Sabtu, 30 April 2011

Ya Allah, lindungilah kami daripada fitnah!

Seminggu sebelum Dato' Wan pencen, beliau mengajak penulis bersama-sama dengannya bertemu dengan Syeikh Dr. Afifi al-Akiti, pensyarah Pengajian Islam di Universiti Oxford, London. (Klik sini untuk mengenali siapa beliau). Apa yang menarik, walaupun Syeikh Afifi seorang ahli tariqat dan seorang Asy'ari Syafi'iy yang kuat, beliau masih menunjukkan sifat-sifat keterbukaannya terhadap golongan dari aliran yang bertentangan. Beliau menceritakan kisah tentang persahabatannya dengan seorang Syeikh Salafi di sana bernama Syeikh Usamah. Kata beliau, suasana di London tidak memperlihatkan pertentangan yang tajam dalam soal khilafiyyah. Malah Syeikh Usamah sendiri bersama-sama dengan anaknya bersolat tarawih dengan mereka dengan cara berselawat antara setiap dua rakaatnya. Malah Syeikh Usamah turut diberi ruang menyampaikan tazkirahnya di masjid Pusat Islam Oxford. Begitulah keharmonian yang terjalin di kalangan mereka di sana.

Kelmarin ketika penulis bersama-sama tuan guru al-Mursyid Dr. Zulkifli al-Bakri membentangkan kertas kerja di Kelantan. Penulis benar-benar teruja dengan pembentangan al-Mursyid tentang 'Adab al-Khilaf'. Antara ungkapan al-Mursyid yang memberi kesan kepada penulis adalah apabila al-Mursyid menjelaskan mengapa terlalu banyaknya khilaf yang berlaku dan mengapa ianya sengaja ditajam-tajamkan oleh orang tertentu. Kata al-Mursyid, "Man kathura ittilaa'uhu qalla i'tiradhuhu". Bermaksud "siapa yang banyak telaah ilmunya, akan kurang tentangannya". Penulis memang kagum dengan al-Mursyid, kerana beliau menguasai dan memahami manhaj dua aliran yang berbeza, pernah menimba ilmu di Madinah dan Syria. Baarakallahu fiih.

Itulah sikap dan adab para ilmuan yang tinggi ilmu dalam beramal, berbeza dengan orang yang ilmunya sedikit tetapi angkuhnya tinggi. Seperti juga seorang alim yang hidup dengan penuh kezuhudan tak pernah mengaku dirinya sufi, berbeza dengan seorang ahli tariqat yang angkuh dengan tariqat dan hadrah kesufiannya, tetapi cara hidupnya langsung tidak menunjukkan ciri-ciri kezuhudan, tawadhu' dan tawarru' seorang sufi, bahkan angkuh dengan pengaruhnya, pengikutnya dan hartanya yang mewah. Berbeza benar dengan golongan zuhhad yang terdahulu.

Semoga Allah SWT menjauhkan penulis dan seluruh umat Islam, dari tuduh menuduh, fitnah memfitnah, jatuh menjatuhkan, kafir-mengkafir, bid'ah membid'ah, mencari kesalahan ulama dan terpedaya (gharar) dengan diri sendiri. Amiiiin ya Allah... 
Read more >>

Himpunan Artikel