Pada 13 Mac 2013 yang lalu, satu Muzakarah Sunni &
Syiah berjaya diadakan di Johor Bahru anjuran Jabatan Mufti Johor. Muzakarah
ini diadakan lantaran sikap biadab Syiah Melayu Jadian Johor yang sering
mengirim sms @ e-mel berbau kutukan, kejian dan penghinaan terhadap para
sahabat r.a.h serta disiplin Ahli Sunah Wal-Jemaah (ASWJ).Mereka juga dikatakan
sering hadir ke dalam majlis-majlis anjuran Jabatan Mufti untuk mengganggu
perjalanan majlis di samping mempromosikan fahaman sesat mereka.
Dalam muzakarah tersebut, Jabatan Mufti Johor diwakili
oleh penulis dan Ustaz Ahmad Nasim bin Abdul Rauf manakala Syiah Johor diwakili
oleh Hasan Askari,Najiyullah dan Malik Takim. Beberapa pemerhatian hasil
daripada muzakarah tersebut adalah seperti berikut:
- Syiah Melayu Jadian didapati gementar untuk hadir ke
muzakarah atas tajuk “Perbezaan Antara Sunni dan Syiah” sebaliknya memohon
untuk ditukar kepada tajuk “Titik persefahaman antara Sunni dan Syiah”. Adalah
tidak masuk akal selepas pelbagai tohmahan yang mereka lakukan terhadap para
sahabat dan disiplin ASWJ, tiba-tiba apabila sampai ketika untuk bermuzakarah,
mereka ingin menukar tajuk lain kononnya demi menjaga perpaduan. Lebih
dikesalkan lagi, apabila sampai pada waktu yang dijanjikan mereka berdolak
dalik kononnya tidak mempunyai wakil untuk hadir sedangkan majlis telah diatur
sejak sekian lama dan mereka sendiri yang mencabar Jabatan Mufti untuk
bermuzakarah. Namun setelah digertak oleh pihak Jabatan Mufti, mereka hadir
kononnya atas dasar untuk mencari titik pertemuan.
- Syiah terus menerus menampakkan sikap taqiyyah dan
munafiq mereka. Sebelum diajak bermuzakarah, mereka menghentam ASWJ,
menyebarkan buku-buku Khair Izzah yang jelas menyesatkan ASWJ dan para sahabat,
menarik penganut Sunni masuk Syiah dan sebagainya, tetapi apabila berdepan
segala-galanya berubah watak, kononnya ingin mencari titik pertemuan,
memelihara perpaduan umat Islam dll. Lihatlah betapa munafiqnya golongan ini.
- Seperti biasa, Syiah mengeksploitasi Amman Message
2005 dengan anggapan deklarasi tersebut menyebelahi mereka padahal ianya tidak.
Buktinya tiada kalimah “Syiah Rafidhah” dalam deklarasi tersebut sedangkan
Syiah Imam 12 adalah termasuk dalam golongan Rafidhah kerana pendirian mereka
yang jelas menolak bahkan mengkafirkan Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar.
Tiada seorang pun kalangan ASWJ yang boleh menerima golongan Rafidhah, kerana
itu Syeikh al-Azhar yang mewakili ASWJ dalam deklarasi tersebut telah
menyatakan bahawa kita menerima seseorang itu sebagai muslim selagimana ia
menghormati para sahabat Rasulullah SAW. Bukankah Syiah sendiri tahu sama ada mereka
menghormati sahabat atau tidak? Rafidhah atau tidak?
- Syiah Melayu jadian terlalu dangkal apabila mengatakan
kami ingin bersatu dengan ASWJ, tapi dalam masa yang sama mempertikaikan aqidah
golongan ASWJ. Antara hujah separuh masak Syiah adalah mendakwa ASWJ hanya
wujud selepas kewujudan Imam Abu Hasan al-Asy’ari dan Asya’irah, lalu
dipersoalkan apakah aqidah umat Islam sebelum Asya’irah termasuklah aqidahnya
Imam Syafie sendiri dan imam-imam yang lain. Inilah kemuncak kebodohan Syiah
Melayu jadian dalam memahami ASWJ. Hakikatnya, Syiah ingin mendakwa kononnya
aqidah mereka lebih awal daripada kemunculan aqidah ASWJ, padahal Syiah terlupa
aqidah ASWJ itu tidak lain hanyalah aqidah Nabi SAW sendiri dan diteruskan oleh
para sahabat. Asya’irah, Maturidiyyah dan Athariyyah itu hanyalah
madrasah-madrasah yang datang selepasnya bagi menyusun disiplin ilmu ASWJ dalam
bentuk peristilahan dan struktur pemikiran.
- Secara caca merba, Syiah terus membawakan
riwayat-riwayat yang didakwa milik Sunni untuk mengesahkan dakwaan mereka
termasuk merujuk kitab Yanabi’ al-Mawaddah dan al-Imamah wa al-Siyasah,
sedangkan kedua-duanya bukan kitab Sunni tetapi didustakan atas nama ulama
ASWJ. Syiah juga membawakan hadith-hadith Sunni untuk membenarkan dakwaan
mereka terhadap kemunafiqan, kefasiqan bahkan kemurtadan para sahabat padahal
mereka sendiri gagal merujuk kepada syarah Sunni terhadap hadith-hadith
tersebut dan dangkal dalam memahami perbahasan ilmu al-jarh wa al-ta’dil,
mukhatalaf al-hadith dan musykil al-hadith. Semua ini menyebabkan kaedah
berhujah Syiah hanya berasaskan “hujah tangkap muat” semata-mata. Ada juga
hujah yang direka oleh mereka sendiri dan mereka sendiri yang menjawabnya sedangkan
ASWJ tiada kena mengena dengannya!
- Berlaku percanggahan yang
jelas antara sesama Syiah sama ada imamah termasuk dalam persoalan usuluddin
atau usululmazhab. Ketika berdialog dengan Syiah pada 2011, jurucakap Syiah
Melayu Jadian, Kamilzuhairi mengatakan dengan jelas imamah termasuk dalam bab
usuluddin, namun dalam dialog pada kali ini, Hasan Askari mendakwa imamah
adalah usululmazhab. Padahal ulama Syiah spt Saduq, Tusi, Bahrani, Mufid, Tustari
dll mengatakan imamah termasuk dalam bab usuluddin, akibatya jadilah penganut
Sunni yang menolak imamah, sebagai kafir yang tidak kafir @ murtad yang tidak
murtad.
- Akhirnya, setelah penganut
Syiah gagal mempertahankan aqidah anutan mereka, jalan keluar paling mudah
adalah dengan menuduh panel yang mewakili Sunni sebagai golongan Wahabi yang
tidak bermazhab. Penulis dan sahabat penulis dituduh sebagai penganut Wahabi
padahal isu yang dibangkitkan oleh mereka tiada kena mengena dengan Wahabi.
Adakah mereka beranggapan Ahli Sunnah yang beraqidah Asya’irah dan berfiqih
Syafi’iyyah akan membiarkan sahaja puak Syiah sewenang-wenangnya mencaci maki
para sahabat Nabi r.a.h dan meredhai aqidah sesat mereka?
- Inilah bukti kedangkalan dan
kecetakan pengetahuan puak-puak Syiah Melayu Jadian dalam menilai ASWJ. Hakikatnya
tiada satu pun madrasah yang wujud dalam kelompok ASWJ sama ada Asya’irah,
Maturidiyyah mahupun Salafiyyah yang boleh bersekongkol dengan ajaran sesat
Syiah Rafidhah. Jelas, dengan sumber hukum yang jauh berbeza, Syiah Rafidhah
bukanlah sebuah mazhab, sebaliknya adalah sebuah kumpulan bid’ah yang sesat
lagi menyesatkan.