Isnin, 12 September 2011

Apa hukuman yang menanti Makcik Hajjah Sitt Wuzara'?

Sampai saat ini kita masih lagi bingung, siapakah sebenarnya makhluk Allah yang menggelarkan dirinya Makcik Hajjah Sitt al-Wuzara (MHSW). Sampaikan ada beberapa parti politik dan NGO’s Islam yang bangkit mempertikaikan tindakan lembap pihak berkuasa agama. Walaupun bagi penulis, yang lebih PATUT dipertikaikan adalah pemerintah secara amnya, kerana yang dihina oleh MHSW itu bukan setakat menyentuh enakmen dan akta agama semata-mata, tetapi ia menggugat kedudukan Islam sebagai ‘agama persekutuan’ di negara ini sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3(1). Adakah memburuk-burukkan ‘agama persekutuan’ yang diangkat oleh perlembagaan itu bukan satu jenayah sivil?

Kadang-kadang penulis terfikir ada baiknya MHSW itu belum ditemui, kalaupun berjaya ditangkap, adakah pemerintah telah jelas dan sepakat terhadap tindakan yang akan diambil ke atasnya? Di bawah peruntukan mana? Enakmen atau akta mana? Di bawah undang-undang sivil atau agama? Kalau jawapannya, di bawah undang-undang agama, bermakna hukuman yang bakal diterima oleh MHSW adalah;

Jika di Wilayah Persekutuan, di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina dll, jika sabit kesalahan akan didenda tidak melebihi RM3000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.

Jika di negeri lain seperti Melaka, sesiapa dengan secara lisan atau tulisan atau kelakuan yang nyata atau sebarang cara yang membawa kepada mencerca atau disifatkan sebagai menghina atau cuba mencerca atau menghina Agama Islam, perjalanan mana-mana mazhab yang muktabar, pegawai Agama, guru agama dan imam yang dilantik dengan sahnya menurut undang-undang, mana-mana fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis atau mufti di bawah peruntukan enakmen, adalah merupakan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 5000 atau penjara tidak lebih 36 bulan atau kedua-duanya (Enakmen Kesalahan Syariah Melaka 1991, seksyen 63). Begitulah seterusnya di negeri-negeri lain, tidak akan keluar daripada ‘rumus 356’.

Hakikatnya, itulah keupayaan dan kuasa yang telah diperturunkan oleh pemerintah kepada pihak berkuasa agama yang bertanggungjawab menggalas tugas berat memelihara ‘agama persekutuan’ yang termaktub dalam perlembagaan negara. Lebih mendukacitakan, jika hukuman telah dijatuhkan dan pesalah telah selesai menjalani hukuman, pesalah akan balik melakukan kesalahan yang sama seolah-olah tiada apa kesan atau sedikit pun perasaan TAKUT @ GERUN terhadap hukuman yang pernah dilaluinya. Soalnya, wajarkah ketika itu pihak berkuasa agama dipersalahkan?

Dalam kes MHSW, penulis dengan berani (setelah membaca tulisan-tulisannya di laman web dan twitter) mengatakan bahawa perbuatan MHSW boleh membawa kepada murtad dalam kategori hirabah, iaitu murtad dan memerangi Islam. Dia bukan sekadar memurtadkan dirinya dengan tulisan-tulisannya, tetapi turut menghina dan mencabar kesucian Islam serta menyebarkannya kepada umat Islam yang lain.

Menurut Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, bila mana kemurtadannya diwar-warkan kepada orang ramai dan diiklankan kepercayaan barunya kepada khalayak, ia sekaligus telah mengisytiharkan serangan berbentuk pemikiran (al-harb al-fikriyyah) ke atas Islam dan aqidahnya. Tindakan tersebut boleh menimbulkan atau menanam bibit keraguan dalam hati orang ramai yang masih menganut Islam. Ketika ini, tindakan murtad perlu dilihat bukan dari segi hak peribadinya untuk menukar agama, tetapi dari aspek adanya unsur hirabah’’, iaitu serangan terhadap dasar-dasar agama yang menjadi tonggak utama kerajaan Islam. Lantaran itu, langkah-langkah perlu diambil bermula  dari proses memberi penjelasan bagi merungkai keraguannya, meminta supaya bertaubat dan berakhir dengan pelaksanaan hukuman bunuh atas dasar hirabah’’ (al-qatlu hirabatan) sekiranya ia tetap berdegil mempertahankan pendiriannya untuk murtad. Ertinya murtad dibunuh bukan atas kekufuranya, tetapi atas dasar hirabah.  (al-Buti, (2004), Hurriyah al-Insan fi Zill `Ubudiyyah Li-Allah. Damsyik: Dar al-Fikr, h. 85-87).

Ini jelas berdasarkan ayat 33 surah al-Ma‘idah bermaksud:  Sesungguhnya balasan bagi orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan  melakukan fasad (kerosakan) di muka bumi ialah sama ada dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kakinya secara bersilang atau dibuang negeri....

Walaupun ayat ini difahami oleh kebanyakan ulama sebagai ayat untuk menghukum penjenayah rompak dan samun, tetapi tidak dinafikan bahawa perbuatan murtad secara terang-terangan adalah salah satu daripada perbuatan memerangi Allah dan Rasul-Nya. Maka terdapat ulama Salaf  yang berpendapat hukum bunuh si murtad  itu juga diambil daripada ayat ini, selain  hadith-hadith  sahih  lain  yang  bertindak  sebagai  penghurai.  Antara  yang berkata demikian ialah Abu Qilabah dan lain-lain. (Lihat Ibn Rajab al-Hanbali, Jami’ al-`Ulum wa al-Hikam, hal. 32; juga Dr. Yusuf al-Qaradawi (1993), Malamih al- Mujtama` al-Muslim Allazi Nansyuduhu, Kaherah: Maktabah Wahbah, hal. 41)

Ini bermakna, hukuman yang terkandung dalam enakmen atau akta agama sedia ada dalam soal memerangi Islam (seperti menghina Allah, Rasulullah SAW, hukum hakam dan sebagainya) adalah sama sekali bertentangan dengan saranan al-Qur’an yang meletakkan sedahsyat-dahsyat hukuman terhadap golongan sebegini! Bahkan hukuman sedia ada itu, jika dipraktikkan, mungkin akan menjadi bahan perlecehan golongan penghina Islam yang berpengaruh, berkedudukan dan berharta. Ini kerana hukuman tersebut tidak akan memberi apa-apa kesan terhadap diri mereka.

Cuba kita tinjau kesalahan-kesalahan yang diiktiraf oleh undang-undang sivil sebagai jenayah paling berat yang boleh membawa pelakunya kepada HUKUMAN MATI :
  • Seksyen 121 Kanun Keseksaan: Melancarkan perang terhadap Yang Di-pertuan Agong.
  • Seksyen 121A Kanun Keseksaan: Salahlaku jenayah terhadap Sultan dan Yang Dipertua, iaitu cubaan (ataupun yang berjaya!) mencederakan, membunuh atau mengurung mereka dan waris-waris mereka.
  • Seksyen 132 Kanun Keseksaan – Bersuhabat memberontak dalam Angkatan Tentera.
  • Seksyen 302 Kanun Keseksaan – Pembunuhan, hukuman mati mandatori yang pertama.
  • Seksyen 305 Kanun Keseksaan – Memberikan bantuan kepada seseorang yang (mengikut pengertian undang-undang) tidak berdaya untuk membunuh diri, seperti seorang kanak-kanak, seseorang yang sakit jiwa dan sebagainya.
  • Seksyen 307C Kanun Keseksaan – Cubaan membunuh, sekiranya anda telahpun dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun atau lebih
  • Seksyen 364 Kanun Keseksaan – Penculikan untuk tujuan pembunuhan
  • Seksyen 374A Kanun Keseksaan – Menjadikan seseorang sebagai tebusan
  • Seksyen 396 Kanun Keseksaan – Rompakan berkumpulan melibatkan pembunuhan
  • Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya – Mengedar dadah, satu hukuman mati mandatori
  • Seksyen 57 Akta Keselamatan Negeri – Memiliki senjata api.


Soalnya sekarang, adakah sesiapa di kalangan kita yang berani untuk mengatakan kesalahan memerangi Allah SWT dan Rasulullah SAW itu adalah jauh lebih ringan daripada kesalahan-kesalahan di atas sehingga hukumannya cukup sekadar ‘rumus 356’?

Semoga Allah SWT memberi hidayah kepada kita semua untuk melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Amin…

Himpunan Artikel