Khamis, 23 Mei 2013

Ulasan "A Joint Appeal to Sunnis and Shias"

Sepanjang kami berdialog dengan Syiah Melayu Jadian, muqaddimah puak Syiah tidak pernah lekang dengan hujah-hujah mengajak perpaduan. Pelbagai fakta dikemukakan, fatwa Syeikh Mahmud Syaltut, Amman Message 2005 dan lain-lain. Sedaya upaya Syiah akan cuba mengelak daripada membicarakan hal berkaitan doktrin sesat mereka.

Tanpa semena-mena keluar pula kenyataan media Tun Dr. Mahathir bersama pihak Syiah yang dianjurkan oleh JUST World Movement. Saya yakin, perkara ini berlaku kerana Tun M dan JUST secara tidak sedar telah termakan dengan racun Syiah yang menyeru kepada perpaduan Sunni-Syiah. Inilah satu-satunya cara yang ditawarkan oleh pihak Syiah jika Sunni ingin menghentikan pertumpahan darah yang sedang berlaku antara kedua-dua belah pihak.

Berkenaan Tun M, saya sendiri cenderung untuk mengatakan Tun M bukan di kalangan mereka yang pro-Syiah, apa lagi memperjuangkan penyatuan Sunni dan Syiah. Malah, sebagai pegawai yang bertanggungjawab berkenaan isu-isu aqidah, saya mengetahui dengan jelas kronologi Syiah di Malaysia. Apa yang telah Tun M lakukan untuk menyekat kemaraan Syiah di Malaysia pada tahun 1997, selaku Menteri Dalam Negeri tidak pernah saya lupakan.

Namun begitu, secara politiknya saya tidak pasti apa strategi tersirat Tun M untuk mengeluarkan kenyataan bersama dengan bekas pemimpin Syiah Iran, sedangkan amat dimaklumi bahawa Iran adalah pendukung kuat rejim Basyar al-Asad dalam membantai dan menyembelih umat Islam Sunni di Syria. Saya fikir adalah lebih baik Tun M menasihati rakan Syiahnya itu mengenai isu Syria terlebih dahulu sebelum tergopoh gapah menandatangani kenyataan media yang dikeluarkan itu.

Ketika mengamati dan menganalisa kenyataan media penuh berjudul A JOINT APPEAL TO SUNNIS AND SHIAS yang ditandatangani secara bersama oleh Tun M dan Khatami, saya sudah dapat menghidu strategi licik puak Syiah. Seperti biasa isu penyatuan Sunni-Syiah yang sudah lapuk kembali didendangkan. Kononnya inilah satu-satunya jalan untuk mendamaikan kedua-dua belah pihak yang didakwa saling bertelagah.

A Joint Appeal to Sunnis and Shias

We, the undersigned, are greatly saddened by the violence and bloodshed which have characterised Sunni-Shia relations over time. Thousands have been killed in feuds between the two, mostly in certain Muslim countries. It is tragic that many innocent women and children have been among the victims.

Sunni-Shia animosity and antagonism have clearly weakened the Muslim ummah. It has made us more vulnerable to the manipulations and machinations of outside elements determined to subvert the unity and integrity of the ummah. It has allowed those who seek to establish their hegemonic power over us to succeed in their objectives.

It is indisputable that Sunni-Shia antagonism and conflicts which have resulted in massacres have tarnished the image and dignity of the ummah in the eyes of the world. Few other occurences in recent times have had such a negative impact.

We appeal to all Sunnis and Shias, bound as we are by the same faith in Allah, guided by the same Noble Quran, honouring the same last Messenger of Allah, and facing the same Kiblah, to desist from massacring and the killing one another immediately.

NO MORE VIOLENCE
NO MORE BLOODSHED
NO MORE KILLINGS

The two of us – a former Prime Minister from a Sunni majority state, and a former President from an overwhelmingly Shia nation – also address this appeal to the Organisation of Islamic Cooperation (OIC) which represents all Muslims of whatever sect or doctrine. The OIC could perhaps set up a task force that will examine the Sunni- Shia divide in depth and submit concrete proposals for the political and religious leaders of the ummah to act upon.

We also appeal to sincere, concerned individuals and civil society groups from all over the world to join in this endeavour to stop the violence and bloodshed and to promote peace and understanding between Sunnis and Shias.

This joint appeal will be widely circulated mainly through the online media. We shall follow up on this appeal with other activities and programmes.

May Allah Subhanahuwataala guide us in all our humble efforts to serve Him.

Terjemahan (yang dikeluarkan oleh web Syiah Iran bahasa Indon)

Kami yang menandatangani di bawah, amat sedih dengan keganasan dan pertumpahan darah yang telah disifatkan sebagai hubungan Sunni dan Syiah dari masa ke semasa. Beribu-ribu telah terbunuh dalam perbalahan antara kedua-duanya dalam beberapa negara-negara Islam. Sungguh tragik apabila ramai wanita dan kanak-kanak telah menjadi mangsa.

Perseteruan Sunni-Syiah dan pertentangan telah jelas melemahkan umat Islam. Ia telah menjadikan kita lebih terdedah kepada manipulasi dan elemen komplot asing yang berazam untuk menggulingkan perpaduan dan keutuhan ummah. Ia menyebabkan mereka yang berusaha untuk menubuhkah kuasa hegemoni ke atas kita telah berjaya dalam objektif mereka.

Tidak dapat dinafikan bahawa percanggahan dan konflik Sunni-Sunni telah menyebabkan pembunuhan beramai-ramai, yang telah mencalarkan imej dan maruah umat Islam di mata dunia. Beberapa kejadian kebelangan ini mempunyai impak negatif itu.

Kami merayu kepada semua Sunni dan Syiah, bersatupadu sebagaimana kita mempunyai iman yang sama kepada Allah, menelusuri pedoman dengan al-Quran yang sama, menghormati Rasul terakhir, sama-sama menghadap ke arah kiblat yang sama demi untuk berhenti dari pembunuhan besar-besaran dan saling memerangi antara satu sama lain.

Tiada lagi keganasan
Tiada lagi pertumpahan darah
Tiada lagi pembunuhan

Kedua-dua kami (Bekas Perdana Menteri dari negara majoriti Sunni, dan juga mantan Presiden negara majoriti Syiah) turut mengajukan rayuan ini kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang mewakili seluruh muslim walau apa jua mazhab dan doktrin. OIC mungkin boleh menubuhkan pasukan petugas untuk mengkaji perpecahan Sunni - Syiah secara mendalam dan mengemukakan cadangan konkrit untuk para pemimpin politik dan pemimpin agama umat Islam bagi tindakan ke atasnya.

Kami juga meminta dengan ikhlas, individu berkenaan dan kumpulan masyarakat awam dari seluruh dunia untuk menyertai kami dalam usaha ini demi menghentikan kegasanasan dan pertumpahan darah, di samping mempromosi keamanan dan persefahaman antara Sunni dan Syiah.

Rayuan bersama ini akan dikembangkan secara meluas terutama dalam media talian kami. Kami akan ikuti perkembangan susulan rayuan ini dengan aktiviti dan program yang lain.

Semoga Allah membimbing kita dalam semua usaha untuk berkhidmat kepada-Nya.

Berdasarkan kenyataan ini, tiga poin penting yang dicadangkan untuk menghentikan pembunuhan sesama Sunni dan Syiah adalah:

  • Sunni dan Syiah perlu bersatu kerana tuhan mereka sama, al-Qur’an mereka sama, Nabi mereka sama dan kiblat yang sama;
  • Menubuhkan pasukan petugas mengkaji perpecahan Sunni dan Syiah secara mendalam;
  • Mempromosikan keamanan dan persefahaman antara Sunni dan Syiah.


Saya dapati tiada langsung perkara baru yang dinyatakan dalam kenyataan media ini kecuali hanyalah ulangan terhadap slogan-slogan yang pernah dicanangkan sebelum ini. Namun, belum pun 24 jam kenyataan ini dikeluarkan, sekumpulan Syiah Malaysia yang menggelarkan diri mereka sebagai Assajjad Movement telah pun menolak mentah-mentah rayuan yang dilontarkan dengan alasan tiada keikhlasan dan menuntut sesuatu yang LEBIH DARIPADA ITU. Antaranya, mereka mengungkit perkara berikut:

1. Di Malaysia penganut ajaran Syiah sering diancam dengan penahanan tanpa bicara di bawah Internal Security Act. Sebagai contoh, Abdullah Hassan, salah seorang pengikut Syiah Imamiyyah ditahan tanpa bicara di bawah ISA (Internal Security Act) antara 2 Oktober 1997 sehingga 31 Disember 1999. Beliau membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada tahun 2001 di mana empat Pesuruhjaya Suhakam pada waktu itu; iaitu Harun Hashim, Zainah Anwar, Mehrun Siraj dan Hamdan Adnan menerima laporan beliau. Laporan Abdullah Hassan kepada Suhakam dilakukan berikutan Malaysia menahan enam lagi pengikut Syiah di bawah ISA antara 20 Oktober 2000 sehingga 5 Januari 2001. Zainah Anwar selaku Pesuruhjaya Suhakam berjanji untuk menghubungi Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perdana Menteri memandangkan penahanan ahli masyarakat atas alasan kepercayaan dan agama adalah, meminjam ungkapan Zainah, “clear violation of Article 11 of the Federal Constitution which guarantees freedom of religion”. Sejak tahun 2001 sehingga hujung 2012 tiada perkembangan sihat berlaku yang memihak kepada minoriti Syiah di Malaysia.
2. Pemomokan terhadap penganut Syiah berlaku secara meluas dan sedar, serta lebih menggusarkan dilakukan oleh pihak berwajib sendiri. Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu sebagai contoh mengarah masjid-masjid di Trengganu membaca khutbah Jumaat anti Syiah pada 23 September 2011. Hal yang sama terjadi di Selangor, sebagai rekod; khutbah Jumaat bertarikh 6 April 2012 menyeru umat Islam menghindari Syiah. Khutbah berjudul “Penyelewengan Syiah Di Malaysia” tersebut menyatakan, antara lain “Syiah menafikan dan menolak al-Quran yang ada di tangan kita pada hari ini”. Khutbah ini adalah satu bentuk pemomokan yang jahat, memandangkan dalam masa yang sama, harus diingat seramai sepuluh orang qari bermazhab Syiah dari Iran dan Iraq telah memenangi Musabaqah Tilawah al-Quran Antarabangsa anjuran Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia sejak tahun 1961. 
3. Pemomokan terhadap masyarakat Syiah bahkan didokongi media secara besar-besaran. Radio Televisyen Malaysia (RTM), media milik pemerintah pada 9 dan 16 Februari 2012, di stesen TV1 menyiarkan rancangan berjudul “Mazhab atau Agama” bertujuan memomokkan penganut Syiah. Juga, pada 4 Oktober 2012 saluran Bernama TV Saluran 502, dalam rancangan Hello Malaysia, media ini memburuk-burukkan fahaman dan penganut Syiah. Selain media elektronik, media cetak turut melakukan pemomokan seperti yang dapat dibaca di Utusan Malaysia bertarikh 17 Disember 2010 dengan judul “Markas Syiah Diserbu” atau Berita Harian bertarikh 28 April 2011 dengan judul “JAIS Pantau Syiah di Selangor”.
Di akhir tulisannya, kumpulan Syiah tersebut mengatakan dengan jelas kenyataan berikut:
Sekiranya Dr Mahathir benar-benar ikhlas dalam rayuan beliau ini, sebagai negarawan yang dikatakan berpengaruh beliau hendaklah menyarankan kepada kerajaan supaya menarik balik fatwa daripada Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada Mei 1996 yang memutuskan ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam dan penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada Ahli Sunnah Wal Jamah adalah dilarang di negara ini. Hanya dengan itulah keikhlasan beliau tidak dapat diragui lagi”.
Kesimpulannya, saya fikir kita tidak perlu menghabiskan masa untuk melakukan sesuatu yang sia-sia dan hanya menguntungkan puak Syiah. Apa yang patut dilakukan oleh Tun M atau sesiapa sahaja yg prihatin dan punya nama adalah menyatukan seluruh saf kepimpinan Ahli Sunnah Wal-Jemaah di dunia dalam mendepani Syiah. Saya tak fikir 211 juta penganut Syiah berani berhadapan dengan 1.4 bilion penganut Sunni yang bersatu. Bukan sahaja membunuh, menyentuh pun tidak! 

Read more >>

Jumaat, 22 Mac 2013

Menjawab pendustaan Syiah Melayu jadian

Klik sini untuk melihat video dusta Syiah
Seperti biasa Syiah dengan sifatnya yang gemar berbohong, mewarisi tabiat Abdullah bin Saba’ membuat tuduhan kononnya penulis tidak mengetahui bahawa Ahli Sunnah juga menganggap imamah termasuk dalam perkara usuluddin. Mereka membawa tiga hujah berdasarkan kitab karangan Imam al-Baidhawi berjudul Minhaj al-Wusul ila ‘Ilm al-Usul, syarahnya karangan Imam al-Subki berjudul al-Ibhaj dan sebuah kitab moden karangan Dr. Muhammad Abu al-Nur Zuhair berjudul Usul al-Fiqh.

Apabila meneliti ketiga-tiga kitab ini, penulis hanya tersenyum. Benarlah kata Imam al-Syafi’e, “Aku tidak pernah melihat seorang pun yang paling banyak bersaksi dusta daripada golongan (Syiah) Rafidhah”. (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra)

Dari Minhaj al-Wusul (hal. sblm dr hal. yg dipaparkan dlm youtube)
Pembohongan yang pertama, dalam paparan kitab Minhaj al-Wusul ila ‘Ilm al-Usul, Syiah memotong perbahasan sebelumnya hingga menyebabkan pembaca tidak dapat memahami konteks ayat tersebut. Sepatutnya Syiah membawa halaman sebelumnya. Ini kerana konteks ayat tersebut membincangkan berkenaan jenis-jenis perkhabaran yang dusta. Dalam jenis yang kedua, pengarang membawakan contoh, bagaimana golongan Syiah mendakwa terdapat nas yang menunjukkan keimaman Ali r.a dan ia tidak mutawatir sebagaimana juga iqamah, tasmiyah dan mukjizat Rasulullah SAW.

Lalu, dakwaan Syiah ini dijawab bahawa yang pertama dan kedua (iqamah dan tasmiyah) itu adalah perkara furu’, tiada kufur dan bid’ah dalam menyalahi kedua-duanya, berlainan dengan imamah (di sisi Syiah kerana ia termasuk dalam perkara usuluddin yang memerlukan nas yang mutawatir)

Ini menunjukkan imamah di sini dirujuk dalam konteks Syiah yang menganggapnya usuluddin bukan dalam konteks Sunni.

Dari al-Ibhaj, Imam al-Subki (hal. yg sebelum dr hal. yg dipaparkan diyoutube)
Dalam paparan yang kedua, ia memperincikan lagi paparan yang pertama, kerana kitab yang kedua adalah syarah Imam al-Subki ke atas kitab Imam al-Baidhawi yang sebelumnya. Juga di bawah tajuk yang sama dibawakan contoh dakwaan Syiah tentang keimaman Ali yang mana ianya termasuk dalam perkara usuluddin sedangkan tiada nas yang mutawatir mengenainya. Jadi, ungkapan imamah daripada usul itu bukanlah merujuk kepada tradisi Sunni tetapi merujuk kepada pegangan golongan Syiah itu sendiri.

Pembohongan yang ketiga ialah, dalam paparan kitab Usul al-Fiqh karangan Dr. Zuhair, Syiah memotong perbicangan yang awal sebaliknya hanya memaparkan separuh sahaja untuk menggambarkan kononnya ungkapan “imamah daripada usuluddin” itu adalah kalam daripada penulisnya sendiri iaitu Dr. Zuhair. Padahal apabila dibaca, jelaslah bahawa itu adalah kalam yang dinukilkan oleh Ahli Sunnah bagi menjawab dakwaan Syiah bahawa imamah termasuk dalam perkara usuluddin sedangkan tiada nukilan yang mutawatir dalam hal berkenaan.

Dari kitab Usul al-Fiqh, Dr. Zuhair
Sebagaimana 2 kitab yang sebelumnya, perbahasan dalam kitab ini juga membincangkan isu yang sama iaitu berkenaan perkhabaran yang dimaklumi pendustaannya. Dalam jenis yang kedua, penulis menyebut, ianya sebagai perkara yang dinukilkan menerusi khabar ahad walaupun terdapat sebab-sebab yang memerlukan ia datang secara mutawatir, sama ada kerana ia disandarkan kepada salah satu usul daripada usuluddin atau kerana ianya ganjil. Yang pertama, (merujuk kepada dakwaan ia usuluddin) seperti Syiah menukilkan nas yang menunjukkan keimaman Ali.

Ertinya, jika puak Syiah ingin mengatakan kebenaran imamah Ali, Syiah perlu mendatangkan khabar yang mutawatir dan tidak memadai dengan khabar ahad sahaja kerana ia termasuk dlm perkara usuluddin di sisi Syiah. Jika tidak ada, maka perkhabaran itu dianggap bohong.

Kesimpulannya, kitab yang dibawakan oleh Syiah ini adalah BACKFIRE kepada Syiah sendiri kerana hujjah yang dibawa oleh Syiah itu sebenarnya adalah satu contoh yang dibawakan oleh tuan pengarangnya untuk mengatakan bagaimana dakwaan imamah Ali yang dianggap sebagai usuluddin oleh Syiah itu adalah suatu pembohongan kerana ketiadaan perkhabaran yang mutawatir. Dengan kata lain, bagaimana perkara yang melibatkan soal usuluddin boleh disabitkan tanpa perkhabaran yang mutawatir seperti dakwaan Syiah terhadap imamah Ali?

Untuk makluman puak Syiah Melayu jadian juga, para ulama Ahli Sunnah telah ijma’ dan bersepakat bahawa soal imamah bukan termasuk dalam perkara prinsip aqidah (usuluddin atau usul al-i’tiqad) tetapi urusannya termasuk dalam perbahasan fiqhiyyat. Adapun prinsip-prinsip aqidah ASWJ adalah amat jelas iaitu enam rukun iman atau dibahagikan kpd 3 iaitu ilahiyyat, nubuwwat dan sam’iyyat. Wallahu a'lam.

Read more >>

Selasa, 19 Mac 2013

Muzakarah Sunni Syiah di Johor

Pada 13 Mac 2013 yang lalu, satu Muzakarah Sunni & Syiah berjaya diadakan di Johor Bahru anjuran Jabatan Mufti Johor. Muzakarah ini diadakan lantaran sikap biadab Syiah Melayu Jadian Johor yang sering mengirim sms @ e-mel berbau kutukan, kejian dan penghinaan terhadap para sahabat r.a.h serta disiplin Ahli Sunah Wal-Jemaah (ASWJ).Mereka juga dikatakan sering hadir ke dalam majlis-majlis anjuran Jabatan Mufti untuk mengganggu perjalanan majlis di samping mempromosikan fahaman sesat mereka.

Dalam muzakarah tersebut, Jabatan Mufti Johor diwakili oleh penulis dan Ustaz Ahmad Nasim bin Abdul Rauf manakala Syiah Johor diwakili oleh Hasan Askari,Najiyullah dan Malik Takim. Beberapa pemerhatian hasil daripada muzakarah tersebut adalah seperti berikut:

- Syiah Melayu Jadian didapati gementar untuk hadir ke muzakarah atas tajuk “Perbezaan Antara Sunni dan Syiah” sebaliknya memohon untuk ditukar kepada tajuk “Titik persefahaman antara Sunni dan Syiah”. Adalah tidak masuk akal selepas pelbagai tohmahan yang mereka lakukan terhadap para sahabat dan disiplin ASWJ, tiba-tiba apabila sampai ketika untuk bermuzakarah, mereka ingin menukar tajuk lain kononnya demi menjaga perpaduan. Lebih dikesalkan lagi, apabila sampai pada waktu yang dijanjikan mereka berdolak dalik kononnya tidak mempunyai wakil untuk hadir sedangkan majlis telah diatur sejak sekian lama dan mereka sendiri yang mencabar Jabatan Mufti untuk bermuzakarah. Namun setelah digertak oleh pihak Jabatan Mufti, mereka hadir kononnya atas dasar untuk mencari titik pertemuan.

- Syiah terus menerus menampakkan sikap taqiyyah dan munafiq mereka. Sebelum diajak bermuzakarah, mereka menghentam ASWJ, menyebarkan buku-buku Khair Izzah yang jelas menyesatkan ASWJ dan para sahabat, menarik penganut Sunni masuk Syiah dan sebagainya, tetapi apabila berdepan segala-galanya berubah watak, kononnya ingin mencari titik pertemuan, memelihara perpaduan umat Islam dll. Lihatlah betapa munafiqnya golongan ini.

- Seperti biasa, Syiah mengeksploitasi Amman Message 2005 dengan anggapan deklarasi tersebut menyebelahi mereka padahal ianya tidak. Buktinya tiada kalimah “Syiah Rafidhah” dalam deklarasi tersebut sedangkan Syiah Imam 12 adalah termasuk dalam golongan Rafidhah kerana pendirian mereka yang jelas menolak bahkan mengkafirkan Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar. Tiada seorang pun kalangan ASWJ yang boleh menerima golongan Rafidhah, kerana itu Syeikh al-Azhar yang mewakili ASWJ dalam deklarasi tersebut telah menyatakan bahawa kita menerima seseorang itu sebagai muslim selagimana ia menghormati para sahabat Rasulullah SAW. Bukankah Syiah sendiri tahu sama ada mereka menghormati sahabat atau tidak? Rafidhah atau tidak?

- Syiah Melayu jadian terlalu dangkal apabila mengatakan kami ingin bersatu dengan ASWJ, tapi dalam masa yang sama mempertikaikan aqidah golongan ASWJ. Antara hujah separuh masak Syiah adalah mendakwa ASWJ hanya wujud selepas kewujudan Imam Abu Hasan al-Asy’ari dan Asya’irah, lalu dipersoalkan apakah aqidah umat Islam sebelum Asya’irah termasuklah aqidahnya Imam Syafie sendiri dan imam-imam yang lain. Inilah kemuncak kebodohan Syiah Melayu jadian dalam memahami ASWJ. Hakikatnya, Syiah ingin mendakwa kononnya aqidah mereka lebih awal daripada kemunculan aqidah ASWJ, padahal Syiah terlupa aqidah ASWJ itu tidak lain hanyalah aqidah Nabi SAW sendiri dan diteruskan oleh para sahabat. Asya’irah, Maturidiyyah dan Athariyyah itu hanyalah madrasah-madrasah yang datang selepasnya bagi menyusun disiplin ilmu ASWJ dalam bentuk peristilahan dan struktur pemikiran.

- Secara caca merba, Syiah terus membawakan riwayat-riwayat yang didakwa milik Sunni untuk mengesahkan dakwaan mereka termasuk merujuk kitab Yanabi’ al-Mawaddah dan al-Imamah wa al-Siyasah, sedangkan kedua-duanya bukan kitab Sunni tetapi didustakan atas nama ulama ASWJ. Syiah juga membawakan hadith-hadith Sunni untuk membenarkan dakwaan mereka terhadap kemunafiqan, kefasiqan bahkan kemurtadan para sahabat padahal mereka sendiri gagal merujuk kepada syarah Sunni terhadap hadith-hadith tersebut dan dangkal dalam memahami perbahasan ilmu al-jarh wa al-ta’dil, mukhatalaf al-hadith dan musykil al-hadith. Semua ini menyebabkan kaedah berhujah Syiah hanya berasaskan “hujah tangkap muat” semata-mata. Ada juga hujah yang direka oleh mereka sendiri dan mereka sendiri yang menjawabnya sedangkan ASWJ tiada kena mengena dengannya!

- Berlaku percanggahan yang jelas antara sesama Syiah sama ada imamah termasuk dalam persoalan usuluddin atau usululmazhab. Ketika berdialog dengan Syiah pada 2011, jurucakap Syiah Melayu Jadian, Kamilzuhairi mengatakan dengan jelas imamah termasuk dalam bab usuluddin, namun dalam dialog pada kali ini, Hasan Askari mendakwa imamah adalah usululmazhab. Padahal ulama Syiah spt Saduq, Tusi, Bahrani, Mufid, Tustari dll mengatakan imamah termasuk dalam bab usuluddin, akibatya jadilah penganut Sunni yang menolak imamah, sebagai kafir yang tidak kafir @ murtad yang tidak murtad.

- Akhirnya, setelah penganut Syiah gagal mempertahankan aqidah anutan mereka, jalan keluar paling mudah adalah dengan menuduh panel yang mewakili Sunni sebagai golongan Wahabi yang tidak bermazhab. Penulis dan sahabat penulis dituduh sebagai penganut Wahabi padahal isu yang dibangkitkan oleh mereka tiada kena mengena dengan Wahabi. Adakah mereka beranggapan Ahli Sunnah yang beraqidah Asya’irah dan berfiqih Syafi’iyyah akan membiarkan sahaja puak Syiah sewenang-wenangnya mencaci maki para sahabat Nabi r.a.h dan meredhai aqidah sesat mereka?

- Inilah bukti kedangkalan dan kecetakan pengetahuan puak-puak Syiah Melayu Jadian dalam menilai ASWJ. Hakikatnya tiada satu pun madrasah yang wujud dalam kelompok ASWJ sama ada Asya’irah, Maturidiyyah mahupun Salafiyyah yang boleh bersekongkol dengan ajaran sesat Syiah Rafidhah. Jelas, dengan sumber hukum yang jauh berbeza, Syiah Rafidhah bukanlah sebuah mazhab, sebaliknya adalah sebuah kumpulan bid’ah yang sesat lagi menyesatkan.   

Read more >>

Isnin, 18 Februari 2013

Buang perangai takut hantu!

Seram tengok gambar ini? Bermakna anda salah seorang yang takutkan hantu
Soalan:

Adakah hantu itu wujud? Benarkah dakwaan sesetengah orang bahawa hantu berasal daripada roh seseorang yang tidak tenteram maka ia akan bangkit dari kuburnya untuk mengganggu kehidupan manusia yang masih hidup.

Jawapan: 

Hantu dalam masyarakat Melayu seringkali digambarkan sebagai makhluk ghaib yang menjelma dengan rupa yang menakutkan. Sesetengah orang Melayu mengatakan bahawa hantu itu berasal daripada roh orang mati yang tidak tenteram disebabkan sesuatu hajat yang belum selesai seperti untuk membalas dendam ke atas orang yang masih hidup. Antara jenis hantu yang sering dikaitkan dengan orang yang meninggal dunia adalah hantu pontianak, hantu kubur, hantu pocong, hantu langsuir dan lain-lain. Ada sesetengah orang Melayu menggunakan istilah 'roh kembali' terhadap beberapa fenomena mistik yang berlaku dalam masyarakat sehingga ada sesetengah pembikin drama dan filem pula menjadikannya sebagai modal untuk menjual filem dan drama mereka.

Dalam Islam, hantu seperti mana yang dipercayai oleh masyarakat Melayu itu sama sekali tidak wujud. Sebaliknya, daripada perkhabaran al-Qur'an dan al-Sunnah didapati apa yang diperkatakan oleh masyarakat Melayu itu tiada kena mengena langsung dengan roh orang mati sebaliknya ia adalah Iblis, jin dan syaitan. Malah, mempercayai kewujudan Iblis, jin dan syaitan termasuk dalam rukun Iman yang wajib diimani. Ini kerana kewujudan Iblis, jin dan syaitan disebut secara jelas di dalam al-Qur'an dan al-Sunnah walaupun manusia tidak dapat melihatnya. Ini bermakna mempercayai kewujudan kedua-duanya termasuk dalam beriman kepada Allah, Kitab dan Rasul. Firman Allah SWT dalam surah al-Zariyat ayat 56: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku”.

Begitu juga firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 50 yang menjelaskan tentang asal usul syaitan dan Iblis: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripada-Ku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu, amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim; pengganti yang mereka pilih itu”.

Manakala firman Allah SWT dalam surah al-A‘raf ayat 27 pula menjelaskan tentang sifat jin dan syaitan itu yang ghaib dan tidak boleh dilihat oleh manusia. Firman Allah SWT: “Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka, aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman”.

Bagaimana Iblis, jin dan syaitan menyerupakan diri?

Walaupun, pada hakikatnya Iblis, jin dan syaitan tidak boleh dilihat, tetapi dengan kelebihan tertentu, Iblis, jin dan syaitan boleh menyerupakan diri dengan rupa tertentu termasuk bagi tujuan menakut-nakutkan manusia

Al-Qadhi Abu Ya’la Muhammad bin al-Husain bin al-Farraa’ berkata: “Tidak ada kemampuan bagi syaitan untuk mengubah penciptaan mereka dan berubah bentuk. Namun Allah boleh sahaja mengajarkan kepada mereka beberapa kalimat dan perbuatan di mana jika ia mengucapkan kalimat tersebut atau melakukan perbuatan-perbuatan tersebut Allah SWT akan mengubahnya daripada satu bentuk ke bentuk yang lain. Dikatakan: Syaitan mampu untuk mengubah bentuk dan membuat khayalan dengan maksud bahawa ia mampu untuk satu perkataan yang jika ia mengatakannya atau melakukannya maka Allah akan mengubahnya daripada satu bentuk ke bentuk yang lain sesuai dengan kebiasaan yang berlaku. Adapun jika ia mengubah dirinya sendiri, maka hal itu mustahil, kerana berubah dirinya daripada satu bentuk ke bentuk yang lain akan menguraikan struktur dan merombak bahagian-bahagiannya. Apabila hal itu terjadi, maka musnahlah kehidupan”. Aakaam al-Marjaan, hal. 19.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah: “Sesungguhnya hantu pernah mereka sebutkan di sisi Umar al-Khattab. Maka beliau berkata: Bahawasanya tidak ada yang mampu untuk merubah bentuk aslinya sebagaimana diciptakan Allah SWT mula-mula. Namun mereka mempunyai tukang sihir sebagaimana tukang sihir yang ada di antara kalian. Apabila kalian melihat hal itu, maka ucapkanlah azan pada mereka”. Al-Hafiz Ibn Hajar berkata : “Isnadnya sahih”. Fath al-Bari (6/344).

Adakah hantu boleh memudaratkan manusia?

Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, hantu itu hanyalah penyerupaan yang dilakukan oleh Iblis, jin dan syaitan. Sebagaimana Rasulullah SAW pernah ditanya tentang hantu, maka baginda bersabda: “Mereka adalah tukang sihir daripada kalangan jin”. Sanad riwayat ini adalah sangat lemah (da’if jiddan). Namun begitu, hal ini tidaklah menafikan apa yang diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahih-nya dari Jabir: Bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda: “Tidak ada wabak penyakit, kesialan, dan hantu”.  Diriwayatkan oleh Muslim (14/217 dengan Syarh al-Nawawi).

Apabila Rasulullah SAW menafikan wabak penyakit, kesialan dan hantu, ia bukanlah bermakna Rasulullah SAW menafikan kewujudannya, tetapi Rasulullah SAW ingin menafikan anggapan atau kepercayaan yang meletakkan pemberi manfaat dan mudarat kepada selain Allah SWT. Ia seperti kepercayaan masyarakat Arab yang mengatakan bahawa hantu boleh menyesatkan manusia yang sedang bermusafir di padang pasir. Ia sama dengan kepercayaan sesetengah masyarakat Melayu bahawa hantu mampu memudaratkan mereka.

Imam al-Nawawi rahimahullah berkata: “Jumhur ulama berkata bahawa orang-orang Arab meyakini hantu berada di padang-padang pasir. Ia merupakan salah satu jenis syaitan yang menampakkan diri kepada manusia untuk menakut-nakutkan manusia dengan mewarnai diri mereka dengan aneka macam warna, sehingga mereka menyesatkan dan mencelakakan. Oleh kerana itu, Nabi SAW membatalkan anggapan atau kepercayaan mereka tersebut. Manakala yang lain pula berkata, maksud hadith tersebut bukan untuk menafikan kewujudan hantu, kerana makna membatalkan hanyalah pada anggapan atau keyakinan orang-orang Arab tentang berubahnya rupa hantu pada bentuk yang lain lalu membunuh mereka. Mereka berkata, sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada hantu” (laa ghuula), iaitu tidak dapat menyesatkan seseorang. Hal itu dikuatkan oleh hadith yang lain: “Tidak ada hantu, namun ia adalah al-sa’aali (tukang-tukang sihir di kalangan jin)”. Para ulama berkata: al-Sa’aali adalah tukang sihir daripada kalangan jin, iaitu kalangan jin mempunyai tukang sihir yang dapat mengelabui mata dan membuat khayalan atau halusinasi”. Sahih Muslim (14/214) dengan Syarh al-Nawawi.

Ini menunjukkan Iblis, jin dan syaitan yang menjadi hantu itu tidak sekali-kali mempunyai kuasa untuk memudaratkan manusia. Sesungguhnya manfaat dan mudarat adalah hak mutlak yang datang daripada Allah SWT. Kerana itulah Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita al-mu’awwizat yang berupa ayat-ayat al-Qur’an seperti surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas yang mampu untuk memelihara diri kita daripada gangguan jin dan syaitan.

Perlukah takut kepada hantu?

Seperkara yang perlu diketahui, lebih-lebih lagi sebagai seorang yang beriman kepada Allah SWT, pada hakikatnya Iblis, jin dan syaitan sangat takut kepada manusia. Kerana itu, adalah sesuatu yang menghairankan jika manusia pula yang takut kepada jin atas dasar takut kepada hantu.

Diriwayatkan oleh Ibn Abi al-Dunya dari Mujahid, beliau berkata: “Ketika aku melakukan salat pada suatu malam, tiba-tiba berdirilah makhluk seperti kanak-kanak di hadapanku. Lalu aku mengejar untuk menangkapnya. Ia pun berdiri dan melompat ke balik dinding hingga aku mendengar bunyi jatuhnya. Ia tidak kembali lagi setelah kejadian itu”. Aakam al-Marjan, hal. 137.

Mujahid berkata: “Sesungguhnya mereka (jin) takut kepada kalian sebagaimana kalian pun takut kepada mereka”. Dan diriwayatkan juga dari Mujahid, beliau berkata: “Syaitan itu lebih takut daripada salah seorang di antara kalian. Apabila ia menampakkan diri kepada kalian, maka janganlah kalian takut sehingga akan menguasai kalian. Akan tetapi bersikap beranilah kalian kepadanya, nescaya ia akan pergi”. Aakam al-Marjan, hal. 137.

Al-Hafiz Abu Bakr Muhammad bin Muhammad bin Sulaiman al-Baghandi berkata: Telah menceritakan kepada kami Ahmad bin Bakkar bin Abi Maimunah: Telah menceritakan kepada kami Ghiyath, dari Husain, dari Mujahid, beliau berkata: “Syaitan senantiasa menampakkan diri kepadaku saat aku berdiri melaksanakan salat dalam bentuk atau rupa Ibnu ‘Abbas. Lalu aku teringat perkataan Ibnu ‘Abbas sehingga selalu mempersiapkan pisau di sisiku. Satu saat, ia (syaitan) kembali menampakkan diri kepadaku, lalu aku serang dan aku tusuk ia sehingga mengenainya. Ia pun jatuh tersungkur. Setelah itu, aku tidak pernah melihatnya lagi”. Aakaam al-Marjaan, hal. 166.

Menerusi riwayat-riwayat ini, dapat difahami bagaimana golongan salafussoleh tidak pernah menjadikan ‘hantu’ sebagai sesuatu yang ditakuti. Malah Iblis, jin dan syaitan hanyalah makhluk ciptaan Allah SWT yang tidak mempunyai apa-apa kuasa dan kelebihan jika dibandingkan dengan iman dan taqwa yang menjadi pakaian mukmin.    

Kesimpulannya, sebagai seorang muslim, kita dituntut untuk beriman kepada perkara ghaib. Oleh itu, percaya dengan kewujudan Iblis, jin dan syaitan termasuk dalam keimanan terhadap perkara yang ghaib. Walau bagaimanapun, kita tidak dibenarkan berlebih-lebihan untuk mengkaji, merekayasa atau menokoktambah perkara-perkara ghaib sehingga membawa kepada syirik, khurafat dan tahyul. Memadailah bagi kita apa yang dikhabarkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Wallahu a’lam.  

(Artikel ini telah diterbitkan dalam Majalah al-Ustaz, Telaga Biru)  

Read more >>

Ahad, 17 Februari 2013

Adakah qada' dan qadar memaksa perbuatan kita?


Soalan

Saya sering keliru dengan masalah qada' dan qadar. Apa yang sering bermain di fikiran saya adalah mengapa Allah SWT memerintahkan kita untuk melakukan suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya sedang dalam masa yang sama takdir seseorang telah ditentukan sama ada ke syurga mahupun ke neraka. Misalnya , apa lagi perlunya seseorang itu beramal ibadat kerana bukankah jika dia telah ditentukan Allah sebagai ahli neraka, maka dia tetap akan masuk ke neraka. Mohon ustaz berikan pencerahan.

Jawapan

Persoalan seumpama ini sering timbul disebabkan oleh kejahilan dalam memahami maksud sebenar qada' dan qadar. Seorang muslim yang berilmu pasti tidak akan mudah terpedaya dengan keraguan-keraguan yang sengaja dibangkitkan untuk meruntuhkan keimanannya. Dalam menjawab persoalan ini terdapat dua perkara yang perlu difahami.

Terlebih dahulu setiap muslim perlu memahami apa erti kita beriman dengan qada' dan qadar. Menurut para ulama aqidah beriman dengan qada' dan qadar atau taqdir bermaksud, beriktikad bahawa Allah SWT Maha Mengetahui dengan terperinci berkenaan segala kejadian-Nya sejak azali dan apa yang berkaitan dengannya pada masa akan datang. Seperti Allah SWT Maha Mengetahui bahawa seseorang itu akan mengambil sebab-sebab dan ikhtiar tertentu, lalu dia akan dinilai oleh Allah atas apa yang diusahakannya tersebut. Beriman dengan qada' dan qadar juga bermaksud membenarkan bahawa segala sesuatu terjadi dan berlaku dengan kehendak (iradah) Allah SWT dan bertepatan dengan ilmu Allah SWT yang azali atau bersifat qadim. Ia sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah Yasiin ayat 12:
  
"Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catitkan satu persatu dalam kitab (ibu suratan) yang jelas nyata".

Berdasarkan keterangan ini, dapat difahami bahawa keimanan terhadap qada' dan qadar tidak mempunyai unsur-unsur al-jabr iaitu seseorang dipaksa dalam melakukan sesuatu atau hilangnya kuasa memilih atau berikhtiar. Ini kerana ilmu Allah SWT hanya bersifat menyingkap apa yang akan berlaku dan bukan memaksa supaya sesuatu itu berlaku. Dalam hal ini, tuan guru penulis iaitu Prof. Dr. Qahtan al-Duri sering mengemukakan contoh mudah dengan membuat analogi bahawa ilmu Allah SWT itu adalah seumpama ilmu seorang guru yang amat mengenali setiap anak muridnya, siapa di antara mereka yang akan berjaya dan siapa yang akan gagal berdasarkan pengalaman dan pemerhatiannya. Namun, ilmu si guru terhadap setiap muridnya itu tidaklah menyebabkan mereka berjaya atau gagal, kerana berjaya atau gagalnya mereka itu adalah disebabkan usaha mereka sendiri.

Imam al-Nawawi menukilkan daripada Imam al-Khattabi bagaimana ramai di kalangan orang yang menyangka bahawa qada' dan qadar itu adalah paksaan dan tekanan Allah SWT ke atas hamba-Nya terhadap segala apa yang telah ditakdirkan sedangkan ia tidak seperti yang disangka oleh mereka. Ini kerana maksud (taqdir) itu ialah perkhabaran Allah SWT berkenaan ilmu-Nya yang mendahului tentang segala yang dilakukan oleh hamba-Nya dan ianya terbit dari taqdir-Nya sama ada yang baik atau yang buruk. (Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, j.1, hal. 155)

Seorang sahabat bernama Abdullah bin Umar ditanya tentang orang yang melakukan perbuatan buruk, mereka menjawab ianya dalam ilmu Allah, lalu beliau menjadi marah sambil mengatakan, "Demikian itu dalam ilmu Allah tetapi bukan ilmu Allah yang menyebabkan mereka melakukan perbuatan buruk itu". (Risalah fi al-Tawhid li al-Ta'I, hal. 124)

Maka Allah SWT mengetahui berdasarkan ilmu-Nya yang azali bahawa hamba-Nya akan memilih jalan-jalan yang pelbagai lalu Dia  mempermudahkan pilihan mereka dan memperkenalkannya. Sebagai contoh, apabila seseorang ingin mengangkat segelas air untuk disuakan ke mulutnya, perbuatan mengangkat gelas itu datang dari pilihan atau usahanya sendiri, manakala kuasa untuk mengangkat datang daripada sifat qudrat Allah SWT. Ini bermakna kuasa untuk memilih tetap berada pada tangan seseorang hamba-Nya sama ada mahu memilih perbuatan baik atau jahat, taat atau maksiat, dosa atau pahala dan syurga atau neraka. Kesimpulannya, beriman terhadap qada' dan qadar atau taqdir Allah SWT tidak menafikan kewajipan kita berusaha dan berikhtiar melakukan yang terbaik dalam kehidupan ini. Sikap gemar melepaskan diri dengan cara menyerahkan segala yang berlaku sebagai suratan taqdir tanpa didahului dengan usaha adalah menyalahi seruan Islam supaya kita sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk melakukan yang terbaik dalam kehidupan ini.

Antaranya firman Allah SWT dalam surah al-Mulk ayat 15 supaya kita berusaha mencari rezeki dan tidak malas serta bertawakal atau berserah  semata-mata. Begitu juga dengan gesaan Allah SWT supaya kita tidak menjerumuskan diri ke lembah kebinasaan dalam surah al-Baqarah ayat 195. Juga perintah Allah SWT supaya kita berjihad pada jalan-Nya dengan segala macam jalan yang ada dan termampu. Wallahu a'lam.

(Artikel ini telah diterbitkan dalam Majalah al-Ustaz, Telaga Biru)
Read more >>