Rabu, 10 Mac 2010

BERPADA-PADALAH DALAM BERPARTI...

Sebulan dua ni, memang penulis agak kesibukan sedikit. Di samping kerja-kerja di pejabat, penulis juga dijemput mewakili jabatan untuk menyampaikan taklimat mengenai kedudukan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam. Pelbagai pihak penulis temui ketika menyampaikan taklimat ini termasuklah orang awam, mahasiswa, pegawai kerajaan, para asatizah & tok-tok guru. Nampaknya sehingga ke hari ini, isu ini masih belum reda..masih ada beberapa jemputan berbaki yang perlu dihadiri oleh penulis.

Cuma dalam banyak-banyak majlis yang dihadiri oleh penulis, menjelaskan isu ini kepada golongan asatizah (ilmuan agama) adalah lebih sukar berbanding golongan bukan agama. Golongan bukan agama, apabila dijelaskan berserta fakta dan hujah, insya-Allah mereka akan menerimanya tanpa banyak soal lagi. Malah yang lebih dipersoalkan oleh golongan awam adalah 'apa tindakan kerajaan bagi menyekat kebiadaban gol. yg menuntut penggunaan nama Allah ini?' Itulah soalan yg biasa dihadapi oleh penulis dan rakan-rakan.

Bagaimanapun, apabila berceramah dengan ahli agama sendiri, kadang-kadang penulis merasakan sedang berada dalam medan 'debat' antara pencadang dan pembangkang. Sesetengah gol. agama menganggap kami yang menyampaikan penjelasan bagi pihak kerajaan ini adalah 'penyokong kerajaan' dan mereka berada di pihak 'pembangkang'. Inilah yang menyebabkan isu sebenar jadi hilang dan timbul isu-isu lain yang tiada kena mengena seperti pengampu kerajaan @ ada agenda politik di sebaliknya dan lain-lain.

Itulah bahana apabila ahli agama bekerja dgn kerajaan. Apa jua pendirian yang diambil dilihat ada agenda politik dan bersekongkol dengan ahli-ahli politik pihak memerintah. Agensi-agensi agama dianggap hanyalah sebagai kuda tunggangan ahli-ahli politik pihak pemerintah. Kesemua ahli agama yang wujud dalam kerajaan dibakulsampahkan dan disamatarafkan dengan ahli-ahli politik itu. Akhirnya semua kenyataan dan pendirian yang dikeluarkan oleh ahli-ahli agama kerajaan diperlekeh, diperleceh, diperbodoh-bodohkan dan ungkapan sewaktu dengannya.

Bagi penulis, ini semua berpunca drpd kefanatikan berpolitik oleh sesetengah ahli agama. Penulis sekali-kali tidak menafikan 'politik' dalam Islam bahkan Islam tidak boleh dipisahkan dengan politik. Tetapi 'berpolitik kepartian' yang melampau akan mengundang padah kepada agama Islam sendiri. Ini kerana 'parti @ jamaah' hanyalah satu 'wasilah' untuk kita menuju kpd matlamat iaitu menegak dan mempertahankan Islam. Dan 'wasilah' itu tidak semestinya sentiasa benar. Adakalanya yg hak itu tidak bersama dengan 'jamaah' yang menjadi wasilah perjuangan kita. Kata sahabi, Ibn Mas'ud r.a.: "Majoriti jamaah lah yang keluar daripada jamaah, jamaah adalah apa yang menepati kebenaran walaupun kamu berseorangan!".

Sindrom untuk membentuk semua ahli agama mesti berdakwah dengan 'satu acuan' semata-mata adalah satu bahana kpd ummatudda'wah. Kalau boleh mahu dipaksakan semua ahli agama mesti berwala' hanya dengan 'keputusan jamaah' itu semata-mata. Tak kira sama ada ahli agama itu berada dalam agensi agama, agensi penguatkuasa, agensi pendidikan dll. Kemudian, jika ada ahli agama itu yang tidak menepati keputusan jamaah tersebut, ia bermakna tidak memberi wala' maka ia terkeluar daripada jamaah!! Ini lah pemikiran dangkal yang sedang berlaku kepada sesetengah ahli agama yang berpolitik kepartian secara literal membabi buta. Malah, hal ini merugikan jamaah itu sendiri yang tidak tahu menghargai sumbangan ahli agama yang berada dlm pelbagai sektor & bidang, malah cop-cop spt tidak berwala' kpd jamaah mereka dan lain-lain mendahului penilaian yg rasional.

Sebab itu, penulis fikir perlu dibezakan antara berjamaah dan berpolitik kepartian. Bermakna setiap ahli jamaah tak semestinya ahli politik (kepartian). Mana mungkin seorang ahli jamaah yang bertugas sebagai pensyarah di sebuah universiti kerajaan bercakap lantang seperti seorang ahli politik sebuah parti di parlimen! Malah pensyarah tersebut mesti pandai memainkan siasahnya dalam ruang lingkup sebuah universiti bagi menyampaikan fikrah jamaah kepada pelajarnya. Tetapi matlamatnya tetap sama dengan matlamat jamaah iaitu menegak dan mempertahankan Islam! Di sinilah letaknya kebijaksanaan seseorang ahli jamaah. Bukan mengikuti apa jua keputusan jamaah secara membuta tuli tanpa melihat realiti dan waqi' di hadapannya.

Bagi penulis, isu kalimah Allah adalah isu yang melangkaui perbatasan jamaah kepartian. Malah dalam konteks 'Malaysia' masakini jamaah umat Islam itu sendiri perlu di aula kan. Zaman ini, sebetulnya kita sedang berdepan dengan pihak yang mahu mendekontruksikan syariah Islam secara total. Kalimah Allah bukanlah isu yang datang secara bersendirian, sebaliknya ia satu AGENDA! Hanya mereka yg terlibat secara langsung dlm agensi agama yg memahami sebenar-benarnya isu ini. Hakikatnya, semakin hari slogan 'human right' dan 'demokrasi liberal Barat' ingin dijadikan rukun hidup yang kudus dan ditaati. Di mana sahaja Islam  itu wujud, dalam kerajaan, dalam Pas, dalam UMNO, dalam PKR malah di mana-mana..ia pasti CUBA dihapuskan secara berdikit-dikit. Hanya orang Islam yang jahil dan hanyut dalam menekuni realiti ummah di saat dan detik ini sahaja yang akan terus tenggelam dalam kefanatikan dan ketaksuban berparti.