Sabtu, 4 Disember 2010

KETUANAN MELAYU ITU APA?

Apa erti ketuanan Melayu? Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, ‘ketuanan’ bererti hak menguasai dan memerintah sesebuah negeri atau disebut juga ‘kekuasaan’. Bagi penulis, jika ini takrifannya tiada salah untuk kita menyebut ketuanan bangsa apa sekalipun, tetapi dengan syarat! Syaratnya adalah seperti yang disebut dalam surah al-Hajj ayat 41:

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآَتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُور

Maksudnya: (Iaitu) orang-orang yang jika Kami (Allah) teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah kemungkaran; dan kepada Allah jualah akibat daripada segala urusan.

Begitu juga dalam surah al-Nur ayat 55:

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آَمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya: Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal salih dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.

Oleh itu, sebutlah ketuanan bangsa apa sekalipun, jika bangsa itu benar-benar melaksanakan segala titah dan perintah Allah SWT, sememangnya bangsa itu akan dipilih oleh Allah SWT sebagai TUAN di muka bumi ini. Tetapi jika tidak, lihat firman Allah SWT dalam surah Muhammad ayat 38:

وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ

Maksudnya: ..Dan jika kamu berpaling (dari agama Allah)akan Allah gantikan satu kaum yang lain dri kamu, kemudian mereka tidak jadi seperti kamu

Ya, Allah SWT Maha Berkuasa menjadikan bangsa atau kaum apa sekalipun bagi memerintah bumi ini jika mereka benar-benar berpegang kepada agama Allah SWT.

Bagi penulis, ketuanan bangsa hanyalah satu alat untuk menjalankan amanah Allah SWT. Ia bukan matlamat kerana jika ia menjadi matlamat, ketuanan itu menjadi tercela. Iaitu apabila manusia menjadi ta’assub dan fanatik kepada bangsa sendiri secara membuta tuli. Apa pun tidak dinafikan ketuanan bangsa penting bagi menjamin matlamat menjunjung syiar Islam tercapai, bukankah qa’idah fiqh menyebut ‘ma la yatimmul wajib illa bihi fahuwa wajib’. Bererti ‘apa yang tidak menyempurnakan kewajipan kecuali dengannya maka ia adalah wajib’.

Justeru, jika benar tanpa bangsa Melayu maka lenyaplah Islam di bumi Malaysia...tidak syak penulis pasti akan bermati-matian mempertahankannya. Tetapi jika bangsa Melayu itu sendiri pula yang menjadi perosak agamanya...di situlah kekeliruannya, kemusykilannya dan keragu-raguannya...

Wallahu a’lam.

Read more >>

Himpunan Artikel