Ahad, 20 Disember 2009

MUHADHARAH PERDANA..MEDAN SYEIKH AL-QARADAWI MEMPROMOSI PEMIKIRANNYA TENTANG FIQH AL-JIHAD




Sebagaimana yang dijanjikan, hari ini 19/12/09 Syeikh al-Qaradawi (SQ) telah diberi ruang seluas-luasnya untuk menyampaikan buah fikiranya. Tiada syarat, tiada apa-apa sekatan, tiada keperluan memohon tauliah!!! Dengan pangkat 'al-allamah', beliau telah menyampaikan syarahannya dengan begitu bernas sekali. Benar seperti kata peminat-peminat beliau, Allah SWT telah mengurniakan kepada beliau kelebihan dalam penulisan dan ucapan.



Ketika penulis ditanya oleh Syeikh Waleed tentang tajuk muhadharah SQ nanti, penulis katakan, tiada sebarang tajuk 'dikenakan' tetapi bebas menyentuh isu-isu umat Islam meliputi seluruh dunia kerana semua sedia maklum SQ adalah ulama yang bertaraf dunia sesuai dengan title beliau Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia. Tetapi, ucapan SQ pada hari ini adalah berkisar tentang buku terbaru karangan beliau iaitu Fiqh al-Jihad yang baru sahaja beberapa bulan diterbitkan.


Bila mendengar syarahan SQ, seakan-akan kita sedang membaca kitab karangan beliau itu. Isi-isinya disusun dengan begitu rapi dan sarat dengan hujjah dan dalil daripada al-Qur'an dan al-Hadith. Seolah-olah kitab yang setebal 1400 halaman (kalau yang dicetak oleh Maktabah Wahbah Kaherah) ini dihafal sehelai demi sehelai oleh SQ. Subhanallah, itulah kehebatan Syeikh al-'Allamah. Kitab ini dikarang oleh SQ selepas 36 tahun beliau mengarang kitab Fiqh al-Zakat sehingga membolehkan beliau menerima ijazah kedoktoran al-Azhar pd tahun 1973. Insya Allah penulis akan cuba dapatkan kitab ini secepat mungkin. Antara perkara penting yang ditekankan oleh SQ adalah keperluan 'jihad' di tengah-tengah masyarakat muslim sendiri. Menentang kemungkaran dan kezaliman yang berlaku di hadapan mata hatta yang dilakukan oleh pemerintah sekalipun. Sebagaimana sabda Rasulullah, "Sebaik-baik jihad, adalah kalimah yang haq dihadapan pemerintah yang zalim!". 

Begitulah keberanian dan ketegasan Syeikh al-Qaradawi dalam menyampaikan pandangannya berdasarkan dalil dan hujjah. Sifat-sifat 'la yakhafuna fillahi laumata la'im' jelas terpancar dalam setiap tutur kata dan tindakannya. Mungkin pengaruh beliau terhadap beberapa tokoh seperti al-Syahid Imam Hasan al-Banna dan Ibn Taimiyyah yang telah membentuk jati diri beliau yang tidak gentar kepada sesiapa kecuali ALLAH!. Semoga Allah SWT mengurniakan lebih ramai al-Qaradawi di muka bumi ini..amin..(Untuk mendengar sedutan ucapan al-Qaradawi di PICC sila lihat site sebelah kanan di bawah tajuk ucapan al-Qaradawi)

Himpunan Artikel