Penulis melihat mutakhir ini penjualan
produk rawatan berasaskan ayat-ayat al-Qur'an mahupun doa semakin menjadi-jadi.
Dari satu sudut ia kelihatan baik kerana seolah-olah memperlihatkan umat Islam
semakin ghairah untuk kembali kepada agama termasuk dalam ehwal berkaitan
dengan kesihatan dan perubatan. Namun begitu, dari satu sudut yang lain, ia
mendedahkan kesucian agama Islam kepada manipulasi dan eksploitasi demi
kepentingan duniawi.
Ini kerana terdapat sesetengah
pengusaha teramat melampau dalam mengkomersialkan produk-produk mereka sambil
membawakan pelbagai testimoni sebagai bukti keberkesanannya. Pihak yang
mempertikaikan produk mereka pula akan disanggah kononnya cuba mempersoalkan
mukjizat al-Qur'an. Maka, dengan berbekalkan hujah-hujah agama, produk-produk
tersebut dijual secara berleluasa sambil menyebut khasiat-khasiatnya yang
tertentu seperti untuk mempercepatkan jodoh, mengeratkan kasih sayang suami
isteri, membenteng diri daripada makhluk halus, menaikkan seri wajah dan seribu
satu macam khasiat yang seolah-olahnya serba 'menyembuhkan' sesuai dengan
kedudukan al-Qur'an sebagai mukjizat yang penuh dengan kelebihan.
Dalam hal ini, penulis teringat kepada
pesanan Syeikh Mahmud Syaltut, bekas Syeikh al-Azhar yang pernah menyatakan
kebimbangan beliau terhadap apa yang berlaku ini. Beliau pada asasnya tidak
mengharuskan perbuatan menulis ayat-ayat al-Qur'an pada kertas atau bekas-bekas
tertentu dan kemudian dibasuh dan diminum. Ini kerana pada pandangannya
perbuatan tersebut menyeleweng daripada cara perawatan dan perubatan sebenar
serta digunakan oleh pihak tertentu untuk mendapatkan sumber kewangan dengan
cara yang tidak diterima oleh Islam. Beliau mengatakan seperti berikut :
وإن تعجب فعجب أن تكتب الأية القرأنية في إناء
ثم تمحى بالماء. ثم تؤمر المريض بشربه أو تكتب قطع صغيرة من الورق ثم تلف كالبرشام
ويؤمر المريض بابتلاعها , أو تحرق تلك القطع ويبخر المريض بها على مرات, أو توضع
في خرقة وتعلق حجابا في مكان معين من جسم المريض. وبهذا ونحوه اتخذ الدجالون
القران لكسب العيش عن طريق يأباه الإيمان ويصدقه كثير من المسلمين. وذلك فضلا عن أنه انحرف عما أنزل لأجله فإن فيه
إفسادا للعقول الضعيفة وصرفا لأربابها عن طريق العلاج الصحيح, وتغييرا لسنة الله
في الأسباب والمسببات , واحتيالا على أكل أموال الناس بالباطل, وهذا تصرف لا يقره
دين ولا يرضى به عقل سليم.
من كتاب " فتاوى" للشيخ محمود شلتوت
, ص : 208
"Dan
amat menakjubkan bahawa ayat-ayat al-Qur'an ditulis di dalam bekas kemudian
dipadamkan dengan air, lalu pesakit diminta supaya meminumnya atau ditulis di
atas kepingan-kepingan kertas yang kecil kemudian dihancurkan seperti pil dan
pesakit disuruh untuk menelannya, atau dibakar kepingan tersebut dan pesakit
diminta mengasap dengannya beberapa kali atau diletak kepingan kain dan
digantung sebagai pembalut pada tempat tertentu pada tubuh pesakit. Dengan ini
dan seumpamanya, para dajal telah menggunakan al-Qur'an untuk mencari makan
dengan cara yang dinafikan oleh iman namun dibenarkan oleh ramai umat Islam. Demikian
itu, lebih-lebih lagi ia terseleweng daripada tujuan sebenar al-Qur'an
diturunkan, ia merosakkan akal yang lemah dan memalingkan orang yang terlibat
(para pesakit dan yang berhajat) daripada kaedah rawatan yang sahih, dan
mengubah sunnatullah dalam sebab dan musabab, dan satu penipuan untuk memakan
harta orang ramai secara batil, perbuatan ini tidak diakui agama dan tidak
diredai oleh akal yang waras". (Fatawa Shaykh Mahmud Shaltut, hal. 208)
Walaupun fatwa Syeikh Mahmud Syaltut
ini mungkin bercanggah dengan pandangan sesetengah ulama yang membenarkan
kaedah rawatan seperti yang dinyatakan, namun penekanan yang diberikan oleh
beliau ialah unsur-unsur memanipulasikan ayat-ayat suci al-Qur'an dan doa untuk
kepentingan duniawi. Sukar untuk dinafikan apabila kaedah rawatan seumpama dijadikan
perniagaan komersial, ketika itu, pelanggan bukan lagi melihat Allah SWT itu
sebagai penyembuh tetapi produk-produk tersebutlah yang menyembuhkan. Lebih-lebih
lagi apabila pengusaha-pengusaha produk saling bersaing dan berlumba-lumba
antara satu sama lain untuk menunjukkan produk mereka lebih mujarab bahkan
lebih MUSTAJAB BACAAN AL-QUR'AN DAN DOANYA berbanding produk lain.
Antaranya contoh yang boleh dijadikan
teladan adalah apa yang berlaku kepada penjualan Air Musofa secara komersial
suatu ketika dahulu. Pengusaha air tersebut telah membuat promo menerusi
rancangan temubual radio yang ditaja oleh syarikatnya sendiri. Dalam rancangan
tersebut pengusaha produk akan menyebut pelbagai khasiat tentang produknya
termasuk kepercayaan khurafat seperti mengatakan perbuatan merenjiskan Air
Musoffa ke atas kenderaan, akan mengelakkan kenderaan tersebut daripada bala
bencana.
Dalam segmen tajaan tersebut juga, pengusaha
produk menawarkan hadiah kepada para pendengar yang dapat memberi testimoni
terbaik. Kebanyakan testimoni yang diberikan menjuruskan kepada kepercayaan
khurafat yang ditegah agama.
Perbuatan yang melampau dalam
mengkomersialkan ini akhirnya telah menyebabkan syarikat Air Musoffa telah
difatwakan haram oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah
Persekutuan Kali Ke-64 telah diadakan pada 4 Disember 2004 yang membuat
keputusan bahawa : “Air Musoffa adalah air rawatan yang dihasilkan dengan
kaedah yang bercanggah dengan hukum syarak dan pemasaran air ini boleh membuka
pintu khurafat dalam masyarakat”.
Mesyuarat Panel Kajian Akidah (PKA)
kali ke 29 pada 24 Mei 2005 juga telah
bersetuju membuat keputusan bahawa penjualan Air Musoffa secara komersial
adalah dilarang kerana boleh membuka ruang kepada penyelewengan akidah,
penipuan dan kepercayaan khurafat.
Seterusnya Muzakarah Jawatankuasa
Fatwa Kebangsaan kali ke-72 pada 23 Januari 2006 memutuskan bahawa: “Penjualan
air musoffa secara komersial adalah dilarang kerana ia boleh membuka ruang
kepada penyelewengan akidah, kepercayaan khurafat dan penipuan”.
Malah
isu Air Musoffa ini pernah dibangkitkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri dalam
mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 November 2004 dengan mengatakan adalah tidak
wajar Air Musoffa ini dijual kepada orang ramai kerana boleh ditafsirkan
sebagai memperdagangkan ayat-ayat al-Quran dan dikhuatiri masyarakat Islam akan
mempercayai keupayaannya bagi menyembuhkan pelbagai penyakit dan meninggalkan
perubatan moden.
Pada pemerhatian penulis juga, kaedah-kaedah rawatan yang seumpama ini
kadang-kadang menjadi penyebab sesetengah orang MENSEKULARKAN perubatan moden
dengan mengatakan perubatan moden bukan daripada perubatan Islam, padahal tokoh-tokoh awal perubatan moden itu dipelopori oleh para ulama Islam seperti
Ibn Sina, al-Zahrawi, Ibn al-Haytham, al-Razi, Ibn Rusyd dll yang menunjukkan perubatan moden adalah sebahagian
daripada perubatan Islam.
Kesimpulannya, tiada siapa yang menafikan bahawa al-Qur'an memiliki
kelebihan untuk menyembuhkan segala penyakit rohani dan jasmani dengan izin
Allah SWT. Namun untuk menggunakan al-Qur'an bagi tujuan melariskan produk dan
menjustifikasikan produknya sebagai yang terbaik dari yang lain, adalah suatu
perbuatan MEMPERDAGANGKAN al-Qur'an dengan harga yang murah seperti firman
Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 9: "Mereka menukarkan ayat-ayat Allah
dengan harga yang sedikit (dari faedah-faedah dunia), lalu mereka menghalangi
(dirinya dan orang-orang lain) dari ugama Allah; sesungguhnya amatlah buruknya
apa yang mereka telah kerjakan".