ عَلَيْهِمْ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ هُجُومَهُمْ. وَإِنْ كَانَ حَدَّهُمْ الْقَذْفَ عِنْدَ قُصُورِ الشَّهَادَةِ .

Maksudnya : "Maksiat yang sekiranya dibiarkan, akan berlaku satu pencerobohan dan pencemaran terhadap maruah dan kehormatan yang akan terlepas daripada disekat dan dihalang. Misalnya, sekiranya seseorang yang dipercayai membuat aduan kepada penguatkuasa tentang seorang lelaki yang berdua-duaan dengan seorang wanita untuk berzina dengannya atau dengan lelaki lain untuk membunuhnya. Maka penguatkuasa dalam keadaan ini boleh membuat intipan dan berusaha untuk membongkar, menyiasat dan menyelidiknya untuk mengelak daripada terluputnya usaha menyekat dan menghalang pencerobohan terhadap kehormatan dan melakukan perbuatan yang haram. Begitu juga dengan penguatkuasa yang sukarela (yang tidak dibayar gaji), boleh juga melakukan pembongkaran dan penyiasatan serta memungkirinya.

Seperti dalam kisah al-Mughirah bin Syu`bah. Seorang wanita daripada kalangan Bani Hilal bernama Ummu Jamil, suaminya bernama al-Hajjaj bin `Ubaid, selalu datang bertemu beliau (al-Mughirah) di Basrah. Perkara itu diketahui oleh Abu Bakrah bin Masruh, Sahl bin Ma'bad, Nafi` bin Harith dan Ziyad bin 'Ubaid. Mereka lalu mengintipnya hinggalah apabila wanita itu masuk bertemunya mereka menyerbu mereka berdua. Yang masyhur, Umar dalam hal ini menilai mereka dari sudut kesaksian dan tidak menyalahkan tindakan mereka menyerbu,  walaupun mereka boleh dihukum qazaf jika tidak memiliki saksi yang mencukupi". (Rujuk al-Mawardi, al-Ahkam al-Sultaniyyah, Bab 10 : Fi Ahkam al-Hisbah, j.2, hal. 8)

Bagi penulis, dalam keadaan fitnah yang teramat dahsyat pada zaman ini, khususnya gejala seks bebas dan pembuangan bayi yang berleluasa, adalah menjadi satu kewajipan bagi pihak pemerintah menggiatkan aktiviti 'pencegahan maksiat' dengan menerima aduan, membuat risikan dan menyiasat modus operandi golongan terbabit bagi memastikan kewajipan mencegah kemungkaran dapat ditegakkan. Bahkan perbuatan itu tidak boleh dikatakan tersembunyi lagi jika ia telah menjadi fenomena biasa dalam masyarakat berbeza dengan zaman para sahabat dan tabi'in yang sangat kuat berpegang kepada nilai-nilai ketaqwaan dan ketaatan kepada agama. Kes-kes zina adalah sesuatu yang terpencil dan sangat asing bagi mereka!

Sebagai contoh pada malam-malam sambutan tahun baru atau malam kemerdekaan, telah menjadi lumrah anak-anak muda akan melakukan aktiviti-aktiviti tidak bermoral di hotel-hotel murah atau lokasi tertentu yang tersembunyi. Adakah kita ingin katakan kerana ia dilakukan secara tersembunyi dan tertutup, maka para penguatkuasa tidak perlu bertugas dan serahkan sahaja urusan mereka kepada Allah SWT. Bagi penulis kalau begini pendiriannya, bermakna kita telah menjadi pendukung-pendukung golongan liberal yang berpegang kepada konsep human right membabi buta dan slogan 'personal sin', kononnya dosa peribadi yang tiada kena mengena dengan orang lain.

Akhirnya, penulis ingin menukilkan kata-kata al-Qaradawi betapa pentingnya kita meneliti realiti sesuatu isu sebelum mengeluarkan hukum, fatwa atau pandangan. Jangan sampai pandangan kita itu menjadi back-fire yang akhirnya mencemarkan nama baik agama Islam itu sendiri. 

Kata beliau, “Dan daripada sini amat menghairankan apabila ada sesetengah penuntut ilmu agama (kebanyakannya hanya tampalan sahaja) yang memberi fatwa dengan tergesa-gesa dan kesombongan pada masalah yang kronik, isu yang serius, mempertikaikan para ulama tersohor bahkan mencela para ulama besar, tokoh-tokoh Sahabat sambil berkata dengan sombong dan bongkak, mereka rijal (orang) dan kami rijal!! Sepatutnya perkara pertama yang mereka perlu (lihat) adalah mengetahui kadar kemampuan diri mereka, kemudian fiqh tentang maqasid al-syara’ (tujuan-tujuan syariat), fiqh haqa’iq al-waqi’ (realiti semasa), namun kesombongan menjadi pendinding yang tebal tanpa sebab-sebab lain”. (Lihat perbincangan al-Qaradawi berkenaan kepentingan ilmu kepada mufti dalam: Fi al-Fiqh al-Awwaliyyat, Maktabat Wahbah, Qahirah, 1995, hal. 63)

Wallahu a'lam.

Read more >>