Penulis ditanya, apakah hukum kita sebagai muslim menganjurkan orang kafir supaya sama-sama berdoa. Misalnya dengan mengatakan, "Bagi orang Islam marilah kita sama-sama mengaminkan doa yang akan dibacakan, sementara bagi bukan Islam dipersilakan untuk berdoa menurut agama masing-masing".
Bagi menjawab persoalan ini, penulis bentangkan dalil dan hujjah berkenaan kedudukan Islam perihal doa orang kafir seperti berikut:-
Doa orang kafir menurut nas-nas syara'.
Berdasarkan Surah al-Ra'd, ayat 14:
Maksudnya: “Tiadalah doa dan ibadat orang kafir itu melainkan sia-sia sahaja.”
Menurut tafsir Imam al-Qurtubi: Ayat ini membawa maksud bahawa ibadat orang kafir terhadap berhala-berhala itu tidak memberi apa-apa makna melainkan kesesatan kerana ianya syirik dan dikatakan juga bahawa dengan doa itu ianya hanyalah boleh menyesatkan lagi bahkan mereka sekali-kali tidak akan mendapati jalan keluar. Dan berkata Ibnu Abbas: Bahawa suara-suara orang kafir itu terhijab daripada Allah dan Allah tidak (mahu) mendengar seruan (doa) mereka. (Tafsir al-Qurtubi, Juzuk 9, m/s 301)
Menurut Abu Ja'far al-Tabari: Ayat ini merupakan perumpamaan terhadap golongan kafir yang berdoa kepada berhala yang sekali-kali tidak akan menjawab seruannya bahkan tidak akan memberikan sebarang kebaikan kepadanya serta tidak juga mendatangkan sebarang mudarat kepadanya sehingga ajal menemuinya. Bandingannya ialah umpama seorang yang membuka kedua telapak tangannya untuk mendapatkan air ke mulutnya, namun air tidak sampai ke mulutnya (kerana telapak tangan yang terbuka tidak dapat menampung air) sehinggalah dia mati kehausan. (Tafsir al-Tabari, Juzuk 13, m/s 130)
Menurut tafsir Ibnu Kathir: Orang-orang musyrikin yang menyembah tuhan selain Allah itu, ia (tuhan-tuhan mereka) tidak memberikan apa-apa manfaat kepada mereka di dunia mahupun di akhirat. (Tafsir Ibnu Kathir, Juzuk 2, m/s 508)
Menurut Ibnu Kathir ketika golongan kafir memohon kepada malaikat supaya mendoakan mereka untuk diselamatkan dari api neraka walaupun sehari, lalu malaikat penjaga neraka berkata: Bukankah para rasul pemberi ingatan telah datang kepada kamu? Golongan kafir menjawab: Ya. Para malaikat berkata: Kamu berdoalah sendiri untuk diri kamu, kami tidak akan berdoa untuk kamu dan tidak akan mendengar rayuan kamu, dan tidak akan berharap pelepasan kamu (dari azab), bahkan kami berlepas diri dari (perbuatan syirik) kamu, kemudian kami ingin memberitahu kamu bahawa sama ada kamu berdoa atau tidak berdoa, kamu sekali-kali tidak akan diterima dan azab kamu tidak akan diringankan sedikit pun. (Tafsir Ibnu Kathir, Juzuk 4, m/s 84)
Ayat-ayat yang menyuruh supaya kita istibra’ (berlepas diri) dari ibadat atau agama orang kafir.
Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Kafirun:
Bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.
Menurut Imam Ibnu Kathir surah ini merupakan surah al-bara’ah (pelepasan diri) dari amalan yang diamalkan oleh orang musyrikin. Ayat tiga yang bermaksud “Dan tidaklah aku menyembah apa yang kamu sembah” bermakna aku tidak beribadat dengan ibadat kamu iaitu tidak mengambil jalan itu dan mengikutinya, sebaliknya aku menyembah Allah s.w.t. berdasarkan cara yang disuruh dan diredhainya. Manakala ayat empat yang bermaksud “Dan tidaklah kamu menyembah apa yang aku sembah” bermakna kamu tidak mengikut perintah-perintah Allah s.w.t. dan syariat-Nya dalam beribadat bahkan kamu telah mereka-reka sesuatu daripada diri kamu sendiri.
Ianya bersamaan dengan firman Allah s.w.t. dalam surah Yunus ayat 41:
Bermaksud: “Dan sekiranya mereka membohongi kamu maka katakanlah bagiku amalanku dan bagi kamu amalan kamu, (ibadat) kamu tidak berkaitan dengan amal (ibadat) ku dan aku berlepas diri dengan segala (ibadat) yang kamu kerjakan.”
Begitu juga dengan ayat 15 surah al-Syura:
Yang bermaksud: “Bagi kami amal (ibadat) kami dan bagi kamu amal (ibadat) kamu.” Yang bermakna kami berlepas diri daripada (ibadat) kamu. (Tafsir Ibnu Kathir, Juzuk 4, m/s 103 dan 532)
Qiyasan kepada hukum penyertaan orang bukan Islam di dalam solat Istisqa’ (solat dan doa memohon hujan ketika musim kemarau).
Jika dibuat justifikasi berdasarkan perbahasan para ulama berkenaan hukum mengajak orang kafir zimmi bersama berkumpul di tengah padang bagi menyertai upacara solat istisqa’ umat Islam. Kita akan dapati pandangan ulama adalah seperti berikut:-
Pertama: Menurut mazhab Hanafi, orang bukan Islam tidak dibenarkan menghadiri upacara solat Istisqa’ kerana perkumpulan tersebut adalah dengan tujuan memohon doa sedangkan Allah s.w.t. berfirman di dalam al-Qur’an: al-Ra’d ayat 14; “Tiadalah doa dan ibadat orang-orang kafir itu melainkan hanya sia-sia belaka”, begitu juga ianya bertujuan untuk memohon rahmat sedangkan ke atas mereka hanya diturunkan laknat, walaupun berkemungkinan doa orang kafir itu dikabulkan (tetapi hanyalah) sebagai istidraj (nikmat untuk menambahkan lagi kesesatan mereka) daripada Allah s.w.t.
Kedua: Menurut jumhur para ulama, orang-orang kafir tidak ditegah untuk keluar bersama orang Islam, namun mereka tidak dibenarkan bercampur gaul dengan umat Islam di tempat solat, begitu juga pada waktu sedang menuju ke tempat solat, makruh hukumnya percampuran mereka dengan orang Islam ketika itu menurut pandangan Imam Syafie, dan doa mereka tidak sekali-kali diaminkan kerana doa orang kafir tidak dimakbulkan…dan kemestian untuk mengasingkan mereka daripada kaum muslimin disebabkan mereka tidak terlindung dari azab dan azab sekiranya diturunkan akan meliputi kesemua yang hadir, seumpama kaum ‘Ad yang beristisqa’ lalu Allah s.w.t. menurunkan ke atas mereka angin kencang yang membinasakan mereka. (Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, Juzuk 2, m/s 419)
Menurut Imam Nawawi nas Imam Syafie di dalam kitab al-Umm menyebut bahawa makruh (tahrim) menyuruh orang yang bukan Islam untuk beristisqa’ bersama kaum muslimin di tempat untuk beristisqa’ bahkan diperintahkan supaya menegah mereka daripadanya (menghadirinya). (Nota kaki Raudhah al-Talibin li al-Nawawi, Juzuk 2, m/s 20)
Menurut Imam Malik tidak boleh meminta kafir zimmi untuk keluar beristisqa’ tetapi sekiranya mereka keluar (dengan kehendak sendiri) maka ianya tidak ditegah kerana terdapat athar bahawa mereka keluar bersama-sama kaum muslimin ketika zaman beberapa khalifah dan mereka tidak dilarang. (Al-Mabsuth li al-Sarkhasi, Juzuk 2, m/s 77)
Kesimpulan daripada perbahasan ulama tentang hukum penyertaan orang bukan Islam di dalam solat Istisqa’, boleh kita fahami bahawa muqtadhal kalam (maksud perkataan) mereka sekiranya diqiyaskan dengan hukum memohon kerjasama orang bukan Islam berdoa untuk kesejahteraan negara adalah tidak dibolehkan, namun sekiranya doa mereka itu dibuat secara sukarela tanpa dorongan atau permintaan umat Islam, maka ianya tidak menjadi satu kesalahan bagi umat Islam untuk membiarkannya.
Hukum memohon kerjasama bukan Islam untuk berdoa
Berdasarkan asas-asas pertimbangan yang dikemukakan dapat disimpulkan hukum memohon atau meminta kerjasama orang bukan Islam sama-sama berdoa adalah seperti berikut:-
a. Doa adalah termasuk dalam perkara ibadat kepada Allah s.w.t. yang khusus. Orang Islam tidak boleh menafikan hak ibadat itu dan tidak juga boleh mengithbatkan hak ibadat itu kepada yang lain dari Allah atau mana-mana makhluk sekali pun.
b. Doa orang bukan Islam walaupun berkemungkinan dimakbulkan oleh Allah s.w.t. tetapi ianya bukan atas dasar kasih sayang dan rahmat-Nya, tetapi ianya adalah merupakan istidraj daripada Allah s.w.t.
c. Perbuatan memohon atau memberi cadangan supaya orang bukan Islam berdoa adalah sama dengan maksud kita mengiktiraf ‘ibadat’ agama mereka, oleh itu ianya dilarang keras menurut Syariat Islam, kecuali mereka melakukannya tanpa sebarang arahan atau cadangan daripada umat Islam.
Keputusan Panel Kajian Aqidah JAKIM
Mesyuarat Panel Kajian Akidah JAKIM kali ke 30 pada 14 September 2005 telahpun membincangkan isu ini dan bersetuju menerima dan memutuskan seperti para a, b dan c di atas.
Kesimpulan
Menghormati orang bukan Islam sememangnya dibolehkan tetapi tidak sampai berkompromi di dalam persoalan ibadat. Dalam perkara ibadat tidak ada tasamuh atau toleransi.
Masalah ini boleh selesai jika sekiranya kita tidak bersekutu dengan mereka dalam perkara ini. Jika mereka memohon (berdoa) melalui agama mereka secara sendiri tanpa ada jemputan atau permintaan daripada orang Islam maka ianya tidak menjadi masalah dan tidak berkaitan dengan kita.