Isnin, 7 Februari 2011

Melayu jadi pluralist sebab tak faham Islam..


Dalam ceramah bertajuk "Wahdatul Adyan" di salah sebuah masjid di Selangor baru-baru ini, penulis mulakan dengan penjelasan tentang topik "Kedudukan muslim di tengah-tengah bukan muslim" atau dengan kata lain "Pandangan muslim terhadap bukan muslim". Sebenarnya tajuk ini lebih penting daripada membicarakan soal fahaman sesat "Wahdatul Adyan" atau "Pluralisme Agama" yang diasaskan oleh John Hick di Barat. Kalau seseorang muslim benar-benar faham tentang agama Islam yang dianutinya, insya-Allah, masuklah apa jua fahaman pun, dia pasti tidak akan tenggelam atau terpengaruh walau sedikitpun dengan faham-faham tersebut.

Kerana itu, bagi penulis tiada gunanya kita bercakap soal dialog antara agama, toleransi agama, etika beragama, keharmonian beragama dan sebagainya jika kita terlebih dahulu tidak memahamkan umat Islam dengan kedudukannya sebagai penganut Islam di tengah-tengah bukan Islam.

Pertama : Hanya agama yang haq

Perjelaskan kepada anak-anak dan generasi kita mendatang bahawa hanya Islam agama yang benar manakala agama lain adalah batil dan palsu. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 19 :

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ

Maksudnya : "Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam".

Penganut agama lain tidak diterima oleh Allah SWT dan mereka di akhirat kelak adalah golongan yang rugi. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 85 :

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآَخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya : "Dan barangsiapa yang mencari agama lain selain Islam, maka dia tidak akan diterima daripadanya, dan dia di akhirat kelak daripada orang yang rugi".

Kedua : Penganut selain Islam adalah kafir dan tiada titik pertemuan di akhirat kelak

Perjelaskan kepada anak-anak dan generasi kita mendatang bahawa penganut bukan Islam adalah kafir. Kafir itu bukan istilah berbentuk cacian atau mencarut seperti khinzir dan sebagainya sebaliknya kafir bermaksud "naqidh al-iman" iaitu "lawan iman" atau "kontra-iman". Itu adalah istilah yang diberikan al-Qur'an bagi membezakan seorang muslim dengan bukan muslim dan seharusnya bukan muslim menghormati doktrin yang terkandung di dalam kitab suci umat Islam.

Di samping itu tiada titik pertemuan akan berlaku antara orang Islam dan orang kafir di akhirat kelak. Seperti yang sering dicanangkan oleh golongan pluralist bahawa kononnya manusia pelbagai agama bersatu pada titik metafiziknya, itu hanya dusta semata-mata. Hakikatnya Islam dan kafir itu amat jauh sekali dan amat pasti tidakkan bertemu di akhirat kelak. Allah SWT berfirman dalam surah al-Bayyinah ayat 6 :

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ وَالْمُشْرِكِينَ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا أُولَئِكَ هُمْ شَرُّ الْبَرِيَّةِ (6) إِنَّ الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَئِكَ هُمْ خَيْرُ الْبَرِيَّةِ (7) جَزَاؤُهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ذَلِكَ لِمَنْ خَشِيَ رَبَّهُ (8)

Maksudnya : "Sesungguhnya orang kafir di kalangan ahli kitab dan musyrikin itu di dalam neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya dan mereka itu adalah seburuk-buruk kejadian. Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh itu, mereka adalah sebaik-baik kejadian. Balasan mereka di sisi Allah adalah syurga-syurga Adnan yang mengalir dibawahnya sungai-sungai mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, Allah redha terhadap mereka dan mereka redha terhadap-Nya, demikian itu bagi sesiapa yang takut kepada Tuhannya".

Jika di akhirat kelak, yang muslim ke syurga selama-lamanya dan yang kafir ke neraka selama-lama, bagaimana kita mahu katakana di sana ada titik pertemuan?

Ketiga : Segala amalan orang kafir tidak diterima oleh Allah SWT

Amalan perbuatan kebaikan yang dilakukan oleh orang kafir adalah sia-sia dan tidak diterima oleh Allah SWT di akhirat kelak termasuk orang Islam yang murtad keluar dari agama Islam. Oleh itu, sebaik semulia mana akhlak orang kafir di atas dunia, segala amal kebajikan mereka tetap tiada nilai di sisi Allah SWT. Allah berfirman dalam surah al-Nur ayat 39 :

وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَعْمَالُهُمْ كَسَرَابٍ بِقِيعَةٍ يَحْسَبُهُ الظَّمْآَنُ مَاءً حَتَّى إِذَا جَاءَهُ لَمْ يَجِدْهُ شَيْئًا
Maksudnya : "Dan orang yang kafir itu amalan mereka seperti fatamorgana di atas tanah lapang, orang yang dahaga menyangka ia air, tetapi apabila dia datang kepadanya, dia tidak mendapat sesuatu apa pun".

Keempat : Semua agama-agama lain adalah batil dan tiada kena mengena dengan agama Islam sama sekali

Sesetengah generasi muda terpengaruh dengan dakwaan kononnya ajaran-ajaran agama yang ada pada hari ini semuanya adalah berasal usul daripada nabi-nabi terdahulu. Oleh itu apa yang berlaku agama-agama itu hanyalah satu kelangsungan terhadap apa yang dibawa oleh nabi-nabi tersebut. Kita perlu perjelaskan bahawa kenyataan ini tidak benar sama sekali, yang benar adalah semua nabi terdahulu hanya membawa agama Islam. Ia jelas melalui nas-nas al-Qur'an seperti dalam surah Ali-Imran ayat 67 :

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَكِنْ كَانَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ


Maksudnya : "Dan tidaklah Ibrahim itu seorang yahudi dan juga nasrani tetapi dia adalah seorang hanif dan muslim dan tidaklah dia dari kalangan musyrikin".

Bagaimana agama tauhid yang dibawa oleh para nabi terdahulu boleh dikaitkan dengan agama-agama batil yang ada pada hari ini? Ini adalah salah satu jarum halus golongan pluralist untuk merosakkan aqidah dan syariah Islam.

Kelima : Wajib 'bara'ah' daripada peribadatan dan kepercayaan agama lain

Allah berfirman dalam surah al-Kafirun ayat 1-6 :

قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ (1) لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ (2) وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (3) وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ (4) وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (5) لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ (6)

Bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku”.

Menurut Imam Ibn Kathir, surah ini merupakan surah al-Bara’ah (pelepasan diri) daripada amalan yang diamalkan oleh orang musyrikin. Ayat tiga yang bermaksud “Dan tidaklah aku menyembah apa yang kamu sembah” bermakna aku tidak beribadat dengan ibadat kamu iaitu tidak mengambil jalan itu dan mengikutinya, sebaliknya aku menyembah Allah SWT berdasarkan cara yang disuruh dan diredhainya. Manakala ayat empat yang bermaksud “Dan tidaklah kamu menyembah apa yang aku sembah” bermakna kamu tidak mengikut perintah-perintah Allah SWT dan syariat-Nya dalam beribadat bahkan kamu telah mereka-reka sesuatu daripada diri kamu sendiri.

Oleh itu, kita tidak boleh bersetuju atau turut serta dalam apa jua bentuk doktrin, kepercayaan, syiar, perayaan agama dan peribadatan orang kafir.

Akhirnya, seakrab mana pun kita berkawan atau bersahabat dengan bukan Islam, jika kita sebagai muslim memahami prinsip-prinsip ini insya-Allah kita tidak akan sekali-kali terpengaruh dengan dakyah pluralisme agama atau kesatuan agama bawaan Barat.

Wallahu a'lam.
Read more >>