Khamis, 12 Mei 2011

Kasih ibu tiada bandingan...

Berkata Tuan Guruku hafizahullah :

Kasih ibu tiada bandingan
Menggadai nyawa di alam sunyi
Aku dilahirkan dalam kesayangan
Mengayun buaianku sambil menyanyi

Di mana langit terangnya bulan
Di situ paras ibu tenang kelihatan
Langit dunia tanpa awan
Langit hatiku lebatnya hujan

Oh langit...Bintangmu banyak amat
Banyak lagi istighfar solihin
Malaikat turun membawa rahmat
Kepada ibu dan semua mukminin

----------------------

"Aku mahu hantar Haron-Muhammad (adik Haron) mengaji jauh! Bila jauh, dia  fikir".

Kerapkali bondaku sebut perkataan ini di zaman kecil kami. Perkataan inilah juga yang dia sebut ketika menghembuskan nafasnya yang terakhir...

---------------------

Emak sakit ketumbuhan dalam perut...sambil mengerang kesakitan, mak memaksakan dirinya memasak. Pada suatu hari pulang dari sekolah, aku dapati emak menangis. Mengapa mak menangis? Tanyaku. Adikmu makan nasi dengan tahi ayam, jawabnya. Aku dapati nasi dan lauk dihidangkan jadi berkecai. Aku dapati tahi ayam di sana sini dan dalam pinggan mangkuk. Masa itu Muhammad selalunya berbogel, emak tiada berupaya memberinya salinan yang baru dibasuh. Dia boleh berjalan dan bermain di luar rumah bersama kawan-kawan sebaya dengannya. Bila berasa lapar, dia balik. Dia faham emak tiada berupaya dan tiada bertenaga. Muhammad makan apa yang sudah dikecaikan oleh ayam-ayam yang masuk ke dapur. Sudah makan, Muhammad keluarga lagi menemui kawan-kawan. Aku pulang dari sekolah merasa lapar. Melihat keadaan begini, aku tiada tersuap sebiji nasi ke dalam mulut. Keadaan begini berterusan bulan demi bulan, malah tahun demi tahun...

---------------------

Tiba-tiba di suatu malam didapati emak boleh bercakap dengan baik seperti dalam keadaan sihat biasa. Di saat ini dia bercakap dengan terang tetapi terputus-putus suaranya meninggalkan wasiat. Di bahagian kanan kepalanya duduk ayah Hj. Ibrahim suaminya, di atas ribanya Muhammad dan di sebelahnya aku dan jasadnya penuh di kelilingi oleh keluarga rumah pada masa itu.

Dia mula bercakap dengan minta maaf kepada suaminya Hj. Ibrahim dan "Haron tu, Haron tu, hantar dia pergi mengaji...". Sejurus lamanya dia tenung muka Muhammad seolah matanya berkata-kata sesuatu tanpa suara. Muhammad masih terlalu kecil hendak diwasiatkan apa-apa. Seterusnya satu dua perkataan yang lain. Selepas itu kelihatan matanya pandang ke atas dan sedikit demi sedikit kelihatan dan kedengaran pernafasannya berbunyi seakan orang tidur nyenyak, selepas itu dia tidak bernafas lagi.

"Mak sudah tidak ada lagi Mat!" Kata ayahku Hj. Ibrahim. "Tu ada tu!" jawab Muhammad. Muhammad belum tahu membezakan antara jasad yang bernafas dan yang tidak bernafas.

Penulis : Ini adalah sedutan manuskrip autobiografi (217 hal) berjudul "Restu Ibu" karangan tuan guru penulis, Prof. Dr. Abdulfatah Haron bin Hj. Ibrahim, mengungkap jerit perih kehidupan zaman silamnya hingga akhirnya beliau berjaya meniti kejayaan ke al-Azhar dan merangkul pingat imtiyaz dari kerajaan Mesir.