Ahad, 12 Disember 2010

HUKUM KAFIR BACA AL-QUR'AN?

Jika ditanya kepada penulis, apakah hukum orang kafir membaca al-Qur’an? Bagi penulis itu adalah perkara khilaf di kalangan ulama. Lihat kepada tujuan dan keadaan ia membaca al-Qur’an tersebut. Tetapi di sana ada isu besar yang dibangkitkan oleh al-Qur’an sendiri. Isu ini lebih berat kerana ia bukan khilaf bahkan ia datang dengan nas yang muktamad. Malah al-Qur’an sendiri yang membangkitkan isu tersebut! Isunya adalah khas buat golongan yang gemar ‘menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah demi kepentingan tertentu’. Dalam al-Qur’an ia disebut ‘thamanan qalilan’ dan diulang-ulang sebanyak sembilan kali pada tempat yang berlainan.

Bagi penulis, isu ini lebih serius kerana ia melibatkan golongan yang berpegang kepada al-Qur’an sendiri. Yang mengaku konon dirinya adalah muslim dan mukmin yang sempurna. Tetapi hakikatnya tidaklah seindah kata-kata. Daripada sembilan tempat tersebut, cukup bagi penulis membawa satu daripadanya sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 174:

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah diturunkan Allah, iaitu al-Kitab dan menjualnya dengan harga yang sedikit (murah), mereka itu sebenarnya tidak memakan (tidak menelan) ke dalam perutnya melainkan api, dan Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada hari Qiamat dan tidak mensucikan mereka dan bagi mereka siksa yang amat pedih”.

Wal’iyazu billah. Gerun bila membaca ayat tersebut. Bimbang jika diri ini termasuk golongan yang menyembunyikan ayat-ayat Allah. Apabila penulis meneliti tafsiran ayat ini, Imam al-Razi meriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. bahawa ayat ini diturunkan kepada pembesar-pembesar Yahudi dan para pendeta mereka, dahulunya mereka mengambil hadiah (habuan dunia) daripada pengikut mereka, maka ketika Allah membangkitkan Nabi SAW mereka bimbang habuan-habuan itu terputus lalu menyembunyikan perihal Nabi SAW dan syariatnya.

Walaupun ayat ini diturunkan kepada ahli kitab, Imam al-Razi menegaskan ia tetap umum kepada semua yang menyembunyikan apa pun daripada bab agama yang wajib disebarkan. Ia berasaskan kaedah ‘pengajaran itu dengan umumnya lafaz bukan dengan khususnya sebab’.

Kesimpulannya, kita perlu telus dalam menilai sesiapa pun. Tidak mengira sama ada muslim atau bukan muslim. Parti kita atau parti orang. Lebih-lebih lagi jika ia adalah seorang muslim kerana itu akan menjejaskan aqidah dan keyakinannya. Soalnya bukan sekadar ayat-ayat al-Qur’an dibaca bagi mendapatkan sedikit upah, tetapi apabila hukum hakam al-Qur’an itu diketepikan, diremehkan atau dikesampingkan. Tak kira dalam apa jua keadaan sekalipun! Makan minum, berpakaian, berpasangan, berjual beli, berpolitik, bernegara malah apa saja! Sebagai contoh nyata, isu menjadikan Malaysia (sebuah Negara Islam tersohor) sebagai hub hiburan dalam ETP. Bukankah ini ‘menjual ayat-ayat al-Qur’an dengan harga yang murah’? Wallahu a’lam.

Read more >>

Himpunan Artikel