"من كان يعبد رمضان فإن رمضان قد فات ومن كان يعبد الله فإن الله حي لا يموت..."
“Barangsiapa yang menyembah Ramadhan, maka Ramadhan telah hilang, namun barangsiapa yang menyembah Allah maka Allah itu Maha Hidup dan tidak mati…”
Itulah sebaik-baik ibarat yang penulis dapat ungkapkan di saat kita berada beberapa detik sahaja lagi sebelum kita meninggalkan Ramadhan yang penuh keberkatan. Sesungguhnya Ramadhan itu hanyalah satu bulan daripada dua belas bulan yang diciptakan oleh Allah SWT. Ia adalah satu tanda daripada tanda-tanda kebesaran Allah SWT dalam penciptaan-Nya, seperti jua Allah SWT mencipta langit, bumi, bulan dan matahari, kesemuanya adalah sebagai memperlihatkan kekuasaan dan keagungan-Nya. Allah SWT tidak sekali-kali menyuruh kita memuja dan menyembah tanda-tanda itu, sebaliknya Dia-lah yang sebenar-benarnya berhak disembah.
Tidaklah Ramadhan melainkan hanya satu bulan yang diangkat Allah SWT sebagai penghulu kepada segala bulan. Di dalamnya dijanjikan pelbagai kelebihan dan ganjaran yang tidak ternilai. Kalau bukan kerana Allah SWT, tiadalah kelebihan dan ganjaran di dalamnya. Kalau bukan kerana Allah, tiadalah kefardhuan puasa di dalamnya. Kalau bukan kerana Allah SWT tiadalah tarawih. Kalau bukan kerana Allah jua tiadalah zakat fitrah. Malah kalau bukan kerana Allah SWT tiadalah apa yang dinamakan Ramadhan. Itulah hakikat sebenar Ramadhan. Hanya makhluk daripada makhluk-makhluk Allah SWT.
Justeru, apakah sebenar yang anda sembah? Adakah Ramadhan atau Tuhan Ramadhan? Jika Tuhan Ramadhan yang disembah, mengapa hanya hadir ke masjid ketika Ramadhan? Mengapa pusat-pusat maksiat hanya ditutup @ separa tutup ketika Ramadhan? Mengapa hanya menutup aurat penuh @ separa penuh ketika Ramadhan? Mengapa hanya menyambut Merdeka tanpa hiburan melampau ketika Ramadhan? Mengapa hanya membaca al-Qur’an ketika Ramadhan? Mengapa hanya tidak menikam ekor @ berjudi ketika Ramadhan? Mengapa hanya tunaikan lima waktu ketika Ramadhan? Mengapa hanya bersedekah ketika Ramadhan? Mengapa hanya menghentikan berlakon ‘adegan panas’ ketika Ramadhan? Dan seribu mengapa lagi…
Akhirnya, Syawwal jualah yang menjadi mangsa rakus manusia. Syawwal menjadi bulan untuk dilampiaskan segala hawa nafsu yang terkongkong dek kerana Ramadhan. Allah SWT seolah-olah luput pada sebelas bulan yang mendatang. Hilang segala ketaatan dan menjadi ‘halal’ segala larangan. Hanya kerana Ramadhan itu telah pergi.
Insaflah wahai hamba Allah, sesungguhnya tidak ada satu bulan pun yang bukan bulan ibadah. Ramadhan bulan ibadah. Syawwal jua bulan ibadah. Kerana itulah Syawwal disambut dengan takbir, tahlil dan tahmid sebagai tanda ibadah yang mutlak hanya kepada-Nya. Lambang kehinaan, ketundukan dan perhambaan kita hanya kepada-Nya, Rabbul Jalil, Allah SWT. Bukan bulan itu yang kita agungkan tetapi Allah SWT! Bukan masa dan tempat yang kita sembah tetapi Allah SWT!
Allah SWT itu ada di mana-mana. Tak mengira saat dan tempat. Begitu jualah perintah dan larangannya ada di mana-mana tanpa mengira saat dan tempat. Istiqamahlah. Konsistenlah. Semoga Allah SWT menerima segala amal ibadah kita di bulan Ramadhan dan mengurniakan kita istiqamah. TAQABALLAHU TO’ATANA WA TO’ATAKUM JAMII’AN…KULLU ‘AM WA ANTUM BIKHAIR…SALAM ‘IDUL FITRI DAN MOHON MAAF ATAS APA JUA SALAH & SILAP…wajazaakumullahu khairal jaza’.