Khamis, 23 September 2010

KHURAFAT & TAHAYUL DI HARI RAYA

Memang sedih bila penulis melihat fi’il dan tabiat umat Islam di Malaysia menyambut ‘Idul Fitri. Lebih-lebih lagi bila ia disambut dengan sokongan dan dokongan pihak media elektronik. Perayaan yang sepatutnya disambut dengan penuh rasa gembira dalam konteks ‘beribadah kepada Allah SWT’ akhirnya menjadi perayaan khurafat dan tahayul. Lihat betapa dangkalnya TV3 apabila meluluskan tayangan iklan raya ala Santa Claus tempohari. Adakah begini bentuk iklan yang kononnya suatu kreativiti bagi menyesuaikannya dengan konsep 1Malaysia? Jika beginilah tafsiran 1Malaysia, harap maaf, penulis adalah orang pertama yang pasti menolaknya!

Perhatikan pula filem-filem yang ditayangkan sempena program ‘special’ raya, subhanallah…semuanya filem-filem yang berpaksikan khurafat dan tahayul. Apakah signifikannya filem-filem sebegini dengan ‘Idul Fitri yang merupakan perayaan ibadah?

Terus terang penulis katakan, penulis pernah terlibat beberapa kali di dalam mesyuarat penapisan filem. Banyak perkara berunsur khurafat dan tahayul yang disyor supaya dibuang atau dipotong daripada tayangan umum. Tetapi apa yang ditegur dilihat kadang-kadang hanya tercatat di dalam minit tetapi langsung tidak diambil tindakan oleh pihak terbabit. Pernah suatu ketika, penulis menegur satu ‘filem’ yang dipenuhi dengan babak-babak khurafat dan tahayul sehingga pengerusi mesyuarat berpendapat bahawa jika teguran penulis diambilkira nescaya filem itu terpaksa disekat terus. Bagaimanapun selepas beberapa ketika filem itu ditayangkan juga di pawagam dan banyak adegan-adegan khurafat dan tahayul itu kekal lulus. Apakah sebenarnya mentaliti masyarakat yang ingin dibentuk oleh pihak berwajib terbabit? Jika ditanya penerbit dan produser, sudah tentulah jawapan mereka apa yang penting adalah filem dapat dijual, dapat keuntungan dan pelaburan mereka yang berjuta ringgit tidak hangus begitu sahaja!

Itu mungkin berlaku kepada penerbit dan produser yang bukan Islam atau tidak berjiwa Islam, namun amat menyedihkan ia juga berlaku kepada penerbit dan produser berjiwa Islam. Mereka bermatlamat baik iaitu untuk menerbitkan filem-filem atau drama-drama berunsur Islam. Bagaimanapun kesilapan mereka kerana tidak merujuk kepada golongan agamawan yang pakar dalam selok belok aqidah dan syariah. Sekurang-kurangnya filem atau drama yang mereka ingin persembahkan itu tidak bertentangan dengan kehendak Islam itu sendiri. Ia tidak berbeza dengan tujuan bank-bank melantik panel syariah masing-masing supaya produk Islam yang ditawarkan adalah benar-benar ‘syariah compliance’.

Tetapi apa yang sering berlaku, apabila filem dan drama yang berunsur Islam itu telah selesai, sehari dua sebelum ditayangkan barulah pihak penerbit atau produser memohon nasihat daripada golongan agamawan. Apabila ditegur di sana dan di sini bahawa ia tidak sesuai dengan kehendak Islam, mulalah pihak berkenaan menarik muka masam dan tidak berpuas hati dengan ahli agama yang didakwa rigid atau tak faham matlamat karya berunsur Islam mereka. Persoalannya mengapa tidak daripada awal penulisan skrip lagi ia diajukan kepada golongan agama supaya dapat diperbetul atau disemak? Bukan setelah wang dibelanjakan ribuan atau jutaan ringgit baru karyanya itu mohon disemak.

Bagi penulis, limpahan filem dan drama sebegini perlu diberi perhatian berat oleh pihak pemerintah. Penulis tidak tahu apa akan jadi kepada masyarakat kita jika perkara-perkara khurafat dan tahayul seumpama ini terus menerus dilambakkan. Sedangkan pada hari ini kita berhadapan dengan keruntuhan agama dan kebiadapan moral seperti membunuh, buang bayi, zina dan sebagainya. Apakah penerbit dan produser filem dan drama tidak tahu bagaimana untuk menyumbangkan karya-karya yang boleh mendidik agama, moral dan minda masyarakat?

Penulis juga yakin, filem-filem dan drama-drama berunsur khurafat dan tahayul inilah yang sebenarnya menyumbang sedikit sebanyak kepada kemunculan ajaran dan kepercayaan sesat. Di mana logiknya ketika agensi-agensi agama dikerah untuk membendung perkara-perkara khurafat dan tahayul tetapi di pihak yang lain dengan kuasa media yang ada, secara bermaharajalela menyebarluaskan perkara-perkara khurafat dan tahayul kepada seluruh masyarakat secara terbuka. Sesungguhnya perbuatan ini benar-benar telah mencemarkan kesucian Syawwal dan ‘Idul Fitri malah kesucian Islam itu sendiri. Wallahu a’lam.

Himpunan Artikel