Sebagaimana dirancang, Syeikh al-Qaradawi telah selamat pulang pada masa dan hari yang dirancang. Penulis sempat menyediakan cek RM40k atas nama IIUM Endowment Fund untuk diserah kepada Rektor UIAM Dato' Sri Prof. Dr. Syed Arabi Idid. Nasib baik Prof. pun sudi mengutamakan program penyerahan cek tersebut, majlis yang serba ringkas di Bilik VIP KLIA ini sudah pasti akan menjadi kenangan bagi pihak UIAM dan JAKIM sampai bila-bila. Fadhilat al-Syaikh al-Qaradawi telah berbesar hati mendermakan 40% daripada hadiah wang tunai Ma'al Hijrah beliau kepada tabung pelajar UIAM yang memerlukan. Jazakumullah Ya Maulana al-Syaikh..
Sebenarnya pemergian Syeikhuna al-Qaradawi disusul pula dengan ketibaan Syeikhuna Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili. Alhamdulillah, pagi tadi ketika Syeikh Wahbah dijemput oleh Persatuan Ulama Malaysia dan Jabatan Agama Islam Selangor untuk menyampaikan ucaptama bagi Simposium Fiqh Masyarakat Bukan Islam, penulis sempat bertemu beliau di bilik tamu Dewan Annex Dun, SUK Shah Alam. Penulis tak dapat gambarkan bagaimana gembiranya Syeikh Wahbah ketika dapat bertemu semula 'khadam' beliau ini ketika beliau dijemput sebagai penerima Tokoh Ma'al Hijrah 1430 pada tahun lalu. Setahun sudah berlalu, tetapi penulis bersyukur kerana ingatan beliau terhadap penulis masih kukuh sebagaimana 'kertas usang' yang tertulis nombor telefon bimbit penulis masih tersimpan rapi dalam jubah beliau. Tasyarrafna Ya Syaikhana....
Pada malamnya pula, Syeikh Wahbah telah dijemput oleh pihak penganjur untuk menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Negeri Shah Alam. Walaupun dalam keadaan yang agak kepenatan, penulis menggagahkan diri untuk memandu dari Putrajaya ke Shah Alam bagi mendengar ceramah Syeikh Wahbah. Ilmunya yang menggunung itu pastinya ditagih oleh sesiapa sahaja yang tahu menilainya. Dalam kuliah ringkas antara Maghrib dan Isyak itu, Syeikh Wahbah menghuraikan tentang tiga ciri istimewa agama ini, al-alamiyyah (universal), al-khatamiyyah (penutup segala syariat) dan al-khulud (kekal hingga ke akhir zaman). Beliau turut tidak lupa menjelaskan perbezaan antara alamiyyat al-Islam dengan al-'aulamah (globalisasi) yang sudah pastinya berbeza dengan intipati dan dasar kesejagatan Islam.
Di sini, penulis juga ingin mengingatkan teman-teman yang ingin memohon fatwa kepada mana-mana ulama luar negara. Setiap persoalan perlu didahului dengan latar belakang yang jelas. Kita tidak boleh meminta fatwa dengan hanya bertanya 'soalan sepatah'. Ini terjadi ketika selepas Syeikh Wahbah menyampaikan ucaptama dalam Simposium Fiqh Masyarakat Bukan Islam. Salah seorang peserta bertanya soalan hukum orang bukan Islam menggunakan kalimah 'Allah' bagi penganut bukan Islam, tanpa menyatakan latar belakang perkara itu berlaku dan apa isu sebenarnya di Malaysia.
Pembaca blog boleh mendengar bagaimana penulis mengajukan persoalan ini kepada Syeikh Abdul Fattah 'Allam, Naib Syeikh al-Azhar melalui audio di site sebelah kiri web ini. Kali pertama soalan ini dibangkitkan oleh salah seorang peserta kursus ketika kami bersama Syeikh al-Azhar, tetapi 'soalan sepatah' itu menyebabkan Syeikh al-Azhar naik berang dan penulis telah berusaha sedaya upaya menjelaskan kepada Syeikh al-Azhar tentang kedudukan isu sebenarnya di Malaysia, bagaimanapun Syeikh al-Azhar tetap dengan pendiriannya untuk mengatakan 'boleh' bagi penganut bukan Islam menggunakan kalimah Allah. Bercanggah dengan fatwa naibnya, Syeikh Fattah yang juga Ketua Lajnah Dialog Antara Agama al-Azhar. (Sila dengar audio di site sebelah kiri)
Apa pun Syeikh Wahbah dijangka pulang pada Jumaat jam dua pagi ini. Bagi penulis dapat bertemu dan berbual seketika sudah mencukupi. Melepaskan kerinduan kepada seorang ulama besar berumur 77 tahun ini setelah satu tahun tidak ketemu..Semoga Allah SWT memanjangkan umur beliau untuk terus berbakti kepada ummah ini sehingga ke hembusan nafas yang terakhir..Amin...