Isu kafir mengkafir dalam masyarakat Islam di Malaysia adalah sebahagian daripada krisis akidah yang menimbulkan pelbagai tafsiran dalam masyarakat Malaysia. Ia juga merupakan suatu fenomena yang bukan baru dalam sejarah pemikiran Islam. Sesetengah penyelidik berpendapat ia berlaku selepas kewafatan Rasulullah, kemudian menjadi subur pada beberapa zaman selepasnya, iaitu lanjutan daripada krisis tentang perebutan kuasa Khilafah dan Imamah.
Kita ikuti ulasan Hafiz Ibn Hajar tentang hakikat iman dalam kitabnya فتح الباري syarh Al-Bukhari: "Ulama’ Salaf berpendapat, iman kepada Allah ialah tasdiq (percaya) dengan hati kepada kewujudan dengan sifat-sifat Uluhiyyah dan Rubbubiyyahnya, mengucap dua kalimah syahadah dengan lidah dan melakukan amal ibadah dengan anggota. Mereka maksudkan dengan amal atau ibadah itu hanya sebagai pelengkap kepada tasdiq (kepercayaan hati). Dari pengertian ini, Ulama’ Salaf berpendapat, iman bertambah dengan bertambahnya ibadah dan berkurang dengan berkurangnya ibadah. Golongan Murji’ah berpendapat: Iman ialah tasdiq dengan hati, pengakuan dengan lisan sahaja. Amalan pada mereka tidak mempunyai apa-apa peranan dalam iman. Golongan Karomiah pula berpendapat: Iman hanya cukup dengan ikrar (pengakuan lidah sahaja, sedangkan Muktazilah pula berpendapat iman terdiri dari gabungan antara tasdiq, amal dan ikrar. Perbezaan antara Muktazilah dengan golongan Salaf adalah tentang fungsi amal, sama ada ia sebagai isyarat sah iman, iaitu mengikut pendapat Muktazilah,atau sebagai pelengkap iman seperti pendapat Salaf".
Ibn Hajar selanjutnya menjelaskan, "sama ada amal sebagai penyempurna atau sebagai syarat sah iman, hanya berbeza apabila dirujuk kepada ilmu Allah. Ada pun pada pengetahuan manusia, iman hanya ikrar (pengakuan) sahaja; sesiapa yang mengaku muslim dan mengucap dua kalimah syahadah, maka ia diakui sebagai muslim dan hendaklah dilakukan ke atasnya hukum-hukum sebagai mana yang sepatutnya dilakukan terhadap orang Muslim, ia tidak lagi dihukum kafir, kecuali setelah ternyata padanya amalan-amalan yang menunjukkan sebaliknya, seperti menyembah berhala dan sebagainya". (Lihat فتح الباري Syarh Al-Bukhari 1/46).
Ulasan Ibn Hajar ini menunjukkan bahawa tafsiran tentang hakikat iman ini adalah berlaku setelah berlalunya beberapa zaman keemasan Islam. Menurut kebanyakan Ulama’ Islam, dua kalimah syahadah, iaitu اشهد أن لااله الاالله وأن محمد رسول الله, merupakan pintu masuk agama Islam, orang kafir dikira termasuk dalam golongan umat Islam, sebaik-baik sahaja mereka mengucapkan dua kalimah ini dengan sedar dan rela hati, sekali pun pada ketika itu ia belum lagi menunaikan kewajipan-kewajipan sembahyang,puasa, zakat,haji dan lain-lain.
Pengucapan dua kalimah syahadah ini juga melindungi darah dan harta benda seseorang dari pencerobohan. Dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Umar Ibn Al-Khattab (r.a) menyatakan:
“Apabila mereka menyebut dua kalimah syahadah, maka terpeliharalah darah dan harta benda mereka dari gangguan, kecuali dengan hak kalimah itu juga, sedang hisab terhadap mereka selanjutnya terpulang kepada Allah".
Pada akhir-akhir ini, sering kedengaran tuduhan kafir mengkafir, ia ditujukan kepada sesama umat Islam, sekali pun mereka mengucap dua kalimah syahadah, di antaranya ada disebabkan kelainan ideologi politik, perbezaan badan dakwah yang diikuti dan ada juga disebabkan berbeza metodologi akidah dan penguasaan ilmu. Tetap apa yang berlaku antara parti-parti politik Melayu-Islam, kerana berbeza pendapat tentang kaedah penghayatan dan pelaksanaan Islam. Dalam negara kita Malaysia juga tidak terkecuali daripada wabak ini walau pun keadaan terkawal dan tidak keterlaluan.
Antara faktor berlaku tuduhan kafir mengkafir ini, kerana terpengaruh dengan beberapa buku dakwah semasa yang disalah tafsir atau dibaca tanpa guru yang mursyid, sehingga menjadikan pembacanya terdiri daripada golongan muda yang bersemangat Islam kehilangan arah. Akibatnya mereka tidak lagi menghormati persaudaraan Islam, batas-batas iman dan kufur yang sebenarnya mengelirukan diri mereka.
Dalam konteks pengucapan dua kalimah syahadah yang merupakan pintu masuk agama Islam, golongan ini berpendapat, orang Islam menjadi kafir kerana mereka mengucap dua kalimah syahadah, tetapi tidak memahami tuntutan dan tidak beramal dengan syariat Allah yang terkandung dalam pengakuan syahadah itu. Orang-orang ini dihukum kafir, sekalipun mereka mengerjakan sembahyang, puasa, zakat dan haji serta mengakui dirinya Muslim.
Pemikiran mereka ini diperkukuhkan pula dengan logik akal. Antara logik yang mereka gunakan ialah, bekas gula yang diisi garam, sedang pada kulit luarnya bertulis gula, ia tetap tidak mengubah hakikat garam yang sebenarnya. Tambah mereka lagi, pesakit yang diberi kepadanya ubat, sedang ia enggan mengambilnya, tidak akan memberi apa-apa faedah kepadanya, sekalipun ia mendakwa telah mengambilnya.
Ada dua sumber bacaan yang ada kemungkinan berkaitan dengan alasan yang dipegang golongan ini dalam menangani isu mengkafirkan orang yang mengucap dua kalimah syahadah seperti yang dikemukakan iaitu:
Buku berjudul المصطالحات الأربعة في القرأن karya Abu Al-‘Ala Al-Maududi, pimpinan pertubuhan Jamaah Islami Pakistan. Beliau dalam buku ini mengulas pengertian sebenar istilah-istilah الاله (Tuhan), الرب (tuan), العباده (peribadatan) dan الدين (agama). Menurutnya: Umat Islam kini telah menyimpang jauh dalam memahami istilah-istilah itu, seperti yang dimaksud, dalam Al-Quran sehingga akidah mereka tidak sahih lagi. Perkataan ‘الاله’ membawa erti Tuhan, dengan erti apabila seseorang mengucap اشهد أن لااله الاالله Maksudnya, tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah. Persaksian atau pengakuan ini membawa maksud, menolak apa jua peraturan, undang-undang dan sistem selain dari hukum dan peraturan Allah, pada ketika itu, tiada suatu pun yang dipersekutukan dengan Allah. (lihat المصطلحات الاربعة, Darulkalam,Kuwait,halaman 8).
Dari ulasan Al-Maududi tentang perkataan الاله ini difahami bahawa:
- Kita tidak boleh memperakukan seseorang itu sebagai Muslim semata-mata dengan ikrar dua kalimah syahadah, tanpa mengetahui makna dan mematuhi segala tuntutannya.
- Amalan menerima hukum dan peraturan bukan Islam membuktikan mereka tidak memahami syahadah mereka, atau mereka sengaja mengingkarinya.
Pemikiran Al-Maududi ini diterima tanpa bantahan oleh Sayyid Qutub, salah seorang pepimpin gerakan Islam di Mesir, ini dapat diikuti dalam buku-bukunya seperti معالم في الطريق dan في ظلال القرأن. Diperturunkan disini beberapa ungkapan Sayyid Qutub, yang ada kaitan dengan persoalan ini, misalnya, kata beliau, "Perkataan الاله didalam syahadah itu diketahui masyarakat Arab bahawa ia suatu cara hidup yang meruntuh segala asas Jahiliah yang mereka tegakkan di atasnya segala undang-undang dan peraturan, segala kepentingan dan kedudukan mereka. Mereka sedar bahawa bahawa sifat agama Islam, tidak menerima tampalan dan tidak secocok dengan unsur-unsur peraturan bumi yang tidak lahir dari sumber peraturan yang diturun dari langit. في الضلال القرأن 8/50 lihat juga معالم (halaman 20).
Katanya lagi: Hakikat tasdiq (percaya) kepada agama, bukan semata-mata ucapan yang ditutur lidah, tetapi ianya satu perubahan dalam hati yang mendorong seseorang membuat kebaikan dan berbakti kepada saudara sesama manusia yang memerlukan pemeliharaan dan naungan. Allah tidak menghendaki kata-kata dari manusia, tetapi Allah mahukan dari mereka tindakan-tindakan yang mengutamakan kata-kata mereka.
Saya ingin menarik beberapa perhatian kepada isu-isu ini dari beberapa aspek:
Penentuan sama ada seseorang itu Mukmin atau kafir, sah atau tidak syahadahnya, haruslah bersandarkan kepada dalil-dalil yang kukuh, iaitu daripada Al-Quran dan Al-Sunnah. Dalam hadis banyak meriwayatkan tentang persoalan berkaitan iman dan kufur. Baginda Rasulullah (S.A.W) tidak pernah menghukum seseorang Muslim itu kafir, semata-mata kerana ia tidak beramal dengan hukum-hukum syara'. Dalam ruangan yang terbatas ini dikemukakan satu hadis sahaja, iaitu:
Hadis riwayat Muslim daripada Ubadah bin al-Somit (r.a) yang bermaksud: "Kami berbai’ah dengan Rasulullah untuk tidak melakukan syirik, tidak mencuri, tidak melakukan zina dan tidak membunuh anak-anak kami. Sesiapa yang melakukannya, kemudian dikenakan hukuman, maka hukuman itu sebagai kaffarah (pencuci) dosanya, sesiapa yang ditutup kesalahan itu, maka terpulang kepada Allah, sama ada menyeksa atau mengampuni dosanya".
Daripada hadis ini, fuqaha' Islam termasuk Ibn Hazm menarik perhatian bahawa iman terbukti dengan mengucap dua kalimah syahadah, ada pun pelaksanaan amalan hanya bertindak sebagai pelengkap kepadanya jua.
Walaupun saya sungguh kagum dan mencintai perjuangan dan kehebatan ilmu dua tokoh Al-Maududi dan Sayyid Qutub, namun kalau pun benar mereka berpendapat bahawa orang yang hanya mengucap dua kalimah syahadah, tetapi tidak melaksanakan hukum-hukum syara’ itu sebagai kafir, maka saya kira pendapat itu hanya pendapat peribadi yang tidak boleh mengatasi keterangan yang jelas daripada hadith-hadith sahih, antaranya ialah yang dinyatakan di atas.
Sehubungan itu Imam Malik pernah menyatakan, bahawa pendapat setiap orang boleh diterima atau ditolak, kecuali Sabda Nabi S.A.W yang pasti diterima. Bagaimana pun kita berkeyakinan bahawa Al-Maududi dan Sayyid Qutub telah melakukan ijtihadnya yang memastikannya mendapat ganjaran yang sewajarnya daripada Allah. Jika ijtihadnya tepat, ia mendapat dua pahala, jika sebaliknya maka ia mendapat satu pahala.
Buku-buku Al-Maududi dan Sayyid Qutub adalah buku-buku yang lebih cenderung kepada dakwah, ia tidak termasuk dalam buku-buku rujukan tentang hukum. Permasalahan di atas adalah lebih berkaitan dengan hukum yang lebih tepat dirujuk kepada pakar-pakar yang lebih kuat autoriti tentangnya. Sehubungan itu, kita dapati Sayyid Qutub sendiri tidak berminat menyentuh soal hukum apabila beliau menarik diri dari terus membincang persoalan yang membabitkan hukum dan batas-batas pemisah antara iman dan kufur dan masalah-masalah yang berkaitan mu’amalat Islam (lihat في ضلال القرأن 8/680 tafsiran سره المطففين).
Kaedah-kaedah logik dan pemikiran rasional seperti yang diungkapkan bahawa bekas gula yang diisi garam, tidak akan mengubah isi garam didalamnya, sekali pun pada kulit luarnya ditulis gula, tidak harus mendasari hukum-hukum dalam akidah, kerana pemikiran logik selalunya berdasarkan pancaindera, bagi membuat keputusan, sedangkan permasalahan akidah tidak mungkin difikir akal dengan sempurna. Justeru itu ia hendaklah berdasarkan wahyu sama ada Al-Quran atau Hadis-hadis sahih.
Sumber : Krisis Akidah Dalam Masyarakat Islam Kini oleh Prof.Madya.Dr. Abdul Hayei bin Abdul Syukor, ruangan Islam dan masyarakat Utusan Zaman bertarikh 2.5.1995