Rabu, 23 Februari 2011

Anwar Ibrahim dan Pluralisme agama

Agak keberatan apabila mahu mengomentari seorang politikus. Kadang-kadang politik menghalalkan segala-galanya. Bagaimanapun penulis tegaskan Nabi SAW mengajarkan kita "Katakan yang benar walaupun ia pahit" (Hadith ini disahihkan oleh Ibn Hibban).

Penulis banyak kali ditanya tentang ucapan Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI)berjudul Religion and Pluralism in a Divided World di London School of Economics pada 18 Mac 2010. Penulis katakan DSAI seorang muslim insya-Allah tetapi padanya terdapat unsur-unsur pemikiran yang perlu diperbetulkan. Ucapan ini bukan kali pertama yang didengari oleh penulis berkenaan pendapat DSAI terhadap pluralisme agama tetapi suatu ketika dahulu Cikgu Azmi TERAS pernah mengadakan Seminar Pluralisme Agama di Shah Alam dan DSAI turut mengemukakan pandangannya yang amat lunak dan mengelirukan berkenaan pluralisme agama.

Di sini penulis perturunkan beberapa point penting ucapan beliau (dalam bahasa Inggeris dan terjemahannya) yang mengandungi dukungan terhadap faham pluralisme agama sama ada secara langsung atau tidak langsung, secara sedar atau tidak sedar. Wallahu a'lam. 

Mempertikaikan kebenaran aqidah yang eksklusif

DSAI : "But I say bear it we must for indeed, it is a stark reality of our world that certain religious groups hold that only certain fundamental doctrines may lead to salvation. This exclusivist outlook unfortunately cuts across the board as between religions as well as within the denominations".

Maksudnya : "Tetapi saya katakan tanggunglah, sesungguhnya, kita mesti lakukannya, ia merupakan realiti sebenar di dunia kita hari ini, bahawa golongan-golongan agama tertentu menganggap hanya ajaran asasi tertentu (fundamental doctrines) sahaja yang membawa ke arah jalan keselamatan (salvation). Pandangan yang ekslusif ini (yang mengangap hanya satu agama sahaja benar), malangnya telah tersebar secara meluas dalam hubungan antara agama-agama dan juga di kalangan mereka yang sama agamanya".

 
Mengakui faham The Transcendent Unity of Religions : satu kebenaran banyak jalan

DSAI : "Back in the 13th century, the mystical poet Jelaluddin al-Rumi wrote in the Masnavi:
“The lamps are different but the Light is the same, it comes from Beyond; If thou keep looking at the lamp, thou art lost; for thence arises the appearance of number and plurality.”
Those verses couldn’t be more relevant for us today. Despite rancorous debates linking religion to conflict and discrimination, it remains a fact that at a personal level religious experience boils down to certain universal concepts. Where does man come from? What is his purpose? What happens when he dies? The spiritual path subscribes us to a universal quest for truth and the pursuit of justice and virtue.

Maksudnya : "Kembali ke belakang, dalam abad ke 13, seorang penyair sufi Jelaluddin al-Rumi menulis dalam Masnawinya (Koleksi Puisi Arab-Parsi) :
Lampu-lampunya adalah berlainan, tetapi Cahaya itu adalah sama, ia datang dari Seberang Sana; Seandainya kamu terus menerus melihat pada lampu, kamu akan tersesat; kerana dari sana muncul pelbagai bilangan dan kemajmukan (plurality).
Bait (puisi) itu adalah sangat relevan kepada kita hari ini. Walaupun terdapat perdebatan-perdebatan yang penuh dengan kebencian berlaku (hari ini) yang menghubungkan agama dengan konflik dan diskriminasi, (tetapi) yang menjadi hakikat bahawa tahap pengalaman keagamaan peribadi akhirnya kembali kepada konsep universal tertentu. Dari mana datangnya manusia? Apa matlamat hidupnya? Apa yang berlaku selepas meninggal dunia? Jalan kerohanian itu akan membawa kita kepada satu pencarian universal tentang kebenaran dan usaha untuk mencapai keadilan serta sifat keunggulan".

Dengan pluralisme agama tiada agama yang lebih tinggi dari agama lain

DSAI : "Today, freedom of religion without which there can be no religious pluralism, is an entrenched constitutional liberty in the established democracies. As such, favouring one religion over another or granting it a position at the expense of others may be considered as being against the spirit of religious pluralism. Yet this still happens even in certain established democracies in Europe while in the Middle East and in Southeast Asia this ambivalence has been virtually taken for granted until recently".

Maksudnya : "Pada hari ini, kebebasan beragama (freedom of religion) yang tidak ada Pluralisme Agama (religious pluralism), adalah tertanam teguh sebagai kebebasan dalam perlembagaan dalam negara-negara demokrasi. Dengan demikian, maka memihak kepada sesuatu agama (tertentu sahaja) dan tidak yang lain atau memberikannya kedudukan yang mengorbankan yang lain boleh dianggap sebagai bertentangan dengan semangat pluralisme agama. Namun perkara ini masih berlaku walaupun dalam negara-negara demokrasi yang teguh kedudukannya di Eropah, manakala di Timur Tengah pula dan di Asia Tenggara, sikap bercanggahan di antara dua perkara yang saling berlawanan ini disifat sebagai perkara lumrah yang biasa berlaku(taken for granted) sehingga akhir- akhir ini".

Menafikan konsep Islam dan kafir, benar dan sesat

DSAI : "I believe I’m not alone in saying that for religious pluralism to flourish in a divided world, it is morally unacceptable to say to people of other faiths:
“We believe in our God and we believe we are right; you believe in your God, but what you believe in is wrong.”

Maksudnya : "Saya percaya bahawa saya bukan keseorangan dalam membuat kenyataan tentang pluralisme agama untuk berkembang subur dalam dunia yang terbahagi-bahagi sifatnya ini, maka adalah perkara yang tidak boleh diterima dari segi moral apabila seseorang itu berkata kepada orang lain yang mereka mempunyai sistem kepercayaan lain (yang lebih benar) daripadanya:
Kami beriman kepada Tuhan kami dan kami percaya kami benar, anda percaya kepada Tuhan anda, tetapi apa yang anda percaya adalah tidak benar".

Terpengaruh dengan faham Falsafah Abadi (Perennial Wisdom) dan Kesatuan Metafizik (Metaphysical Unity)

DSAI : "Whatever the religion, whether it be Islam, Christianity, Judaism, Sikhism, Hinduism and many others, I believe that the higher truths which go beyond mere practice and ritual all converge on the singular truth: and that is from God we were sent forth and unto God shall we return. Yet certain leaders of the major world religions continue to make exclusivist claims to the eternal truths rather than accepting the commonality that binds us. If we accept that there can be unity in diversity, religious pluralism can therefore be a unifying force, not a cause of division. That is the way to take us away from darkness into light, from war to peace and from hatred and evil to love and kindness".

Maksudnya : "Apa juga agamanya, sama ada Islam, Kristian, Sikh, Hindu dan banyak lagi yang lain, saya percaya bahawa kebenaran-kebenaran yang lebih tinggi (higher truths) yang mengatasi amalan- amalan semata (mere practice) dan ibadat (ritual) semuanya terpusat atas kebenaran yang satu itu (singular truth): bahawa dari Tuhan kita datang dan kepada Tuhan kita kembali. Tetapi terdapat pemimpin-pemimpin agama tertentu di dunia yang terus menerus membuat dakwaan yang eksklusif (exclusivist claims) yang mereka memiliki kebenaran yang kekal abadi (the eternal truths) berbanding dengan penerimaan terhadap kebersamaan (commonality) yang boleh mengikat di antara kita. Kalaulah kita menerima bahawa (kita) boleh menjadi kesatuan dalam kepelbagaian, maka pluralisme agama adalah satu tenaga penyatuan tersebut, (dan) bukannya faktor perpecahan. Itulah jalannya untuk kita keluar daripada kegelapan kepada cahaya, daripada perang kepada damai, daripada kebencian dan kejahatan kepada kasih sayang dan kebaikan".

Kesimpulannya, terdapat kesilapan pemikiran yang jelas oleh DSAI yang perlu diperbetulkan. Ada kemungkinan DSAI tidak mempunyai kelengkapan Islam yang mencukupi sebelum mentelaah buku-buku pemikiran yang ditulis oleh Barat dan orientalis sehingga wujud seolah-olah satu direct endorsment pemikiran Barat di dalam pemikiran DSAI. Semoga Allah SWT memberi hidayah kepada beliau dengan menarik balik ucapan ini. Dan semoga ada golongan ulama dan asatizah yang mendampingi beliau dapat menegur kesilapan pemikiran ini. Di pihak kerajaan mungkin dengan memanggil DSAI untuk bermuzakarah tentang maksud 'pluralisme agama' boleh menjernihkan keadaan.

Akhirnya ditegaskan, ini adalah isu aqidah dan tiada kena mengena dengan politik kepartian! Wallahu a'lam.

Read more >>

Sabtu, 19 Februari 2011

Jangan ajak orang kafir doa bersama

Penulis ditanya, apakah hukum kita sebagai muslim menganjurkan orang kafir supaya sama-sama berdoa. Misalnya dengan mengatakan, "Bagi orang Islam marilah kita sama-sama mengaminkan doa yang akan dibacakan, sementara bagi bukan Islam dipersilakan untuk berdoa menurut agama masing-masing".

Bagi menjawab persoalan ini, penulis bentangkan dalil dan hujjah berkenaan kedudukan Islam perihal doa orang kafir seperti berikut:-

Doa orang kafir menurut nas-nas syara'.

Berdasarkan Surah al-Ra'd, ayat 14:

Maksudnya: “Tiadalah doa dan ibadat orang kafir itu melainkan sia-sia sahaja.”

Menurut tafsir Imam al-Qurtubi: Ayat ini membawa maksud bahawa ibadat orang kafir terhadap berhala-berhala itu tidak memberi apa-apa makna melainkan kesesatan kerana ianya syirik dan dikatakan juga bahawa dengan doa itu ianya hanyalah boleh menyesatkan lagi bahkan mereka sekali-kali tidak akan mendapati jalan keluar. Dan berkata Ibnu Abbas: Bahawa suara-suara orang kafir itu terhijab daripada Allah dan Allah tidak (mahu) mendengar seruan (doa) mereka. (Tafsir al-Qurtubi, Juzuk 9, m/s 301)

Menurut Abu Ja'far al-Tabari: Ayat ini merupakan perumpamaan terhadap golongan kafir yang berdoa kepada berhala yang sekali-kali tidak akan menjawab seruannya bahkan tidak akan memberikan sebarang kebaikan kepadanya serta tidak juga mendatangkan sebarang mudarat kepadanya sehingga ajal menemuinya. Bandingannya ialah umpama seorang yang membuka kedua telapak tangannya untuk mendapatkan air ke mulutnya, namun air tidak sampai ke mulutnya (kerana telapak tangan yang terbuka tidak dapat menampung air) sehinggalah dia mati kehausan. (Tafsir al-Tabari, Juzuk 13, m/s 130)

Menurut tafsir Ibnu Kathir: Orang-orang musyrikin yang menyembah tuhan selain Allah itu, ia (tuhan-tuhan mereka) tidak memberikan apa-apa manfaat kepada mereka di dunia mahupun di akhirat. (Tafsir Ibnu Kathir, Juzuk 2, m/s 508)

Menurut Ibnu Kathir ketika golongan kafir memohon kepada malaikat supaya mendoakan mereka untuk diselamatkan dari api neraka walaupun sehari, lalu malaikat penjaga neraka berkata: Bukankah para rasul pemberi ingatan telah datang kepada kamu? Golongan kafir menjawab: Ya. Para malaikat berkata: Kamu berdoalah sendiri untuk diri kamu, kami tidak akan berdoa untuk kamu dan tidak akan mendengar rayuan kamu, dan tidak akan berharap pelepasan kamu (dari azab), bahkan kami berlepas diri dari (perbuatan syirik) kamu, kemudian kami ingin memberitahu kamu bahawa sama ada kamu berdoa atau tidak berdoa, kamu sekali-kali tidak akan diterima dan azab kamu tidak akan diringankan sedikit pun. (Tafsir Ibnu Kathir, Juzuk 4, m/s 84)

Ayat-ayat yang menyuruh supaya kita istibra’ (berlepas diri) dari ibadat atau agama orang kafir.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Kafirun:

Bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.

Menurut Imam Ibnu Kathir surah ini merupakan surah al-bara’ah (pelepasan diri) dari amalan yang diamalkan oleh orang musyrikin. Ayat tiga yang bermaksud “Dan tidaklah aku menyembah apa yang kamu sembah” bermakna aku tidak beribadat dengan ibadat kamu iaitu tidak mengambil jalan itu dan mengikutinya, sebaliknya aku menyembah Allah s.w.t. berdasarkan cara yang disuruh dan diredhainya. Manakala ayat empat yang bermaksud “Dan tidaklah kamu menyembah apa yang aku sembah” bermakna kamu tidak mengikut perintah-perintah Allah s.w.t. dan syariat-Nya dalam beribadat bahkan kamu telah mereka-reka sesuatu daripada diri kamu sendiri.

Ianya bersamaan dengan firman Allah s.w.t. dalam surah Yunus ayat 41:

Bermaksud: “Dan sekiranya mereka membohongi kamu maka katakanlah bagiku amalanku dan bagi kamu amalan kamu, (ibadat) kamu tidak berkaitan dengan amal (ibadat) ku dan aku berlepas diri dengan segala (ibadat) yang kamu kerjakan.”

Begitu juga dengan ayat 15 surah al-Syura:

Yang bermaksud: “Bagi kami amal (ibadat) kami dan bagi kamu amal (ibadat) kamu.” Yang bermakna kami berlepas diri daripada (ibadat) kamu. (Tafsir Ibnu Kathir, Juzuk 4, m/s 103 dan 532)

Qiyasan kepada hukum penyertaan orang bukan Islam di dalam solat Istisqa’ (solat dan doa memohon hujan ketika musim kemarau).

Jika dibuat justifikasi berdasarkan perbahasan para ulama berkenaan hukum mengajak orang kafir zimmi bersama berkumpul di tengah padang bagi menyertai upacara solat istisqa’ umat Islam. Kita akan dapati pandangan ulama adalah seperti berikut:-

Pertama: Menurut mazhab Hanafi, orang bukan Islam tidak dibenarkan menghadiri upacara solat Istisqa’ kerana perkumpulan tersebut adalah dengan tujuan memohon doa sedangkan Allah s.w.t. berfirman di dalam al-Qur’an: al-Ra’d ayat 14; “Tiadalah doa dan ibadat orang-orang kafir itu melainkan hanya sia-sia belaka”, begitu juga ianya bertujuan untuk memohon rahmat sedangkan ke atas mereka hanya diturunkan laknat, walaupun berkemungkinan doa orang kafir itu dikabulkan (tetapi hanyalah) sebagai istidraj (nikmat untuk menambahkan lagi kesesatan mereka) daripada Allah s.w.t.

Kedua: Menurut jumhur para ulama, orang-orang kafir tidak ditegah untuk keluar bersama orang Islam, namun mereka tidak dibenarkan bercampur gaul dengan umat Islam di tempat solat, begitu juga pada waktu sedang menuju ke tempat solat, makruh hukumnya percampuran mereka dengan orang Islam ketika itu menurut pandangan Imam Syafie, dan doa mereka tidak sekali-kali diaminkan kerana doa orang kafir tidak dimakbulkan…dan kemestian untuk mengasingkan mereka daripada kaum muslimin disebabkan mereka tidak terlindung dari azab dan azab sekiranya diturunkan akan meliputi kesemua yang hadir, seumpama kaum ‘Ad yang beristisqa’ lalu Allah s.w.t. menurunkan ke atas mereka angin kencang yang membinasakan mereka. (Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, Juzuk 2, m/s 419)

Menurut Imam Nawawi nas Imam Syafie di dalam kitab al-Umm menyebut bahawa makruh (tahrim) menyuruh orang yang bukan Islam untuk beristisqa’ bersama kaum muslimin di tempat untuk beristisqa’ bahkan diperintahkan supaya menegah mereka daripadanya (menghadirinya). (Nota kaki Raudhah al-Talibin li al-Nawawi, Juzuk 2, m/s 20)

Menurut Imam Malik tidak boleh meminta kafir zimmi untuk keluar beristisqa’ tetapi sekiranya mereka keluar (dengan kehendak sendiri) maka ianya tidak ditegah kerana terdapat athar bahawa mereka keluar bersama-sama kaum muslimin ketika zaman beberapa khalifah dan mereka tidak dilarang. (Al-Mabsuth li al-Sarkhasi, Juzuk 2, m/s 77)

Kesimpulan daripada perbahasan ulama tentang hukum penyertaan orang bukan Islam di dalam solat Istisqa’, boleh kita fahami bahawa muqtadhal kalam (maksud perkataan) mereka sekiranya diqiyaskan dengan hukum memohon kerjasama orang bukan Islam berdoa untuk kesejahteraan negara adalah tidak dibolehkan, namun sekiranya doa mereka itu dibuat secara sukarela tanpa dorongan atau permintaan umat Islam, maka ianya tidak menjadi satu kesalahan bagi umat Islam untuk membiarkannya.

Hukum memohon kerjasama bukan Islam untuk berdoa

Berdasarkan asas-asas pertimbangan yang dikemukakan dapat disimpulkan hukum memohon atau meminta kerjasama orang bukan Islam sama-sama berdoa adalah seperti berikut:-

a. Doa adalah termasuk dalam perkara ibadat kepada Allah s.w.t. yang khusus. Orang Islam tidak boleh menafikan hak ibadat itu dan tidak juga boleh mengithbatkan hak ibadat itu kepada yang lain dari Allah atau mana-mana makhluk sekali pun.

b. Doa orang bukan Islam walaupun berkemungkinan dimakbulkan oleh Allah s.w.t. tetapi ianya bukan atas dasar kasih sayang dan rahmat-Nya, tetapi ianya adalah merupakan istidraj daripada Allah s.w.t.

c. Perbuatan memohon atau memberi cadangan supaya orang bukan Islam berdoa adalah sama dengan maksud kita mengiktiraf ‘ibadat’ agama mereka, oleh itu ianya dilarang keras menurut Syariat Islam, kecuali mereka melakukannya tanpa sebarang arahan atau cadangan daripada umat Islam.

Keputusan Panel Kajian Aqidah JAKIM

Mesyuarat Panel Kajian Akidah JAKIM kali ke 30 pada 14 September 2005 telahpun membincangkan isu ini dan bersetuju menerima dan memutuskan seperti para a, b dan c di atas.

Kesimpulan

Menghormati orang bukan Islam sememangnya dibolehkan tetapi tidak sampai berkompromi di dalam persoalan ibadat. Dalam perkara ibadat tidak ada tasamuh atau toleransi.

Masalah ini boleh selesai jika sekiranya kita tidak bersekutu dengan mereka dalam perkara ini. Jika mereka memohon (berdoa) melalui agama mereka secara sendiri tanpa ada jemputan atau permintaan daripada orang Islam maka ianya tidak menjadi masalah dan tidak berkaitan dengan kita.
Read more >>

Rabu, 16 Februari 2011

Al-Qaradawi : Sambut Maulidur Rasul bukan bid'ah

Dr. Yusuf al-Qaradawi, Ketua Persatuan Ulama Islam Antarabangsa, membolehkan perayaan Maulid Nabi Muhammad SAW. Perayaan seperti itu dibolehkan bagi mengingati kembali sirah perjuangan Rasulullah SAW, keperibadian Rasulullah SAW yang agung, dan misi yang dibawanya daripada Allah SWT kepada alam semesta. Menurut al-Qaradawi, perayaan Maulid Nabi SAW tidak termasuk dalam kategori bid'ah.

Dalam fatwanya, al-Qaradawi melandaskan pendapatnya dengan mengatakan bahawa memperingati kelahiran Rasulullah SAW adalah mengingatkan umat Islam terhadap nikmat luar biasa kepada mereka. "Mengingati nikmat Allah adalah sesuatu yang disyariatkan, terpuji dan memang diperintahkan. Allah SWT memerintahkan kita untuk mengingat nikmat Allah SWT, " ujar al-Qaradawi.

Namun demikian, al-Qaradawi juga mengatakan bahawa sambutan Maulid Nabi SAW jangan sampai dicampuri dengan pelbagai ragam kemungkaran dan penyimpangan syariat serta melakukan apa yang tidak diperintah langsung oleh Allah SWT.

"Menganggap peringatan Maulid adalah bid'ah dan semua bid'ah itu sesat dan tempatnya di neraka, itu tidak benar sama sekali. Yang kita tolak adalah mencampurkan peringatan itu dengan berbagai penyimpangan syariah Islam dan melakukan sesuatu yang tidak diperintahkan langsung oleh Allah SWT seperti yang terjadi di sebahagian tempat," kata al-Qaradawi.

Fatwa al-Qaradawi dikeluarkan untuk menjawab pertanyaan sejumlah umat Islam yang menanyakan, "Apa hukumnya merayakan Maulid Nabi SAW dan perayaan Islam lainnya, seperti perayaan tahun baru hijriyah, Isra Mi'raj dan lain-lain?" Maka, al-Qaradawi menjawab antara lain bahawa, "Mengingat nikmat itu diperintahkan, terpuji dan memang dianjurkan. Mengingatkan umat Islam dengan berbagai peristiwa penting dalam sejarah Islam yang di dalamnya terdapat pelajaran yang bermanfaat, bukan sesuatu yang tercela, dan tidak boleh disebut sebagai bid'ah atau kesesatan. "

Beliau menambah, "Termasuk tanggungjawab kita adalah mengingati sirah perjalanan Rasulullah SAW dalam sambutan peringatan. Ini bukan peringatan yang bid'ah. Kerana kita mengingatkan manusia dengan Sirah Nabawiyah yang mendekatkan mereka dengan misi Muhammad SAW. Ini adalah kenikmatan luar biasa. Adalah dahulu para sahabat radhiallahu anhum kerap mengingati Rasulullah SAW dalam pelbagai kesempatan. "

Antara contohnya, al-Qaradawi menyebutkan, ungkapan seorang sahabat Sa'd bin Abi Waqqas radhallahu anhu, "Kami selalu mengingatkan anak-anak kami dengan peperangan yang dilakukan Rasulullah SAW sebagaimana kami menjadikan mereka menghafal satu surah dalam Al-Quran." Ungkapan ini, menurut al-Qaradawi menjelaskan bahawa para sahabat kerap menceritakan apa yang terjadi dalam perang Badar, Uhud dan lain-lain, kepada anak-anak mereka, termasuk peristiwa saat perang Khandaq dan Bai'atur Ridhwan."

Sumber : qaradawi.net














Read more >>

Selasa, 15 Februari 2011

Tawassul hanya khilaf fiqhi dalam ASWJ

Ketika soal jawab selepas membentang isu khurafat di Melaka baru-baru ini, penulis ditanya oleh salah seorang hadirin tentang persoalan tawassul. Bagaimana hukumnya bertawassul  dengan Nabi SAW dan orang saleh yang telah meninggal dunia? Sebenarnya soalan ini tidak berkaitan dengan apa yang penulis bentangkan kerana isu yang dibentangkan adalah persoalan khurafat termasuklah khurafat memohon kepada ahli kubur seperti yang berlaku di Pulau Besar.

Sesetengah orang menjadikan kubur-kubur itu sebagai keramat yang boleh memberi manfaat dan menolak mudarat. Mereka tidak lagi menganggap Allah SWT yang berkuasa atas manfaat dan mudarat tetapi kubur-kubur itu, lalu mereka bernazar, menyembelih haiwan, membuat pemujaan dan pelbagai lagi perkara bid'ah dan khurafat.

Tetapi apabila persoalan tawassul dibangkitkan, penulis katakan ia adalah perkara khilaf fiqhi, ia bukan perkara aqidah. Tidak perlu kita berbalah dalam soal tawassul. Apa yang penting semua yang berdoa sambil bertawassul itu memohon kepada Allah SWT dan beri'tiqad hanya Allah SWT yang mengabulkan permintaannya, bukan 'fulan' yang dijadikan perantara itu termasuklah Nabi SAW sekalipun. Kerana itu, Imam al-Syahid Hasan al-Banna memasukkan dalam Usul al-'Isyrin bahawa doa kepada Allah sambil bertawassul dengan mana-mana di kalangan makhluk-Nya adalah khilaf far'i (perselisihan perkara cabang fiqh) tentang kaedah berdoa, dan bukan termasuk dalam masalah aqidah. (Lihat Majmu'at al-Rasa'il).

Bagi penulis sesiapa yang ingin bertawassul dengan Nabi SAW, orang saleh yang sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia, maka dia berhak berbuat sedemikian tetapi dengan syarat dia tidak boleh taksub dan fanatik sehingga menyesat atau mengeluarkan orang yang menolak tawassul seperti itu daripada Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Bagi yang menolak tawassul pula, mereka jangan semudah itu untuk menuduh orang yang bertawassul dengan Nabi SAW sebagai bid'ah kerana itu adalah pandangan jumhur mazhab yang empat.

Kesimpulannya, kita harus tahu membezakan antara perkara usul dan furu', walaupun kita berhak untuk mentarjih pendapat kita berdasarkan hujjah dan dalil tetapi itu tidak bermakna pendapat yang lemah itu dianggap bid'ah atau sesat atau terkeluar daripada ASWJ malah terkeluar daripada Islam. Dalam perkara furu', kaedah menyebut "La yanqudh al-ijtihad bil-ijtihad" bermakna "ijtihad tidak boleh membatalkan ijtihad". Apa yang penting adalah kita memerangi perkara yang jelas-jelas khurafat dan bid'ah seperti menyembah dan memuja kubur, berdoa dan bernazar kepada kubur keramat dan sebagainya. Wallahu a'lam.
   




Read more >>

Awas program agama tajaan PBB

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan segala deklarasi yang dikeluarkan berkenaan agama bukanlah badan yang benar-benar berautoriti untuk menentukan polisi beragama. PBB adalah sebuah pertubuhan sekular di peringkat antarabangsa. Mungkin negara-negara Islam boleh memanfaatkan PBB dalam isu-isu kemanusiaan seperti bencana alam, keselamatan, pendidikan, alam sekitar dan lain-lain tetapi  bukan soal keagamaan. 

Terbaru, PBB telah menganjurkan masyarakat dunia supaya menyambut pada setiap minggu pertama bulan Februari apa yang dinamakan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia (World Interfaith Harmony Week). Melihat kepada nama program ini  kelihatannya tiada masalah, tetapi apa motif sebenar di sebaliknya? Apa dasar, prinsip dan matlamatnya yang sebenar?

Jika kita melihat sepintas lalu, program PBB ini telah mendapat sambutan yang sangat meriah di kalangan pejuang-pejuang kesamarataan agama terdiri di kalangan golongan liberalist dan pluralist. Macam-macam acara yang mereka anjurkan termasuk acara DOA BERSAMA seperti yang dilakukan di Indonesia dengan penganut Islam  diwakili oleh pemimpin tertinggi salah sebuah NGO Islam terbesar di sana. Sudah lupakah masyarakat Indonesia terhadap fatwa MUI tahun 2005 yang mengatakan doa bersama-sama penganut agama lain adalah haram kerana seolah-olah kita mengiktiraf agama mereka.

Di Malaysia pula, penulis mendapat maklumat pelbagai acara cuba diatur termasuk memeriahkan konsep 'pluralisme agama' melalui penulisan dan aktiviti kemasyarakatan. Antaranya tulisan yang disiarkan di NST pada minggu lalu yang ditulis oleh salah seorang pensyarah muslim liberal berkenaan konsep pluralisme agama yang kononnya didukung oleh agama Islam. Malah penulis juga mendapat khabar bahawa terdapat rancangan untuk mengadakan program anak angkat antara keluarga muslim dan bukan muslim. Maksudnya anak muslim diletakkan dengan keluarga angkat bukan muslim dan sebaliknya. Soalnya, beginikah cara Islam mengharmonikan hubungan antara agama? Atau ini sebenarnya konsep sekular yang digunapakai PBB kononnya untuk keharmonian beragama!

Sekali lagi penulis tegaskan, PBB bukanlah pertubuhan yang berautoriti untuk menyelesaikan isu-isu keagamaan kerana PBB adalah sebuah pertubuhan sekular. Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 PBB telah menjelaskan segala-galanya. Bagaimana umat Islam mahu dibolehkan untuk menukar agama sesuka hati? Mengahwini sesiapapun tanpa mengira agama sesuka hati? Semoga pihak pemerintah sentiasa peka dan tidak menerima apa sahaja yang dianjur oleh PBB. Dengan kedaulatan negara ini, penulis yakin kita berhak untuk menerima atau menolak apa sahaja yang ditaja oleh PBB. Wallahu a'lam.
Read more >>

Sabtu, 12 Februari 2011

Tersungkurnya seorang diktator, al-Azhar bagaimana?

Kemarahan berjuta-juta rakyat Mesir, selesai solat Jumaat, di jalan-jalan seluruh bandar di negeri itu, akhirnya memaksa diktator Mubarak alias 'Firaun' itu, untuk pergi selama-lamanya dari negeri Spinx.

Rakyat Mesir sudah sangat muak dengan segala tindakan yang dilakukan Mubarak yang penuh dengan kekejaman dan kebiadaban selama 30 tahun.

Mubarak mengumumkan pengunduran diri dan tidak akan meneruskan kekuasaannya serta menyerahkan kekuasaannya kepada Naib Presiden Omar Sulaiman. Pengumuman pengunduran diri Mubarak itu, disampaikan oleh Omar Sulaiman melalui televisyen nasional. Selanjutnya, Mubarak meninggalkan Cairo, menuju kota peranginan Sharm el-Sheik, yang terletak di Sinai. Ini sebagai tempat transit sebelum Mubarak akan meninggalkan Mesir menuju ke negara ketiga, selama-lamanya.

Kemenangan perjuangan yang panjang dan melelahkan bagi rakyat Mesir, yang hampir selama tiga minggu melawan rejim Mubarak. Titisan darah dan pengorbanan rakyat Mesir tidak sia-sia.

Rakyat dengan pengorbanan yang mereka lakukan itu, akhirnya berjaya menghalau rejim diktator, yang telah memperbudak dan menghina mereka. Rakyat Mesir berjaya melakukan perubahan besar menamatkan kuasa rejim diktator yang sudah berkuasa selama tiga dekad.

Khamis malam Mubarak menyampaikan ucapan, dan mengatakan tidak akan mundur dari kekuasaannya. Justeru mencetuskan kemarahan rakyat Mesir. Akhirnya, rakyat yang sudah marah itu, memanfaatkan hari Jumaat sebagai: "Hari Kebarangkatan", bagi Mubarak untuk meninggalkan Mesir.

Tentera berusaha menenangkan rakyat yang marah, tetapi sia-sia belaka. Rakyat terus marah, memenuhi jalan-jalan dan seluruh Mesir bergolak. Di Cairo, berjuta-juta orang berkumpul di lapangan Tahrir, yang menunjukkan kemarahan rakyat Mesir terhadap rejim Mubarak. Ini sebuah kemenangan yang luar biasa bagi perjuangan rakyat Mesir, yang menghadapi rejim yang sudah berkuasa selama 30 tahun.

Berakhirnya rejim yang biadab, minindas, dan memperbudak rakyatnya, serta mengaut kekayaan bernilai USD 70 bilion.

Sementara itu, Jurucakap Ikhwan Muslimin Essam el-Erian, mengatakan, "Syukur, rakyat Mesir menamatkan kezaliman, dan semoga ini menjadi pengajaran yang berharga kepada rakyat, dan memberikan pengajaran yang berharga bagi penguasa yang lain", ujarnya.

Sekarang rakyat Mesir di bandar-bandar di seluruh negera itu, merayakan kemenangan dengan penuh syukur, dan mereka akan menghadapi kehidupan baru, dan ini akan menjadi sebuah sejarah baru bagi rakyat Mesir, menuju sebuah kehidupan yang lebih terbuka.

Berakhirnya rejim diktator Mubarak itu, secara geopolitik, Mesir mempunyai kedudukan yang sangat strategik, dan menjadi kekuatan utama dalam dunia Arab, akan sangat berpengaruh secara serantau. Termasuk hubungan dengan Israel dan Barat.

Siapa yang akan menentukan panggung politik di Mesir? Dan bagaimana corak kuasa yang akan datang? Adakah tentera akan tetap mendominasi kekuasaan Mesir. Ini akan menjadi pertanyaan yang akan terus berlangsung.

Siapapun akan mengambil pelajaran yang berharga dengan kejatuhan Zainal El Abidin ben Ali di Tunisia, dan Mubarak di Mesir.

Seluruh Timur Tengah akan mengalami perubahan besar, pasca jatuhnya Mubarak.

Bahkan persoalan yang lebih penting bagi golongan agama, bagaimana agaknya corak pentadbiran al-Azhar selepas ini? Siapakah yang melantik Syeikh al-Azhar dan Mufti Mesir selepas ini? Adakah presiden masih punya kuasa mutlak? Atau dikembalikan kepada Majlis Ulama al-Azhar? Adakah al-Azhar akan terus dibelenggu wahyu-wahyu kerajaan untuk mengeluarkan fatwa? Lebih penting lagi, adakah Syeikh al-Azhar akan terus digelar 'ulama upahan kerajaan'? Persoalan ini penting kerana ia bakal menjadi model ikutan kepada seluruh ulama dan institusi agama di seluruh dunia Islam.

Apapun, selamat berbahagia untuk seluruh rakyat dan bangsa Mesir yang telah mencapai kemenangan melawan kezaliman si Firaun Mubarak abad ke-21 ini.

Wallahu a'lam.



Read more >>

Rabu, 9 Februari 2011

Isu kafir mengkafir : Dr. Abdul Hayei

Isu kafir mengkafir dalam masyarakat Islam di Malaysia adalah sebahagian daripada krisis akidah yang menimbulkan pelbagai tafsiran dalam masyarakat Malaysia. Ia juga merupakan suatu fenomena yang bukan baru dalam sejarah pemikiran Islam. Sesetengah penyelidik berpendapat ia berlaku selepas kewafatan Rasulullah, kemudian menjadi subur pada beberapa zaman selepasnya, iaitu lanjutan daripada krisis tentang perebutan kuasa Khilafah dan Imamah.
 
Kita ikuti ulasan Hafiz Ibn Hajar tentang hakikat iman dalam kitabnya فتح الباري syarh Al-Bukhari: "Ulama’ Salaf berpendapat, iman kepada Allah ialah tasdiq (percaya) dengan hati kepada kewujudan dengan sifat-sifat Uluhiyyah dan Rubbubiyyahnya, mengucap dua kalimah syahadah dengan lidah dan melakukan amal ibadah dengan anggota. Mereka maksudkan dengan amal atau ibadah itu hanya sebagai pelengkap kepada tasdiq (kepercayaan hati). Dari pengertian ini, Ulama’ Salaf berpendapat, iman bertambah dengan bertambahnya ibadah dan berkurang dengan berkurangnya ibadah. Golongan Murji’ah berpendapat: Iman ialah tasdiq dengan hati, pengakuan dengan lisan sahaja. Amalan pada mereka tidak mempunyai apa-apa peranan dalam iman. Golongan Karomiah pula berpendapat: Iman hanya cukup dengan ikrar (pengakuan lidah sahaja, sedangkan Muktazilah pula berpendapat iman terdiri dari gabungan antara tasdiq, amal dan ikrar. Perbezaan antara Muktazilah dengan golongan Salaf adalah tentang fungsi amal, sama ada ia sebagai isyarat sah iman, iaitu mengikut pendapat Muktazilah,atau sebagai pelengkap iman seperti pendapat Salaf".

Ibn Hajar selanjutnya menjelaskan, "sama ada amal sebagai penyempurna atau sebagai syarat sah iman, hanya berbeza apabila dirujuk kepada ilmu Allah. Ada pun pada pengetahuan manusia, iman hanya ikrar (pengakuan) sahaja; sesiapa yang mengaku muslim dan mengucap dua kalimah syahadah, maka ia diakui sebagai muslim dan hendaklah dilakukan ke atasnya hukum-hukum sebagai mana yang sepatutnya dilakukan terhadap orang Muslim, ia tidak lagi dihukum kafir, kecuali setelah ternyata padanya amalan-amalan yang menunjukkan sebaliknya, seperti menyembah berhala dan sebagainya". (Lihat فتح الباري Syarh Al-Bukhari 1/46).
 
Ulasan Ibn Hajar ini menunjukkan bahawa tafsiran tentang hakikat iman ini adalah berlaku setelah berlalunya beberapa zaman keemasan Islam. Menurut kebanyakan Ulama’ Islam, dua kalimah syahadah, iaitu اشهد أن لااله الاالله وأن محمد رسول الله, merupakan pintu masuk agama Islam, orang kafir dikira termasuk dalam golongan umat Islam, sebaik-baik sahaja mereka mengucapkan dua kalimah ini dengan sedar dan rela hati, sekali pun pada ketika itu ia belum lagi menunaikan kewajipan-kewajipan sembahyang,puasa, zakat,haji dan lain-lain.
 
Pengucapan dua kalimah syahadah ini juga melindungi darah dan harta benda seseorang dari pencerobohan. Dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Umar Ibn Al-Khattab (r.a) menyatakan:
 
Apabila mereka menyebut dua kalimah syahadah, maka terpeliharalah darah dan harta benda mereka dari gangguan, kecuali dengan hak kalimah itu juga, sedang hisab terhadap mereka selanjutnya terpulang kepada Allah".
 
Pada akhir-akhir ini, sering kedengaran tuduhan kafir mengkafir, ia ditujukan kepada sesama umat Islam, sekali pun mereka mengucap dua kalimah syahadah, di antaranya ada disebabkan kelainan ideologi politik, perbezaan badan dakwah yang diikuti dan ada juga disebabkan berbeza metodologi akidah dan penguasaan ilmu. Tetap apa yang berlaku antara parti-parti politik Melayu-Islam, kerana berbeza pendapat tentang kaedah penghayatan dan pelaksanaan Islam. Dalam negara kita Malaysia juga tidak terkecuali daripada wabak ini walau pun keadaan terkawal dan tidak keterlaluan.
 
Antara faktor berlaku tuduhan kafir mengkafir ini, kerana terpengaruh dengan beberapa buku dakwah semasa yang disalah tafsir atau dibaca tanpa guru yang mursyid, sehingga menjadikan pembacanya terdiri daripada golongan muda yang bersemangat Islam kehilangan arah. Akibatnya mereka tidak lagi menghormati persaudaraan Islam, batas-batas iman dan kufur yang sebenarnya mengelirukan diri mereka.
 
Dalam konteks pengucapan dua kalimah syahadah yang merupakan pintu masuk agama Islam, golongan ini berpendapat, orang Islam menjadi kafir kerana mereka mengucap dua kalimah syahadah, tetapi tidak memahami tuntutan dan tidak beramal dengan syariat Allah yang terkandung dalam pengakuan syahadah itu. Orang-orang ini dihukum kafir, sekalipun mereka mengerjakan sembahyang, puasa, zakat dan haji serta mengakui dirinya Muslim.

Pemikiran mereka ini diperkukuhkan pula dengan logik akal. Antara logik yang mereka gunakan ialah, bekas gula yang diisi garam, sedang pada kulit luarnya bertulis gula, ia tetap tidak mengubah hakikat garam yang sebenarnya. Tambah mereka lagi, pesakit yang diberi kepadanya ubat, sedang ia enggan mengambilnya, tidak akan memberi apa-apa faedah kepadanya, sekalipun ia mendakwa telah mengambilnya.
 
Ada dua sumber bacaan yang ada kemungkinan berkaitan dengan alasan yang dipegang golongan ini dalam menangani isu mengkafirkan orang yang mengucap dua kalimah syahadah seperti yang dikemukakan iaitu:
 
Buku berjudul المصطالحات الأربعة في القرأن karya Abu Al-‘Ala Al-Maududi, pimpinan pertubuhan Jamaah Islami Pakistan. Beliau dalam buku ini mengulas pengertian sebenar istilah-istilah الاله (Tuhan), الرب (tuan), العباده (peribadatan) dan الدين (agama). Menurutnya: Umat Islam kini telah menyimpang jauh dalam memahami istilah-istilah itu, seperti yang dimaksud, dalam Al-Quran sehingga akidah mereka tidak sahih lagi. Perkataan ‘الاله’ membawa erti Tuhan, dengan erti apabila seseorang mengucap اشهد أن لااله الاالله Maksudnya, tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah. Persaksian atau pengakuan ini membawa maksud, menolak apa jua peraturan, undang-undang dan sistem selain dari hukum dan peraturan Allah, pada ketika itu, tiada suatu pun yang dipersekutukan dengan Allah. (lihat المصطلحات الاربعة, Darulkalam,Kuwait,halaman 8).
 
Dari ulasan Al-Maududi tentang perkataan الاله ini difahami bahawa:
  • Kita tidak boleh memperakukan seseorang itu sebagai Muslim semata-mata dengan ikrar dua kalimah syahadah, tanpa mengetahui makna dan mematuhi segala tuntutannya.
  • Amalan menerima hukum dan peraturan bukan Islam membuktikan mereka tidak memahami syahadah mereka, atau mereka sengaja mengingkarinya.
Pemikiran Al-Maududi ini diterima tanpa bantahan oleh Sayyid Qutub, salah seorang pepimpin gerakan Islam di Mesir, ini dapat diikuti dalam buku-bukunya seperti معالم في الطريق dan في ظلال القرأن. Diperturunkan disini beberapa ungkapan Sayyid Qutub, yang ada kaitan dengan persoalan ini, misalnya, kata beliau, "Perkataan الاله didalam syahadah itu diketahui masyarakat Arab bahawa ia suatu cara hidup yang meruntuh segala asas Jahiliah yang mereka tegakkan di atasnya segala undang-undang dan peraturan, segala kepentingan dan kedudukan mereka. Mereka sedar bahawa bahawa sifat agama Islam, tidak menerima tampalan dan tidak secocok dengan unsur-unsur peraturan bumi yang tidak lahir dari sumber peraturan yang diturun dari langit. في الضلال القرأن 8/50 lihat juga معالم (halaman 20).
 
Katanya lagi: Hakikat tasdiq (percaya) kepada agama, bukan semata-mata ucapan yang ditutur lidah, tetapi ianya satu perubahan dalam hati yang mendorong seseorang membuat kebaikan dan berbakti kepada saudara sesama manusia yang memerlukan pemeliharaan dan naungan. Allah tidak menghendaki kata-kata dari manusia, tetapi Allah mahukan dari mereka tindakan-tindakan yang mengutamakan kata-kata mereka.
 
Saya ingin menarik beberapa perhatian kepada isu-isu ini dari beberapa aspek:
 
Penentuan sama ada seseorang itu Mukmin atau kafir, sah atau tidak syahadahnya, haruslah bersandarkan kepada dalil-dalil yang kukuh, iaitu daripada Al-Quran dan Al-Sunnah. Dalam hadis banyak meriwayatkan tentang persoalan berkaitan iman dan kufur. Baginda Rasulullah (S.A.W) tidak pernah menghukum seseorang Muslim itu kafir, semata-mata kerana ia tidak beramal dengan hukum-hukum syara'. Dalam ruangan yang terbatas ini dikemukakan satu hadis sahaja, iaitu:
 
Hadis riwayat Muslim daripada Ubadah bin al-Somit (r.a) yang bermaksud: "Kami berbai’ah dengan Rasulullah untuk tidak melakukan syirik, tidak mencuri, tidak melakukan zina dan tidak membunuh anak-anak kami. Sesiapa yang melakukannya, kemudian dikenakan hukuman, maka hukuman itu sebagai kaffarah (pencuci) dosanya, sesiapa yang ditutup kesalahan itu, maka terpulang kepada Allah, sama ada menyeksa atau mengampuni dosanya".
 
Daripada hadis ini, fuqaha' Islam termasuk Ibn Hazm menarik perhatian bahawa iman terbukti dengan mengucap dua kalimah syahadah, ada pun pelaksanaan amalan hanya bertindak sebagai pelengkap kepadanya jua.
 
Walaupun saya sungguh kagum dan mencintai perjuangan dan kehebatan ilmu dua tokoh Al-Maududi dan Sayyid Qutub, namun kalau pun benar mereka berpendapat bahawa orang yang hanya mengucap dua kalimah syahadah, tetapi tidak melaksanakan hukum-hukum syara’ itu sebagai kafir, maka saya kira pendapat itu hanya pendapat peribadi yang tidak boleh mengatasi keterangan yang jelas daripada hadith-hadith sahih, antaranya ialah yang dinyatakan di atas.
 
Sehubungan itu Imam Malik pernah menyatakan, bahawa pendapat setiap orang boleh diterima atau ditolak, kecuali Sabda Nabi S.A.W yang pasti diterima. Bagaimana pun kita berkeyakinan bahawa Al-Maududi dan Sayyid Qutub telah melakukan ijtihadnya yang memastikannya mendapat ganjaran yang sewajarnya daripada Allah. Jika ijtihadnya tepat, ia mendapat dua pahala, jika sebaliknya maka ia mendapat satu pahala.
 
Buku-buku Al-Maududi dan Sayyid Qutub adalah buku-buku yang lebih cenderung kepada dakwah, ia tidak termasuk dalam buku-buku rujukan tentang hukum. Permasalahan di atas adalah lebih berkaitan dengan hukum yang lebih tepat dirujuk kepada pakar-pakar yang lebih kuat autoriti tentangnya. Sehubungan itu, kita dapati Sayyid Qutub sendiri tidak berminat menyentuh soal hukum apabila beliau menarik diri dari terus membincang persoalan yang membabitkan hukum dan batas-batas pemisah antara iman dan kufur dan masalah-masalah yang berkaitan mu’amalat Islam (lihat في ضلال القرأن 8/680 tafsiran سره المطففين).
 
Kaedah-kaedah logik dan pemikiran rasional seperti yang diungkapkan bahawa bekas gula yang diisi garam, tidak akan mengubah isi garam didalamnya, sekali pun pada kulit luarnya ditulis gula, tidak harus mendasari hukum-hukum dalam akidah, kerana pemikiran logik selalunya berdasarkan pancaindera, bagi membuat keputusan, sedangkan permasalahan akidah tidak mungkin difikir akal dengan sempurna. Justeru itu ia hendaklah berdasarkan wahyu sama ada Al-Quran atau Hadis-hadis sahih.
  
Sumber : Krisis Akidah Dalam Masyarakat Islam Kini oleh Prof.Madya.Dr. Abdul Hayei bin Abdul Syukor, ruangan Islam dan masyarakat Utusan Zaman bertarikh 2.5.1995
Read more >>

Selasa, 8 Februari 2011

Iran tutup masjid Ahli Sunnah dan tangkap Imam Sunni

Pihak berkuasa Iran (Syiah Imam 12) telah menyerbu tempat ibadah kaum Muslim Sunni di Tehran pada hari Ahad lalu (6/2), di mana mereka telah menutup rumah penganut Sunni yang dijadikan tempat ibadat tersebut dan menangkap Imam musalla, Syaikh Ubaidullah Musa Zadih.

Kaum Sunni di Iran tidak pernah dibenarkan untuk membina sebuah masjid di Tehran, mereka telah berusaha untuk mendapatkan kebenaran untuk membina sebuah masjid di ibukota Iran, tetapi usaha mereka selalu sia-sia dan gagal, sehingga kaum Sunni di Iran menawarkan solat lima waktu termasuk solat Jumaat dengan menggunakan beberapa rumah, tapi malangnya, pihak berkuasa Iran pada pagi Ahad lepas telah menyerbu sebuah rumah di mana jamaah kaum Sunni sedang solat, selepas serbuan itu mereka menahan imam yang merupakan pemimpin agama kaum Sunni di wilayah itu.

Pihak berkuasa Syiah juga mengancam warga Sunni di dua rumah lain untuk ditangkap dan menyekat tempat ibadah mereka, jika mereka tidak berhenti melaksanakan solat di tempat itu, walaupun kaum Sunni dan pentadbiran dari komuniti Sunni Iran berkumpul di tempat-tempat tertentu hanya untuk solat lima waktu dan solat Jumaat , kerana itu merupakan hak dasar setiap individu yang harus diberikan kepada setiap orang; malah jamaah kaum Sunni Iran tidak pernah mengambil bahagian dalam aksi menentang kerajaan.

Patut dicatat bahwa kaum Sunni di Tehran tidak memiliki masjid sendiri, walaupun mereka adalah sebahagian besar daripada penduduk ibukota, dan telah dikenal luas bahawa "Teheran" adalah satu-satunya ibu negara di dunia di mana masjid untuk kaum Sunni tidak ada.

Tidak dapat dibayangkan bahawa suatu rejim yang membawa tajuk "Republik Islam" dan tuntutan untuk "persatuan" di antara mazhab Islam tiba-tiba melarang dan menghentikan para pengikut mazhab Islam terbesar di dunia dari melakukan solat berjemaah di ibukota Teheran.

* Perlu diingat, Iran adalah berasal daripada sebuah negara Sunni pada zaman kerajaan Khilafah Uthmaniyyah sehinggalah diperintah oleh kerajaan Safawiyyah iaitu kerajaan Syiah Imam 12 pertama. Sehingga kini penduduk Sunni meliputi hampir 1 pertiga daripada penduduk Iran (20 peratus lebih). Oleh itu, pengikut Syiah jadian di Malaysia tidak perlu nak kiaskan diri mereka dengan Sunni di Iran.

Wallahu a'lam.

Sumber : sunni-news
Read more >>

Isnin, 7 Februari 2011

Melayu jadi pluralist sebab tak faham Islam..


Dalam ceramah bertajuk "Wahdatul Adyan" di salah sebuah masjid di Selangor baru-baru ini, penulis mulakan dengan penjelasan tentang topik "Kedudukan muslim di tengah-tengah bukan muslim" atau dengan kata lain "Pandangan muslim terhadap bukan muslim". Sebenarnya tajuk ini lebih penting daripada membicarakan soal fahaman sesat "Wahdatul Adyan" atau "Pluralisme Agama" yang diasaskan oleh John Hick di Barat. Kalau seseorang muslim benar-benar faham tentang agama Islam yang dianutinya, insya-Allah, masuklah apa jua fahaman pun, dia pasti tidak akan tenggelam atau terpengaruh walau sedikitpun dengan faham-faham tersebut.

Kerana itu, bagi penulis tiada gunanya kita bercakap soal dialog antara agama, toleransi agama, etika beragama, keharmonian beragama dan sebagainya jika kita terlebih dahulu tidak memahamkan umat Islam dengan kedudukannya sebagai penganut Islam di tengah-tengah bukan Islam.

Pertama : Hanya agama yang haq

Perjelaskan kepada anak-anak dan generasi kita mendatang bahawa hanya Islam agama yang benar manakala agama lain adalah batil dan palsu. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 19 :

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ

Maksudnya : "Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam".

Penganut agama lain tidak diterima oleh Allah SWT dan mereka di akhirat kelak adalah golongan yang rugi. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 85 :

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآَخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya : "Dan barangsiapa yang mencari agama lain selain Islam, maka dia tidak akan diterima daripadanya, dan dia di akhirat kelak daripada orang yang rugi".

Kedua : Penganut selain Islam adalah kafir dan tiada titik pertemuan di akhirat kelak

Perjelaskan kepada anak-anak dan generasi kita mendatang bahawa penganut bukan Islam adalah kafir. Kafir itu bukan istilah berbentuk cacian atau mencarut seperti khinzir dan sebagainya sebaliknya kafir bermaksud "naqidh al-iman" iaitu "lawan iman" atau "kontra-iman". Itu adalah istilah yang diberikan al-Qur'an bagi membezakan seorang muslim dengan bukan muslim dan seharusnya bukan muslim menghormati doktrin yang terkandung di dalam kitab suci umat Islam.

Di samping itu tiada titik pertemuan akan berlaku antara orang Islam dan orang kafir di akhirat kelak. Seperti yang sering dicanangkan oleh golongan pluralist bahawa kononnya manusia pelbagai agama bersatu pada titik metafiziknya, itu hanya dusta semata-mata. Hakikatnya Islam dan kafir itu amat jauh sekali dan amat pasti tidakkan bertemu di akhirat kelak. Allah SWT berfirman dalam surah al-Bayyinah ayat 6 :

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ وَالْمُشْرِكِينَ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا أُولَئِكَ هُمْ شَرُّ الْبَرِيَّةِ (6) إِنَّ الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَئِكَ هُمْ خَيْرُ الْبَرِيَّةِ (7) جَزَاؤُهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ذَلِكَ لِمَنْ خَشِيَ رَبَّهُ (8)

Maksudnya : "Sesungguhnya orang kafir di kalangan ahli kitab dan musyrikin itu di dalam neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya dan mereka itu adalah seburuk-buruk kejadian. Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh itu, mereka adalah sebaik-baik kejadian. Balasan mereka di sisi Allah adalah syurga-syurga Adnan yang mengalir dibawahnya sungai-sungai mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, Allah redha terhadap mereka dan mereka redha terhadap-Nya, demikian itu bagi sesiapa yang takut kepada Tuhannya".

Jika di akhirat kelak, yang muslim ke syurga selama-lamanya dan yang kafir ke neraka selama-lama, bagaimana kita mahu katakana di sana ada titik pertemuan?

Ketiga : Segala amalan orang kafir tidak diterima oleh Allah SWT

Amalan perbuatan kebaikan yang dilakukan oleh orang kafir adalah sia-sia dan tidak diterima oleh Allah SWT di akhirat kelak termasuk orang Islam yang murtad keluar dari agama Islam. Oleh itu, sebaik semulia mana akhlak orang kafir di atas dunia, segala amal kebajikan mereka tetap tiada nilai di sisi Allah SWT. Allah berfirman dalam surah al-Nur ayat 39 :

وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَعْمَالُهُمْ كَسَرَابٍ بِقِيعَةٍ يَحْسَبُهُ الظَّمْآَنُ مَاءً حَتَّى إِذَا جَاءَهُ لَمْ يَجِدْهُ شَيْئًا
Maksudnya : "Dan orang yang kafir itu amalan mereka seperti fatamorgana di atas tanah lapang, orang yang dahaga menyangka ia air, tetapi apabila dia datang kepadanya, dia tidak mendapat sesuatu apa pun".

Keempat : Semua agama-agama lain adalah batil dan tiada kena mengena dengan agama Islam sama sekali

Sesetengah generasi muda terpengaruh dengan dakwaan kononnya ajaran-ajaran agama yang ada pada hari ini semuanya adalah berasal usul daripada nabi-nabi terdahulu. Oleh itu apa yang berlaku agama-agama itu hanyalah satu kelangsungan terhadap apa yang dibawa oleh nabi-nabi tersebut. Kita perlu perjelaskan bahawa kenyataan ini tidak benar sama sekali, yang benar adalah semua nabi terdahulu hanya membawa agama Islam. Ia jelas melalui nas-nas al-Qur'an seperti dalam surah Ali-Imran ayat 67 :

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَكِنْ كَانَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ


Maksudnya : "Dan tidaklah Ibrahim itu seorang yahudi dan juga nasrani tetapi dia adalah seorang hanif dan muslim dan tidaklah dia dari kalangan musyrikin".

Bagaimana agama tauhid yang dibawa oleh para nabi terdahulu boleh dikaitkan dengan agama-agama batil yang ada pada hari ini? Ini adalah salah satu jarum halus golongan pluralist untuk merosakkan aqidah dan syariah Islam.

Kelima : Wajib 'bara'ah' daripada peribadatan dan kepercayaan agama lain

Allah berfirman dalam surah al-Kafirun ayat 1-6 :

قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ (1) لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ (2) وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (3) وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ (4) وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (5) لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ (6)

Bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku”.

Menurut Imam Ibn Kathir, surah ini merupakan surah al-Bara’ah (pelepasan diri) daripada amalan yang diamalkan oleh orang musyrikin. Ayat tiga yang bermaksud “Dan tidaklah aku menyembah apa yang kamu sembah” bermakna aku tidak beribadat dengan ibadat kamu iaitu tidak mengambil jalan itu dan mengikutinya, sebaliknya aku menyembah Allah SWT berdasarkan cara yang disuruh dan diredhainya. Manakala ayat empat yang bermaksud “Dan tidaklah kamu menyembah apa yang aku sembah” bermakna kamu tidak mengikut perintah-perintah Allah SWT dan syariat-Nya dalam beribadat bahkan kamu telah mereka-reka sesuatu daripada diri kamu sendiri.

Oleh itu, kita tidak boleh bersetuju atau turut serta dalam apa jua bentuk doktrin, kepercayaan, syiar, perayaan agama dan peribadatan orang kafir.

Akhirnya, seakrab mana pun kita berkawan atau bersahabat dengan bukan Islam, jika kita sebagai muslim memahami prinsip-prinsip ini insya-Allah kita tidak akan sekali-kali terpengaruh dengan dakyah pluralisme agama atau kesatuan agama bawaan Barat.

Wallahu a'lam.
Read more >>

Sabtu, 5 Februari 2011

Hentikan promosi Hari Valentine!


Terkejut juga penulis apabila mendapati masih ada pihak yang mempromosikan Hari Kekasih @ Valentine's Day. Bukankah telah ada fatwa yang mengharamkan sambutan hari Valentine ini? Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day. Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.

Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Bukti-bukti Hari Valentine masih merupakan upacara ritual keagamaan umat Kristian iaitu :

i. Di dalam laman web Spiritrestoration.org: The Premier, Ecumenical Christian Website. A Resource For Mature Christians and Scholars di bawah topik Definition of religious Holy Days (Pengertian Hari-hari Suci keagamaan), di bawah indeks Saint Valentine's Day menyebut bahawa: "Christian celebration of the love of God presented in Jesus and in the lives of Christian believers. St Valentine was a 3rd century martyr. This day is widely observed in the USA as a secular celebration of love." Bermaksud : Perayaan Kristian terhadap kecintaan kepada Tuhan, dipersembahkan buat Jesus dan di kalangan penganut Kristian, St. Valentine merupakan syahid abad ketiga. Hari ini dilihat begitu meluas sekali dirayakan di USA sebagai perayaan cinta di zaman sekular.

ii. Termaktub di dalam laman web Catholic Encyclopedia pengiktirafan bahawa walau dalam apa jua versi berkenaan dengan St. Valentine, kesemua mereka adalah dianggap sebagai syahid. Petikan menyebut : At least three different Saint Valentines, all of them martyrs, are mentioned in the early martyrologies under date of 14 February. Bermaksud : Sekurang-kurangnya terdapat tiga orang St. Valentine yang berbeza, kesemua mereka merupakan syahid, ianya disebut sebagai golongan syahid yang terawal pada tarikh 14 Februari.

iii. Britain Broadcasting Company (BBC) News Online Network melaporkan pada hari Ahad, 14 Februari 1999 bahawa terdapat dakwaan daripada biarawan di Gereja St. John Duns Scotus di Glasgow, Scotland bahawa wujudnya tulang Valentine yang syahid, ianya merupakan servis istimewa hari Valentine pada hujung minggu serta diletakkan di ruang pameran sebagai pameran umum dengan termaktub di atas kerandanya tulisan 'Corpus St. Valentine Martyris'. Dikatakan bahawa mayatnya telah diletakkan di ruang sayap Gereja St. Francis semenjak berabad lamanya, dan enam tahun lepas mereka baru sahaja meletakkannya di dalam keranda kayu di dalam kotak kadbod di atas almari berhampiran rumah gereja.

iv. Nama St. Valentine juga sering digunakan oleh gereja-gereja Roman Katolik bersempena mengingati jasa-jasa tokoh agama tersebut, seumpama:-

a. St. Valentine Church di Philadelphia, Pennsylvania

b. St. Valentine's Catholic Church di Peru, Illinois

c. St. Valentine Church di Bethel Park, Pennsylvania

d. St. Valentine Church di Thonstetten, Moosburg, Munich

e. St. Valentine Church di Buffalo, New York

Adalah jelas bahawa tidak ada istilah Hari Kekasih atau Valentine's Day dalam Islam. Hakikatnya, adalah tidak boleh orang-orang Islam menyertainya kerana hari tersebut adalah hari perayaan bagi umat Kristian berdasarkan asal-usul kemunculannya yang dipenuhi dengan unsur-unsur ritual keagamaan.

Apabila perayaan itu berunsurkan keagamaan, bergabung dengan mereka bermakna mengakui agama mereka dan meredhai kekufuran yang ada pada mereka. Maka para ulama berpendapat, bahawa umat Islam tidak boleh bergabung dalam dalam perayaan orang-orang kafir.

Senario menyambut Hari Kekasih yang berlaku di kalangan muda-mudi Islam juga merupakan antara faktor yang menyumbang kepada pergaulan bebas. Sungguhpun ia belum sampai ke tahap yang kronik, namun begitu apa yang lebih membimbangkan bukanlah setakat berutus-utus kad ucapan dan hadiah, atau meraikannya di kelab-kelab disko, tetapi dibimbangi muda-mudi ini sampai ke tahap menghadiahkan kehormatan diri demi membuktikan kecintaan dan kesetiaan.

Wallahu a'lam.
Read more >>

Khamis, 3 Februari 2011

Fir'aun Mubarak dan Legasi al-Banna

Hanya menunggu waktu, yang berbilang jam, ‘Fir’aun' Mubarak akan turun dari kekuasaannya. Tidak ada lagi yang dapat mempertahankan kekuasaannya. Tentera tidak mahu lagi menjadi alat Mubarak. Seluruh rakyat Mesir dari berbagai golongan sudah muak dengan kekuasaannya. Kekuasaan Mubarak hanya meninggalkan penderitaan bagi rakyatnya.

Sekutunya yang selama ini melindunginya cuci tangan. Obama, Hillary Clinton, dan David Cameron, sudah mengisyaratkan agar Mubarak mengundurkan diri. Satu-satunya yang masih berharap Mubarak menjadi presiden hanyalah Israel. Kerana, Mubarak sekarang menjadi ‘tuhan’ bagi Israel, yang dapat menyelamatkannya dari bahaya kehancuran.

Mubarak sudah berkuasa lebih dari 30 tahun. Mubarak sama kejamnya dengan Jamal Abdul Nasser, yang membunuh rakyatnya secara biadab. Mentadbir negara dengan kuku besi. Mubarak juga menjadi ‘anjing’ Israel dalam  menghadapi gerakan Islam, dan negara-negara Arab yang menjadi ancaman terhadap negara Zionis. Mubarak tak lain ‘penyamun’ yang bertopeng pemerintah. Merompak wang rakyat Mesir, yang disimpan di bank-bank di Eropah, nilainya mencapai USD37.887 bilion. Sama seperti Presiden Tunisia El Abidin, yang merompak kekayaan Tunisia, 1.5 tan emas batangan, dan wang USD6.57 bilion yang disimpan di bank-bank di Eropah.

Inilah karakter para penguasa diktator Arab. Kejam, biadab, menindas, memenjarakan, membunuh, memiskinkan, dan merompak kekayaan negara, yang tak pernah bisa dibayangkan oleh akal. Kekuasaannya yang demikian panjang, hanya menciptakan rakyat menjadi bodoh, tak memiliki pekerjaan, dan ramai golongan berpendidikan tinggi, akhirnya melarikan diri ke negara-negara lainnya.

Tetapi, betatapun kuatnya kekuasaan diktator, akhirnya tumbang juga, dan masa kekuasaannya berakhir. Seperti Fir’aun yang pernah mengatakan,”Ana rabbukum a’la” (Saya tuhanmu yang maha tinggi), ucap Fir’aun. Penguasa kejam yang kekuasaannya hanya ditongkat oleh Israel dan Amerika, sudah menjadi ‘tuhan’, sangat angkuh dan menghina rakyatnya sendiri. Tidak memiliki belas kasihan sedikitpun terhadap saudara sesama Muslim, dan justru membiarkan mereka dalam penderitaan.

Sikap Mubarak itu dipertontonkan ketika rezim Zionis-Israel melakukan serangan ke atas Gaza, yang membunuh umat Islam di Gaza, tetapi Mubarak dengan kejamnya telah menutup negaranya dari dimasuki oleh warga Gaza. Bahkan mereka yang cedera parah terkena serangan udara Israel pun, tidak boleh masuk ke Mesir. Ya Allah! Betapa kejam dan biadabnya Mubarak itu.

Sekarang si Fir’aun yang sudah akan tenggelam di Laut Merah itu, tak ada lagi yang mau menjadi penolongnya, rakyatnya sudah tidak ingin melihatnya lagi. Teman-teman yang menjadi sekutunya melarikan diri, dan membiarkannya sendirian. Anaknya yang selama ini diharapkan menjadi pewarisnya, sudah lebih dahulu melarikan diri bersama isteri dan keluarga pergi keluar negeri.

Inilah tragedi para penguasa Arab yang tidak memiliki kekuatan akar umbi rakyatnya. Para penguasa Arab, umumnya, tak lain, mereka itu menjadi penjaga kepentingan penjajah. Mereka hanya menjadi ‘budak suruhan’ para penjajah Barat dan Israel. Mereka tak pernah ingin menjadi pelindung rakyatnya apatah lagi agama Islam.

Kerana itu, mereka menjadi hina dina, dan akhirnya hidup dan mati di buang negeri ketika kekuasaannya sudah di penghujung. Seperti Fir’aun yang meminta tolong Tuhan, ketika sakaratul maut sudah berada di lehernya, tetapi tak ada lagi yang mahu menolongnya. Fir’aun tenggelam di Laut Merah. Fir’aun dan bala tenteranya yang mengejar Musa dan para pengikutnya tak dapat mengejarnya. Kemudian, Fir’aun dan bala tenteranya tenggelam di dasar Laut Merah. Meksipun jasad Fir’aun ditemui kembali di tepian laut, yang sekarang dimumiakan.

Mubarak menunggu takdirnya yang tak mungkin akan dapat dihindarinya. Ikhtiarnya untuk menyelamatkan diri akan sia-sia. Tiga puluh tahun kekuasaannya, hanya menghiris tinta hitam bagi rakyat Mesir. Tinta hitam seorang diktator yang tak pernah peduli dengan kehidupan rakyatnya. Tidak peduli dengan Islam.

Mesir banyak melahirkan Fir’aun-Fir’aun baru yang kejam dan tak pernah percaya kepada Tuhan. Sejak Raja Farouk, yang digulingkan Jenderal Najib, dan kemudian melahirkan pemerintahan tentera. Najib digulingkan oleh Jenderal Jamal Abdul Nasser, yang menjadi alat Soviet dan menjadi diktator yang sangat kejam serta memenjarakan ribuan anggota Jamaah Ikhwan termasuk menggantung leher tokoh-tokohnya seperti Sayyid Qutb, Ali Audah dan lainnya. Jamal Abdul Nasser yang menjadi ‘hamba sahaya’ Soviet itu, mati, dan digantikan oleh Anwar Sadat.

Sadat tak kalah bebal dan bodohnya. Dia mengingkari hakikat dan kedaulatan Mesir dengan membuat perjanjian damai dengan Israel dan membuka hubungan diplomatik dengan negeri penjajah Zionis-Israel. Sejak itu, Mesir yang menjadi negara yang paling strategik di kawasan Timur Tengah, telah termasuk perangkap Israel. Tak ada lagi perang melawan Israel. Mesir menipudaya PLO, yang dipimpin Yasser Arafat untuk meninggalkan perjuangan ketenteraannya melawan penjajah Israel. Tetapi, Mesir tetap tidak mendapatkan apa-apa. Akhirnya, Anwar Sadat dibunuh oleh seorang perwira tentera Mesir, Khaled Islambouli, saat perarakan tentera memperingati hari Angkatan Perang Mesir, 6 Oktober 1978.

Mubarak yang menggantikan Anwar Sadat ini, bertindak lebih jauh lagi terhadap Israel, seakan-akan Mubarak itu, bukan lagi pemimpin Mesir. Mubarak itu sudah seperti pemimpin Israel. Kerana pembelaan terhadap Israel yang sangat berlebihan. Mubarak benar-benar menjadi penjaga Israel di Timur Tengah. Bukan penjaga bangsa Arab dan Islam.

Di Mesir di tahun 1928 lahir Jamaah Ikhwanul Muslimin yang didirikan oleh Hasan Al-Banna. Ikhwan yang mempunyai ‘main role’ yang sangat penting dalam kehidupan politik di Mesir. Sesudah 20 tahun kemudian, Al-Banna menyerukan jihad untuk mengusir Israel dan Yahudi dari tanah Palestin. Maka pada tahun 1948, ribuan sukarelawan Mesir pergi ke Palestin berjihad membebaskan tanah Palestin. Meskipun, peperangan itu gagal akibat pengkhianatan para pemimpin Arab. Hakikatnya, tujuan Jamaah Ikhwan didirikan oleh Hasan Al-Banna itu tak lain untuk membebaskan negeri-negeri Muslim yang terjajah.

Sekarang tujuan Ikhwan itu tak pernah berubah, membebaskan Mesir dari penjajah Barat. Kerana itu, Ikhwan selalu bertentangan dengan para penguasa Mesir yang merupakan alat penjajah. Akhirnya, Hasan al-Banna syahid dibunuh oleh Raja Farouk yang menjadi kaki tangan Inggeris.

Seterusnya Ikhwan turut memainkan peranan menggulingkan Raja Farouk bersama Jenderal Najib, tetapi tak lama selepas Najib diguling dan digantikan oleh Jamal Abdul Nasser, Jamal telah memperlakukan anggota dan pemimpin Ikhwan dengan sangat kejam. Memenjara, membunuh serta menggantung tokoh Ikhwan. Anwar Sadat dan Mubarak adalah sama, sangat memusuhi Ikhwan. Para jeneral itu tidak pernah memberikan hak hidup terhadap Ikhwan sejak dibubarkan tahun 1956.

Tetapi, para pemimpin Ikhwan begitu sabar dan teguh. Tak pernah menyerah dengan para penguasa yang zalim. Tak pernah menjilat kepada para penguasa zalim. Terus melakukan dakwah mengajak rakyat Mesir kembali kepada Islam. Sampai sekarang Ikhwan di Mesir tidak pernah berubah walau sesaat pun dengan semboyannya, ‘Islam huwal hal’ (Islam adalah solusi). Ikhwan menyakini keagungan Islam. Tak mahu menukar dan menggadaikan Islam dengan kekuasaan. Hidup pemimpin Ikhwan benar-benar menjadi tauladan.

Seperti kesaksian Dr.Yusuf al-Qaradawi yang pernah dipenjara bersama dengan tokoh-tokoh Ikhwan, di penjara tentera Liman Touroh, menceritakan bagaimana penjara-penjara itu berubah menjadi tempat ibadah yang sangat teduh, indah, dan penuh kenikmatan. Pagi, siang dan malam, senantiasa terdengar suara zikir dan alunan ayat-ayat al-Qur’an tak henti-henti. Sungguh sangat indah. Mereka orang-orang yang sangat sabar.

Aksi protes yang berlangsung lebih seminggu di Mesir, memperlihatkan bagaimana rakyat Mesir yang sudah diwarnai dengan nilai-nilai Islam yang ditanamkan oleh Ikhwan itu, tak pernah melupakan mereka melakukan ibadah shalat. Sungguh indah nilai-nilai Islam yang ditanamkan Ikhwan. Di tengah-tengah krisis politik yang begitu hebat, para pemimpin dan gerakan Ikhwan telah menunjukkan karakter dan jatidirinya yang mulia. Wallahu’alam.

Read more >>

Himpunan Artikel