Sabtu, 30 April 2011

Ya Allah, lindungilah kami daripada fitnah!

Seminggu sebelum Dato' Wan pencen, beliau mengajak penulis bersama-sama dengannya bertemu dengan Syeikh Dr. Afifi al-Akiti, pensyarah Pengajian Islam di Universiti Oxford, London. (Klik sini untuk mengenali siapa beliau). Apa yang menarik, walaupun Syeikh Afifi seorang ahli tariqat dan seorang Asy'ari Syafi'iy yang kuat, beliau masih menunjukkan sifat-sifat keterbukaannya terhadap golongan dari aliran yang bertentangan. Beliau menceritakan kisah tentang persahabatannya dengan seorang Syeikh Salafi di sana bernama Syeikh Usamah. Kata beliau, suasana di London tidak memperlihatkan pertentangan yang tajam dalam soal khilafiyyah. Malah Syeikh Usamah sendiri bersama-sama dengan anaknya bersolat tarawih dengan mereka dengan cara berselawat antara setiap dua rakaatnya. Malah Syeikh Usamah turut diberi ruang menyampaikan tazkirahnya di masjid Pusat Islam Oxford. Begitulah keharmonian yang terjalin di kalangan mereka di sana.

Kelmarin ketika penulis bersama-sama tuan guru al-Mursyid Dr. Zulkifli al-Bakri membentangkan kertas kerja di Kelantan. Penulis benar-benar teruja dengan pembentangan al-Mursyid tentang 'Adab al-Khilaf'. Antara ungkapan al-Mursyid yang memberi kesan kepada penulis adalah apabila al-Mursyid menjelaskan mengapa terlalu banyaknya khilaf yang berlaku dan mengapa ianya sengaja ditajam-tajamkan oleh orang tertentu. Kata al-Mursyid, "Man kathura ittilaa'uhu qalla i'tiradhuhu". Bermaksud "siapa yang banyak telaah ilmunya, akan kurang tentangannya". Penulis memang kagum dengan al-Mursyid, kerana beliau menguasai dan memahami manhaj dua aliran yang berbeza, pernah menimba ilmu di Madinah dan Syria. Baarakallahu fiih.

Itulah sikap dan adab para ilmuan yang tinggi ilmu dalam beramal, berbeza dengan orang yang ilmunya sedikit tetapi angkuhnya tinggi. Seperti juga seorang alim yang hidup dengan penuh kezuhudan tak pernah mengaku dirinya sufi, berbeza dengan seorang ahli tariqat yang angkuh dengan tariqat dan hadrah kesufiannya, tetapi cara hidupnya langsung tidak menunjukkan ciri-ciri kezuhudan, tawadhu' dan tawarru' seorang sufi, bahkan angkuh dengan pengaruhnya, pengikutnya dan hartanya yang mewah. Berbeza benar dengan golongan zuhhad yang terdahulu.

Semoga Allah SWT menjauhkan penulis dan seluruh umat Islam, dari tuduh menuduh, fitnah memfitnah, jatuh menjatuhkan, kafir-mengkafir, bid'ah membid'ah, mencari kesalahan ulama dan terpedaya (gharar) dengan diri sendiri. Amiiiin ya Allah... 
Read more >>

Ahad, 24 April 2011

Mengingati orang soleh, menurunkan rahmah : Sufyan bin Uyaynah

Lambaian terakhir Dato' Wan. Allahuma fasyhad, innahu qad ballagh!

Suatu hari dulu, penulis pernah terfikir, kalaulah suatu hari nanti 'orang itu' pergi, apa agaknya akan jadi…Akan adakah orang setajam itu pemikirannya, sedalam itu penelitiannya, sefaham itu kebijakannya, seikhlas itu kewarakannya, seberani itu tindakannya, sekental itu mauqifnya…akan adakah lagi? Penulis pernah bersama dengannya, sekadar pencatat minit untuk mesyuarat yg dipengerusikannya. Tapi puas, penulis puas mendengar ayat-ayatnya, ringkas, padat, tepat dan paling penting bermotif! Tidak menerawang ke sana sini.

Dia memang pemimpin ulung, punya haibah. Ibarat  kata Syeikh Wahbah al-Zuhaili, 'dia' ada rohaniah! Antara isu paling sukar penulis lupakan, isu yoga, esq, doa dengan bukan Islam, kalimah Allah, sebat dan lain-lain, sungguh 'dia' telah menunaikan sebenar-benar tanggungjawabnya sebagai pemimpin agama, bukan berselindung di sebalik anak-anak buahnya seperti perilaku sesetengah 'bos' itu. Gaji besar, kerusi empuk tapi tak sanggup menanggung risiko! Prinsipnya yang terindah, 'berkawanlah dengan semua orang', tiada 'musuh' dalam kamus hidupnya. Itulah 'hikmah' yang seakan hilang di kalangan ramai pendakwah, gemar mencipta musuh dan mengadu domba sesama sendiri.

Apapun, penulis akur, yang pergi tetap pergi, adat kehidupan pemimpin itu datang dan pergi…tapi yang pasti yang datang takkan sama dengan yang pergi. Penulis pasrah…Dato' Wan sudah pergi, pergi dari satu medan ke medan yang lain, katanya medan dakwah sudah sebati dan dia takkan lari…baarakallahu fiiih wa jazaahullahu 'anna khairan kathiran'…Jauuuh di sudut hati penulis, hari-hari mendatang seakan, makin suram…makin kelam…wa ilallaahi turja' al-umuur…
………………………………….

"Ana selalu pesan isteri ana, kalau ibaratnya pagi esok ana dah tak bangun-bangun dah, faham-fahamlah tu". Katanya lagi, "Isteri ana dah sedia.." Inilah antara ungkapan yang selalu disebut-sebut Ustaz Hamid. Semua orang tahu Ustaz Hamid penghidap kencing manis yang kronik. Malah setiap kali Ustaz Hamid menunjukkan tangannya, penulis hampir tak sanggup nak lihat kerana boleh kata seluruh lengannya penuh dengan urat yang membengkak kesan daripada suntikan dialysis, tiga kali seminggu!

Hampir enam tahun yang lalu, saat penulis mula melangkah masuk ke sini, al-Marhum adalah antara orang pertama yang penulis kenali. Ketika itu, al-Marhum memegang jawatan sebagai Pakar Rujuk Aqidah. (Orang kedua yang menjawat jawatan ini selepas Prof. Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim). Di tempatkan di Cawangan Aqidah, sudah tentu banyak perbahasan dan perbincangan berlegar sekitar isu-isu aqidah semasa dan ajaran sesat. Penulis masih ingat, job pertama yang diberikan oleh al-Marhum kepada penulis adalah menyelesaikan kajiannya bertajuk “Hukum Meminta Orang Bukan Islam Sama-Sama Berdoa Mengikut Anutan Masing-Masing Dalam Satu Majlis Yang Dihadiri Oleh Penganut Pelbagai Agama”. (Kertas ini telah pun menjadi fatwa kebangsaan, sila rujuk e-fatwa).

Ketika itu juga al-Marhum baru sahaja menyelesaikan tulisannya bertajuk "Asas Rujukan Aqidah Pegawai Jakim" dan beberapa tulisan lain. Apa yang mengagumkan penulis, walau dalam keadaan yang penuh keuzuran akibat penglihatannya yang terjejas teruk kerana diabetik, al-Marhum tetap aktif menulis dan membaca kitab-kitab turath. Kerap apabila keletihan membaca, al-Marhum keluar dari biliknya sambil mengadu matanya telah kembali berdenyut, memerah, berair dan urat-uratnya kelihatan membengkak. Tapi, apabila keadaan reda, al-Marhum kembali ke membaca, menulis, membaca, menulis… Allahummaghfirlahu warhamhu ya Allah…

Jelas terlihat sifat al-Marhum yang cintakan ilmu. Malah penulis dan rakan-rakan sering diuji oleh al-Marhum dengan pelbagai soalan ilmiyyah, ia bertujuan untuk melihat sejauhmana kefahaman pegawai penyelidik di bawahnya benar-benar faham konsep-konsep aqidah serta latarbelakang konsep-konsep itu diputuskan.

Al-Marhum seorang yang suka berbincang dan bermusyawarah, lebih-lebih lagi berkenaan persoalan ilmiyyah. Kadang-kadang sambil duduk-duduk bersantai, al-Marhum akan membuka topik-topik tertentu untuk dibincangkan. Antaranya seperti persoalan tasawwuf teosofi, wahdatul wujud, martabat 7, nur muhammad, kasyaf, ilham, mimpi, salaf dan khalaf, tariqah serta lain-lain. Seingat penulis, antara kitab yang amat diminati oleh al-Marhum dan sering dijadikan rujukan dalam persoalan aqidah adalah kitab al-Farqu bayn al-Firaq karangan al-Baghdadi. Malah satu kelebihan lain yang ada pada al-Marhum adalah kemampuannya mengingati setiap kes ajaran sesat yang pernah berlaku di Malaysia, ini mungkin hasil pengalamannya yang telah berpuluh tahun berkhidmat di Jakim khususnya dalam kajian ajaran sesat. Sebut sahaja ajaran apa, al-Marhum mampu menyebut rekodnya dengan spontan! Itu sebab, tunjuk ajar pertama yang diberikan oleh al-Marhum ketika penulis masuk ke Cawangan Aqidah adalah, mesti baca fail-fail terdahulu! Selain memahami dan menguasai konsep-konsep aqidah yang telah diputuskan oleh Panel Kajian Aqidah Jakim sebaiknya.

Penulis ambil foto ini di pejabat Dr. Fatah (UKM), hari-hari terakhir sblm al-Marhum pencen

Benarlah kata pujangga, orang yang hebat lahir dari guru yang hebat. Al-Marhum sebenarnya banyak terkesan dengan gurunya. Ia terlihat melalui tulisan-tulisannya yang banyak merujuk dan mendapat nasihat daripada gurunya itu. Penulis sendiri telah dibawa oleh al-Marhum beberapa kali menemui gurunya bagi membincangkan beberapa isu berkaitan aqidah dan ajaran sesat. Bahkan di saat-saat al-Marhum hampir menamatkan perkhidmatannya, al-Marhum sempat berpesan supaya gurunya dapat menulis biodatanya supaya dapat menjadi rujukan generasi akan datang. Al-Marhum telah mengamanahkan penulis supaya membantu gurunya itu bagi menyiapkan biodata dirinya. Sebenarnya, ketika artikel ini ditulis, biodata tuan gurunya itu telahpun siap (pada bulan Januari 2011) dan penulis telah pun mendapatkannya. Memang penulis terdetik untuk menghulurkan sesalinan biodata setebal 300 halaman itu kepada al-Marhum, tetapi apabila difikirkan keadaan al-Marhum yang uzur dan tidak lagi mampu melihat, penulis pendamkan sahaja niat tersebut. Apapun, sekurang-kurangnya niat al-Marhum supaya tuan gurunya itu menulis biodata dirinya telah pun tertunai. Tuan guru yang penulis maksudkan adalah Prof. Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim.

Kalaulah penulis punya kuasa, sudah barang tentu penulis akan nobatkan al-Marhum Ustaz Haji Abdul Hamid bin Yunus sebagai tokoh ilmuan Jakim yang terbilang. Tapi siapalah penulis yang tak punya kedudukan, apalagi kuasa. Mengenali al-Marhum hanya dalam tempoh yang singkat, hampir dua tahun. Sungguh, al-Marhum benar-benar seorang ilmuan yang telah meninggalkan legasinya kepada Jakim. Beliau pergi meninggalkan kita pada jam 2.30 pagi, hari Jumaat bersamaan 8 April 2011. Al-Fatihah.

Demikianlah dua orang tokoh yang pernah penulis kenali. Semoga Allah SWT merahmati mereka semua di dunia dan di akhirat. Semoga dengan mengukir kembali ingatan terhadap dua tokoh ini kita diberi rahmat oleh Allah SWT…seperti kata Sufyan bin Uyaynah : "Mengingat orang-orang soleh, menurunkan rahmat". (Riwayat Imam Ahmad)

Read more >>

Khamis, 14 April 2011

Syeikh al-Azhar pulangkan gaji. Subhanallah!

Semalam, laman almsryoon.com melaporkan bahawa Syeikh al-Azhar, Dr. Ahmad al-Tayyib telah mengembalikan seluruh gaji yang beliau terima sejak memegang jawatan sebagai Syeikh al-Azhar pada bulan Mac 2010.

Dr. Samir Ridhwan, Menteri Kewangan telah memperoleh surat rasmi dari Syeikh al-Azhar, Dr. Ahmad Tayyib yang menegaskan bahawa al-Azhar dan ulamanya mendukung pemulihan ekonomi Mesir.

Penasihat Undang-undang al-Azhar, Sayyid Sulthan mengatakan kepada Menteri Kewangan bahawa cek bernilai 37.647 pound Mesir yang diserahkan merupakan seluruh gaji yang telah diterima oleh Syeikh al-Azhar sejak 12 bulan lalu, iaitu sejak beliau memegang jawatan tersebut.

Syeikh al-Azhar juga meminta kepada Menteri Kewangan untuk tidak memberikan gaji lagi, di mana beliau ingin berkhidmat penuh kepada al-Azhar al-Syarif dalam dakwah tanpa memperoleh gaji apapun.

Sayyid Sulthan juga menegaskan bahawa Dr. Ahmad al-Tayyib, sejak diangkat sebagai Syeikh Al Azhar sering menolak upah daripada tugasan di Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah atau Majlis al-A’la al-Azhar, atau elaun daripada peperiksaan yang diadakan di Universiti al-Azhar. Beliau juga menolak “envelope” yang diberikan setelah beliau menyampaikan ceramah agama di televisyen.

Subhanallah..indahnya akhlak Syeikh al-Azhar. Agak-agaknya 'tokoh-tokoh kenamaan' yang ada kat Malaysia ni sanggup ke buat begitu? Yang penulis tau, nak potong gaji beberapa ringgit pun dah kecoh satu dunia. Yang gaji dah puluhan ribu, nak tambah gaji lagi ada..Allahu Akbar!

Baarakallahu fiikum ya syaikhanaa...

Read more >>

Rabu, 13 April 2011

Hukum guna nama-nama Islam untuk produk kesihatan dan seumpamanya

Panel Kajian Syariah Jakim telah memutuskan seperti berikut :

a) Pengusaha produk-produk makanan, kesihatan dan barang gunaan adalah dilarang menggunakan ayat-ayat suci al-Qur'an, hadith, nama-nama Allah SWT (Asma' al-Husna) dan seumpamanya yang boleh membawa kepada eksploitasi dan mengelirukan pengguna pada produk-produk keluaran mereka; dan

b) Pendaftaran nama syarikat, laman web dan sebagainya tidak boleh menggunakan nama-nama Allah SWT (Asma' al-Husna) kerana ia boleh membawa kepada ekploitasi dan mencemarkan kesucian Lafaz al-Jalalah.

Wallahu a'lam.
Read more >>

Ahad, 10 April 2011

Bolehkah qarinah mensabitkan zina?

Penulis tertarik juga dengan perdebatan berkenaan kesahihan video seks sebagai bukti pertuduhan zina. Ada pendapat yang mengatakan zina tak boleh sabit sama sekali kecuali dengan pengakuan si pelaku dan kesaksian empat lelaki yang jujur. Penulis berpandangan, kedua-dua pihak yang berdebat sudah pasti bersepakat (bahkan ijma' ulama) bahawa hudud zina akan sabit dengan iqrar (pengakuan) si pelaku atau kesaksian itu wujud. Itu dalam kes zina yang melibatkan hubungan suka sama suka. Tapi bagaimana pula rogol? Bagaimana pula jika tiada sebarang pengakuan dan kesaksian tetapi ada bukti lain. Sebenarnya dalam persoalan sabitan zina di saat ketiadaan pengakuan dan kesaksian, para ulama telah berselisih pendapat, adakah ia boleh disabitkan melalui bukti-bukti lain (qarinah). Dalam hal ini para ulama terbahagi kepada dua pendapat :

Pendapat pertama : Zina boleh sabit dengan qarinah atau keterangan yang kuat yang menunjukkan ia berlaku seperti kehamilan wanita yang tidak mempunyai suami atau tuan (dalam kes hamba sahaya). Pensabitan rogol melalui peralatan teknologi terkini, seperti melalui pemeriksaan air mani si lelaki dan rekodnya di makmal-makmal jenayah, atau juga melalui rakaman perlakuan jenayah dengan alat perakam moden. Ini merupakan pandangan al-Zaila'i, Ibn al-Ghars dan al-Tarabulsi daripada mazhab Hanafi, Ibn Farhun dan al-Maziri daripada mazhab Maliki, Ibn Abd al-Salam daripada mazhab Syafi'i, Ibn Taimiyyah daripada mazhab Hanbali dan selain mereka. Misalnya, Ibn al-Qayyim dalam beberapa tempat dalam kitabnya antaranya I'lam al-Muwaqqi'in (4/374) mengatakan : "Para sahabat Nabi SAW telah menjatuhkan hudud zina dengan hanya sebab kehamilan, dalam hudud arak dengan bau dan muntah, dan ini adalah benar".

Pendapat kedua : Zina tidak sabit kecuali dengan pengakuan dan kesaksian. Ini merupakan pandangan al-Jassas dan Ibn Nujaim daripada mazhab Hanafi dan selain daripada keduanya. Sebahagian ulama mutakhir menyandarkan pandangan ini kepada mazhab Hanafi dan Syafi'i.

Bagaimanapun pendapat yang kedua lebih selamat, lebih-lebih lagi dengan wujudnya hukuman ta'zir dalam keadaan hudud tidak dapat disabitkan. Apapun jika kita bersandar kepada pendapat yang mengizinkan penggunaan qarinah sekalipun, ianya khusus bagi qarinah yang kuat yang hampir mencapai darjat yakin sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibn Nujaim daripada Ibn al-Ghars dalam al-Bahr al-Ra'iq (7/205).

Apapun, kedua-dua pendapat tetap mengatakan sebarang bentuk qarinah yang zanni (tidak kukuh) tidak boleh mensabitkan hukum hudud, begitu juga qarinah yang kuat tetapi masih terkait dengan andaian, ianya termasuk gambar atau video yang mungkin dipalsukan atau dicantum antara satu dengan lain, maka qarinah-qarinah yang seumpama ini tidak boleh menjadi bukti untuk disabitkan hudud kerana hudud tertolak dengan wujudnya keraguan. Ketika ini hukuman ta'zir boleh disabitkan mengikut kebijaksanaan hakim.

Kesimpulannya, untuk menolak qarinah secara mutlak, ia tidak wajar sama sekali. Ini kerana dengan peningkatan kes-kes rogol pada hari ini, qarinah sangat diperlukan bagi mensabitkan kejadian itu berlaku ke atas mangsa rogol (di saat ketiadaan pengakuan dan kesaksian) di samping mengelakkan mangsa rogol dijatuhkan hukuman qazaf. Malah peruntukan ini sememangnya telah dimasukkan di dalam Enakmen Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Negeri Terengganu. Wallahu a'lam.

Wallahu a'lam.    

Read more >>

Sabtu, 9 April 2011

Panel Kajian Aqidah : Isu Titian Sirath

Berdasarkan aduan yang banyak diterima oleh orang ramai, Panel Kajian Aqidah (PKA) Jakim telah membincangkan isu 'Kedudukan Titian Sirath Menurut Ahli Sunnah Wal-Jamaah' dalam mesyuarat PKA kali ke-42/2011. Mesyuarat memutuskan antara lain: 



  •  Tiada khilaf di kalangan para ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah tentang kefahaman terhadap “Titian Sirath”, sebaliknya khilaf hanya berlaku di kalangan mereka yang diluar Ahli Sunnah seperti pandangan Mufti Oman yang bermazhab Ibadhi (Khawarij) yang boleh dianggap pandangan yang syaz. Oleh itu, kewujudan “Titian Sirath” adalah perkara ijma’ menurut Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
  •  “Titian Sirath” adalah perkara sam’iyyat yang sepatutnya hanya terbatas dengan apa yang terkandung di dalam nas al-Qur’an dan al-Sunnah.
  • Membuat kiasan perkara ghaibiyyat dengan perkara hissiyyat adalah salah.
  • Perkara sam’iyyat adalah tauqifi dan bukan perkara ijtihadi.



Mesyuarat akhirnya menyimpulkan  “Titian Sirath” adalah wujud sebagaimana yang disifatkan oleh nas-nas syara’ pada hakikatnya berdasarkan al-Qur’an, hadith dan ijma’ ulama. 


Lihat artikel penulis sebelum ini :


................


Penulis ditanya tentang kedudukan titian sirath di akhirat kelak. Adakah ia benar-benar wujud seperti apa yang kita imani selama ini? Penulis mendapat aduan, ketika ini tersebar pandangan yang mengatakan bahawa titian sirath itu hanyalah satu simbolik dan tidak wujud secara hakikatnya. Bagi penulis dalam menentukan perkara-perkara ghaib (sam'iyyat) seharusnya kita tawaqquf (berhenti) sekadar apa yang didapati melalui nas-nas syara' di samping mengikut kefahaman salafussoleh. Oleh itu, untuk berijtihad dan meletakkan pendapat sendiri lebih benar berbanding apa yang telah diperjelaskan oleh para imam dan ulama terdahulu, maka penulis dengan penuh rendah diri tidak sekali-kali akan bersikap seperti itu.

Dalam hal ini, penulis mengajak diri penulis dan para asatizah untuk melihat beberapa pandangan imam dan ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah berkenaan kedudukan titian sirath.

Pandangan Imam al-Ghazali (wafat 505H)

وأما الصراط فهو أيضاً حق ، والتصديق به واجب ، لأنه ممكن . فإنه عبارة عن جسر ممدود على متن جهنم يرده الخلق كافة ، فإذا توافوا عليه قيل للملائكة ' وقفوهم إنهم مسؤولون ' فإن قيل : كيف يمكن ذلك وفيما روى أدق من الشعر وأحد من السيف ، فكيف يمكن المرور عليه ؟ قلنا هذا إن صدر ممن ينكر قدرة الله تعالى ، فالكلام معه في إثبات عموم قدرته وقد فرغنا عنها . وإن صدر من معترف بالقدرة فليس المشي على هذا بأعجب من المشي في الهواء ، والرب تعالى قادر على خلق قدرة عليه ، ومعناه أن يخلق له قدرة المشي على الهواء ولا يخلق في ذاته هوياً إلى أسفل ، ولا في الهواء انحراف ، فإذا أمكن هذا في الهواء فالصراط أثبت من الهواء بكل حال .

"Adapun titian sirath ia juga adalah benar, mengimaninya adalah wajib kerana ianya mungkin. Ia adalah ibarat sebuah jambatan yang terbentang di atas neraka Jahannam dilalui oleh seluruh makhluk, apabila mereka sampai di atas, dikatakan kepada malaikat, hentikan mereka sesungguhnya mereka akan disoal. Jika dikatakan: Bagaimana mungkin demikian itu dan telah diriwayatkan ia lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang, maka bagaimana mungkin lalu di atasnya? Kita menjawab: Jika ini terbit daripada sesiapa yang memungkiri qudrat Allah SWT, maka perbahasan dengannya dalam menetapkan umum qudrat-Nya telah selesai. Jika ia timbul daripada orang yang menerima qudrat-Nya, maka berjalan di atas ini tidak lebih hairan daripada berjalan di udara, Allah SWT mampu menciptakan kuasa ke atasnya, maknanya Dia mampu menciptakan baginya berjalan di atas udara, tidak menciptakan pada zatnya jatuh ke bawah dan tidak tersasar di udara. Oleh itu, jika Dia berkuasa melakukan ini di udara, maka sirath itu lebih tetap daripada udara dalam apa jua keadaan". (Ghazali, Abu hamid, al-(1993), al-Iqtisad fi al-I’tiqad, Lubnan: Dar wa Maktabat al-Hilal, hal. 240)

Di tempat lain Imam al-Ghazali juga mengatakan:

وأن يؤمن بأن الصراط حق وهو جسر ممدود على متن جهنم أحد من السيف وأدق من الشعرة تزل عليه أقدام الكافرين بحكم الله سبحانه فتهوى بهم إلى النار وتثبت عليه أقدام المؤمنين بفضل الله فيساقون إلى دار القرار.

"Dan hendaklah beriman bahawa titian sirath itu benar, ia adalah jambatan yang terbentang di atas perut neraka Jahannam, lebih tajam daripada pedang, lebih halus daripada rambut, ia menggelincirkan kaki-kaki orang kafir dengan ketentuan Allah SWT, lalu menjerumuskan mereka ke dalam neraka, manakala ia menetapkan kaki-kaki orang mukmin dengan rahmat Allah lalu mereka diiring ke syurga".( Ghazali, Abu Hamid, al-(1985), Qawa’id al-‘Aqaid, Lubnan: ‘Alam al-Kutub, hal. 66 dan Imam Ibn ‘Asakir al-Dimasyqi(1404H), Tabyin Kazib al-Muftari fi ma nusiba ila al-Imam Abi al-Hasan al-Asy’ari, Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi, hal. 305

Pandangan al-Ghaznawi al-Hanafi (wafat 593H):

الصراط حق وهو جسر ممدود على متن جهنم أدق من الشعر وأحد من السيف يورد الناس جميعا على الصراط وورودهم قيامهم حول النار ثم يمرون على الصراط بقدر أعمالهم

"Titian sirath itu benar, ia adalah jambatan yang terbentang di atas perut neraka Jahannam, lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang, seluruh manusia lalu di atas titian sirath, laluan mereka adalah berdiri mereka di sekitar neraka kemudian lalu di atas titian sirath mengikut kadar amal perbuatan mereka". (Ghaznawi, Ahmad bin Muhammad(1998), Kitab Usul al-Din, Beirut: Dar al-Basya’ir al-Islamiyyah, hal. 238-239)

Pandangan al-Taftazani (wafat 791H):

ومنها الصراط وهو جسر ممدود على متن جهنم يرده الأولون والآخرون أدق من الشعر وأحد من السيف على ما ورد في الحديث الصحيح ويشبه أن يكون المرور عليه هو المراد بورود كل أحد النار على ما قال تعالى ) وإن منكم إلا واردها ( وأنكره القاضي عبدالجبار وكثير من المعتزلة زعما منهم أنه لا يمكن الحظور عليه ولو أمكن ففيه تعذيب ولا عذاب على المؤمنين والصلحاء يوم القيامة... والجواب أن إمكان العبور ظاهر كالمشي على الماء والطيران في الهواء غايته مخالفة العادة ثم الله تعالى يسهل الطريق على من أراد كما جاء في الحديث إن منهم من يمر كالبرق الخاطف ومنهم من يمر كالريح الهابة ومنهم من يمر كالجواد...

"Dan antaranya titian sirath, ia adalah jambatan yang memanjang di atas perut neraka Jahannam, ia dilalui oleh golongan terdahulu dan terkemudian, ia lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang berdasarkan apa yang terdapat dalam hadith sahih…ia dimungkiri oleh Qadi Abdul Jabbar dan ramai di kalangan Mu'tazilah dengan dakwaan mereka bahawa ianya tidak mungkin diseberangi , jika mampu sekalipun padanya satu penyeksaan sedangkan tiada azab terhadap golongan mukmin dan orang soleh pada hari Qiyamah…(pandangan Mu'tazilah ini) dijawab bahawa kemungkinan menyeberangi adalah jelas seperti berjalan di atas air dan terbang di udara yang tujuannya menyalahi adat. Kemudian Allah SWT memudahkan jalan bagi sesiapa yang dikehendaki sebagaimana di dalam hadith, bahawa sebahagian mereka golongan yang menyeberang seperti kilat menyambar, sebahagiannya yang berjalan seperti angin kencang, sebahagiannya seperti kuda…". ( Taftazani, Sa’d al-Din Mas’ud bin ‘Umar(1981), Syarh al-Maqasid fi ‘Ilm al-Kalam, Pakistan: Dar al-Ma’arif al-Nu’maniyyah, j.2, hal. 223)

Pandangan Ibn Taimiyyah (wafat 728H)

والصراط منصوب على متن جهنم وهو الجسر الذي بين الجنة والنار يمر الناس على قدر أعمالهم فمنهم من يمر كلمح البصر ومنهم من يمر كالبرق...

"Dan titian sirath itu terbentang di atas perut neraka Jahannam, ia adalah jambatan yang terletak antara syurga dan neraka, dilalui oleh manusia mengikut kadar amal perbuatan mereka, sebahagian mereka melaluinya seperti sekelip mata, sebahagian mereka seperti kilat…". (Ibn Taimiyyah, Ahmad bin Abdul Halim(1412H), al-'Aqidah al-Wasitiyyah, Riyadh: Idarat al-Buhuth wa al-Ifta', hal. 33)

Wallahu a'lam.
Read more >>

Selasa, 5 April 2011

Kalau tak tahu, lebih baik diam!

Suatu hari seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW seraya berkata, "Ya Rasulullah! Sungguh si fulanah itu terkenal banyak sembahyang, puasa, dan sedekahnya. Akan tetapi juga terkenal jahat lidahnya terhadap tetangga-tetangganya. ". Maka berkatalah Rasulullah SAW kepadanya, "Sungguh ia termasuk ahli neraka".

Kemudian lelaki itu berkata lagi, "Kalau si fulanah yang satu lagi terkenal sedikit sembahyang, puasa dan sedekahnya, akan tetapi ia tidak pernah menyakiti tetangganya." Maka Rasulullah SAW berkata, " Sungguh ia termasuk ahli syurga . "(HR.Muslim) .

Kisah dalam hadis tersebut memberi pelajaran akan bahaya lidah. Betapa jika tidak dikawal iman, lidah boleh menjerumuskan ke dalam neraka. Walaupun seseorang itu ahli ibadah, banyak solat, puasa, akan tetapi apabila tidak mampu menjaga lidahnya dari memfitnah, berbohong dan hasad - amalannya tersebut sia-sia.

Oleh sebab itu, lidah boleh menjadi media taat kepada Allah, dan boleh pula untuk memuaskan hawa nafsu. Lidah boleh digunakan untuk membaca al-Quran, hadis dan menasihati, lidah juga berubah seperti layaknya penyalaan api. Memfitnah, bersaksi palsu, ghibah, namimah, dan memecah belah umat. Jika seperti ini seberapa banyak pun ibadah kita tak ada gunanya, semuanya gugur gara-gara lidah yang lancang.

Rasulullah SAW memberi amaran, bahawa bahaya lidah adalah salah satu perkara yang paling beliau khuatirkan. Sebabnya, semua amal akan berguguran jika lidah kita jahat. Suatu kali salah seorang sahabat Sufyan al-Thaqafi bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, katakan kepadaku tentang satu perkara yang aku akan berpegang dengannya!" Beliau menjawab: "Katakanlah,` Tuhanku adalah Allah `, lalu istiqomahlah". Aku berkata: " Wahai Rasulullah, apakah yang paling anda khuatirkan atasku? ". Beliau memegang lidah beliau sendiri, lalu bersabda:" Ini . " (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Antara kejahatan lidah adalah lidah yang banyak bicara dengan kebatilan. Jenayah lidah memang boleh setajam pedang. Jika kita tidak berhati-hati menggunakannya, maka ketajamannya boleh menumpahkan darah, sebagaimana pedang menusuk tubuh manusia. Boleh juga lidah itu menjadikan 'api' yang membakar semakin besar.

Imam Abu 'Ali Ad-Daqqaq pernah mengatakan: "Orang yang berbicara dengan kebatilan adalah syaitan yang berbicara, sedangkan orang yang diam dari kebenaran adalah syaitan yang bisu."

Gara-gara lidah, seseorang terjebak masuk ke neraka. Menjadi hamba yang rugi, sebab pahala orang yang berdosa kerana kerosakan lidah akan dihadiahkan kepada orang yang dizalimi. Gara-gara lidah yang jahat kita boleh menjadi hamba yang muflis (muflis).

Rasulullah SAW bersabda: " Orang yang muflis di kalangan umatku ialah orang yang pada hari kiamat nanti datang membawa pahala solat, zakat dan puasa, namun di samping itu ia membawa dosa mencela, memaki, menuduh zina, memakan harta dengan cara yang tidak benar, menumpahkan darah, dan memukul orang lain . "(HR.Muslim)

Oleh sebab itu, jika kita tidak tahu terhadap suatu persoalan sebaiknya diam terlebih dahulu sebelum mendapatkan jawapan dari ahlu dzikri (orang yang ahli/mengetahui). Jika tidak, ucapan kita yang tidak berdasarkan ilmu itu boleh menyesatkan.

Rasulullah SAW bersabda: " Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata yang baik atau diam . "(HR. Bukhari Muslim).

Lebih baik diam jika dihadapkan terhadap persoalan yang belum kita ketahui. Firman Allah SWT : "Janganlah kamu bersikap terhadap sesuatu yang kamu tidak ketahui." (QS al-Isra ': 36).

"Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku di akhirat nanti adalah orang yang paling jelek akhlaknya, orang yang banyak bicara, orang yang bercakap dengan mulut yang dibuat-buat (mereka-reka cerita) dan orang yang sombong . "(Jami 'al-Shaghir).

Kesimpulannya, berhati-hatilah wahai saudara-saudari seIslamku, semoga Allah selamatkan lidah dan jari jemari kita daripada segala fitnah di luar sana. Amin.
Wallahu a'lam.

*Perkataan @ ucapan di zaman siber ini bolehlah disamakan juga dengan tulisan.

Read more >>

Himpunan Artikel