Rabu, 10 Mac 2010

AL-FATIHAH BUAT AL-MARHUM SYEIKHUL AZHAR FADHILAT AL-IMAM AL-AKBAR DR. MUHD SAYYID TANTAWI



Petang tadi, penulis agak terkejut apabila mendengar maklumat daripada Atase Agama Kedutaan Besar Malaysia di Mesir bahawa Syeikhul Azhar Fadhilat al-Imam al-Akbar Dr. Muhammad Sayyid Tantawi telah kembali ke rahmatullah. Penulis terus sahaja melayari internet membaca beberapa laman web Arab terutamanya islamonline dll bagi mendapatkan kesahihan. Rupa-rupanya Syeikhul Azhar telah meninggal dunia pagi tadi ketika dalam perjalanan untuk pulang ke Mesir selepas menghadiri satu upacara penyampaian Anugerah Malik Faisal di Riyadh, Arab Suudi.

Kematian Syeikhul Azhar ini dikatakan agak mengejut kerana beliau dilaporkan sihat ketika mengunjungi Arab Suudi. Bagaimanapun serangan jantung secara tiba-tiba menjadi titik noktah hidup beliau setelah 14 tahun menerajui Masyiyakhah al-Azhar. Sehubungan dengan itu, jenazah beliau akan dikebumikan di perkuburan al-Baqi' di Madinah. Pada usia 82 tahun, beliau pergi meninggalkan dunia yang fana' ini tanpa meninggal sebarang isyarat dan tanda. Sehingga kini, tiada siapa dapat menentukan siapakah bakal pengganti beliau, adakah Dr Ali Jum'ah, Mufti Mesir atau Dr. Ahmad Tayyib, Rektor al-Azhar?

Bagi penulis, pemergian Syeikhul Azhar sedikit sebanyak menyentuh emosi penulis. Bukan apa, masih terngiang-ngiang di telinga penulis ayat-ayat al-Qur'an yang dilafazkan dengan lancar sekali oleh Syeikhul Azhar setiap kali beliau menyampaikan syarahannya. Ingatan Syeikhul Azhar terhadap al-Qur'an amat kukuh sekali, munasabat antara ayat dan asbab nuzul ayat dihadham dengan begitu menakjubkan. Masakan tidak, beliau adalah lulusan PhD dalam bidang tafsir dan hadith dengan taqdir mumtaz pada tahun 1966. Tafsir sememangnya bidang beliau. Kitab 'al-Tafsir al-Wasith' berjumlah 15 jilid yang dihadiahkan beliau menjadi bukti dan saksi bahawa beliau adalah seorang ahli tafsir yang 'mulim' dalam keilmuannya.

Kata-kata beliau yang amat sukar untuk penulis lupakan adalah, "ihfazul al-Qur'an yabni..." (hafal lah al-Qur'an wahai anakku...". Ungkapan itu menyebabkan diri ini merasa benar-benar kerdil di hadapan seorang 'allamah sehebat Syeikhul Azhar. Peringatan beliau itu memang benar, apa gunanya ingin menjadi ilmuan Islam tetapi tidak mampu menguasai al-Qur'an sebagaimana yang dilakukan oleh masyayikh al-Azhar terdahulu? Dalam hal ini, penulis akui, benar-benar insaf dengan kejahilan dan kelemahan diri dalam menguasai ilmu-ilmu alat terutamanya al-Qur'an. Antara pesanan beliau juga, yang sukar dilupakan penulis ialah supaya umat Islam sentiasa berhati-hati dengan pergerakan Syiah yang semakin tersebar ke seluruh dunia sunni. Beliau amat menekankan kesilapan Syiah dalam memandang para Sahabat Nabi r.a.h. Pandangan seumpama ini disifatkan oleh beliau sebagai menyalahi aqidah Islam yang sebenar.

Tidak penulis nafikan, sekali sekala ada pandangan Syeikhul Azhar yang kurang dipersetujui oleh penulis, tetapi itu bukan bermakna penulis hilang hormat terhadap beliau. Fatwa-fatwa kontroversi yang dikeluarkan oleh beliau amat dimaklumi oleh penulis. Malah sepanjang berada di Mesir, penulis cuba merungkaikan beberapa persoalan berkenaan fatwa-fatwa kontroversinya melalui buku-buku tulisannya. Sebahagiannya menemui jawapan dan sebahagiannya tidak. Bagi penulis, dengan 'malakah' yang dimiliki oleh beliau, beliau punya hak untuk berijtihad dalam satu-satu isu. Tetapi terpulang kepada umat Islam sama ada mahu menerima atau menolak ijtihadnya. Beliau hanyalah seorang manusia biasa, bukan nabi dan tidak maksum daripada kesilapan dan dosa.

Semoga Allah SWT memanfaat ilmu beliau bagi diri penulis dan seluruh umat Islam, dan semoga Allah SWT mengampuni beliau dan menempatkan beliau ke dalam syurga-Nya birahmatika ya arhamar rahimin...

AL-FATIHAH