Artikel pernah diterbitkan oleh penulis di dalam laman blog Pemikir Islam, bagaimanapun kerana isu ini kembali menjadi panas semula, penulis siarkan di sini, kritikan penulis terhadap Dr. Mohd Asri Zainul Abidin ketika beliau menjadi Mufti Perlis...terserah kepada pembaca untuk menilai kritikan ini...
Salah satu buku bacaan penting pengikut Islam Liberal ialah buku Charles Kurzman berjudul Wacana Islam Liberal: Pemikiran Islam Kontemporari Tentang Isu-isu Global. Dalam buku tersebut Kurzman ada menyenaraikan nama-nama tokoh Islam Liberal termasuk tokoh reformis Islam seperti Muhammad Abduh, Yusof al-Qaradawi, Muhammad Natsir dan lain-lain. Walaupun pada hakikatnya mereka bukanlah pejuang Islam Liberal tetapi apa yang menjadi concern kepada Kurzman adalah, pemikiran-pemikiran mereka itu dianggap dapat mendokong gagasan Islam Liberal.
Hal ini seakan-akan mahu terjadi juga kepada Bekas Mufti Perlis (BMP). Barangkali sekiranya Kurzman mengedit karyanya untuk edisi akan datang, nama BMP pasti tercatat sebagai salah seorang daripada tokoh Islam Liberal itu. Walaupun BMP sebenarnya tidaklah sehebat al-Qaradawi atau Muhammad Natsir dalam membawa wajah Islam yang baru dan global, sebaliknya BMP pada pandangan penulis hanyalah seorang pejuang reformasi tradisional tempatan sahaja.
Tanggapan penulis bukanlah kerana penulis mahu mengkategorikan BMP ke dalam kelompok liberal tetapi cara pembawaan seseorang itu kadang-kadang dilihat sama, sekalipun tujuannya berbeza. Itu sebab diawal kemunculan BMP sebagai mufti, kumpulan terawal membuat sokongan terbuka terhadap beliau adalah Sisters In Islam. Antaranya, apa yang disebut Zainah dalam artikelnya bertajuk A refreshing chorus of voices’ di akhbar New Straits Times bertarikh 12 Januari 2007. Zainah menganggap kemunculan BMP sebagai kebangkitan semula suara-suara keadilan, kebebasan, rasional dan hak. Ia dilihat sebagai satu yang amat menguntungkan menjelang 50 tahun kemerdekaan Malaysia.
Zainah mengimbas semula hujjah BMP yang mengatakan keperluan mengkaji semula pegangan-pegangan agama yang dibawa oleh golongan konservatif sebelum ini. Seseorang ulama itu walaupun seorang yang popular, ini tidak bermakna mereka itu maksum. Mereka boleh dikritik dan pandangan mereka boleh disemak semula. Perlakuan ulama yang masih bergantung kepada teks berusia ratusan dulu, sebenarnya tidak mampu menjawab segala persoalan semasa yang wujud pada hari ini.
Menurut Zainah lagi, ketika ini BMP diharap bakal menjawab pelbagai isu yang timbul pada tahun lalu, iaitu meliputi isu polisi moral, murtad, kongsi raya, diskriminasi wanita dan injil Melayu. BMP dinilai sebagai seseorang yang berpegang kepada keadilan, kebebasan, pejuang hak asasi dan kepelbagaian kepercayaan serta agama berdasarkan kefahamannya tentang Islam.
Zainah mengatakan sudah sekian lama kumpulan hak asasi dan wanita di Negara ini cuba mengetengahkan pendirian yang sama tetapi dituduh dengan anti-Islam, anti-Tuhan dan anti-Syariah. Tetapi untuk menuduh seorang mufti dengan sifat-sifat sedemikian adalah agak sukar.
Zainah juga mengatakan ramai di kalangan masyarakat sivil di Negara ini merasa cemburu dengan suasana yang terdapat di Indonesia, apabila ramai di kalangan para pemikir Islam mereka seperti Gus Dur, Nurcholis Majid, Prof. Azyumardi Azra, Rektor Universiti Islam Jakarta dan Prof. Amin Abdullah, Rektor Universiti Islam di Jogjakarta, bukan sahaja memimpin bahkan disediakan ruang dan perlindungan untuk perkembangan Islam yang progresif dan inklusif.
Zainah juga memaklumkan bagaimana sepupu rakan beliau, selepas membaca satu wawancara dengan BMP, telah mengambil keputusan bahawa sememangnya tidak ada hukuman bunuh untuk murtad sebagaimana yang dipercayainya sebelum ini. Oleh itu sekiranya seseorang itu berpegang kepada adanya hukuman bunuh untuk yang murtad, hudud, Negara Islam dan undang-undang Syariah, maka seorang yang lain pula hendaklah diberi kebebasan untuk berpandangan sebaliknya walaupun dia bukan merupakan golongan berpendidikan agama. Ini kerana seorang yang bergelar Syeikh Azhar sekalipun, beliau sebenarnya tidak boleh kebal daripada diserang atau dikritik oleh mana-mana individu lain.
Demikianlah kuatnya sokongan Zainah terhadap BMP di atas usaha tajdid yang cuba dilakukan oleh BMP. Persoalannya apakah agaknya parameter yang digunakan oleh Zainah sehingga BMP dinobatkan sebagai idola pemuda masakini!!!
Jika kita berbalik kepada teori ciptaan Kurzman, beliau memahami liberalisme Islam melalui ruang yang amat luas. Baginya adalah common sense bahawa setiap orang memiliki tekanan liberaliti yang berbeza dalam menyuarakan gagasan-gagasan pemikirannya. Yang terpenting adalah pemikiran-pemikiran mereka dapat memenuhi standard liberalisme Islam yang boleh diukur berdasarkan enam state of mind, iaitu sikap terhadap teokrasi, demokrasi, hak wanita, hak non-muslim, kebebasan berfikir dan berfikiran progresif.
Berdasarkan kriteria itu, sesiapa saja boleh dimasukkan ke dalam barisan Islam Liberal seandainya mereka memiliki state of mind yang jelas terhadap enam kriteria di atas. Nampaknya kelantangan dan kemunculan BMP secara mendadak dalam memperjuangkan isu-isu di atas telah memberi ’point’ yang banyak untuk dimahkotakan sebagai salah seorang pejuang liberalisme Islam. Lebih-lebih lagi bila BMP juga turut mempersoalkan slogan ’negara Islam-hudud PAS’. Ini seolah-olah menggambarkan BMP menolak konsep Islam politik. Sekaligus memberikannya markah liberalisme yang lebih tinggi kerana Islam Liberal teramat memusuhi konsep ’negara agama’ (teokrasi pada anggapan mereka).
Itu punca utama mengapa BMP dikatakan selari dan sekata dengan perjuangan Islam Liberal. Kedua, BMP secara terang-terangan mengisytiharkan peperangannya dengan golongan konservatif yang ada di negara ini. Jabatan-jabatan agama dengan seluruh ahli dan pengisiannya dianggap konservatif. BMP mengecam mereka dengan bahasa-bahasa yang berbau perlecehan, perlekehan, sindiran dan kadang-kadang sesuai digunakan untuk orang-orang bodoh seperti berakal lemah dan sebagainya. Gelaran yang biasa digunakan oleh BMP untuk golongan ini adalah konservatif. Seakan-akan inilah musuh utama BMP dalam perjuangan tajdid beliau.
Jika begitu, maka musuh BMP adalah benar-benar sama dengan musuh puak Islam Liberal. Kata Lutfi Assyaukani, dia melihat dua “musuh” utama Islam Liberal. Pertama, konservatisme yang merupakan musuh dalam sejarah yang telah ada sejak gerakan liberalisme Islam pertama kali muncul. Kedua, fundamentalisme yang muncul akibat pergeseran Islam dan politik setelah negara-negara muslim meraih kemerdekaannya.
Bagi puak liberal, konservatisme telah lama dianggap sebagai “ideologi” yang bertanggungjawab terhadap kemunduran dan keterbelakangan kaum muslim. Pandangan-pandangan konservatif selalu dianggap berbahaya kerana ia bertentangan dengan semangat pembaharuan dan kemajuan. Sejak gerakan kebangkitan Islam muncul di Mesir pada awal abad ke-19, konservatisme menjadi target utama para pembaharu muslim. Tokoh-tokoh seperti Rifa’at Rafi’ al-Thahtawi dan Ali Abd al-Raziq, baik secara radikal mahupun perlahan-lahan telah berusaha mengikis ajaran-ajaran konservatif. Begitu juga, tokoh-tokoh dari generasi selanjutnya, termasuk generasi pasca-67, seperti Hassan Hanafi di Mesir, Tayyib Tizzini di Syria, dan Mohammad Abid al-Jabiri di Maroko, mengisytiharkan perang yang sama terhadap konservatisme.
Pada hari ini pula, institusi yang mempertahankan Islam di Indonesia seperti Majelis Ulama Indonesia (MUI) telah dianggap sebagai pendokong kuat konservatisme oleh puak liberalisme Islam. Lihat sahaja, ketika fatwa MUI pada 2005 berkenaan pengharaman aliran pluralisme, liberalisme dan sekularisme dikeluarkan, puak-puak liberal tanpa segan silu telah mempertikai dan menolak fatwa tersebut secara mentah-mentah. Malah fatwa tersebut telah dipermain-mainkan sehingga ia menjadi bahan seminar dan buah mulut masyarakat awam yang akhirnya meragui kredibiliti institusi agama seperti MUI. Itulah bahana dan bahayanya tuduhan konservatisme apabila dilontarkan kepada ahli dan institusi agama.
Sekali lagi penulis tegaskan, penulis tidak bermaksud ingin memasukkan BMP sebagai pendokong Islam Liberal, tetapi dengan gaya dan cara yang ditampilkan oleh BMP penulis berkeyakinan tinggi aliran humanisme sekular yang memberi penekanan kepada kerasionalan, penolakan terhadap agama, dan kebebasan individu akan semakin kuat bertapak di negara ini. Bahkan perjuangan mereka untuk menolak autoriti agama dalam kehidupan individu akan semakin subur. Penolakan autoriti agama ini amat signifikan bagi mereka agar menjamin kebebasan berpendapat atau ijtihad yang dapat disesuai dengan matlmat liberalisasi Islam.
Tren seperti ini sebenarnya telah wujud di Malaysia seperti penulisan-penulisan berbau penghinaan terhadap golongan agama serta institusi agama. Kewujudan kumpulan-kumpulan hak asasi manusia dan sebagainya.
Apa yang menyedihkan penulis, tajdid yang dibawa oleh BMP langsung tidak membezakan antara liberal dan Islam. Adakah apabila menjadi seorang Salafi, maka peperangan hanya ditujukan kepada puak konservatif semata-mata. Adakah BMP sengaja mewajibkan dirinya untuk menjadi seperi Za’ba, Hamka, Hassan Bandung, Abu Bakar Asya’ari untuk berdakwah pada zaman ini. Tidak bolehkah BMP bercakap dengan gaya zamannya sekarang?
Sedarkah BMP, di era manakah kita berada sekarang. BMP bukan bercakap dalam era sebelum merdeka atau pascamerdeka tetapi era globalisasi. Era kitab-kitab kuning sudah kurang ditelaah, tetapi kitab-kitab baru telah diberi ruang. Era ulama sudah berpadu dengan saintis dalam memutuskan keputusan. Era para huffaz telah menjadi professional. Era ulama sudah beramah-mesra dengan para wartawan, artis, karyawan dan pelbagai lagi. Adakah BMP sedar atau tidak sedar perkara ini. Jangan hanya tahu mengkritik tetapi faktanya tiada.
BMP sering menempatkan dirinya seolah-olah berada pada zaman sebelum merdeka. Ulama pada ketika itu amat konservatif dan ta’assub dengan pegangan mazhabnya. Tetapi benarkah ia masih berlaku pada hari ini? Atau pemikiran BMP yang ketinggalan zaman. Lihat sahaja betapa keputusan-keputusan fatwa pada hari ini yang tidak terikat hanya kepada satu mazhab, dalam soal mu’amalat, perbankan Syariah, perundangan dan kehakiman, isu-isu kontemporari dan sebagainya, kita menerima untuk merujuk kepada sesiapa sahaja termasuk pandangan daripada ulama Su’udi sekalipun. Apa yang penting hujjah dan fakta serta kesesuaiannya dengan prinsip Siyasah Syar’iyyah.
Akhirnya, penulis ingin menyimpulkan sekali lagi, tajdid yang ingin dibawa oleh BMP ini, hakikatnya adalah setakat reformasi tradisional tempatan semata-mata. Tiada sedikitpun agenda besar buat masa depan umat Islam.