Selasa, 7 September 2010

HUKUM SOLAT JUMAAT PADA HARI RAYA

Para ulama berbeza pendapat mengenai hukum solat Jumaat yang jatuh bertepatan dengan hari raya, sama ada 'Idul Fitri mahupun 'Idul Adha. Dalam kitab Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf Al A`immah karya Imam Sadr al-Din Abu Abdullah Muhammad bin Abdul Rahman Ad Dimasyqi al-Syafi’iy, disebutkan bahawa :

Apabila hari raya bertepatan dengan hari Jumaat, maka menurut pendapat Imam Asy Syafi’i yang sahih, bahawa solat Jumaat tidak gugur dari penduduk kampung yang mengerjakan solat Jumaat. Adapun bagi orang yang datang dari kampung lain, gugur Jumaatnya. Demikian menurut pendapat Imam Asy Syafi’i yang sahih. Maka jika mereka telah solat hari raya, boleh bagi mereka terus pulang, tanpa mengikuti solat Jumaat. Menurut pendapat Imam Abu Hanifah, bagi penduduk kampung wajib solat Jumaat. Menurut Imam Ahmad, tidak wajib solat Jumaat baik bagi orang yang datang mahupun orang yang ditempati solat Jumaat. Kewajiban solat Jumaat gugur sebab mengerjakan solat hari raya. Tetapi mereka wajib solat Zuhur. Menurut ‘Atha`, Zuhur dan Jumaat gugur bersama-sama pada hari itu. Maka tidak ada solat sesudah solat hari raya selain solat Asar.”

Ad Dimasyqi tidak menampilkan pendapat Imam Malik. Ibnu Rusyd dalam kitabnya Bidayatul Mujtahid menyatakan pendapat Imam Malik sama dengan pendapat Imam Abu Hanifah. Disebutkannya bahawa,“Imam Malik dan Abu Hanifah berpendapat,”Jika berkumpul hari raya dan Jumaat, maka mukallaf dituntut untuk melaksanakannya semuanya….”

Berdasarkan keterangan di atas, jelaslah bahawa dalam masalah ini terdapat empat pendapat :

Pertama, solat Jumaat tidak gugur dari penduduk kota (ahlul amshaar / ahlul madinah) yang di tempat mereka diselenggarakan solat Jumaat. Sedang bagi orang yang datang dari kampung atau padang gurun (ahlul badaawi / ahlul ‘aaliyah), yang di tempatnya itu tidak dilaksanakan solat Jumaat, gugur kewajiban solat Jumaatnya. Jadi jika mereka –yakni orang yang datang dari kampung — telah solat hari raya, boleh mereka terus pulang, tanpa mengikuti solat Jumaat. Inilah pendapat Imam Syafi’i. Ini juga pendapat Uthman dan Umar bin Abdul Aziz.

Kedua, solat Jumaat tetap wajib ditunaikan, baik oleh penduduk kota yang ditempati solat Jumaat mahupun oleh penduduk yang datang dari kampung. Ini pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Jadi, solat Jumaat tetap wajib dan tidak gugur dengan ditunaikannya solat hari raya.

Ketiga, tidak wajib solat Jumaat baik bagi orang yang datang mahupun bagi orang yang ditempati solat Jumaat. Tetapi mereka wajib solat Zuhur. Demikian pendapat Imam Ahmad.

Keempat, Zuhur dan Jumaat sama-sama gugur kewajibannya pada hari itu. Jadi setelah solat hari raya, tak ada lagi solat sesudahnya selain solat Asar. Demikian pendapat ‘Atha` bin Abi Rabbah. Dikatakan, ini juga pendapat Ibnu Zubayr dan ‘Ali.

Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, dapat disimpulkan bahawa pendapat yang rajih (kuat) adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, rahimahullah. Perinciannya hukumnya adalah seperti berikut:

Hukum Pertama, jika seseorang telah menunaikan solat hari raya -yang jatuh bertepatan dengan hari Jumaat- gugurlah kewajiban atasnya untuk menunaikan solat Jumaat. Dia boleh melaksanakan solat Jumaat dan boleh juga tidak. Antara dalilnya adalah hadith Zayd bin Arqam r.a. bahawa dia berkata : “Nabi SAW melaksanakan solat Ied (pada suatu hari Jumaat) kemudian beliau memberikan rukhshah (kemudahan/keringanan) dalam solat Jumat. Kemudian Nabi berkata, “Barangsiapa yang berkehendak (solat Jumaat), hendaklah dia solat.” (HR. Al Khamsah, kecuali At Tirmidzi. Hadith ini menurut Ibnu Khuzaimah,sahih).

Hukum Kedua, bagi mereka yang telah menunaikan solat hari raya tersebut, lebih utama dan disunnahkan tetap melaksanakan solat Jumaat. Dalilnya adalah hadith Abu Hurayrah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda: “Innaa mujammi’uun” (Dan sesungguhnya kami akan mengerjakan Jumaat). Ini menunjukkan bahwa walaupun Nabi SAW menjadikan solat Jumaat sebagai rukhshah, yakni boleh dikerjakan dan boleh tidak, akan tetapi Nabi Muhammad SAW faktanya tetap mengerjakan solat Jumaat.

Hukum Ketiga, jika orang yang telah menunaikan solat hari raya tersebut memilih untuk tidak menunaikan solat Jumaat, wajib melaksanakan solat Zuhur, tidak boleh meninggalkan Zuhur.

Hukum Keempat, mereka yang pada pagi harinya tidak melaksanakan solat hari raya, wajib atasnya untuk menunaikan solat Jumaat, tidak dibenarkan baginya untuk meninggalkan solat Jumaat.

Walaubagaimanapun penulis berpandangan, bagi keluar daripada khilaf (perselisihan pandangan) di kalangan ulama, adalah lebih afdhal untuk tetap menunaikan solat Jumaat pada hari tersebut bagi sesiapa yang tidak mempunyai sebarang kesukaran untuk hadir ke masjid. Realiti atau waqi’ juga cenderung kepada kewajipan menunaikan solat Jumaat berdasarkan kemudahan untuk menemui masjid di mana sahaja kita berada di samping kemudahan lain seperti kenderaan. Wallahu a’lam.