Ahad, 24 April 2011

Mengingati orang soleh, menurunkan rahmah : Sufyan bin Uyaynah

Lambaian terakhir Dato' Wan. Allahuma fasyhad, innahu qad ballagh!

Suatu hari dulu, penulis pernah terfikir, kalaulah suatu hari nanti 'orang itu' pergi, apa agaknya akan jadi…Akan adakah orang setajam itu pemikirannya, sedalam itu penelitiannya, sefaham itu kebijakannya, seikhlas itu kewarakannya, seberani itu tindakannya, sekental itu mauqifnya…akan adakah lagi? Penulis pernah bersama dengannya, sekadar pencatat minit untuk mesyuarat yg dipengerusikannya. Tapi puas, penulis puas mendengar ayat-ayatnya, ringkas, padat, tepat dan paling penting bermotif! Tidak menerawang ke sana sini.

Dia memang pemimpin ulung, punya haibah. Ibarat  kata Syeikh Wahbah al-Zuhaili, 'dia' ada rohaniah! Antara isu paling sukar penulis lupakan, isu yoga, esq, doa dengan bukan Islam, kalimah Allah, sebat dan lain-lain, sungguh 'dia' telah menunaikan sebenar-benar tanggungjawabnya sebagai pemimpin agama, bukan berselindung di sebalik anak-anak buahnya seperti perilaku sesetengah 'bos' itu. Gaji besar, kerusi empuk tapi tak sanggup menanggung risiko! Prinsipnya yang terindah, 'berkawanlah dengan semua orang', tiada 'musuh' dalam kamus hidupnya. Itulah 'hikmah' yang seakan hilang di kalangan ramai pendakwah, gemar mencipta musuh dan mengadu domba sesama sendiri.

Apapun, penulis akur, yang pergi tetap pergi, adat kehidupan pemimpin itu datang dan pergi…tapi yang pasti yang datang takkan sama dengan yang pergi. Penulis pasrah…Dato' Wan sudah pergi, pergi dari satu medan ke medan yang lain, katanya medan dakwah sudah sebati dan dia takkan lari…baarakallahu fiiih wa jazaahullahu 'anna khairan kathiran'…Jauuuh di sudut hati penulis, hari-hari mendatang seakan, makin suram…makin kelam…wa ilallaahi turja' al-umuur…
………………………………….

"Ana selalu pesan isteri ana, kalau ibaratnya pagi esok ana dah tak bangun-bangun dah, faham-fahamlah tu". Katanya lagi, "Isteri ana dah sedia.." Inilah antara ungkapan yang selalu disebut-sebut Ustaz Hamid. Semua orang tahu Ustaz Hamid penghidap kencing manis yang kronik. Malah setiap kali Ustaz Hamid menunjukkan tangannya, penulis hampir tak sanggup nak lihat kerana boleh kata seluruh lengannya penuh dengan urat yang membengkak kesan daripada suntikan dialysis, tiga kali seminggu!

Hampir enam tahun yang lalu, saat penulis mula melangkah masuk ke sini, al-Marhum adalah antara orang pertama yang penulis kenali. Ketika itu, al-Marhum memegang jawatan sebagai Pakar Rujuk Aqidah. (Orang kedua yang menjawat jawatan ini selepas Prof. Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim). Di tempatkan di Cawangan Aqidah, sudah tentu banyak perbahasan dan perbincangan berlegar sekitar isu-isu aqidah semasa dan ajaran sesat. Penulis masih ingat, job pertama yang diberikan oleh al-Marhum kepada penulis adalah menyelesaikan kajiannya bertajuk “Hukum Meminta Orang Bukan Islam Sama-Sama Berdoa Mengikut Anutan Masing-Masing Dalam Satu Majlis Yang Dihadiri Oleh Penganut Pelbagai Agama”. (Kertas ini telah pun menjadi fatwa kebangsaan, sila rujuk e-fatwa).

Ketika itu juga al-Marhum baru sahaja menyelesaikan tulisannya bertajuk "Asas Rujukan Aqidah Pegawai Jakim" dan beberapa tulisan lain. Apa yang mengagumkan penulis, walau dalam keadaan yang penuh keuzuran akibat penglihatannya yang terjejas teruk kerana diabetik, al-Marhum tetap aktif menulis dan membaca kitab-kitab turath. Kerap apabila keletihan membaca, al-Marhum keluar dari biliknya sambil mengadu matanya telah kembali berdenyut, memerah, berair dan urat-uratnya kelihatan membengkak. Tapi, apabila keadaan reda, al-Marhum kembali ke membaca, menulis, membaca, menulis… Allahummaghfirlahu warhamhu ya Allah…

Jelas terlihat sifat al-Marhum yang cintakan ilmu. Malah penulis dan rakan-rakan sering diuji oleh al-Marhum dengan pelbagai soalan ilmiyyah, ia bertujuan untuk melihat sejauhmana kefahaman pegawai penyelidik di bawahnya benar-benar faham konsep-konsep aqidah serta latarbelakang konsep-konsep itu diputuskan.

Al-Marhum seorang yang suka berbincang dan bermusyawarah, lebih-lebih lagi berkenaan persoalan ilmiyyah. Kadang-kadang sambil duduk-duduk bersantai, al-Marhum akan membuka topik-topik tertentu untuk dibincangkan. Antaranya seperti persoalan tasawwuf teosofi, wahdatul wujud, martabat 7, nur muhammad, kasyaf, ilham, mimpi, salaf dan khalaf, tariqah serta lain-lain. Seingat penulis, antara kitab yang amat diminati oleh al-Marhum dan sering dijadikan rujukan dalam persoalan aqidah adalah kitab al-Farqu bayn al-Firaq karangan al-Baghdadi. Malah satu kelebihan lain yang ada pada al-Marhum adalah kemampuannya mengingati setiap kes ajaran sesat yang pernah berlaku di Malaysia, ini mungkin hasil pengalamannya yang telah berpuluh tahun berkhidmat di Jakim khususnya dalam kajian ajaran sesat. Sebut sahaja ajaran apa, al-Marhum mampu menyebut rekodnya dengan spontan! Itu sebab, tunjuk ajar pertama yang diberikan oleh al-Marhum ketika penulis masuk ke Cawangan Aqidah adalah, mesti baca fail-fail terdahulu! Selain memahami dan menguasai konsep-konsep aqidah yang telah diputuskan oleh Panel Kajian Aqidah Jakim sebaiknya.

Penulis ambil foto ini di pejabat Dr. Fatah (UKM), hari-hari terakhir sblm al-Marhum pencen

Benarlah kata pujangga, orang yang hebat lahir dari guru yang hebat. Al-Marhum sebenarnya banyak terkesan dengan gurunya. Ia terlihat melalui tulisan-tulisannya yang banyak merujuk dan mendapat nasihat daripada gurunya itu. Penulis sendiri telah dibawa oleh al-Marhum beberapa kali menemui gurunya bagi membincangkan beberapa isu berkaitan aqidah dan ajaran sesat. Bahkan di saat-saat al-Marhum hampir menamatkan perkhidmatannya, al-Marhum sempat berpesan supaya gurunya dapat menulis biodatanya supaya dapat menjadi rujukan generasi akan datang. Al-Marhum telah mengamanahkan penulis supaya membantu gurunya itu bagi menyiapkan biodata dirinya. Sebenarnya, ketika artikel ini ditulis, biodata tuan gurunya itu telahpun siap (pada bulan Januari 2011) dan penulis telah pun mendapatkannya. Memang penulis terdetik untuk menghulurkan sesalinan biodata setebal 300 halaman itu kepada al-Marhum, tetapi apabila difikirkan keadaan al-Marhum yang uzur dan tidak lagi mampu melihat, penulis pendamkan sahaja niat tersebut. Apapun, sekurang-kurangnya niat al-Marhum supaya tuan gurunya itu menulis biodata dirinya telah pun tertunai. Tuan guru yang penulis maksudkan adalah Prof. Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim.

Kalaulah penulis punya kuasa, sudah barang tentu penulis akan nobatkan al-Marhum Ustaz Haji Abdul Hamid bin Yunus sebagai tokoh ilmuan Jakim yang terbilang. Tapi siapalah penulis yang tak punya kedudukan, apalagi kuasa. Mengenali al-Marhum hanya dalam tempoh yang singkat, hampir dua tahun. Sungguh, al-Marhum benar-benar seorang ilmuan yang telah meninggalkan legasinya kepada Jakim. Beliau pergi meninggalkan kita pada jam 2.30 pagi, hari Jumaat bersamaan 8 April 2011. Al-Fatihah.

Demikianlah dua orang tokoh yang pernah penulis kenali. Semoga Allah SWT merahmati mereka semua di dunia dan di akhirat. Semoga dengan mengukir kembali ingatan terhadap dua tokoh ini kita diberi rahmat oleh Allah SWT…seperti kata Sufyan bin Uyaynah : "Mengingat orang-orang soleh, menurunkan rahmat". (Riwayat Imam Ahmad)