Sabtu, 12 Februari 2011

Tersungkurnya seorang diktator, al-Azhar bagaimana?

Kemarahan berjuta-juta rakyat Mesir, selesai solat Jumaat, di jalan-jalan seluruh bandar di negeri itu, akhirnya memaksa diktator Mubarak alias 'Firaun' itu, untuk pergi selama-lamanya dari negeri Spinx.

Rakyat Mesir sudah sangat muak dengan segala tindakan yang dilakukan Mubarak yang penuh dengan kekejaman dan kebiadaban selama 30 tahun.

Mubarak mengumumkan pengunduran diri dan tidak akan meneruskan kekuasaannya serta menyerahkan kekuasaannya kepada Naib Presiden Omar Sulaiman. Pengumuman pengunduran diri Mubarak itu, disampaikan oleh Omar Sulaiman melalui televisyen nasional. Selanjutnya, Mubarak meninggalkan Cairo, menuju kota peranginan Sharm el-Sheik, yang terletak di Sinai. Ini sebagai tempat transit sebelum Mubarak akan meninggalkan Mesir menuju ke negara ketiga, selama-lamanya.

Kemenangan perjuangan yang panjang dan melelahkan bagi rakyat Mesir, yang hampir selama tiga minggu melawan rejim Mubarak. Titisan darah dan pengorbanan rakyat Mesir tidak sia-sia.

Rakyat dengan pengorbanan yang mereka lakukan itu, akhirnya berjaya menghalau rejim diktator, yang telah memperbudak dan menghina mereka. Rakyat Mesir berjaya melakukan perubahan besar menamatkan kuasa rejim diktator yang sudah berkuasa selama tiga dekad.

Khamis malam Mubarak menyampaikan ucapan, dan mengatakan tidak akan mundur dari kekuasaannya. Justeru mencetuskan kemarahan rakyat Mesir. Akhirnya, rakyat yang sudah marah itu, memanfaatkan hari Jumaat sebagai: "Hari Kebarangkatan", bagi Mubarak untuk meninggalkan Mesir.

Tentera berusaha menenangkan rakyat yang marah, tetapi sia-sia belaka. Rakyat terus marah, memenuhi jalan-jalan dan seluruh Mesir bergolak. Di Cairo, berjuta-juta orang berkumpul di lapangan Tahrir, yang menunjukkan kemarahan rakyat Mesir terhadap rejim Mubarak. Ini sebuah kemenangan yang luar biasa bagi perjuangan rakyat Mesir, yang menghadapi rejim yang sudah berkuasa selama 30 tahun.

Berakhirnya rejim yang biadab, minindas, dan memperbudak rakyatnya, serta mengaut kekayaan bernilai USD 70 bilion.

Sementara itu, Jurucakap Ikhwan Muslimin Essam el-Erian, mengatakan, "Syukur, rakyat Mesir menamatkan kezaliman, dan semoga ini menjadi pengajaran yang berharga kepada rakyat, dan memberikan pengajaran yang berharga bagi penguasa yang lain", ujarnya.

Sekarang rakyat Mesir di bandar-bandar di seluruh negera itu, merayakan kemenangan dengan penuh syukur, dan mereka akan menghadapi kehidupan baru, dan ini akan menjadi sebuah sejarah baru bagi rakyat Mesir, menuju sebuah kehidupan yang lebih terbuka.

Berakhirnya rejim diktator Mubarak itu, secara geopolitik, Mesir mempunyai kedudukan yang sangat strategik, dan menjadi kekuatan utama dalam dunia Arab, akan sangat berpengaruh secara serantau. Termasuk hubungan dengan Israel dan Barat.

Siapa yang akan menentukan panggung politik di Mesir? Dan bagaimana corak kuasa yang akan datang? Adakah tentera akan tetap mendominasi kekuasaan Mesir. Ini akan menjadi pertanyaan yang akan terus berlangsung.

Siapapun akan mengambil pelajaran yang berharga dengan kejatuhan Zainal El Abidin ben Ali di Tunisia, dan Mubarak di Mesir.

Seluruh Timur Tengah akan mengalami perubahan besar, pasca jatuhnya Mubarak.

Bahkan persoalan yang lebih penting bagi golongan agama, bagaimana agaknya corak pentadbiran al-Azhar selepas ini? Siapakah yang melantik Syeikh al-Azhar dan Mufti Mesir selepas ini? Adakah presiden masih punya kuasa mutlak? Atau dikembalikan kepada Majlis Ulama al-Azhar? Adakah al-Azhar akan terus dibelenggu wahyu-wahyu kerajaan untuk mengeluarkan fatwa? Lebih penting lagi, adakah Syeikh al-Azhar akan terus digelar 'ulama upahan kerajaan'? Persoalan ini penting kerana ia bakal menjadi model ikutan kepada seluruh ulama dan institusi agama di seluruh dunia Islam.

Apapun, selamat berbahagia untuk seluruh rakyat dan bangsa Mesir yang telah mencapai kemenangan melawan kezaliman si Firaun Mubarak abad ke-21 ini.

Wallahu a'lam.



Read more >>