Soalan
Saya sering keliru dengan masalah qada' dan qadar. Apa yang sering
bermain di fikiran saya adalah mengapa Allah SWT memerintahkan kita untuk
melakukan suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya sedang dalam masa yang
sama takdir seseorang telah ditentukan sama ada ke syurga mahupun ke neraka.
Misalnya , apa lagi perlunya seseorang itu beramal ibadat kerana bukankah jika
dia telah ditentukan Allah sebagai ahli neraka, maka dia tetap akan masuk ke
neraka. Mohon ustaz berikan pencerahan.
Jawapan
Persoalan seumpama ini sering timbul disebabkan oleh kejahilan dalam
memahami maksud sebenar qada' dan qadar. Seorang muslim yang berilmu pasti
tidak akan mudah terpedaya dengan keraguan-keraguan yang sengaja dibangkitkan
untuk meruntuhkan keimanannya. Dalam menjawab persoalan ini terdapat dua
perkara yang perlu difahami.
Terlebih dahulu setiap muslim perlu memahami apa erti kita beriman
dengan qada' dan qadar. Menurut para ulama aqidah beriman dengan qada' dan
qadar atau taqdir bermaksud, beriktikad bahawa Allah SWT Maha Mengetahui dengan
terperinci berkenaan segala kejadian-Nya sejak azali dan apa yang berkaitan
dengannya pada masa akan datang. Seperti Allah SWT Maha Mengetahui bahawa
seseorang itu akan mengambil sebab-sebab dan ikhtiar tertentu, lalu dia akan
dinilai oleh Allah atas apa yang diusahakannya tersebut. Beriman dengan qada'
dan qadar juga bermaksud membenarkan bahawa segala sesuatu terjadi dan berlaku
dengan kehendak (iradah) Allah SWT dan bertepatan dengan ilmu Allah SWT
yang azali atau bersifat qadim. Ia sebagaimana yang dijelaskan
oleh Allah SWT dalam surah Yasiin ayat 12:
"Sesungguhnya Kami
menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah
kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. dan
(ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catitkan satu persatu dalam kitab (ibu
suratan) yang jelas nyata".
Berdasarkan keterangan ini, dapat difahami bahawa keimanan terhadap
qada' dan qadar tidak mempunyai unsur-unsur al-jabr iaitu seseorang
dipaksa dalam melakukan sesuatu atau hilangnya kuasa memilih atau berikhtiar.
Ini kerana ilmu Allah SWT hanya bersifat menyingkap apa yang akan berlaku dan
bukan memaksa supaya sesuatu itu berlaku. Dalam hal ini, tuan guru penulis iaitu
Prof. Dr. Qahtan al-Duri sering mengemukakan contoh mudah dengan membuat
analogi bahawa ilmu Allah SWT itu adalah seumpama ilmu seorang guru yang amat
mengenali setiap anak muridnya, siapa di antara mereka yang akan berjaya dan
siapa yang akan gagal berdasarkan pengalaman dan pemerhatiannya. Namun, ilmu si
guru terhadap setiap muridnya itu tidaklah menyebabkan mereka berjaya atau
gagal, kerana berjaya atau gagalnya mereka itu adalah disebabkan usaha mereka
sendiri.
Imam al-Nawawi menukilkan daripada Imam al-Khattabi bagaimana ramai di
kalangan orang yang menyangka bahawa qada' dan qadar itu adalah paksaan dan
tekanan Allah SWT ke atas hamba-Nya terhadap segala apa yang telah ditakdirkan
sedangkan ia tidak seperti yang disangka oleh mereka. Ini kerana maksud
(taqdir) itu ialah perkhabaran Allah SWT berkenaan ilmu-Nya yang mendahului
tentang segala yang dilakukan oleh hamba-Nya dan ianya terbit dari taqdir-Nya
sama ada yang baik atau yang buruk. (Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, j.1,
hal. 155)
Seorang sahabat bernama Abdullah bin Umar ditanya tentang orang yang
melakukan perbuatan buruk, mereka menjawab ianya dalam ilmu Allah, lalu beliau
menjadi marah sambil mengatakan, "Demikian itu dalam ilmu Allah tetapi
bukan ilmu Allah yang menyebabkan mereka melakukan perbuatan buruk itu".
(Risalah fi al-Tawhid li al-Ta'I, hal. 124)
Maka Allah SWT mengetahui berdasarkan ilmu-Nya yang azali
bahawa hamba-Nya akan memilih jalan-jalan yang pelbagai lalu Dia mempermudahkan pilihan mereka dan
memperkenalkannya. Sebagai contoh, apabila seseorang ingin mengangkat segelas
air untuk disuakan ke mulutnya, perbuatan mengangkat gelas itu datang dari
pilihan atau usahanya sendiri, manakala kuasa untuk mengangkat datang daripada
sifat qudrat Allah SWT. Ini bermakna kuasa untuk memilih tetap berada
pada tangan seseorang hamba-Nya sama ada mahu memilih perbuatan baik atau
jahat, taat atau maksiat, dosa atau pahala dan syurga atau neraka.
Kesimpulannya, beriman terhadap qada' dan qadar atau taqdir Allah SWT tidak
menafikan kewajipan kita berusaha dan berikhtiar melakukan yang terbaik dalam
kehidupan ini. Sikap gemar melepaskan diri dengan cara menyerahkan segala yang
berlaku sebagai suratan taqdir tanpa didahului dengan usaha adalah menyalahi
seruan Islam supaya kita sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk melakukan yang
terbaik dalam kehidupan ini.
Antaranya firman Allah SWT dalam surah al-Mulk ayat 15 supaya kita
berusaha mencari rezeki dan tidak malas serta bertawakal atau berserah semata-mata. Begitu juga dengan gesaan Allah
SWT supaya kita tidak menjerumuskan diri ke lembah kebinasaan dalam surah
al-Baqarah ayat 195. Juga perintah Allah SWT supaya kita berjihad pada
jalan-Nya dengan segala macam jalan yang ada dan termampu. Wallahu a'lam.
(Artikel ini telah diterbitkan dalam Majalah al-Ustaz, Telaga Biru)