Selasa, 1 Disember 2009

SALAM ‘ONE MALAYSIA’ PENGGANTI SALAM?




Penulis agak tersentak apabila diajukan satu persoalan oleh Haji Mail tentang hal ini. Haji Mail bukanlah seorang ustaz atau lulusan pengajian Islam. Beliau hanyalah seorang bekas Pengurus Felda, namun kini menghambakan dirinya sepenuh masa mengimarahkan masjid di kampung penulis. Beliau melahirkan rasa kebimbangannya terhadap fenomena pihak media yang semakin gemar menyampaikan ‘salam satu Malaysia’ berbanding menyampaikan salam sebenar menurut Islam. Katanya, beliau tak akan teragak-agak untuk mengadu hal ini kepada Ketua Pengarah JAKIM. Penulis hanya menjawab, “Silakan tuan haji…”.



Sebenarnya, penulis sendiri tidak pasti adakah benar dakwaan Haji Mail bahawa pihak media termasuk pembaca berita RTM tidak lagi memberi salam Islam, sebaliknya hanya mengungkapkan ‘salam satu Malaysia’ setiap kali memulakan berita dan mengakhirinya. Penulis masih belum berkesempatan untuk meneliti hal tersebut, mungkin pembaca di luar sana boleh memberi maklum balas. Tetapi jika benar dakwaan itu, ini sudah tentu bertentangan dengan syiar yang ingin dibawa oleh al-Qur’an dan al-Sunnah supaya menyebarkan salam iaitu sekurang-kurangnya, “al-Salamu ‘alaikum”. Jika ungkapan ini dibaca bersama seperti, “al-Salamu ‘alaikum” dan “salam satu Malaysia”..penulis fikir ia tiada masalah, namun jika hanya menyebut “salam satu Malaysia” tanpa memberi salam yang sebenar, ini bakal membunuh syiar Islam itu sendiri!


Dalam Islam, ucapan salam adalah satu syiar khusus untuk menunjukkan persaudaraan yang jitu sesama umat Islam. Ia bagi menggantikan ucapan-ucapan yang pernah digunakan oleh masyarakat Arab sebelum itu. Selain itu ucapan salam juga menjadi isyarat untuk meminta izin memasuki rumah orang lain, pendahuluan ucapan dan sebagai rukun bagi mengakhiri solat. Malah, salam adalah ucapan sesama ahli syurga di akhirat nanti. Oleh itu, ia adalah satu syiar yang memiliki signifikan tertentu dalam agama Islam dan bukan sesuatu yang boleh diremeh-remehkan.


Dalam hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW telah memerintahkan kita untuk melakukan tujuh perkara, antaranya ialah menyebarkan salam. Ini menunjukkan ‘salam’ bukanlah sesuatu yang boleh diringan-ringankan tetapi ia termasuk suatu perintah. Bagaimanapun hukum memulakan salam menurut jumhur adalah sunat, berbeza dengan mazhab Hanafi yang mengatakan ia wajib. Adapun menjawab salam hukumnya adalah wajib kecuali sekiranya salam itu diberikan kepada ramai orang, maka menjadi fardhu kifayah kepada sebahagiannya sahaja untuk menjawab.


Kesimpulannya, jika benar dakwaan orang kampung penulis itu, penulis berharap perkara ini dapat diperbetulkan. Janganlah kerana keghairahan kita menyambut ‘gagasan’ kerajaan pimpinan PM baru, kita terlupa pula kepada petunjuk dan hidayah yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT dan Rasulnya SAW. Wallahul musta’an…