Gereja Koptik di Mesir. Antara fatwa kontroversi Syeikh al-Azhar (Tantawi) adalah mengharuskan seorang muslim untuk memberi sumbangan bagi membina gereja. Penduduk Kristian di Mesir tidak sampai 10 peratus tetapi jika dilihat dari segi pembangunan gereja yang besar dan mudah dilihat di tepi-tepi jalan seolah-olah mereka mewakili 50 peratus daripada penduduk Mesir. Adakah Malaysia juga ingin jadi begini?
Suasana politik yang ada sekarang kadang-kadang amat membimbangkan. Masing-masing parti politik (khususnya yang didominasi Melayu) ingin menunjukkan keprihatinan mereka terhadap bangsa dan agama lain. Di dalam Islam, soal bangsa tidak pernah menjadi perbahasan kerana Islam itu melangkaui sempadan bangsa. Tetapi bila bercakap soal agama, Islam sudahpun memiliki aturan dan hukum-hakam berkaitan yang perlu dirujuk oleh seluruh umat Islam tanpa mengira apa jua pangkat, status politik atau kedudukan mereka.
Apabila Ngar Ko Meng membangkitkan isu perbandingan rumah ibadat bukan Islam dengan masjid-masjid, yang membimbangkan penulis bukanlah ahli parlimen DAP ini dan isu yang dibangkitkan, tetapi reaksi balas segelintir umat Islam yang amat berlebih-lebihan dalam menyokong ahli DAP ini sehingga lupa status mereka sebagai penganut Islam sendiri.
Kalau bercakap dari segi undang-undang memang tiada hujah lagi kecuali menyebut kedudukan Islam yang diberi kedudukan tertinggi dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Begitu juga Perkara 12 (2) yang memberi hak kepada kerajaan untuk menggunakan wang dari Federal Consolidated Fund (Dana Persekutuan Yang Disatukan) untuk tujuan-tujuan pembangunan Islam termasuk pembinaan masjid. Penulis fikir, sesiapa pun tahu termasuk ahli parlimen DAP ini. Bagaimanapun, apabila ahli DAP ini membangkitkan isu tersebut, penulis menjangkakan ada 'undang di sebalik mi', mungkinkah isu ini sengaja dihebah untuk memancing ahli-ahli politik Islam sama ada pemerintah mahupun pembangkang untuk memberi reaksi?
Malah konsep '1Malaysia' sekali lagi dikambinghitamkan untuk memenuhi tuntutan bukan Islam di negara ini. Sedia maklum, dalam amalan ahli politik, ahli politik yang pintar adalah mereka yang paling pandai mengambil peluang atau dipanggil 'opportunist'. Sebagai seorang Islam, penulis amat bimbang sekiranya sikap 'opportunist' ahli politik bukan Islam ini sama ada di pihak pemerintah atau pembangkang dieksploitasi untuk mengambil kesempatan ke atas gagasan 1Malaysia yang dibawa oleh YAB PM sekarang.
Bagi penulis, golongan bukan Islam di negara ini sepatutnya berterima kasih kerana selama ini tuntutan mereka untuk membina rumah ibadat di negara ini hampir sahaja tidak ditolak. Malah rumah-rumah ibadat mereka yang dibina secara 'haram' cuba ditangani oleh kerajaan dengan kaedah yang sangat 'berlemah-lembut' atas dasar menjaga sensitiviti agama. Malah, terdapat ahli parlimen bukan Islam yang mengakui bahawa sememangnya kerajaan ada memberi peruntukan untuk membina rumah-rumah ibadat mereka melalui saluran terus kepada ahli-ahli parlimen tersebut.
Bagi umat Islam, penulis berharap agar mereka berhati-hati, janganlah terlampau menyokong ahli DAP tersebut atas dasar keadilan dan kesaksamaan.Penulis ingin bertanya, adakah di negara-negara bukan Islam termasuk di Singapura, Amerika dan Eropah, mereka pernah menyediakan bajet khusus untuk pembinaan masjid bagi umat Islam??? Setahu penulis masjid-masjid di negara bukan Islam dibina melalui sumbangan peribadi, korporat Islam, NGO Islam atau dana bantuan dari negara Islam. Bukan daripada bajet pemerintah!!! Penganut bukan Islam di negara ini juga perlu tahu akan hal ini.
Selain itu, para ulama Islam sejak dulu lagi telah membahaskan tentang hukum kerajaan Islam membina rumah-rumah ibadat bukan Islam. Malah, antara keputusan Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (Majma' al-Fiqh al-Islami al-Duwali) dalam persidangan kali ke-3 di Amman pada tahun 1986 telah memutuskan bahawa haram bagi seorang Islam membina dan membangunkan tempat-tempat ibadat orang kafir atau terlibat bagi tujuan tersebut dari segi kewangan atau perbuatan.
Hakikatnya, dalam fiqh Islam, membina rumah-rumah ibadat bukan Islam dalam sebuah kerajaan Islam adalah perkara yang amat sensitif dan perlu diberi perhatian oleh kerajaan Islam. Baik dan buruk serta kesan terhadap umat Islam perlu dikaji dengan seteliti mungkin. Hanya pandangan mazhab Hanafi yang membenarkan pembinaan rumah ibadat di dalam negara Islam sebaliknya majoriti fuqaha' termasuk Malikiyyah, Hanabilah, jumhur Syafi'iyyah, Abu Yusuf dan Muhammad al-Syaibani mengharamkannya. Dr. Yusuf al-Qaradawi adalah antara ulama yang membenarkannya namun beliau sempat memberi nasihat kepada pemerintah Qatar supaya berhati-hatilah menggunakan prinsip 'siyasah syar'yyah' tersebut dan walau apa pun berpegang kepada pandangan ulama yang majoriti itu lebih selamat...Wallahu a'lam.